Hak Cipta Terpelihara. Sebarang item yang mahu diambil daripada blog ini wajib mendapat keizinan pemilik blog. Budi Bahasa Amalan Kita

Jumaat, Februari 06, 2009

Air Tebu buat Teman di Kota Batu


Zohor Jumaat amat saya tunggu kerana waktu itu semua jiran muslimin ke masjid dan saya boleh bersantai-santai di laman belakang rumah tanpa busana lengkap muslimah. Habis saya libas rumput dan lalang dengan parang. Sejak puyan banjir lalu, jarang saya dan rafik bertamu ke situ. Rezeki selepas bah menyebelahi kami sebab pelanggan mulai berpusu-pusu ke NOBLE ART untuk menempah kad walimah menyebabkan kami tak punya kesempatan untuk berlama-lama di laman belakang seperti mula-mula rumah ini kami duduki dulu.

Titis-titis jernih yang merenik dari pangkal rambut mulai nakal menuruni dahi kemudian terburu-buru meluru ke bibir dan dagu sewaktu batang-batang tebu telur dan tebu hitam saya takik satu per satu.

Memikirkan rafik dan saya amat gemarkan air tebu, saya teruskan juga mericih buku-buku tebu tanpa menghiraukan calar balar di lengan dan siku yang mulai pedih dicumbu peluh. Saya tahu, inilah bahana bersenda-gurau dengan daun tebu.

Tak sangka ya, pucuk-pucuk muda yang lemah gemalai meliuk lintuk disapa angin tengahari itu mampu meninggalkan bilur-bilur merah yang pedihnya bak dihiris sembilu! Saya yang manja? Tak tahan sakit? Hah, cubalah tebang tebu, kalau mahu tahu!

Tebu di halaman belakang itu saya tanam bersama ayahanda rafik ketika beliau memenuhi undangan kami ke majlis 'naik rumah baru' dua tahun lalu. Benihnya berasal dari Kuala Terengganu.

Desah dan helaan nafas saya yang kepenatan disambut senyum manis ayahanda seraya berkata "tak apa, masa tanam saja lelah, nanti minum tak ingat dah".
Saya yang tak mahu beralah terus memangkah, "tak ingat, kalau orang lain yang tebang dan pergi perah (mesinlah), kalau kita juga yang kena buat, lelah!

Ketawa kami dua tahun lalu masih berdekah dalam kalbu. Saat saya mencucur air buat membersihkan lumpur di kakinya, sempat mata kami bersatu. Melepas puas.

Rumpun tebu subur bersebelahan kantan. Daun-daun mereka saling payung memayungi menerbitkan teduhan kepada jendela kaca menghadap petak-petak bendang yang sekarang sedang gembira menyambut kedatangan anak-anak padi.

Saya menulis entri ini selepas pulang dari mesin air tebu di rumah ayahanda dan bonda angkat saya iaitu Cik dan Pak Nik.

Mendengar "aaahhh' rafik yang kenikmatan meneguk air tebu , saya tiba-tiba teringat kepada seorang teman di kota batu yang juga sukakan air tebu. Pernah dulu saya hulurkan segelas air tebu kepadanya melalui laman maya.

Entah, saya tak pasti, apakah dia masih ingat lagi?


4 ulasan:

gurindamjiwa berkata...

Zana, saya masih ingat air tebu itu kerana biar pun masa jauh berlalu manisnya tetap terasa. Saya akan terbang dari kota batu ke padang embun untuk menumpang secangkir air tebu. Oya, pesan kepada teman anda itu, hati-hati, jangan pula disiat daun tebu. Nanti lukanya sukar diubati.

gurindamjiwa berkata...

Tak apa Zana, air tebu yang kini kawan anda sudah minumkan untuk saya.

nil berkata...
Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.
zanazanzaly berkata...

gurindamjiwa,
terima kasih mengunjungi blog ini. sdr baru menemuinya barangkali. bagus sungguh imaginasimu, tapi usah khuatir, tiada seorang pun teman saya yang gemarkan kerja-kerja menyiat daun atau menebang tebu.
Mungkin mereka juga minat memilih untuk menikmatinya sahaja tak kiralah secara realiti mahu pun ilusi.

zaidi,
Terima kasih atas saranan. Saya kini sedang menanam cili. Jadi saranan itu masihkah relevan lagi?