Hak Cipta Terpelihara. Sebarang item yang mahu diambil daripada blog ini wajib mendapat keizinan pemilik blog. Budi Bahasa Amalan Kita

Rabu, Disember 09, 2009

Menunggu Kun Fayakun

Sunat Isyraq beraksesorikan Ma'thurat Kubra, kesinambungan istikarah semalam. Bugar nafas dhuha mengilhamkan sebuah natijah (keputusan) setelah saya melanjutkan fasa kedua uzlah memohon petunjuk arah hijrah demi melestari malar transaksi dakwah, menyuci mahar transmisi qudwah.
Ya Rahim,
'kun fayakun'kanlah
hamba-Mu pasrah!

Isnin, Disember 07, 2009

Cegah Tahlukah

Sembang petang kelmarin bersama seorang teman merasang minda saya bermenung panjang. Dia bawa cerita perihal kenalan dan kawan-kawan yang ramai berangkat secara mengejut dalam usia relatif singkat.

Dia yang bagaikan abang, sentiasa menziarahi Nobe Art dengan seribu satu nasihat - berbijakcermat berniaga di sini dan di sana serta bertindakhemat berbelanja pahala dan dosa. Begitu saya rangkaikatakan butir mutiaranya.

Zaman mudanya yang diakrabi kemiskinan menghalang dia dari sering pulang ke kampung setiap musim sesi kuliah tamat. Ipoh memperkenalkan dia dengan syurga dunia melalui seorang kenalan berbangsa Tionghua.

Semua sajian, apa sahaja menunya pasti merapati lutut sejurus disebut. Berkat ajaran bondanya selaku guru Al-Quran sejak dia dalam kandungan, dia hanya membenarkan indera pandang dengar sahaja menikmati hidangan tersebut.

Dia bertindak menjadi lelaki bijak lalu mahu belajar dari pengalaman orang lain daripada men'tahlukah'kan diri sendiri.

Kerjayanya selaku kontraktor berjaya sekali lagi menggula-gulakan seleranya dengan menu-menu eksotika.

Tidak dapat tidak, setelah diasak dek penjawat-penjawat berpangkat, dia tak berdaya menolak. Sekali lagi berkat wirid dan ratib bondanya, dia cuma dicas bersubahat tetapi tidak secara langsung membuat maksiat. Taukeh Bintang Palace Karaoke senyum meleret bertabik hormat kepadanya selepas menerima cek RM11,000.00 pada suatu malam sekitar tahun 1994.

Saya tanya dia, "rasanya apa yang selamatkan awak setiap kali diajak meratah lahap?"
"Solat." jawabnya singkat tapi padat.
"Dalam pusat maksiat?" Musykil saya menagih jawapan lebih.
"Hmm. Mujur sangat-sangat, penggera solat dalam dada saya tak pernah mati bateri."

Saya angkat muka tepat ke matanya. Buku telunjuknya
berfungsi cepat tanpa sempat saya menghulurkan kertas pengelap.

Diam pun memberi salam saat jiwa saya geger menghadam protein maknawi hidangan teman muhasabah diri. Serentak, lagu ini pula berkumandang dari premis bersebelahan.

Sabtu, Disember 05, 2009

Semalu Kau Beri Dulu


Semalu kau beri dulu
kaku terlentang di ranjang
memandang bulan terang
jatuh dalam telaga
di hadapan jendela pecah kaca.

Sejak dahulu saya suka semalu. Saya harap semua wanita suka pada semalu usai membaca kisah ini.

Pada suatu hari, Rasulullah s. a. w berjalan-jalan bersama puteri baginda, Saidatina Fatimah r. a. Setibanya mereka berdua di bawah sebatang pohon tamar, Fatimah terpijak pohon semalu, kakinya berdarah lalu mengadu kesakitan.

Fatimah mengatakan kepada bapanya apalah gunanya pohon semalu itu berada di situ dengan nada yang sedikit marah. Rasulullah saw tenang berkata kepada puteri kesayangannya itu bahawasanya pohon semalu itu amat berkait rapat dengan wanita. Fatimah terkejut. Rasulullah menyambung perinya lagi. Para wanita ambillah pengajaran daripada pohon semalu dari segenap segi yang empat ini.


Pertama, pohon semalu menguncup apabila disentuh ibarat wanita yang memiliki sifat malu yang tinggi (kena pada tempatnya).

Kedua, semalu berduri tajam bagi mempertahankan dirinya. Oleh itu, wanita perlu tahu mempertahankan diri dan maruah sebagai muslimah.


Ketiga, semalu juga mempunyai akar tunjang yang sangat kuat dan mencengkam bumi. Ini bermakna wanita solehah hendaklah mempunyai keterikatan yang sangat kuat dengan Allah Rabbul Alamin.


