Hak Cipta Terpelihara. Sebarang item yang mahu diambil daripada blog ini wajib mendapat keizinan pemilik blog. Budi Bahasa Amalan Kita

Isnin, Julai 06, 2009

Kenal Maka Tak Cinta

Akhirnya pagi tadi, indera saya mendengar, melihat, merasa, menaakul butir peri rafik yang mengakui dan mempersetujui kalimah yang telah sekian lama saya sedaya upaya menyakinkannya itu ditukarganti akan makna dan pemahamannya seperti yang selama ini difahami majoriti. Pengakuan rafik itu membolehkan saya menaikkan satu lagi takah kebenaran betapa pepatah "tak kenal maka tak cinta" yang sekian lama dituturi orang itu harus dimansukhkan.


Kebelakangan ini, ditakdirkan kami mengenal secara dekat ramai oknum-oknum yang dipuji-puja masyarakat, hakikat setelah tabir tersingkap... hish, selisih malaikat empat puluh empat! Rasa hormat ghaib lesap 'patat' (maaf atas penggunaan istilah daerah yang bagi sesetengah orang tidak enak didengar).

Sejak dulu saya berpendapat rasa suka atau cinta akan seseorang atau sesuatu menjelma sewaktu kita masih belum tahu kesemuanya tentang mereka. Saya mahu bersetuju dengan pelakon Siti Shahrizah (Eja) yang mengambil sikap 'cukup khalayak tahu seputar diri dan kerjayanya, tetapi tidak seluruh kehidupannya' kerana memang lumrah manusia sudah tidak teruja lagi dengan apa yang mereka sudah tahu seluruhnya. Jadi, biarkan sesuatu itu menjadi teka-teki barulah muka hari yang belum pasti kita ternanti-nanti dengan penuh debaran di hati.


Analogi mudah, kita diberitakan akan menerima hadiah. Kita teruja. Melihat bungkusan hadiah, gembira tak terkira. Ketika membukanya, terlalu gembira. Tatkala hadiah sudah terbentang di depan mata, cuba rasa debar dalam dada, sudah berkurangan detaknya, bukan?


Bagi saya, istilah tak kenal maka tak cinta hanya relevan dan valid haknya hanya untuk Maha Suci lagi Esa Pencipta sahaja. Tuhan Maha Bijaksana itu merahsia-misterikan banyak perkara perihal dunia fana ini dan alam ghaib milik-Nya agar manusia cerdik lagi terdidik sentiasa teruja berlumba-lumba mendamba cinta-Nya. Semakin hamba itu kenal rapat akan Allah perihal zat dan sifat, aduh nikmat. Kian akrab - jelira lazat.


Tidak sama sekali ia signifikan dalam hubungan sesama manusia atau makhluk. Manusia atau makhluk ada sifat atau tabiat yang boleh dibuat-buat. Terutama waktu berhajat atau berkehendakkan sesuatu. Jika seseorang membuat sesuatu sifat secara buat-buat tentulah ia tidak kekal kerana manusia itu pelupa. Tentu mereka tak ingat apa yang sepatutnya mereka buat-buat pada sekian-sekian waktu atau tempat. Alahai, setakat manalah sangat manusia mampu bermuslihat?


Nah, kalau semasa bercinta, semua kelemahan dan kekurangan pasangan, umpama debu yang menyinggahi mata yang akan digenyih ala kadar dan kelip-kelipkan kelopak untuk biarkan air mata mengusir debu itu. Dan, apabila sudah sah menjadi hak milik, debu sebesar zarah itu bagaikan gajah yang diseranah tak cukup lidah! Ho ho ho Ultraman berubah menjadi raksasa.


Hem, setuju dinasakhkan dengan "kenal maka tak cinta" atau pun kekalkan yang asal?


9 ulasan:

Nisah Haji Haron berkata...

Istilah "Tak kenal maka tak cinta" ini ialah sebahagian daripada ungkapan-ungkapan yang tidak sempurna. Sama juga dengan ungkapan "rezeki secupak, tak kan jadi segantang", "biar mati anak, jangan mati adat"; sebenarnya ada lagi yang tertinggal.

Saya tidak sempat membuat kajian dan mencari apakah ungkapan yang tertinggal. Namun, saya percaya nenek moyang kita orang yang hebat-hebat - khususnya pemikiran mereka. Jadi, kita kena kaji dulu, asal-usul ungkapan ini sebelum kita membuat aplikasinya.

Memang benar, di dalam banyak hal, kita pun menjadi benci kepada benda-benda yang kita semakin kenali. Samalah dengan kata pepatah, apabila jauh berbau bunga, sudah dekat berbau tahi. Pepatah Inggeris juga ada padanan seperti "Absence makes the heart grow fonder".

Semakin kita jauh ataupun tidak mengenali seseorang, kita rasa tersihir dengan 'magic'nya seseorang itu. Seperti saya sendiri agak kagum dengan Pak Samad, sasterawan negara kita. Tetapi, setelah boleh berbual-bual, sambil minum-minum kopi dengan dia, 'magic' tu semakin kurang. Namun, saya tidaklah jadi tak suka kepadanya. Saya mula melihatnya dari sudut yang berbeza.

Ungkapan 'tak kenal maka tak cinta' - ya adakalanya digunakan agak berwewenang - lebih kepada memperkenalkan sesuatu hal yang mungkin kita bina sikap prejudis terhadap benda yang kita tidak pasti dan tidak ambil tahu. Jadi, apabila kita mengenali perkara tersebut, adakalanya ia membuat kita lebih mahu mendalaminya. Itulah yang cinta yang dimaksudkan.

Ya, dalam hal mengenal Tuhan juga ungkapan ini sungguh relevan. Sesiapa yang tidak mengenal Tuhan, pastilah sukar untuk mencintai-Nya.

Lantas, retorik sebegini, wajar diperluas konteks pemikiran supaya mana-mana ungkapan itu dapat digunakan dalam ruang lingkup yang lebih luwes. Bagaimana?

Nimoiz T.Y berkata...

Saya pun begitu. Dulu pernah suka / minat kepada ramai penulis. Maksud saya, bila dah kenal secara mendalam, saya tak lagi mengaguminya. Membaca karyanya rasa dah macam tawar. Tambahan, bila kita dah tahu serba sedikit tentang peribadinya.

Saya jumpa ramai penulis yang bukan lagi tulis itu ini dalam karya. Tapi, bila jumpa, "hampeh".

Saya lebih suka ambil pendekatan, tak usah kenal baru ada rasa cinta.

Dan akhir sekali saya nak suka (ketawa) hahahahaha.

zanazanzaly berkata...

nisah & nimoiz,
terima kasih atas perkongsian buah fikir dan rasa. Membacanya, mengingatkan saya kepada kata-kata nenda saya:
kenal manusia ala kadar sahaja
barulah kita tidak kecewa
kenal Tuhan sepenuh jiwa
nescaya menjelma asmara cinta.

zf_zamir berkata...

"tak kenal maka tak cinta"

"kenal maka tak cinta"

boleh tak saya kekal tidak mengundi?

sebabnya saya fikir begini, saya bukan ahli linguistik, maka dari sisi semantiknya saya gagal melihat lapis kedua, ketiga atau lapis ketujuhnya..(akibat malas membuat kajian, hahah)

namun, jika dianalisis dari skop literal, saya boleh saja bersetuju untuk mengundi kedua-dua ungkapan di atas.

dua ungkapan tersebut menerbitkan dua entiti yang berlainan, maka secara logis, bertentangan dan perbezaan tersebut menghasilkan sisi pro dan kontra.

walaubagaimanapun, sebagaimana kak nisah, saya kekal berpendapat bahawa ungkapan-ungkapan yang dicipta oleh nenek moyang kita sebenarnya mengandungi ilmu yang tidak kita sedari.

pisang emas misalnya, boleh memulihkan mabuk, maka sebab itu ia dibawa belayar.

secara artifisial, boleh saja kita menolak ungkapan-ungkapan yang kita tidak setuju dengannya.

walaubagaimanapun, ungkapan tersebut sebahagian dari sisi sejarah kita, mahu atau tidak, untuk mengenali diri dan sejarah bangsa kita, lihat saja dunia sastera yang mana bangsa kita kaya dengan ungkapan sebegini.

oleh yang demikian, untuk mengambil sikap tidak bersetuju secara total, saya mengelak kerana belum benar kenal dan cinta dengan ungkapan tak kenal maka tak cinta ini, hehe.

zanazanzaly berkata...

zf_zamir,
t/kasih sudi kemari. alang-alang datang, rugilah tak mahu mengundi, orang kalut di Manek Urai malam ni. he he he

Rahimin Idris berkata...

aku setuju dengan kau iznan. bukan penulis saja. ramai manusia yang pelik dan sakitkan hati saja. tapi ramai juga yang nampak macam entah hapa2, tapi baik rupanya.

istilah tepat 'tak kenal maka tak tahu' kot. dah tahu senang la nak dekat atau jauhkan diri. macam budu dan belacan. makan pedas2, sedap taw!

Nimoiz T.Y berkata...

Keh keh keh...

zf zamir. Kata bukan ahli linguistik. Tapi tinggi je tu tulis.

Rahimin. Betul. SETUJU 100%. Macam saya dengan rahimin, pernah kenal sekitar tahun 2002 2003 kalau tak silap. Tapi dalam emel je. Tak kenal mendalam. Kesannya, bila baca sajak rahimin yang sesekali tersiar, dapat hayati dengan mendalam.

Terutama kalau kita menjadi kayu

zanazanzaly berkata...

rahimin,
tak kenal maka tak tahu
dah tahu, makin berbulu
dah tu, mulalah nak pilih bulu
kalau kau pilih budu,
tentu nimoiz gaulkan dengan nasi kerabu.
silap hidu, hidung zamir pula sebu.
Wa akhiru...haru biru.

zanazanzaly berkata...

nimoiz,
setuju. baik hadam sajak rahimin diam2. bila dah tahu dia pandai main gitar dan bagi alasan dia tukang kayu sebab itu dia tak mahu mengajarku, aku pun tahu dan mahu menyanyikan kamu lagu Yuna... yang sebenarnya..yang sebenarnya la la la