Hak Cipta Terpelihara. Sebarang item yang mahu diambil daripada blog ini wajib mendapat keizinan pemilik blog. Budi Bahasa Amalan Kita

Ahad, November 08, 2009

Jom Bekam!

November 8, sempena ulang tahun keputeraan adinda Ridzuanzanzaly yang ke-29, saya mahu meraikannya dengan berkongsi kebaikan yang telah saya pengalamankan. Semoga ruh adinda saya yang terlebih dahulu disayangi Ilahi bahagiatenang berterbangan bagai burung hijau disisi-Nya. Al-fatihah.

Sabtu minggu lepas (bukan semalam), saya mencuba sesuatu yang amat saya geruni. Ish, melihat jeli merun berbuih likat dalam cawan mini yang tercacak atas kepala, eeeeeiiii bergerunyut seluruh tubuh. "Panah sejuk bate tubuh srupo nok deme kuro. Nok pite semeta tulo!"


Selepas solat asar di rumahnya, saya diminta melakukan adegan buka-bukaan. "Kenaling" bukan main! Kemudian saya diminta duduk bersila dan membacakan ummul kitab serta ayat kursi. Saya mula rasai kulit bahagian pinggang kanan saya kembang dan terik serupa doktor balut lengan dengan kain kelabu yang dikembungkan semasa mahu menyukat tekanan darah.

"Sakit tak?" Suara kakak pembekam mengejutkan saya yang sedang dalam ketakutan. Gagap saya menjawab "Tak sangat. Dah cucuk, kan?" Cewah, konon be
rlagak macho lah saya untuk sembunyikan ketakutan. Gigil dalam diri yang bersembunyi sejak tadi akhirnya dia jumpai. Kakak pembekam itu senyum sambil menggosok-gosok belikat dan bahu saya.
"Bertenang. Tak usah gobar. Ingat kita nak berubat, nak buang segala yang jahat. Ikut cara Rasulullah saw buat."


Rupa-rupanya, kakak itu baharu menanda titik yang dikenalpasti dengan
mengkedapudarakan cawan bekam di kulit bahagian pinggang kanan saya agar darah berkumpul dan senang disedut keluar. Ceh, buat malu saja saya menggeletar bukan main lagi tadi.

Tapi saat dia betul-betul meliangsenikan belakang saya bertalu-talu dari pinggang naik ke bahu dengan pen berjarum, saya tangkupkan
kedua-dua telapak tangan saya kejap-kejap, saling bergenggaman sambil membayangkan wajah seseorang yang sedang senyum tenang. Saya berlunjur, tegakkan badan, mata dipejam, sedaya upaya menarik nafas dalam-dalam melalui hidung dan melepaskan semuanya menerusi kerongkong. Saya ingat pesan jurulatih karate saya dahulu, teknik tarik-lepas nafas sebegitu berkesan untuk menenangkan minda dan jiwa serta-merta.

Tanpa leka, suara rafik terngiang-ngiang mengingatkan supaya saya basahi bibir dengan Ayatul Kursi, ulang-berulang sebelum, semasa dan selepas operasi hijrah saya bermula. Na'am! Saya sedang melakukan transmisi tazkiyatul-nafs melalui penambahbaikan kualiti jiwa.

Saya memilih amalan sunnah Rasulullah saw sebagai penanda bermulanya acara memuatmasuk gigabait positif ke dalam jiwa baharu saya secara jasadiah. Secara rohaniah, tak perlulah saya ceritakan kerana saya mahu entri ini berjudul jom bekam. Ringkasnya begini, apa yang saya tidak sukai mahu pun yang saya takuti (orang bandar di desa saya sebut 'kuwong') selama ini, itulah yang saya akrabi kini.


Bapa sepupu rafik, pencandu kitab-kitab perawatan bahari dan kontemporari sudah banyak kali mengajukan saya berbekam memandangkan tubuh saya sudah acapkali memberi amaran melalui mata putih bahawa gastrik dalam diri sudah hilang waras hingga tanpa belas ia membotarawana, meratah darah dan memerahpulas taufan dalam ulu hati saya sesuka hatinya. Sementelahan saya memang tak betah berpantang makan.


Oh milo beng, wahai air tebu, nikmatnya engkau. Aduhai pisang nangka, cempedak, nasi lemak sedapnya engkau!


Habis seluruh belakang saya berlubang-lubang merah kecil yang sederhana aliran darahnya memenuhi cawan-cawan mini sebanyak 19 biji dan untuk cawan yang ke 20, saya diminta meniarap selepas rambut dicukur kira-kira 3x3 inci persegi.

