Hak Cipta Terpelihara. Sebarang item yang mahu diambil daripada blog ini wajib mendapat keizinan pemilik blog. Budi Bahasa Amalan Kita

Ahad, Oktober 31, 2010

Rindu Oktober Merah Jambu

Ini cerpen bikinan paling santai. Tiada di hadapan saya paling kurang lima buah buku, seperti selalu saya rujuk dan intai. Tukangan karya ini adalah apa yang saya pendam selama setahun dalam jiwa yang berhadapan ujian. Berat rasa sarat makna pada sebuah jiwa yang rengsa natijah terlalu percaya akan wujudnya makhluk bernama setia pada diri manusia lain selain diri sendiri. Benar kata rafik dalam cerpennya Neurosis. Manusia yang paling boleh dipercayai ialah Diri Sendiri.

Puas rasanya apabila dapat bercerita perihal aura merah jambu yang sungguh indah itu dan fakta Oktober istimewa tahun ini berkembar lima bagi Jumaat, Ahad dan Sabtu. Bicara seputar asa, prakarsa dan daya hamba mendamba cinta Pemilik Mutlak Cinta.

Kesuntukan waktu untuk duduk menyiapkan karya ini seperti yang sering saya lazimi sebelum berubah status dahulu, saya atasi dengan mencatat kata kunci tertentu pada status Mukabuku. Komen daripada rakan-rakan saya jadikan pedoman dan sempadan bahkan lebih dari itu ia adalah pembakar semnagat saya untuk menyiapkan pertukangan cerpen pertama saya untuk tahun ini. Inilah hadiah hari keputerian mengikut tarikh masihi paling istimewa yang pernah saya beri kepada diri sendiri. Segala puji saya rafakkan ke hadrat Allahurabbi atas kurniaan ilham ini.

Rabu, Oktober 27, 2010

Juadah Pengindah Kalam

Bukan tumpat sebarang tumpat,
emas tumpat ditatah manikam;
bukan lompat sebarang lompat,
lepas melompat kita menikam.


Hemm chaaaaaaa!

Sabtu, Oktober 09, 2010

Bicara Tunas Cipta September 2010



MENYEDARI hakikat saya tidak ditakdirkan lahir sebagai puteri raja, bukan juga cahaya mata pembesar negara, tidak pula zuriat ulama’ muktabar, semakin bertekad saya untuk menjadi penulis. ‘Penulis apa, yang bagaimana?’ Soalan sebegitu pula menunjal minda dan jiwa saya setelah saya membaca banyak karya-karya yang rencam genrenya. Sedaya upaya menaakul mutiara kata Al-Ghazali yang saya temui dalam talian maya hampir seabad lalu, kerana sebelum itu saya hanya tahu menulis puisi bermula di alam persekolahan setelah merangkul gelaran pemantun terbaik Kelantan tahun 1990.


Pernah di zaman persekolahan,saya gulati buku cerita cinta muda-mudi tebal seinci yang sarat emosi, fakulti intelektual saya penat meminta ia disuapi santa
pan bergizi. Natijah daripada emosi padat sogokkan penulis itu, saya segera khatamkan bacaan sebelum cukup suku inci buku yang bumbu konflik perebutan cinta tiga penjuru.Protagonisnya gigih berjuang dengan banyak membuang air mata dan masa sehingga hampir terbengkalai kuliahnya semata-mata untuk menakluki hati pemuda impiannya. Hukum hakam agama sedikit pun tiada sebagai andalan walhal watak digambarkan sebagai gadis dan jejaka Melayu-Islam. Dek kerana bersimpati dengan protagonis cerita tragis cinta sejati yang menidakhakkan nasihat ayah bonda justeru menyalahtafsirkan pantun “nasi lemak, buah bidara”, akhirnya saya abadikan buku itu sebagai penyendal pintu.

Memasuki alam kuliah, saya dapati puisi amat terhad untuk meluahkan rasa dan menyalur idea kerana ukurannya yang agak minima. Sementelahan saya ingin mencabar bakat dan keupayaan diri sendiri dalam bidang yang amat saya minati ini kerana sejak kecil saya suka mendengar cerita. Bari nenda saban malam sebelum tidur mengenai kisah-kisah nabi, cerita binatang cerdik dan perjuangan gigih datuk yang berdagang di bumi orang sangat melekat dalam minda dan jiwa saya memujuk saya untuk meladeni novel-novel pengembaraan atau penyiasatan seperti Nancy Drew, Hardy Boys, Umar Umaiyah dan kisah pengembaraan Maharaja Sri Rama dan adiknya Raja Laksamana dalam cerita wayang kulit seperti yang ayahanda barikan apabila saya dengan adik berbalah berebut alat permainan.

Pada penghabisan alam kuliah saya ditakdirkan bertemu rafik seperjuangan, Rozais al-Anamy. Episod pengkaryaan saya mengalami perubahan mendadak dengan kehadiran beliau. Sebuah karya terjemahan yang sangat signifikan dalam ruh pengkaryaan genre naratif saya dipengaruhi oleh Revolusi Sang Matahari: Kelana Cinta Jalaludin Rumi karya Nigel Watts. Novel ini tidak mengisahkan mengenai perjalanan Rumi sepanjang hidupnya, sebaliknya lebih membidik kepada keromantisan persahabatan Rumi dengan Syams dari Tabriz, seorang pengembara dan penyair sufi yang menavigasikan kompas pengkaryaan Rumi menghala ke kutub cinta agung secara vertikal. Muatan bahan bacaan sebeginilah yang menepati selera sebagaimana minda dan jiwa saya selesa menghadam buah fikir Pujangga Melayu karya Afandi Hassan, novel pengarang Melayu pertama yang saya habis baca.

Sejak itu, tanpa mengenepikan genre puisi, saya mencipta frasa demi frasa dengan segala ketidaksempurnaan. Allah swt memplot laluan ke medan sastera lebih luas dengan mempertemukan saya dengan sasterawan Zaharah Nawawi. Hasil didikan beliau, cerpen pertama saya Kutta di Sampugita terhasil dan disiarkan di Berita Harian.


Dua tahun kemudian, Segugus Markisah dari Brastagi dinobatkan memenangi Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU) 2003, berikutnya pada tahun yang sama, Matinya Seorang Penyair menerima hadiah cerpen eceran Hadiah Sastera Kelantan. Rezeki menyebelahi saya apabila selang setahun, Teori 11 pula menggondol Hadiah Tunas Cipta 2004. Alhamdulillah HSKU 2008 mengiktiraf Avule Aidil Adha dan sebuah lagi cerpen berjudul Rindu Berladung di Pulau Duyung, di peringkat nasional.
Saya berasa bagai meriba purnama apabila Institut Terjemahan Negara 2009) memuatkan Death of Poet sebagai terjemahan kepada Matinya Seorang Penyair.

Tahun 2010, lahirlah kumpulan cerpen “Merpati Menari di Padang Embun” yang memuatkan 21 buah cerpen saya bermula tahun 2001 hingga 2008. Ia menghimpunkan sejumlah pengalaman, kritikan, pandangan, ulasan dan pemikiran yang diadun dengan bahasa dan langgam penulisan yang saya senangi setelah melalui pemerhatian dan penaakulan mendalam tentang apa yang berlaku di sekitar kehidupan dan dunia saya.Sebagai contoh,
melalui cerpen “T-Songsang” yang mengisahkan tentang kejelekan anutan hedonisme oleh remaja tanah air yang terpengaruh dengan hidup sesat barat.

Saya berhasrat agar yang hak sentiasa diambil berat meski pertembungan antara dua kutub berbeza prinsip amat hebat berdebat. Justeru itu, saya tidak sekadar mengisahkan, bahkan berinisiatif melontar pandangan tentang bentuk kebenaran yang syumul dan menunjukkan kebaikan yang seharusnya diikuti. Dalam kata lain, saya kurang gemar memaparkan sisi hitam masyarakat, sebaliknya menyarankan penyembuhan kepada penyakit sosial itu. Hal ini ketara memperjelaskan visi dan misi pengkaryaan saya. Mengeksploitasi maklumat dan menggunakan kembali maklumat tersebut sebagai bahan penulisan merupakan bonus bagi graduan jurusan Sains Politik di mana saya diajar agar cekap mencerakin isu dan punca serta penyelesaian permasalahan. Oleh itu, saya kira isu yang biasa-biasa sahaja jika dibawa ke dalam karya tetapi diolah dengan bahasa yang baik boleh menjadikan sesuatu isu kecil menjadi bermakna.

Mengapa tidak kita menghantar harapan apatah lagi menjentik kritikan kepada khalayak yang cerdik dalam sulaman bahasa yang indah? Bukankah Melayu itu sopan pekerti dan tinggi budi bahasanya?
Kekuatan bahasa inilah kunci kekayaan nilai estetika. Contohnya, “Segugus Markisah Dari Brastagi” membicarakan isu filem tanah air. Saya menyelitkan kritikan terhadap kemasukan dan lambakan filem luar yang banyak menggugat industri perfileman negara dalam bentuk sindiran halus, namun saya kawal emosi yang melahar dengan keindahan bahasa supaya seimbang bauran luahan rasa dengan gagasan idea.

Namun, melalui keasyikan menyusun bahasa dan kata lewat karya, saya tidak pernah leka menyelit cadangan dan saranan kerana antara matlamat saya berkarya adalah untuk mendidik diri sendiri dan masyarakat, bukan hanya menyampaikan berita atau mengangkat cerita secara mentah kepada pembaca. Setiap teguran dan protes haruslah disertai dengan alternatif atau usul untuk memperbaiki sesuatu keadaan itu, kerana tanpa saranan ke arah kebaikan, sesebuah karya hanyalah umpama burung kakak tua yang menuturkan kepincangan yang dilihat dalam diri dan masyarakat.
Cerpen “Matinya Seorang Penyair” adalah satu bukti tentang ciri keperibadian yang perlu ada pada setiap penulis.

Ketelitian, kritis dan pemerhatian mendalam terhadap persekitaran yang melingkungi dunia penulis memagnetkan kutub fikir saya tertarik ke arah dunia sastera yang saya diami dalam usia tiga tahun pembabitan. Ia yang merupakan kritikan terhadap khalayak sastera yang melingkungi awal perjalanan seni saya yang dijadikan bahan penulisan. Cerpen ini berkisar seputar kebobrokan sikap dan dunia penulis itu sendiri, dan pada akhirnya menitipkan saranan dan menjuruskan pembaca untuk menilai sikap sebenar yang harus ada pada seseorang penulis. Inilah jawapan kepada pertanyaan saya kepada diri sendiri - ‘Penulis apa, yang bagaimana?’

Dalam kata lain, saya mahu menjadi penulis yang menggalas taklif mendidik masyarakat perlulah terlebih dahulu mengkoreksi diri sebelum menyebarkan fikrah melalui karya yang bakal mencorak masyarakat kerana bagi saya untuk melaksanakan dakwah bil kalam, kita perlu amat teliti kerana jangan sampai terlalu leka berjumpa punca ilmu iaitu Al-Quran sehingga hujungnya tenggelam akibat sombong dengan tuan empunya ilmu yang kita pinjam ini kerana kita lupa meminta hikmah daripada-Nya untuk diri sendiri dan pembaca karya kita kerana itulah tarbiyah sebenar yang perlu dijadikan matlamat dalam setiap karya, justeru tugas penulis adalah mendidik masyarakat dengan ketajaman minda dan keperkasaan jiwa melalui kekreatifan berbahasa.