Hak Cipta Terpelihara. Sebarang item yang mahu diambil daripada blog ini wajib mendapat keizinan pemilik blog. Budi Bahasa Amalan Kita

Isnin, Ogos 29, 2011

Ulangtahun Keputerian ke 38

Saya wanita kelahiran 29 Ramadhan. Kata bonda, 38 tahun lalu beliau berpuasa tanpa berbuka pada khatimah Ramadhan hingga fajar eidulfitri menyingsing demi memberi peluang kepada sebuah jiwa baru untuk memenuhi janji ke hadrat Rabbul Izzati. Tiada sesuatu hatta sebesar biji sawi yang berdaya saya balas ehsan dan pengorbanan bonda ini.

Pada tika diuji Ilahi merai hari miladi sendiri ditemani dua kawan sejati iaitu Cik Sunyi dan Kak Sepi saya sengaja menayangkan pada mereka berdua satu entri yang dulunya pernah ditujukan kepada saya. Betapa saya rasa sungguh bahagia dirai sebegitu rupa. Saya harap sangat-sangat tuan empunya blog ini mengizinkan saya mengabadikan catatannya di laman tarian tinta sukma sebagai hadiah khas sempena merdeka dan raya.

Tulisnya:
Aku jadi manusia paling bersyukur pada pagi ini kerana masih diberi kesempatan menatap bening matamu sebaik terbitnya fajar.Terhapus segala keresahan menunggu semalaman.
Maafkan aku kerana selalu memberikan duri semalu sewaktu orang lain menghadiahkan jambangan mawar di hari istimewamu, dan maafi daku jua kerana mengundang awan di hari ceriamu; kerana pasti suatu hari kau perlukan gerimis di tengah kontang sahara.

Memang selalu langit mendung, hujan mencurah dan jiwa saya lenjun setiap kali ulang tahun hari kelahiran tapi dengan membaca catatan ini meski dengan pandangan sungguh kabur saya bahagia dan terhibur.