Hak Cipta Terpelihara. Sebarang item yang mahu diambil daripada blog ini wajib mendapat keizinan pemilik blog. Budi Bahasa Amalan Kita

Khamis, Disember 01, 2011

Masih Aku Terasa


Masih kuingat
tanganku kaugenggam erat,
dan masih terasa
hangatnya nafas cinta
ketika kita bersama.

Salam hari keputeraan buatmu, Im
dari tulus jiwaku yang paling dalam
semoga dikau berberbahagia
di dua alam.

Jumaat, November 18, 2011

Sakti Sebuah Interpretasi

Ketika di tingkatan 5, saya sangat musykil mengapa ada pengiraan dalam subjek matematik menggunakan aksara x dan y kerana bagi saya ilmu kira-kira adalah angka semata-mata. Saya tanya cikgu bolehkah digantikan huruf yang saya kurang arif itu dengan alfabet lain misalannya huruf-huruf vokal yg mudah saya baca agar senang saya taakuli maknanya. Cikgu marahkan saya kerana suka bertanya soalan-soalan yang selalu bikin dia garu kepala apabila gagal menyakinkan saya itulah jawapannya yang sama-sekali tak kena dengan kehendak rasional akal apatlah lagi jauh daripada mesra jiwa saya. Maka, natijahnya saya tidak mengambil subjek ilmu hisab ketika SPM 90 kerana saya kira tidak wajar saya menuntut ilmu dengan guru yang tidak mampu menjawab soalan yang semudah itu.
Mutakhir ini, saban hari, saya berdoa agar saya dipertemukan kembali dengan cikgu itu untuk memaklumkan beliau betapa kini saya amat fahami apakah x dan y itu secara hakiki seperti yang dimaksudkan oleh Abu Abdullah Mmhammad ibn Musa al-Khwarizmi mengenai geometri koordinat hati yang jalan pengiraannya tidaklah terlalu kompleksiti malah amat mudah sekali sepert ilustrasi di bawah ini:
y= jika patah sayap rajawali, bertongkat jua kanda kemari.
x= adinda anggap sebagai janji!

Selasa, November 08, 2011

Abadi Dalam Memori

November 8 1980, adinda lelaki tunggal saya dimubramkan lahir ke dunia. Tanggal ulang tahun keputeraannya mana mungkin sirna dari dalam ingatan meski allahyarham Ridzuan sudah kembali ke pangkuan Pencipta. Ramai yang memandang wajahnya tanpa lupa akan segera mengatakan dia menyalin iras saya terutama renungan dan senyumannya. Dan setiap kali mendengar komentar, pantas saya akan berkata, bukan itu sahaja, kami sama-sama berkongsi sifat romantis sang jengking kala juga.
Ridz, semoga ruh adinda dicucuri rahmat oleh-Nya & sejahtera berada disisi-Nya dalam golongan kanan yang dijanjikan. Al-fatihah daripada alongmu yang sehingga kini tiada mampu melupakanmu justeru terlalu banyak persamaan yang kita kongsikan itu.

Isnin, Oktober 03, 2011

Belulang di sebalik kelir

Dhuha tadi menjadi saksi
satu takdir yang telah pun diukir.
Duhai Az-Zahir,
hamba-Mu hanyalah belulang di sebalik kelir.

Isnin, Ogos 29, 2011

Ulangtahun Keputerian ke 38

Saya wanita kelahiran 29 Ramadhan. Kata bonda, 38 tahun lalu beliau berpuasa tanpa berbuka pada khatimah Ramadhan hingga fajar eidulfitri menyingsing demi memberi peluang kepada sebuah jiwa baru untuk memenuhi janji ke hadrat Rabbul Izzati. Tiada sesuatu hatta sebesar biji sawi yang berdaya saya balas ehsan dan pengorbanan bonda ini.

Pada tika diuji Ilahi merai hari miladi sendiri ditemani dua kawan sejati iaitu Cik Sunyi dan Kak Sepi saya sengaja menayangkan pada mereka berdua satu entri yang dulunya pernah ditujukan kepada saya. Betapa saya rasa sungguh bahagia dirai sebegitu rupa. Saya harap sangat-sangat tuan empunya blog ini mengizinkan saya mengabadikan catatannya di laman tarian tinta sukma sebagai hadiah khas sempena merdeka dan raya.

