01/06/2011 - 01/06/2012 merakam nostalgia genap dua belas purnama mengurusi Kelantan Golden Trade Sdn Bhd., sebuah taklif yang diamanahkan Dia tanpa disangka-sangka jua tak pernah diharap. Ia adalah sebuah anugerah pemakbulan impian ayahanda yang sekian lama berdoa sejak saya berstatus siswazah 'ulum as-siasah dari taman ilmu & budi (IIUM Grad '97), mengidami puteri sulungnya berbakti kepada sofwah mukhtarah kepimpinan ulama' negeri cik siti dimakbulkan Allah swt pada 1 Jun 2011 (28 Jumadilakhir 1432H) yang lepas. Dalam tempoh kurang dari 2 jam saya diminta oleh Ketua Eksekutif KGTSB melalui telefon agar bersetuju untuk menggalas taklif ini atas kapasti kefahaman dan keaktifan saya memperjuangkan mata wang sunnah dinar dan dirham melalui mata pena dan keringat serta daya usaha yang infiniti skalanya. Usai 3 purnama menjalani ujian percubaan, maka luh mahfuz memubramkan 1 September 2011 (3 Syawal 1432H) hamba Allah ini sah ke jawatannya sebagai pengurus anak syarikat perbadanan kabiiru wuzara'.
Semoga taklif ini berjaya hamba Allah swt ini galas cemerlang pada hisaban Tuhan. Mohon sekelian muslimin muslimat doakan setulus nurani agar hamba Allah swt ini tidak sesekali menggari tangan dan kaki pada agenda sendiri kecuali rencana Ilahi. Apresiasi setulus budi buat adinda seperjuangan Dr. Mimi Aminah Wan Nordin, yang dihormati lagi disegani Pn. Hjh Nik Mahani Mohamad, al-fadhil al-karim Shaykh Umar Vadillo atas jasa baik kalian menerima hamba Allah swt ini untuk turut meletakkan kembali yang hak pada puncak kemuncak, menggemilangkan semula kedaulatan dinar dirham mata wang nabawi secara mutlak sekali gus memperjuangkan sunnah Rasulullah saw yang selama ini dikesampingkan oleh para ulama' atas nama tiada daya mampu bertindak manakala umara' pula menolak atas alasan khuatir ditembak mati mossad juak bongkak. Sesungguhnya ya Rabb, hamba-Mu ini jua tiada daya mengelak maksiat, tiada upaya mengerjakan taat kecuali dengan kudrat iradat-Mu jualah duhai Rabbul Izzat. Allahuakbar!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan