Hak Cipta Terpelihara. Sebarang item yang mahu diambil daripada blog ini wajib mendapat keizinan pemilik blog. Budi Bahasa Amalan Kita

Isnin, Jun 29, 2009

Lagu Warisan


Anak kecil main api
Terbakar hatinya sendiri
Air mata darah bercampur keringat
Bumi dipijak milik orang

Nenek moyang kaya raya

Tergadai seluruh harta benda
Akibat sengketa sesamalah kita
Cinta lenyap di arus zaman

Indahnya bumi kita ini
Warisan berkurun lamanya
Hasil mengalir ke tangan yang lain
Pribumi merintih sendiri

Masa depan sungguh kelam
Kan lenyap peristiwa semalam
Tertutuplah hati terkunci mati
Maruah peribadi dah hilang

Kini kita cuma tinggal kuasa

Yang akan menentukan bangsa
Bersatulah hati bersama berbakti
Pulih kembali harga diri

Kita sudah tiada masa

Majulah dengan Maha Perkasa
Janganlah terlalai teruskan usaha
Melayu Gagah Di Nusantara

Lagu ini mendayu-dayu memenuhi ruang kalbu sewaktu mesyuarat Usahawan MARA Pasir Mas berlangsung. Inti ucapan Pengarah MARA Negeri bumbu waspada kepada semua usahawan Melayu yang menjadi nadi ekonomi bangsa Melayu.

Setelah MARA kembali kepada Kementerian Luar Bandar semula, tegakan bulu roma saya menghantar petanda betapa kita sudah pun tiba di paras bahaya.
Hey Melayu, sudah-sudahlah bertelagah! Perbalahan kian menjanjikan >>1 untuk kita, Malaysia untuk mereka.

Jumaat, Jun 26, 2009

Sifar Sinar

Sewaktu mengucapkan "Selamat Hari Lahir" kepada teman jiwa, saya terharu mendengar suaranya yang cemas mahu segera menamatkan perbualan kerana perlu menunaikan fardhu Jumaat. Seperti lazimnya, jika kami bersua pasti dia akan minta diri dengan penuh sopan untuk berjeda 10 minit dan saya tahu dia mahu melunaskan hutang kehambaan. Usikan rafik- "hey, penghuni kota batu kan mempersilakan Tuhan dan agama hadir pada tiga perkara sahaja; doa pembuka acara, pernikahan dan kematian -sering disambutnya dengan senyum sambil menjeling.

Saya tamatkan perbualan di talian dan terus sambung bermain congk
ak dengan rafik di tikungan budaya, teratak kasih di Padang Embun, beralaskan tikar mengkuang kemasan bucu kepala belangkas. Saya mengerling saji buluh di dinding. Tikar dan saji itu tidak berjaya menutup rengsa pada jiwa. Buah-buah congkak itu juga tidak berfungsi sebagai guli-guli ceria yang mengisi lubang-lubang bahagia dalam sukma. Dari dalam rongga dada, hiba menunda-nunda mahu berbicara tanpa suara mengingatkan seorang teman yang bukan sekadar lambat solat malah liat ibadat. Kalau ikutkan hati hangat, mahu saja saya minta anak Pendekar Mustar bersilat!

Kartika mata
sifar sinar
tatacara beragama
teman sebangsa
caca merba,
sambil lewa
dia persenda
"tak mengapa
tidak solat segera
tak sempat, apakan daya
bila-bila, asal buat saja."
Muka cuka saya
nampak ungka
di depan mata.

Dalam bulan Rejab, saya bermunajat agar teman saya yang sihat walafiat itu jaga solat dan berpuasa sunat. Ini tidak, asyik leka "menjual minyak urat". Sana sebat, sini rembat. Keluarga di rumah terkulat-kulat. Teman, bawa-bawalah mengucap. Jom pakat-pakat mempergiat ibadat. Ah, tidak perlulah canang kuat-kuat agar ada yang terpikat atau banyak laris minyak urat. Cukuplah sekadar ingat, tak selamanya kita dikandung hayat.