Tulisnya:
Aku jadi manusia paling bersyukur pada pagi ini kerana masih diberi kesempatan menatap bening matamu sebaik terbitnya fajar.Terhapus segala keresahan menunggu semalaman.
Maafkan aku kerana selalu memberikan duri semalu sewaktu orang lain menghadiahkan jambangan mawar di hari istimewamu, dan maafi daku jua kerana mengundang awan di hari ceriamu; kerana pasti suatu hari kau perlukan gerimis di tengah kontang sahara.

Memang selalu langit mendung, hujan mencurah dan jiwa saya lenjun setiap kali ulang tahun hari kelahiran tapi dengan membaca catatan ini meski dengan pandangan sungguh kabur saya bahagia dan terhibur.

Khamis, Jun 30, 2011

Sepurnama Mengurusi KGT

Berkali-kali saya rasai betapa senda Ilahi romantisnya tiada peri, seringkali saya berasa sukar menyeimbangi laba dan bala yang memiliki pemberat neraca ringan sekali, acapkali saya diuji pada ketika saya amat menghajati dianugerahi perkara yang menepati kehendak hati, saya juga dikehendaki bersedia memperkasakan jiwa demi menjadi berani hidup berani mati kerana tukaran imipi menjadi realiti itu ialah kehilangan sesuatu yg paling saya sayangi.
Sepurnama mengurusi KGT 28 Jumadil Akhir - 28 Rejab 1432 Hijri, saya berasa umpama di syurga sudah berpijak sebelah kaki justeru taklif yang saya galas ialah mendaulatkan kembali DnD karensi nabawi, membasmi riba yang diisytihar perang oleh Allah swt & Rasul-Nya sendiri. Dan, ah jika kaki yang sebelah lagi melangkah dengan kurang teliti, nescaya semudah memetik jari saya rentung dilahap api. Ya Rabbi, kumohon dengan segala rahmat dan ihsan-Mu daku dijauhi.

Sabtu, April 16, 2011

Tidak bercita-citakah dikau disemadikan ruhmu dalam halkum burung hijau?

'Isyh azizan au mut syahidan (hidup perkasa atau mati syahid) begitu selalu saya doakan kepada seluruh para muslimin/ah, mukminin/ah sekelian atas nama mahabbah islamiah. Buat kesekian kali saya mahu lagi bermohon dengan limpah perkenan dan selaksa ampun ke hadrat Allahurrahim wabihi nasta'in.

Aduhai Tun, dengan kegeniusanmu yang diiktiraf di seluruh buana dikau memerintah Tanah Melayu tercinta selama 21 tahun, mengapa tidak dikau laksanakan penggunaan matawang Dinar emas dan Dirham perak di tanah tumpah darahku ini? Terlalu khuatirkah dikau akan mossad yahudi bakal menjadi musabbab ruh dikau bakal berada di dalam halkum burung hijau?

Teruja menanti kehadiran khalifah dari Timur yang melestarikan sunnah Baginda Junjungan Pesuruh Allah nan Tercinta dalam jangka masa selahzah cuma.

Sabtu, April 02, 2011

Rasi Rasa Seloroh Orang Kita


Alhamdulillah selepas melahirkan cerpen seputar gagasan minda dan kobaran rasa akan kepentingan umat Melayu Islam menyimpan dan menyandarkan aset kepada az-zahab wal fiddah, Allah swt mengizinkan saya berkongsi satu lagi ilmu ramah mesra orang Melayu melalui resepi kuih tradisi iaitu beko pulut dan ubi kayu.

Rencana ini disiarkan dalam majalah Qiadah Rabiul Awal 1432 H, terbitan Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK).

Sila dapatkan naskhah percuma dengan mendail talian 09-747 4082

Selasa, Mac 08, 2011

Sandarkan Pada 999.9


Sandarkan Pada 999.9 karya Zanazanzaly, disiarkan dalam Mingguan Malaysia, 6 Mac 2011, hal. 18 &19.













