Hak Cipta Terpelihara. Sebarang item yang mahu diambil daripada blog ini wajib mendapat keizinan pemilik blog. Budi Bahasa Amalan Kita

Selasa, Julai 07, 2009

Kamu OKU?

Lazimnya begitu, sehari sebelum Rabu selalu menjadi hari rumbu ilmu. Jiwa bumbu ragu atau minda tepu keliru berlalu dibawa beredar dek segar bau ilmu dari buku-buku yang tersusun rapi di perpustakaan mini kami. Pagi tadi sambil mengumpul data untuk memperkemaskan lagi kertas kerja pelanggan, saya berpeluang berkongsi buah fikir dan zikir dengan Rahimin di talian Yahoo serta Nimoiz dan Marjan di Muka Buku.

Banyak ilmu baharu, laju iluminasi meluru. Sungguh, saya rasakan itu adalah sesuatu. Perihal sikap dan sifat manusia memuktamadkan saya menaskhmansukhkan sebuah pepatah.

Saya mula menyedari betapa ramainya manusia kurang upaya di dunia ini. Saya juga tidak terkecuali. Ya, saya tak malu silu mengaku, saya OKU!

Apa itu OKU? Siapa OKU? Tentu ligat otak kalian menterjemah akronim itu secepat bibir menuturkan: Orang Kurang Upaya. Manusia cacat penglihatan, suara tidak kedengaran, kudung kaki tangan dan banyak lagi eceran sifat kekurangan yang berlainan dengan manusia yang sempurna sifat kejadian.

Hey jangan keliru atau buat-buat tak tahu, yang disenaraikan itu memang OKU. Kependekan kepada Orang Kelainan Upaya. Kurang upaya apanya kalau yang tak nampak mata, tak dengar telinga, tak sempurna anggota itu boleh berdikari, pandai menjahit pakaian, membaiki peralatan, gigih berniaga dan mahir melukis hinggakan tak payah terhegeh-hegeh mengemis? Tahu jaga makan pakai serta didik anak isteri pun pandai, itu dah lebih bagus daripada yang kononnya cukup sifat tapi diri dan famili sendiri terbiar melarat. Pokai saku pekerti, sengkek poket rohani.

OKU pertama itu bukanlah tandanya kekurangan apa-apa bahkan wajar digelar insan istimewa. Bukankah Tuhan sudah firmankan bahawa manusia memang diciptakan dengan sebaik-baik kejadian. Maka, tak timbul langsung soal kurang atau lebihnya ukuran upaya atau sukatan kudrat kaki tangan atau bilangan jari-jemari bukan lima tapi enam.

Mari saya cerita, saya OKU yang bagaimana. Saya pernah ke sebuah pasar raya mega dan saya amat tidak tertahan mahu menunaikan panggilan alam yang luar biasa seruannya akibat menelan pil pelawas penghadaman. Saya meluru ke tempat yang berkenaan tapi ruang itu dibarisi oleh ramai orang yang menunggu giliran. Saya lantas terpandang sebuah ruang kosong yang bersimbol kerusi roda. Saya sedar akan keadaan saya yang sangat-sangat kekurangan malah ketiadaan upaya langsung untuk menahan. Sebaik keluar, saya dimarahi pengawal kerana menceroboh ruang yang bukan hak kata pengawal itu. Saya yang masih menekan perut sedaya upaya menahan kerut dengan berjalan terhenjut-henjut,bersuara meyakinkan dia bahawa dia tidak sepatutnya memarahi saya kerana saya bukan hanya kurang upaya bahkan memang tiada upaya langsung. Cuba kalian fikirkan, apakah gelaran yang sepadan buat saya dalam keadaan demikian?

Ya, saya mengaku silap saya satu cuma, saya lupa pengawal itu rupa-rupanya OKU juga. Minda dan jiwanya terencat dalam memahami maslahah umat. Mana tidaknya, jika saya pura-pura tidak menyedari akan keOKUan saya dan dengan pekak badak, buta kelawar sahaja merempuh barisan yang berjujut menunggu giliran, mahunya geger pasaraya mega itu dengan segala keaiban yang serba berkemungkinan.