Ahad, Jun 21, 2009

Terbang Pulang


Tiga empat puluh petang

serindit dua sekawan
terbang pulang ke sarang
mengilik sejuta kenangan.

K
ondo Seri Maya, Setiawangsa.


Mawar Merah, Ros Ungu

Malam Sabtu lalu
pentas HSKU
mengalu-alu
menghidu-hidu
aroma narwastu
Mawar merah, Ros ungu.

Gemalai tiupan
Serunai Fakir
bayang belulang
bertirai di belakang kelir
.

Jumaat, Jun 19, 2009

Menapak Menuju Puncak












18 Jun, ke pangkalan udara di pangkal senja

dihantar Cik dan Pak Nik dengan Wiranya
nyaman didakap Udara Asia
sejam berSkybus ke KL Sentral
dipacu kereta lipan ke Setiawangsa
25 minit tiba di stesennya
menapak suku kilometer

menuju ke Kondo Seri Maya.

Kirmizi 19 Jun senyum mengajak
menaiki teksi di pangkal Isyak

10 minit dari sini ke Jalan Tun Razak

di Istana Budaya syukur bersajak
HSKU2008 acara kemuncak

kemenangan berganda jadi penggalak.

Wahai Ar-Razzak,

rezeki-Mu nan jamak takzim kurafak
di hadapan kelak
moga ia berganda banyak
meski ranjau dan onak
mengagah galak
sekali menapak terus kujejak
nekadku padu berganjak tidak
dari lecak menuju puncak.


Khamis, Jun 18, 2009

Kota Batu, Sekali Lagi Kita Bertemu

Kota Bharu mengucapkan selamat jalan
tepat jam lapan empat puluh malam
Udara Asia mendepang
nyaman terbang menggapai bintang
satu jam kemudian
selamat mendarat di pangkalan.

Kota batu,
sekali lagi kita bertemu.

Selasa, Jun 16, 2009

Tamu Bertamu

Langsuyar, keladi dwi warna dan orkid air serasi bersama di sudut kanan laman. Terapi nan menggamamkan setiap kali pergi dan pulang kerja. Sapaan salam bersulam kuntum senyum mereka mesranya menyelinap terus ke jiwa. Saya sangat percaya, interaksi jiwa bersama flora dan fauna berupaya mengakrabkan manusia dengan kemahaan Pencipta.

Beberapa hari lalu, ada tetamu baru muncul menemani flora-flora itu.

"Oh itu Iswara, sang raja rama-rama." Kata jiran saya, seorang ulat buku yang juga bertugas mengajar jururawat pelatih di Klinik Kesihatan Wakaf Bharu.
"Dia datang nak jengok anak daralah tu." Selorohnya tanpa silu.

Saya rasa pelik, segera heret rafik menemui Cik. Cik dan Pak Nik ketawa terkukik-kukik.

Usik Pak Nik, "moleklah didatangi raja rama-rama, bolehlah Pak Nik tumpang masuk istana."

Kata Cik, "doakan sahaja yang baik-baik. Insyaallah tiada yang jelek."

Serta-merta saya teringatkan sebuah puisi, saya karang sewaktu pertama kali dilamar teruna ketika masih dalam alam kampus pada tahun kedua. Eh, hampir genap sedekad usia siarannya, kebetulan pula!

TAMU YANG BERTAMU

Pertama kali
tamu mengetuk pintu
kamar hati,
waspada segera
menemani.

Dari jendela kamar,
bayangan tamu berbalam pudar
ketentuan menggapai sukar
pasrah di pangkuan Al-Qahhar
istiqarah melandas ikhtiar.

Di luar pintu kamar
keras tamu mengetuk
lembut kupersilakan masuk
sopan kujemput duduk.

Kamar hati merai penghuni
berperi ia tulus sekali.

"Duhai tamu agung,
katakan tanpa bohong
biar tiada yang terselindung
kunjunganmu ini berpenghujung
atau sekadar embun di hujung daun?"