Karya ini lahir dari jiwa saya yang sungguh-sungguh bimbang. Saya kira, tiada medium lain boleh saya uar-uarkan kepada sekelian umat Islam & umat Melayu akan relevannya peribahasa seperti telur dihujung tanduk akan keadaan ekonomi janaan kapitalis yang kian bergoncang umpama kata Kirana "Lima tahun bukanlah tempoh yang panjang, kawan!" atau kutipan kenyataan Paul Volker, bekas pengerusi Federal Reserve Board, dipetik sebagai berkata, "we have a 75% chance of a crisis within 5 years." (Sp999.9)
Bertindak bijak dan matang dalam menangani krisis mata wang. Tukarkan lekas-lekas wang kertas kepada wang emas. Miliki paling minima 1 bulan 1 dinar demi menyahut seruan Kekasih Allah swt, Rasulullah saw yang dipetik daripada Abu Bakar Ibn Abi Maryam yang meriwayatkan beliau telah mendengar Rasulullah SAW bersabda:

"Suatu masa akan sampai kepada manusia di mana tidak ada apa lagi yang tinggal berguna kecuali dinar dan dirham." (Musnad Imam Ahmad bin Hanbal).

Selasa, Januari 11, 2011

Buka Panggung

Lama saya tidak kemas kini blog ini kerana cedera jiwa yang saya kira beroleh penawarnya akhir Oktober puyan renyah, sebaliknya digarami kembali dengan sodium dusta oleh manusia yang amat saya percaya. Kembalinya dia bukan untuk menziarahi saya, bukan seperti niat asalnya untuk memberi warna kepada Oktober indah yang saya impinkan, tapi untuk merompak lagi harta kenangan yang bersisa buat saya hingga saya muflis tanda kenangan dari pada tancapan indera. (Pernah dia pecah masuk melalui jendela kamar saya untuk tujuan yang sama. Sebagai rakyat Malaysia yang dikenali sangat pemaaf dan diajar bersangka baik maka saya fikir dia sudah insaf sebab itu saya terima hasratnya untuk pulang setelah "blah' tanpa salam. Saya anggap itulah adatnya paling beradab. Saya hormati.) Yang ada hanyalah yang kemas berkunci dalam peti minda dan bersemadi di pusara rasa. Inna lillahi wa inna ilairajiiuun. Pun, saya bersyukur kerana masih ada jiwa yang mampu pujuk lidah diam dan mata memandang sahaja selepas sepatah tanya saya di'heh'kan dengan kasar. Biarlah, barangkali waktu itu jiwanya muflis rasa. Paling utama, Allah swt mengizinkan dia. Jika tidak, khazanah saya itu tetap kekal bersama saya hingga sekarang. Semoga bahagia dia berganda-ganda dengan mengambil hak saya yang hanya itulah satu-satunya bersisa.

Malam ini sempena tarikh cantik 11.1.11 yang mahu saya kenang (1.1.11 dulu tak sempat saya kenang kerana genang terlalu kencang gagal saya empang bikin saya terlalu tak senang) dengan menggagahi diri mengubati luka jiwa dengan saki-baki kudrat yang ada dengan bual maya yang saya terima daripada siswazah universiti tempatan Tanah Melayu sebentar tadi. Sengaja saya kekalkan langgam bahasa yang digunakan sebagai rakaman masa semata-mata.


Today
[Ejaa Lizz]
8:29pm
akak ada x sajak tema mengenag jasa or perpisahan
[You]
8:31pm
nak percuma, xde
[Ejaa Lizz]
8:31pm
aii
kene berbayar ke
[You]
8:31pm
u kerja apa?
ya kerajaan malaysia pun bayar
pihak swasta pun bayar
[Ejaa Lizz]
8:31pm
sy la akak
xkn xknl kot
[You]
8:31pm
ada ratenya yg ditetapkan
mmg kenal. u kerja apa?
u grad UM masakan x tahu setiap karya penulis malaysia ada harganya?
>> aii kene berbayar ke<<>
u pergi kerja satu hari ada ke u bagi percuma sejam kudrat u?
xdekan? setiap minit u kira
samalah dengan pengkarya. setiap minit berharga setiap bait punya nilai
Ejaa is offline.8:35pm
[You]
8:36pm
saya mohon izin sembang kita ini untuk saya siarkan bagi membuktikan betapa graduan pun tak tahu menilai & menghargai karya sastera melayu (send as a message)
Your chat message wasn't sent because Ejaa is offline.

Serta-merta Ejaa Lizz pun mengeyah saya daripada senarai rakan FBnya. Ha ha ha!