Hak Cipta Terpelihara. Sebarang item yang mahu diambil daripada blog ini wajib mendapat keizinan pemilik blog. Budi Bahasa Amalan Kita

Rabu, November 18, 2009

Hantaran Perasaan

Musim banjir tidak menghalang orang hadir meraikan majlis perkahwinan. Saya juga tidak terkecuali menyertai rombongan yang mengusung pahar-pahar hantaran meskipun terpaksa meranduk air paras betis, majlis tetap berlangsung berserikan wajah-wajah yang manis. Mujur 'anak kasa' berisi agar-agar marmar stabil dipegang tangan kanan sewaktu tangan kiri saya kelam-kabut membuka payung untuk kepala saya yang alahan setiap kali dicucuri renjisan awan. Terfikir saya alternatif pemberian hantaran pada musim hujan begini amatlah signifikan jika dipraktikkan seperti yang dilakukan oleh seorang kenalan saya di talian yang mengirimkan sebuah hantaran perasaan ke kantung emel saya pagi kelmarin.

Ternyata hantaran itu berjaya mengepakkan sayap mulus kupu-kupu rindu berterbangan riang di ujana sukma. Sayup bergema lagu rindu terbelenggu, lagu kasih terpenjara dalam Cerita Cinta Kita, melatari suasana.

Tulis kenalan maya saya begini, hamba menyusun langkah duduk bersimpuh di tepi jendela berjeriji menanti setitis hikmah, ... serangkap puisi sulaman hati Syeikh Abu Madyan (dipetik daripada kitab Haqaiq an Tasawwuf oleh Syeikh Abdul Qadir Isa) sebagai ganti;

Katakanlah kepada orang yang menegah Ahli Wajd bertawajud
Apabila kamu tidak mengecapi erti minuman cinta, tinggalkanlah kami
Apabila roh sudah bergetar rindukan pertemuan
Ya... jasad akan melompat-lompat wahai si jahil tentang makna.

Tidakkah pernah kamu melihat burung di sangkar... wahai pemuda
Apabila mengingati negeri dia rindu kampung halaman
Dia menghilangkan kerinduan dengan berkicauan... bukan dengan hatinya
Lalu anggota bergetar pada perasaan dan makna.

Begitu juga roh-roh para pencinta... wahai pemuda
digoyangkan kerinduan menuju alam abadi
mampukah kita memaksanya bersabar sedangkan dia merindui
Adakah mampu bersabar bagi mereka yang menyaksikan erti kerinduan
Wahai pemandu para perindu, bangkitlah dan lagukanlah secara berdiri
lagukan kepada kami dengan nama kekasih dan rehatkanlah kami.

Hah! Senang bukan, kalau semua hantaran boleh diemelkan?

2 ulasan:

isyraq berkata...

Zana..
memang senang kalu semua dapat hantar melalui emel..risau pulak..kalu semua hantaran kahwin di hantar melalui emel, nanti bakal ibu mertua kata...hang tunggulah sana..nanti aku emelkan anak dara aku kat inbox hang.. :D

zanazanzaly berkata...

isyraq,
hey, semuanya bukan mustahil sekarang. Saya pernah dikongsikan pengalaman oleh sesesorang yang menerima kiriman lemang melalui vodafone ke "inbox"nya.