Ketap! Ketap! Ketap! Sempat saya kira, lebih 20 tusukan pen berjarum mencium kulit kepala, erang diam saya mula bersuara. Wuish, yang ini paling tak tahan. Aduh! Bertitik juga ia setelah segigihnya saya mengempang genang. Makhluk merun kehitaman yang pada mula cair mengalir, mengental ser
ta-merta dan berhenti keluar.

Oh ho!
Kondisi lemak di dalam darah saya tinggi rupanya, (maaflah wahai darahku, aku tak tahu). Akhirnya takungan mini telus pandang itu dipenuhi buih-buih jernih. Gas-gas panas patogen itu pun kelihatan melikat. Masyaallah! Mujurlah saya bertindak pada masa yang tepat. Jika tidak, sebelum entri ini sempat dibuat, entahkan saya kini sudah diam dalam lahad! Ha ha ha.

Gelak yang saya paksa beraksi ketika melihat rakaman foto acuan mini telus pandang yang sedang menakung jeli merun berceretet menghiasi belakang saya sedikit berjaya menegakkan kembali lutut saya yang bergeletar kekenduran sewaktu bangun hendak mengutip sisa-sisa buangan yang perlu saya balik tanam.

Malamnya, lena saya pulas seusai mandi air panas. Dinihari pula, saya tersedar dengan sekali sahaja deringan penggera dari telefon genggam. Keesokkan hari, saya membuka mata dengan syahadah dan doa bangun tidur bersungging senyuman kerana merasai tenang di jiwa dan minda serta ringan seluruh badan terutama bahagian kepala, tengkuk, belikat dan labu betis.

Isnin berikutnya saya berpuasa sunat seperti kelaziman. Hey... saya ditakdirkan sempat berpuasa sehingga jam 6.15 minit petang sahaja. Bagaimana saya nak sedar, simptom-simptom pra menstruasi tidak lagi saya alami.

Alhamdulillah ya Rahim kerana mengizinkan hamba-Mu mempraktikkan hadith ini:
“Tidaklah aku melewati sekelompok malaikat pada malam aku diisra`kan kecuali mereka berkata, Wahai Muhammad, suruhlah umatmu berbekam.” Riwayat Ibnu Majah (3479), Kitab Pengobatan, Bab Bekam. Disahihkan al-Albani dalam Shahih al-Jami` (II: 5671), dan Takhrij al-Misykat (4544).

4 ulasan:

amiza khusyri berkata...

Saya pernah berbekam dulu, dan begitu mengesankan. Segar bugar, ringan, terang mata, paling seronok - rajin dan semakin kuat jiwa.

Kita percaya kepada sunnah, meskipun kadang2 ada perkara yg perlu dikorbankan, contohnya - rambut! Hehe

Apapun, hikmah sunnah tidak pernah dan tidak akan diragui.

zanazanzaly berkata...

Amiza Khusyri,
terima kasih atas pengalaman yang sudi dikongsi.
Mmm hikmah amalan sunnah, saya rasa sudah. Kawan-kawan lain bila lagi?

isyraq berkata...

ambo dah raso jugak " ba kaf mim " ni, yg mengerjakan ambo tu dia amik kaedah bekam dari pondok p tumboh dan khabarnya kaedah tu ada sanad sampai kepada Baginda Rasulullah SAW. Kaedah tu agak brutal..lepas dicukur pada kepala, dibakar cebisan kertas surat khabar (bakar surat khabar ni tak termasuk dlm sanad..jgn seleweng pulak) lalu dibubuh dlm cawan, terus ditekap pada kulit kpala, tokde lamo rasa mcm kebas kulit kpalo, pahtu gak dia amik pisau mesin (bukan jarum peniti) toreh kat tepat kebas tu...fuuuhh. one more time..cawan berapi ditekap pd tempat yg ditores maka keluarlah berbondong2 darah pekat..rasa mcm lepas hutang 10 ribu. bila tengok kat cermin nampok tanda belake kpalo mcm bekas dimasukkan cip mikro.

zanazanzaly berkata...

isyraq.
Fuyyo pengalaman sdr/i memang brutal. Nasib baik nampak macam dimasukkan cip komputer bunyi jugalah "ilir" sikit, buatnya ia kelihatan macam bekas buntal sondol bantal tak cukup tebal, lagu mana tak tau la noo!