Hak Cipta Terpelihara. Sebarang item yang mahu diambil daripada blog ini wajib mendapat keizinan pemilik blog. Budi Bahasa Amalan Kita

Rabu, November 11, 2009

Berjumpa Ibu Mertuanya

Seusai berdhuha, saya ditegur seseorang yang agak pelik berbusana. Seraya melipat telekung dan sejadah, saya pandang dia atas bawah. 'Perempuan ini macam aku pernah lihat. Tapi di mana ya?' Indera mula bertanya minda.

Dia yang bersanggul "Matterhorn" sekali tenung serupa sarang lebah gunung bertanyakan seputar kad undangan perkahwinan yang paling murah. Secalit senyum pun tidak terlukis di wajah.

Ada rasa yang mula terbit dari dalam jiwa saya apabila suasana di Noble Art seperti baru sekejap tadi sekujur mayat dibawa pergi.

Saya cuba ketawa. Tiba-tiba wanita berkaca mata berbingkai hitam tebal itu menyerigaikan giginya. Seriau bulu roma saya.

Seram sejuk dari dalam badan memaculkan perkataan, "Masyaallah, patutlah puan payah senyum."

Dekah tawa saya memalingkan kepalanya kanan kiri. Menyedari tiada sesiapa pun di sekeliling kami, dia pun turut ketawa sampai sepet mata.

"Kaulah satu-satunya orang yang faham kenapa aku selalu sahaja masam dalam itu filim" Garau nyaring suaranya meyakinkan saya, dia memang orang yang pernah saya lihat itu.

"Hey, mestilah puan. Keselamatan perlu sentiada dijaga. Bukannya boleh kira, zaman puan ke, zaman saya ke atau zaman mana sekalipun. Kalau tak, masakan hari-hari keluar berita. Penjara pun jarang kosong. Besar janggut udang pun mereka ragut, inikan pula emas penuh mulut!"

Dia ketawa hingga terbatuk-batuk sambil menepuk-nepuk bahu saya. Saya cuma mengangguk-angguk. Kemudian dia tunduk memilih kad undangan paling murah setelah saya hulurkan album koleksi kad undangan kategori ekonomi.

"Untuk siapa?"

"Siapa lagi kalau bukan si Sabariah itulah."

"Hah! Bukankah dia sudah menikah dengan Doktor Ismadi?"

"Ya. Tapi aku sudah suruh dia ceraikan anakku."

"Bukankah dia doktor mata? Kalau ahli muzik, seantero buana tahu, puan alahan."

"Sebab dia doktor mata yang singkat akal. Dia pergi 'operate' mata si Kasim Selamat itu secara percuma apa pasal, dah tahu biayanya mahal? Ismadi minta aku 'top-up'kan modal hospital. Ish, tak kuasa aku layan. Nama aku dah dipanggil untuk ke Mekah."

Terkedu saya. Hilai tawa mati serta-merta. Mati kata. Lumpuh tanya. Dalam hati berdetik 'makcik ni dah betul-betul insaf gamaknya, lepas dia minta ampun dengan Kasim dulu.'

Dia jungkit pelupuk matanya melalui kaca mata berbingkai hitam tebal lalu menyoal, "Kenapa senyap? Katakan saja aku ini manusia paling kedekut dan jahat, macam yang Kasim Selamat cakap; kenapa kau dilciptakan sebagai manusia, kan lebih baik kalau Allah ciptakan sebagai haiwan!" Herot-berot mulutnya meniru tutur bekas menantu.

"Mmm, tak. Saya tak nak tuduh puan begitu. Sebab saya suka dialog yang puan ucap kalau dah kau, aku tak suka, keturunan kau pun aku tak suka. Itu tanda paling konkrit puan bukan hipokrit."

Mendengar komen saya, makcik itu tersengih bangga. Sepuhan emas sederet bertabir sepasang bibir menyilaukan pandangan saya.

Dia pun memberi alasan mengapa dia membohongi Kasim tentang kematian Sabariah atas dasar mempraktikkan kaedah siasah syar'iah. Dia sebenarnya mahu memotivasikan Kasim supaya berubah menjadi kontraktor bukan sekadar buruh binaan.

Dia tipu pusara Sabariah, kerana mahu ahli muzik tersohor itu turut membaca al-fatihah kepada gemulah ibu pakcik yang datang menziarahi kuburan.

"Jahil ke apa si Kasim tu, takkan tak tahu baca nama tertera pada nisan pusara?" Spontan makcik itu mengomen buat saya segera mencapai penggaru kalbu.

Dia kelentong mengatakan anak Kasim sudah diserah kepada orang lain sebab dia tahu Kasim tak mampu menyara anak sendiri dengan wang halal selagi bekerja kuli. Sementelahan dengan berbalik kepada kerjayanya dahulu, bertambah parahlah budak itu diseksa api neraka kerana berdarahdagingkan wang haram hasil nyanyian.

"Murni sekali pekerti mantan ibu mertuanya Kasim Selamat. Saksama, penuh hemah dan tepu hikmah puan mengamalkan kaedah siasah syar'iah meski sedikit kelihatan seperti tidak mengendahkan kaedah fekah dan syariah." Tukas saya cuba merangsang dia bercerita.

"Hah, tahu pun kau. Malangnya...", sambung Nyonya Mansur itu panjang lebar, "Kasim tu memang akalnya kurang. Ceh, mengagungkan cinta dan kesetiaan, konon. Heh, sejak zaman Jepun, turun ke zaman Firaun, Alias Conggo pun tahulah kalau tidak disebabkan Sabariah tu cantik, berharta, tak inginnya si Kasim tu nikahi anak aku."

