Hak Cipta Terpelihara. Sebarang item yang mahu diambil daripada blog ini wajib mendapat keizinan pemilik blog. Budi Bahasa Amalan Kita

Isnin, Februari 16, 2009

Saya, Kolot dan Wayang

KOLOT!

Kalimat inilah yang dirantaikan ke leher saya sejak saya menolak pelawaan teman-teman sekuliah untuk menonton. Mereka ketawakan saya sampai berair-air mata dan terbatuk-batuk apabila saya mengaku tak pernah sekali pun ke panggung wayang dan tak tahu apa ada di dalamnya dan bagaimana rupa panggung wayang gambar yang mereka sohorkan benar.

Apa yang aneh sangat? Saya dibesarkan di kampung yang dhaif amat. Ketika remaja, dan saya sudah dibenarkan ke bandar Pasir Mas sendirian, panggung wayang di bandar itu pula sudah tinggal nama dan bekas alamat.

Sewaktu di Naim Lilbanat, kawan-kawan yang tidak tinggal di asrama bercerita tentang keseronokan menonton wayang dengan kaum kerabat. Saya tanya ustaz, bolehkah saya dan seorang kawan mohon keluar ke bandar Kota Bharu pada hari Sabtu (hari pelajar yang tinggal di asrama dibenarkan keluar) untuk ke Bazar Buluh Kubu kerana kawan-kawan saya yang lain akan tunggu di situ, di pintu masuk panggung wayang seperti yang kawan-kawan itu beritahu. Terbeliak mata ustaz, lama dia tenung saya kemudian geleng-geleng lalu beristighfar dan berkata, "dekat sungguh dah nak kiamat."

Saya jenuh memikirkan betulkah saya ini kolot kerana tidak pernah tengok wayang, saya bertanyakan hal ini kepada seorang kawan lelaki selepas kelas Modern Muslim Thinkers tamat.

Sekali lagi, kolot dicop ke dahi saya pula apabila menolak sekeras-kerasnya pelawaan kawan lelaki saya itu untuk keluar berdua-duaan pergi menonton filem yang sangat dia minat.

Rantai dan cop KOLOT yang dipakaikan kepada saya oleh teman-teman sekuliah dan kawan lelaki saya itu sangat merimaskan, sehinggalah saya ditakdirkan berjumpa dengan seorang rakan seapartment yang juga tidak malu mengaku selama hidupnya belum pernah ke panggung wayang dan belum sekalipun pernah dia keluar berdua-duaan dengan mana-mana lelaki bukan mahram.

Terdetik di hati, ada juga manusia kolot seperti saya dalam dunia moden ini. Hah, apa lagi, kalau dua gadis kolot ralit berkongsi peri dan asyik berbari?

Setelah usia menjangkau 36 tahun, saya sekali lagi menerima pelawaan seperti yang pernah dua kali saya terima semasa di alam kampus dahulu. Bezanya, undangan kali ini datangnya secara rasmi daripada sebuah institusi yang menjaga hal ehwal kebahasaan dan kesusasteraan negara.

Menerima pelawaan ini, hairannya, dada saya tidak lagi berdebar ketakutan seperti sewaktu saya mendengar dua pelawaan ketika di alam kampus dahulu. Barangkali, disebabkan tayangan filem itu diadakan dalam Dewan Utama, USM kampus Kubang Kerian bukan di panggung wayang seperti yang saya geruni untuk melangkah ke sana.

Apa tidaknya, dulu masa kecil-kecil, saya selalu lihat makcik atau pakcik saya dimarahi nenda apabila nenda tahu mereka pergi ke panggung wayang bersama kawan-kawan. Nenda bagi mereka amaran agar jangan ulangi perangai tak senonoh. Saya kira, nenda benar, sebab kalau makcik dan pakcik saya itu betul-betul buat kerja baik, mengapa mereka curi-curi pergi ke panggung wayang?

Ah, itu kisah silam. Sabtu, 8.00 malam, saya teruja menunggu Sdr Persis Minda datang menjemput saya dan rafik (yang sama-sama kolot ha ha ha) untuk tengok wayang sambil menderma kepada tabung Hospital USM. Dan wayang yang kami tonton itu sebuah karya seorang profesor, berjudul WAYANG.

5 ulasan:

farhana berkata...

zana, kita serupa.. cuma aku penah pi sekali.. di akhir zaman di UIA.. baru ni ada jugak aku ajak hubby untuk cuba masuk bersama2.. konon macam nak spent time together..(hikhikhik.. macam tak de cara lain..).. dia kata aku buang tebiat.. and aku slop ngan ayaq empat belaih itu..

zanazanzaly berkata...

farhana,
kah kah kah

Kak Long Comel berkata...

Hik! Hik! Hik! Kita serupa .... kita serupa ... oppss! Sebenarnya hampir serupa. Kak Long yang sememangnya comei ni pulak pernah sekali masuk panggung. Itu pun sebab dapat tiket percuma sempena Hari Kebangsaan kalau tak silap. Masa tu masih sekolah rendah. Kih! Kih! Kih! Sekarang ni mana nak cari panggung wayang lagi dekat Perlis yang comei ni. Dah tinggal nama dah!

zanazanzaly berkata...

kak long comel,
kalau ikut sifir kawan-kawan sekuliah saya, orang di kelantan dan perlis sama-sama kolotlah sebab tak tengok wayang sebab panggung wayang tiada. Tak pasti pula di terengganu ada ke tidak sebab maklumlah rafik saya pun dalam kelompok kolot juga. kah kah kah

Kak Long Comel berkata...

Wakakaka ... tapi Zana laaa ni dah canggih manggih dah. Filem pun dah boleh tengok kat internet pun. Kak Long dok ulang tengok cerita Madu Tiga dan Tiga Abdul tu ntah berapa kali dah. Yang TV pun TV, tapi filem dulu terutama filem Tan Sri Dr. P. Ramlee memang berhantu laaa ... langsung tak tau jemu