Hak Cipta Terpelihara. Sebarang item yang mahu diambil daripada blog ini wajib mendapat keizinan pemilik blog. Budi Bahasa Amalan Kita

Isnin, November 09, 2009

091109

Saya sentiasa suka kepada semua benda kapit seperti nombor kapit, nasi kapit dan tak ketinggalan keseronokan saya ketika bermain haji (dam) kapit. Kebetulan tarikh hari ini bernombor kapit, maka saya teruja mengabadikannya sebagai entri.

Nombor kapit ini saya sedari ketika mengisi tarikh pada borang tempahan
kad undangan perkahwinan adik angkat saya. Hah, tiba-tiba sahaja ia buat saya terkenangkan peristiwa dua bulan lepas. Saya berhias serba ringkas setia menggenggam kemas seberkas janji seraya menggalas sepikul amanah, menghala ke masjid bermenara kapit berkubah emas.

Sebak mengilas namun pantas saya elak supaya tidak terbabas. Ah, aksi jiwa sayakah yang culas, atau reaksi gelisah jiwa separuh lagi nyawa saya yang bertempias?

Pelanggan di hadapan pegun melihat saya tekun meneliti kertas berlakar lokasi tempat kenduri. Jelas arca masjid bermenara kapit berkubah emas membias. Gulungan badai dalam dada ganas menghempas tubir rasa.

Berasa ada sesuatu terbuku di kalbu, saya meluru ke pintu memandang langit kelabu sarat hujan. Tiba-tiba timbul rasa kesian memikirkan tebakan songsang peramal bintang kononnya perempuan naungan Alpha Scorpii (Scorpio) lazimnya sukar menyembunyikan perasaan.

Bukankah insan itu diciptakan Tuhan dengan sebaik-baik kejadian? Dungu ke apa, tak semena-mena mahu membuka pekung di dada?

Ha ha ha. Saya pangkas perdu songsang itu dengan sekali libas. Saya wanita berjiwa langgas. Segera saya tutup pintu meski saya tahu langit kelabu sarat hujan di luar itu sedang meminta haknya untuk bertamu. Waras mengalih fokus saya membuka jendela kehidupan untuk bersetentang dengan terik matahari cabaran meski dengan mata terpejam dan jiwa remuk redam.

Biar sedikit sakit terkepit engsel pintu janji berkarat khianat, demi sebuah amanah rela saya mati menjulang janji daripada hidup berkalang dosa mengkhianatinya kerana saya yakin seyakin-yakinnya bahawa segala rasa milik saya ini bukan boleh dibuat-buat.

4 ulasan:

rahimin idris berkata...

ko tak nak buat nama kapit? ada sorang selebriti malaysia yang nama dia hampir jadi nama kapit. NURUL SYUHADA NURUL AIN. kalau dia tambah lagi nurul kat belakang tu, terkapit la dia.

amiza khusyri berkata...

Wanita.

Macam mana pun besar jiwanya, kuat hatinya, tetap dia memerlukan tempat perkongsian.

Bukankah wanita itu rusuk?

Dan perkongsian itu baik, kerana saya kira melegakan. Seperti tulisan kak yang mahal2 ini. :)

zanazanzaly berkata...

Rahimin,
Cantiknya kamu 'spin' bola ping-pong tu. Nama kamu juga cantik untuk dikapit tapi kena bayar royalti "sipi-sipi" kepada tuan sheikh rahimidin sikit.

zanazanzaly berkata...

Amiza Khusyri,
Wuish memang sah kena kongsi. Mana syok kalau kita sedut sup gear box pakai 'peleting' sebesar lubang hidung Usop Sontorian sorang-sorang. Inikan pula hirup sup tulang rusuk Teringin nak 'serok' sup, jom lah. !