Dan akhir sekali, semalu akan kuncup dengan sendirinya apabila senja menjelang, lambang panggilan pulang untuk sekelian perempuan agar bissur'ah kembalilah ke rumah pabila senja tiba.

Serlah hikmah daripada makhluk kerdil ciptaan Allah. Subhanallah!

Rabu, Disember 02, 2009

Membayar Mahar, Mengagih Kasih

Tadi, saat kau meletak gagang
sempat kugenggam hembusan rindu
gema nasihatmu bertalu-talu
memukul dinding kalbu
"sunnah orang berjuang

berjarak dan bertemu
kerana Yang Satu."

Dekad lalu, usai berwirid
dua nasyid kita tukar-gabung lirik
Cerita Cinta Kita fana dalam asyik
ratap raung rindumu rinduku
gemersik membisik bait-bait...

*Nun di sana cita-cita kita
Ya akhirat namanya
Di dunia ini bukan tempat tinggal
Di sini hanya sebentar tidak kekal.

Betulkan niat dari sekarang
Tukar sikap kita yang merugikan
Qur'an dan sunnah jadikan panduan
Agar besok kita tidak kekesalan.

Nun di sana tiada taulan yang membela
Amal ibadah itulah pembela kita
Ayuh bersegeralah membuat kebajikan
Jangan dilalaikan oleh nafsu syaitan.

Pangkat dan harta tidak akan kekal
Bahkan apa yang ada akan ditinggal
Hidup di dunia hanya sementara
Buatlah persiapan untuk ke sana.
Malamnya bagai rahib merintih sayu
Diiring doa serta air mata
Siangnya bagaikan singa di rimba
Memerah keringat meluah tenaga.

Berjuang memang pahit
Kerana syurga itu manis
Bukan sedikit mahar yang perlu dibayar
Bukan sedikit kasih yang ditagih.

Ayuh bersegeralah menuju Allah
Taatilah Dia minta ampun pada-Nya
Mati bila-bila masa boleh tiba
Jangan sampai kita tidak bersedia.

Biar susah sedikit kerana Tuhan
Untuk menghindar kesusahan yang besar
Yang tidak sanggup ditanggung badan
Ambillah 'iktibar kalau mahu sedar.

*Lirik nasyid Nun Di Sana dan Sunnah Berjuang nyanyian Nada Murni.

Selasa, Disember 01, 2009

Aku Rindu Rahmat-Mu

(Sdr, Husain Merah (019-2815971, 01209891936) mengetuai kugirannya mempersembahan lagu "Dara Pujaan" sempena majlis hari ulang tahun kelahiran Ketua Wanita UMNO Sungai Besi, pada September lalu.)

Pagi hingga petang saya di pejabat keseorangan. Teman sekerja ada hal masing-masing. Selesai membereskan semua kerja-kerja harian dan tempahan, saya mengambil peluang mengutusi emel kepada seseorang bertemankan lagu Harum Subur Di Hati yang jelas bergema dari kotak muzik jiwa. Waktu itulah saya dikunjungi seorang lelaki istimewa bekas pelajar muzik, Sekolah Pendidikan Khas Braille, Brickfield dan graduan fakulti Sastera UM.

Syukur, merah mata dapat saya sembunyikan. Namun ah, manusia istimewa ini tetap dapat mengesan pilu yang menyerkupi jiwa saya. Usiknya, "hujan sampai ke dalam rupanya. Ingat kan, saya sahaja yang basah pakaian, awak juga basah perasaan."

Sembang petang membongkar rahsia jiwanya yang juga menyenangi puisi. Saudara Husain Merah mendeklamasikan puisi yang dikarang sewaktu kematian isteri pertamanya akibat kanser payu dara.

Arwah Rohana Abdul Rahman merupakan mantan pensyarah Uitm Shah Alam. Perkenalan dalam penerbangan ke Sabah membawa mereka ke jinjang pelamin bukti cinta suci tautan dua hati di antara manusia serba ada dengan golongan kurang upaya.

Bait-bait puisinya berjaya menghiburkan rawan sukma saya yang bersendirian mencantumkan daun-daun pilu pecah sepi dalam gerimis yang berlanjutan dari malam semalam.

Jurai-jurai airmata
kini ia tumpah
tergenang di laut malam

melontar aku ke ranjang pedih luka
pahit-pahit sepi datang bercumbu
bak pengantin baru diketemukan seorang kekasih
lalu engkau pergi
setelah meninggalkan segumpal racun
kuseret segala kebosanan ini
akan kutanam di bibir pantai
agar ombak datang membunuhnya.
Kekasihku Rabbi,
aku rindu rahmat-Mu
harapan moga gugurlah sebutir mentari
membelah mendung menjilat kabus
ke ribaanku bersama fajar merah.

Nukilan: S. Rohana