Sama sekali tidak suri impi
tetamu yang mengharapkan secangkir kopi
atau sehidangan sarapan pagi.

Suri dambakan tetamu hati
demi menghiasi kamar nurani
dengan wangian jambangan iman
di taman naungan Allahurrahman.

Zanazanzaly, UIAM PJ.
URTV, 15 Julai 1999.

Ahad, Jun 14, 2009

Muka Pada Minggu Ke 5

Hari ini pagi-pagi lagi saya menerima sms daripada seorang rakan memaklumkan bahawa sudah lima minggu berturut-turut wajah saya menghiasi halaman sastera Mingguan Malaysia. (Ehem-ehem... kawan janganlah iri. Tuah ayam nampak di kaki, tuah badan bernama Zanazanzaly he he he).

sms dia: Woi kau sedar tak, dah minggu ke 5 muka kau masuk
paper.
sms saya: Ya ke? Maka, masalahnya apa?
sms dia: Sejak 10 Mei lalu, setiap minggu hingga hari ni. Asyik muka sama. Nak jeluak.
sms saya: Oklah aku minta mereka tukar muka lain. Tapi versi online.

Demi menunaikan janji, saya pun memuatnaikkan halaman sastera, Mingguan Malaysia edisi khas versi maya eksklusif hanya di sini dengan harapan rakan saya itu berpuas hati.
(Sila rujuk Mingguan Malaysia, 14 Jun 2009 versi cetak untuk paparan sebenar.)

Dalam paparan versi maya juga terdapat ralat. "Mengasah" bakat bagi saya tidak tepat sebab kerja asah mengasah ialah untuk menajamkan sesuatu yang tumpul. Saya kira, amatlah tidak layak apatah lagi wajar bagi media segah Mingguan Mlaaysia menjadi medan pengasah bakat yang belum tajam dalam bidang penulisan. Ketika diwawancara melalui telefon, saya mengakui betapa akhbar berprestij itu memang ampuh untuk dijadikan medan "mempertajamkan" nilai kreativiti pengarang. Perkataan "mempertajamkan" membawa makna menambahkan lagi ketajaman kepada sesuatu yang sedia ada sifat tajamnya.

Tidak logik sama sekali, halaman sastera Mingguan Malaysia yang ditamsilkan sebagai tembok tebal/benteng kebal bagi semua penulis baharu itu disifatkan sebagai batu pengasah sahaja yang mana kerja asah-mengasah itu boleh sahaja dilakukan secara manual seperti mengilir pisau kiri kanan yang boleh dilakukan sambil pejam. Hey, MM itu adalah mata pencanai logam yang super tajam atau pun intan yang diletakkan pada muncung jangkaut yang digunakan untuk membelah tar jalan.

Barangkali gelombang talian telefon genggam di lebuh raya Salor-Pasir Mas sedikit tergugat dek Pilihanraya Kecil DUN Manek Urai maka kalimat yang saya ucap kedengaran berlainan di pendengaran penulis rencana tersebut.

Apapun, jom rakan-rakan dan handai taulan kita jumpa nanti di pentas gemilang HSKU2008.

Jumaat, Jun 12, 2009

Kembara Merentasi Titiwangwa

Kembara bersama Datuk Segedung llmu, jiwa gersang bertukar lenjun umpama basah bumi merekah setelah tidak disirami hujan berminggu-minggu. Memugar kesegaran minda dengan kerlipan firus air Tasik Banding. Mengubat penat indera dengan alunan riak tenang Tasik Raban. Banjaran Titiwangsa kami lewati dengan sejuta kasih pada tanah air sendiri. Sebelum bertolak dari kediaman Dato' Prof. Kapt. Dr. Hashim Yaacob di desa Batu Hitam, Tanah Merah, saya dismskan oleh Ustazah Ruziah, senior di SMKA Naim Lilbanat agar membeli akhbar yang suatu ketika dahulu saya pernah menjadi sub-editornya. Halaman Sinar Harian menjadi peneman kami sepanjang perjalanan menuju ke kota batu melalui Jeli.