Cerita kedua, seorang pelajar PMR mengadu kepada rafik dan saya tentang bapanya yang memisahkan dia dari ibunya kerana ibunya bukan pilihan mertua. Belanja sekolah kadang kala ada, banyaknya yang tiada. Sarapan usahkan dihidang, mengidam pun haram. Menurutnya, bapa berpendapatan empat angka, sementelahan berjauhan dengan isteri yang digantung tak bertali, hari-hari misi bapanya ialah mencari pengganti dan mengisi blognya dengan entri-entri politik yang sarat isu kritik mengkritik. Itu satu, satu blog lagi dimuati puisi-puisi menagih simpati dari seorang lelaki yang kepatahan sayap kiri (meminjam judul puisi Rozais al-Anamy).

Setelah pelajar itu merintih sedih hingga mahu bunuh diri, saya katakan padanya, jangan sedih, bapa kamu itu OKU sebab dia kurang upaya mengawal nafsunya sendiri apatah lagi menyara kebajikan kamu dan keluargamu. Otaknya rencat sebab itu dia tidak dapat menunaikan tanggungjawab.

Sedang rancak berborak, kawan kami masuk ke pejabat untuk melepaskan penat sesudah dia habis mengecat. Dia selalu ambil upah mengecat pusat Kebajikan Masyarakat. Kehadiran Rosdi berupaya menyeka airmata pelajar itu hingga ketawa berjaya singgah di mukanya apabila melihat kami bercakap dengan Rosdi menggunakan tangan dan mimik muka sahaja tanpa sebarang suara kedengaran. Setelah Rosdi beredar, dialog ini berlegar:

Pelajar: Orang tu OKU ya, kak?
Rafik: Tidak!
Pelajar: Habis tu kenapa dia bercakap macam tu?
Saya: Dia diuji Allah dengan pekak dan bisu.
Pelajar: OKUlah tu namanya.
Saya: Kan, dah bagitahu siapa OKU tadi.
Pelajar: Mmm, kesian saya.
Saya dan rafik: Kenapa pula?
Pelajar: Sebab pusat pemulihan OKU macam ayah, tak ada kan?
Saya dan rafik: Kah kah kah!

Lagi parah kalau pasangan OKU bernikah. KeOKUan minda dan jiwa mereka membuatkan mereka tidak berdaya langsung memikirkan kesusahan orang lain. Pasangan OKU jenis yang tiada batang hidung lagi dahsyat apabila mereka sewenangnya menswastakan kerumahtanggaan mereka kepada ibu bapa. Dari sarapan santak ke makan malam semua ditaja. Menyewa rumah lain, khuatir wang mereka kering. Mana cukup nak bayar sewa rumah, belanja dapur, tukang masak, tukang cuci, baiklah duduk bersenang-lenang di rumah subsidi. Agh! Pedulikan saja adik lelaki dan perempuan yang sudah baligh itu tidur berkongsi bilik asalkan poket mereka tak sengkek. Pada tahap ini, pasangan OKU tersebut sudah layak miliki kad pengenalan OKU yang tercatat kalimat summum bukmum umyum.

Takut saya fikirkan kalau-kalau nanti ada lagi spesis OKU didiagnosis spesis yang gagal mengenal kekurangan diri sendiri sebaliknya sesuka hati mendabik dada mencanang kehebatan peribadi, menuding jari orang lain kurang itu lemah ini, sebab terkini, sudah terdapat bukti sejenis lagi kategori OKU yang baru dikenalpasti yakni kekurangupayaan individu mengingati berapa kali dan dengan siapa dia pernah nikahi.

Entri ini sudah khatam. Hah, jawablah... kamu OKU atau pun bukan?

4 ulasan:

bayan berkata...

OKU, jika difikir secara harfiah, itulah sahaja - kekurangan daya fizikal. Itu tidak bahaya kawan.

Yang bahaya OKU mental. Terima kasih entri yang mengujakan otak untuk lebih upaya berfikir.

zanazanzaly berkata...

bayan,
Lagi bahaya jika kita masih tidak cakna tentang usaha-usaha pemulihan OKU minda dan jiwa.

marjans berkata...

kalau kita bukan OKU bererti kita bukan insan istemewa lebih baik jadi barangan elektrik lagi baik

zanazanzaly berkata...

marjans,
barang baik, tak banyak perlukan kata-kata menarik (meminjam tag line peralatan elektrik Khind).
fe'el jelek, layak disamakan ayam itik (meminjam falsafah itik gantung).