Nyonya Mansur mohon berundur selepas menghulur sebahagian daripada harga kad undangan sebagai cengkeram.

"Sebakhil-bakhil aku pun, aku tak khianat orang. Janji aku tepati."

Saya masih tak mampu berkata apa-apa sementelahan terpana melihat wang kertas hulurannya yang berlainan sama sekali dengan rupa cetakan wang yang lazim saya bertransaksi masakini.

"Yang kau kaku macam tok pekung Siam tu kenapa? Wang aku tak laku, ya?

Saya cuma kelip-kelipkan kelopak mata. Lama.

Dia selak selendang di bahu lalu menggagau tangan kanan ke dalam baju kebaya nyonya berwarna hitam bersulam benang emas. Dari arah kiri di bawah bahu, terserlah segumpal not-not kelabu.

Kilas jelingan saya dirakamnya dengan dengus.

"Cuba kau fikir, apa si Kasim buat pada anak aku lepas bernikah? Ada kau lihat dia imamkan Sabariah solat berjemaah? Ada tak babak dia membaca atau dia mendengar isterinya mentasmik masyhaf? Bukan hanya Allah yang Maha Tahu itu tahu yang si Kasim tu ajak isterinya buat maksiat. Tak tahulah aku kalau penonton tidak beristighfar melihat nafsu serakah Kasim yang buas meliar."

Saya ambil lima keping not kelabu daripada segumpal tebal itu. Sekeping resit bukti jual beli saya berikan kepada wanita iras primadona Mak Dara.

"Tiga hari lagi siaplah kadnya. Nak saya poskan ke Singapura atau puan akan datang semula?" Soalan saya cuba memastikan yang alamat tertera pada kertas tempahan itu wujud seperti wujudnya Nyonya Mansur di hadapan saya kini.

"Kau tahu tak, lepas Chombi balik Pulau Pinang, maknya telefon aku. Katanya dia sendiri tak puas hati dengan sikap Kasim yang terlalu emosi. Dia berfikir banyak kali samada mahu nikahkan Chombi dengan Kasim yang hanya tahu pentingkan diri sendiri."

"Hah, filem tu tak tamat di situ?"

"Kau ingat, aku ni jahat sangat? Bukankah aku segera minta ampun dengan Kasim selepas terbongkar rahsia kubur Sabariah tiada. Orang tak tahu betapa aku sangat kasihankan Chombi dan maknya yang senasib dengan aku. Apa perasaan kau orang jika berstatus ibu tunggal hartawan beranak perempuan tunggal berparas menawan. Datangkah perasaan untuk kau nikahkan satu-satunya anak dara kau orang dengan lelaki yang memakan hasil nyanyian sebagai sumber pendapatan. Heh, hairan. Di mana kau orang letak iman dan ehsan? Lu pikir la sendiri!"

Dia beredar sambil melibaskan selendang sutera berona tembaga sebelum sempat menjawab pertanyaan mata saya. Hanya luahan kekesalannya yang terngiang-ngiang di telinga saya.

"Baru saja Chombi mahu merasai cinta kedua, Kasim yang terlalu beremosi itu mencucuk pula mata yang sudah pulih seperti sediakala dengan garfu perhiasan. Tragisnya bukan kepalang sementelahan menelan kos rawatan pembedahan dan rawatan susulan. Sengaja dia mensia-siakan usaha dan tenaga Doktor Ismadi. Wang ringgit dibazirkan sesuka hati mak bapaknya. Sebab itu Tuhan ingatkan, kemiskinan membawa kekufuran, kau faham? "

Indera saya juga merakam suara jiwa mantan mentua Kasim yang kepiluan.

"Mak Chombi merintih hiba terkenangkan betapa tergamaknya Kasim merelakan Chombi bersuamikan dirinya yang buta meski Chombi akui dia tetap bahagia walaupun Abang Kasimnya kembali berstatus kurang upaya."

Apa saya hendak kata sedangkan wanita itu sudah tiada di depan mata. Nombor telefonnya pula tidak dapat dihubungi kerana menggunakan kod nombor panggilan yang lama ke negara Singapura.

Bagaimana ya?


3 ulasan:

isyraq berkata...

Seni itu suatu yang abstrak (mohon dibetulkan jika silap), maknanya berbilang bergantung pada aqal yang memandang. bila aqal dikelabui perasaan maka pandangannya akan condong pada nilai perasaan. Ternyata ramai yang melihat hasil seni "Ibu Mertuaku" dari pandangan perasaan anak yang mabuk dalam percintaan. Rasanya sedikit yang melihat dengan pandangan Ibu yang memendam kasih sayang pada si anak. Sedikit pula yang melihat dengan pandangan Iman dan nilai Kasih Sayang Tuhan. Teringat beberapa bait lagu yg dialunkan seputar 90an..pandangan mata selalu menyimpang, pandangan mata selalu tersalah, pandangan nafsu selalu melalu, pandangan hati itu yang hakiki..bila hati itu bersih.

zanazanzaly berkata...

isyraq,
mabruk atas ulasan yang molek bentuk. Saya setuju benar pada premis sdr/i yang ini: "Rasanya sedikit yang melihat dengan pandangan Ibu yang memendam kasih sayang pada si anak. Sedikit pula yang melihat dengan pandangan Iman dan nilai Kasih Sayang Tuhan." Teringat saya kepada sebuah puisi nukilan rafik berjudul "Minoriti yang dibisukan".

Musteeka berkata...

Zana, indahnya komentar bersahaja dan kesinambungan cerita itu.... Menggigil satu badan aku menahan gelak, nasib baik gumpalan tembakau tak tersembul dari mulutku....