Hak Cipta Terpelihara. Sebarang item yang mahu diambil daripada blog ini wajib mendapat keizinan pemilik blog. Budi Bahasa Amalan Kita

Khamis, Januari 28, 2010

Silang Anutan 1 Malaysia

Menonton filem memang kegemaran saya. Tapi saya sangat selektif. Tidak semua filem Melayu atau Inggeris atau Arab atau Iran atau Tamil atau Kantonis atau Mandarin atau Hindi saya tontoni. Saya tentukan dahulu samada ia filem dari adaptasi karya sastera atau pun bukan, siapa penulis skrip, pengarah dan jalan ceritanya kemudian saya pilih aktor serta aktresnya.

Saya tentukan khas semua di atas kerana setiap adegan akan saya ingat dialognya, babaknya, bahasa kameranya dan segala yang indah akan segera saya muatmasuk ke minda dan jiwa saya.

Apa kena mengena isi dengan judul entri ini?


Aha, pagi ini sewaktu dalam perjalanan ke Pengkalan Chepa, indera saya berselayang pandang lirik nyanyian Nandini (Ashwaria Rai) Chand Chupa Badal Mein menerusi filem adaptasi novel Benggali Na Hanyate karya Maitreyi Devi, berjudul Hum Dil De Chuke Sanam. (Hish, orang Kelantan suka sangat layan Hindustan! Pagi petang malam).

Suara Alka Yagnik bagaikan sakti menghipnotis rasa saya sekaligus saya kira telah menyempurnakan amalan Karva Chauth Nandini.

Saya membalas senyum Nandini dengan berbisik, hey, kita sedang berbuat perkara yang hampir serupa tapi dengan maksud berbeza! Kamu menunggu bulan penuh untuk memakan sergi manakala saya menanti matahari jatuh untuk beriftar dengan tamar.

Jangan cepat latah dan bangat lempar fitnah. Saya menafikan sekeras-kerasnya kesamaan darjat dalam ibadat tersebut kerana kami berbeza agama secara total. Apa yang mahu saya garisbawahkan adalah perkara yang sama dilakukan oleh para pecinta demi menambahdarjah takah kecintaan dalam jiwa.

Bezanya Nandini berpuasa untuk suaminya manakala saya berpuasa kerana Allah Azza wal Jalla dan jika Allah swt sudi mengganjari ibadat ini dengan pahala saya mohon ia dikreditkan kepada seseorang yang sentiasa di jiwa. Apa yang saya damba, hanya kesihatan fizikal, mental dan spritual selama hayat dikandung jasad. Begitulah yang saya niat dan berhasrat untuk dapat setiap kali menjalani ibadat sunat.

Terdetik di hati, apakah nikmat berpuasa yang saya rasa ini sama dengan Nandini? Tib'an jawapan mutlak di tangan Ar-Rahman tapi tidak salah bukan jika kalian juga memberi andaian?

Tiada ulasan: