Hak Cipta Terpelihara. Sebarang item yang mahu diambil daripada blog ini wajib mendapat keizinan pemilik blog. Budi Bahasa Amalan Kita

Selasa, Disember 01, 2009

Aku Rindu Rahmat-Mu

(Sdr, Husain Merah (019-2815971, 01209891936) mengetuai kugirannya mempersembahan lagu "Dara Pujaan" sempena majlis hari ulang tahun kelahiran Ketua Wanita UMNO Sungai Besi, pada September lalu.)

Pagi hingga petang saya di pejabat keseorangan. Teman sekerja ada hal masing-masing. Selesai membereskan semua kerja-kerja harian dan tempahan, saya mengambil peluang mengutusi emel kepada seseorang bertemankan lagu Harum Subur Di Hati yang jelas bergema dari kotak muzik jiwa. Waktu itulah saya dikunjungi seorang lelaki istimewa bekas pelajar muzik, Sekolah Pendidikan Khas Braille, Brickfield dan graduan fakulti Sastera UM.

Syukur, merah mata dapat saya sembunyikan. Namun ah, manusia istimewa ini tetap dapat mengesan pilu yang menyerkupi jiwa saya. Usiknya, "hujan sampai ke dalam rupanya. Ingat kan, saya sahaja yang basah pakaian, awak juga basah perasaan."

Sembang petang membongkar rahsia jiwanya yang juga menyenangi puisi. Saudara Husain Merah mendeklamasikan puisi yang dikarang sewaktu kematian isteri pertamanya akibat kanser payu dara.

Arwah Rohana Abdul Rahman merupakan mantan pensyarah Uitm Shah Alam. Perkenalan dalam penerbangan ke Sabah membawa mereka ke jinjang pelamin bukti cinta suci tautan dua hati di antara manusia serba ada dengan golongan kurang upaya.

Bait-bait puisinya berjaya menghiburkan rawan sukma saya yang bersendirian mencantumkan daun-daun pilu pecah sepi dalam gerimis yang berlanjutan dari malam semalam.

Jurai-jurai airmata
kini ia tumpah
tergenang di laut malam

melontar aku ke ranjang pedih luka
pahit-pahit sepi datang bercumbu
bak pengantin baru diketemukan seorang kekasih
lalu engkau pergi
setelah meninggalkan segumpal racun
kuseret segala kebosanan ini
akan kutanam di bibir pantai
agar ombak datang membunuhnya.
Kekasihku Rabbi,
aku rindu rahmat-Mu
harapan moga gugurlah sebutir mentari
membelah mendung menjilat kabus
ke ribaanku bersama fajar merah.

Nukilan: S. Rohana

2 ulasan:

isyraq berkata...

emmm...sepi itu indah..kerana ianya persis sebuah kolam tenang di tengah pergunungan yang diintai cahaya bulan dari celah dedaunan. ia menjadi takungan rindu, harapan, wadah bermadu kasih antara Khaliq dan insan.

zanazanzaly berkata...

isyraq,
saya kurang setuju 'sepi itu indah'. bagi saya diam itulah yang indah. sepi sangat saya musuhi kerana ia selalu menyiat-nyiat jiwa saya tanpa belas. Oleh itu, saya selalu bersetuju apabila diam hadir menggegerkan indera dan jiwa.