Hak Cipta Terpelihara. Sebarang item yang mahu diambil daripada blog ini wajib mendapat keizinan pemilik blog. Budi Bahasa Amalan Kita

Sabtu, Mei 23, 2009

Sejuta Bahagia

Alhamdulillah, saya berjaya menghadiri dan mengkhatami Perhimpunan Penulis Muda Nasional 09 dengan sejuta bahagia. Tak pernah disangka-sangka saya dan rafik bertemu semula dengan seorang rakan sekuliah selepas 12 tahun berpisah. Terima kasih Wan, sudi menjemput kami sejurus menuruni sang kunang-kunang.

Ah, tuah sekali lagi mendatang dari jalan yang tak disangka-sangka, kami ditumpangkan oleh lelaki Perak ke Ayer Keroh, Melaka. Entah mengapa sejak awal remaja saya sentiasa tidak dapat menstabilkan detak jantung sendiri setiap kali berdepan dengan pemuda Darul Rizduan.

Selain dapat ilmu dan pencerahan, saya juga sempat menyambut banyak tali silaturrahim yang dihulurkan. Pertama kali bersua dengan Hafizah Iszahanid dan Shaidah Shafie sangat mengujakan.

Tak mungkin luput dari ingatan, saya berpeluang menari di gelanggang ping-pong pada setiap petang sepanjang perhimpunan bersama rafik tersayang. Kehebatan permainan Dr. Takiyudin (pemuda Machang, graduan perubatan Universiti Al-Azhar) dengan regunya Dr. Lee Wai Wai dari Pejabat Kesihatan Kuala Pilah tangkas melibas kenangan saya ke gelanggang Kejohanan Ping-Pong Kebangsaan 2004 di Seberang Prai, Pulau Pinang.

Dan sebelum PPNM09 khatam, saya berjaya membuatkan seseorang bersedia menyahut cabaran saya untuk bertarung di gelanggang pada saat matahari petang membiaskan kilau keemasan mengocak-ngocak riak air di kolam
.

Tiada ulasan: