Hak Cipta Terpelihara. Sebarang item yang mahu diambil daripada blog ini wajib mendapat keizinan pemilik blog. Budi Bahasa Amalan Kita

Isnin, November 30, 2009

Dan Korban Habil Pun Diterima

November, dua puluh tujuh. Genap sebulan sehari ulangtahun yang ke-36 saya dipinjamkan ruh sesudah bersyahadah (alas tu birabbikum qalu bala shahidna). Tanggal itu juga seluruh ummah menyambut Hari Raya Korban.

Irsyad dan Isyraq menemani saya dan rafik ketika kami berkongsi peri teman yang mengutusi bingkisan buah minda pada tanggal 26 November sekitar jam 12:32:50 malam.

"memahirkan horizontal, nescaya akan bersatu dengan vertikal. Justeru vertikal itu ada dalam kalbu. Oleh itu, pilih pendekatan pemelihara bukan penjaga."

Dua hari sebelum tashrik, ketika langit bermanggar tengkujuh, umpama Habil setulus jiwa mempersembahkan seekor kambing kesayangannya sebagai korban ke hadrat Rabbul 'Azim, saya juga dengan penuh kehambaan menyerahkan dua takar madu saum 9 dan 10 Zulhijjah yang saya hadiahkan pahalanya kepada belahan nyawa beralas munajat kepada Tuhan agar memberi tanda kepada tindakan saya yang mahu menuruti kata-kata pujangga yang tidak saya kenali sama sekali.

Lama benar pesanan pujangga yang hanya dinamai Anonymous itu mengakrabi nurani: If you love something, let it go. If it comes back to you, its yours forever. If it dosent, then it was never meant to be.

Tiba-tiba sahaja poster ini tercampak dari langit ke atas ribaan rafik. Serentak kami mendongak, laksana Khawarizmi dan Biruni yang mengintai dan cuba mentamsil bicara-Nya untuk menyelesaikan masalah ummah. Panas nafas adawiyah jelas bersebati dengan Pencipta ruh ketika rintik-rintik jernih di langit jauh bergentaian menghiasi manggar-manggar tengkujuh.


Petang tenang bersaksi, Allah Maha Kuasa lagi Saksama menganugerahi saya satu tanda meskipun sangat kecil namun ia amat bermakna setelah genap sebulan saya ber'uzlah meminta isyarah apakah saya di pihak yang benar atau bersalah?

Ruang antara jari saya yang kosong, segera diisi rafik untuk turut sama berkongsi rasa. Kami sama-sama mengempang tubir sukma ketika mata hati kami nyalang memandang api tanpa asap menyambar korban persembahan Habil.




2 ulasan:

isyraq berkata...

Korban Habil dah diterima, Korban Ibrahim a.s juga sudah diterima..maka terkorbanlah "keakuan" diri selain diriNya. Terfanalah perasaan kasih sayang manusiawi Ibrahim a.s kepada anaknda Ismail a.s, terzahirlah kasih sayang Rabbani Ibrahim a.s. Justeru kasih sayangnya bukan lagi berumbikan kemanusiaan tetapi sebagai Khalifah Tuhan di muka bumi. Di tebarkan cintanya dengan Agama..agama itu tanda cintaNya. Terbinalah Kaabah sebagai Tugu Cinta..bukankah cinta itu menuntut pengorbanan?

zanazanzaly berkata...

berkorban - terkorban dalam mengejar cinta Tuhan memang menguntungkan. mangsa korban cinta badani sesama insan fuhh amat memeritkan. Sabar dan redha >> penawar yang sedang menanti kun fayakun mengambil giliran.