Malar segar banjaran Titiwangsa kami rentasi, nyaman udara Tasik Banding persada Darul Ridzuan, mengapa jiwa saya tak keruan tatkala melewati negeri ini?
Biduk berlalu telepok bertaut,
mekar seroja minggir ke tepi,
dingin bayu berpuput lembut,
mengapa gersang di pinggir hati?

Malam yang dinanti pun tiba, rombongan kami bertiga mengiringi Bentara Guru Datuk Segedung Ilmu disambut mesra oleh urusetia Malam Puisi Utusan 09 lalu dibawa menuju ke meja kedua paling hadapan. Sudah menanti di sana, Pujangga Negara SN Dato' Dr. A. Samad Said dan isteri tercinta.

Ada tiga perkara yang sangat-sangat mengujakan jiwa saya. Pertama, wow nasi lemak daun pisang! Mmm, aromanya sama seperti yang pernah saya hidu di SK Pelabuhan Kelang dekat tiga dekad lalu. Terima kasih banyak-banyak kepada Nik, pengacara Nasi Lemak Kopi `O' yang mengesyorkan menu ini kepada pihak pengajur. Kedua, puisi rafik saya yang berjudul Lelaki Yang Patah Sayap Kirinya dideklamasikan oleh adik ipar rakan lama yang pernah berkongsi pentas Pesta Pantun 1990 dengan saya semasa Selangor menjadi tuan rumah. Nama rakan sepestapantun saya itu Rozi, tapi saya selesa-mesra panggil dia Tuty. Ketiga, yang ini punca utama pemergian saya ke MPU09. Yahoo... buat kesekian kali, dapat saya saksikan Bentara Guru Datuk Segedung Ilmu beraksi dengan segak tak bersangga, penuh gaya wira Melayu menghunus Sepukal Malela melontarkan bait kata menyeru kita bersatu menjaga tanah air nan tercinta!

"Jika ada penderhaka di luar kubu negara/jangan sekali-kali ada Sang Rajuna Tapa membuka pintu kota/Ini tanah air kita/kita kepung, kita jaga, kita pelihara."

(Puisi di atas diadaptasi daripada puisi asal karya Dato' Prof. Dr. Hashim Yaacob yang dideklamasikan pada MPU09.)

Rabu, Jun 10, 2009

Perkenan

Apakah Rabu petang ini ingin menggarisbawahkan kebenaran teori koinsiden? Saya tiba-tiba mengingati kembali entri ini. Meneliti diksi demi diksi, ilham mendodoi sanubari menitipi sebuah puisi mini.

Wahai hamba
kau minta
Aku terima.

Wahai hamba
Kuperkenankan
maka kau pula terima.

Isnin, Jun 08, 2009

Warkah Utusan

Sepucuk warkah dari Utusan
bertarikh 3 haribulan
tengahari tadi
saya terima pada 8 haribulan.
Terima kasih kerana mengutusi
sekarang, saya boleh beri jawapan
kepada seseorang
yang meminta saya datang.
Mana mungkin saya hadiri
tanpa undangan rasmi
selaku insan seni,
penulis mini seperti saya ini
dibumbui segan dan memiliki hati.
>>fikirlah sendiri!

Ahad, Jun 07, 2009

Minhaithulayahtasib

Jam 7.11 pagi saya menerima sms daripada Salman Sulaiman yang mengucapkan tahniah kepada saya yang katanya memenangi HSKU 2008 dengan kemenangan berganda. 35 minit kemudian Nisah Haron pula melayangkan sms yang serupa. Saya masih belum dapat menatap akhbar jadi saya tidak tahu apa yang disiar. Sebelum itu, saya tidak dapat sebarang panggilan telefon, surat atau pun faksimili yang memberitahu saya memenangi HSKU seperti pengalaman pada HSKU 2003 lalu.

Terdetik di kalbu, 'wah! Ini stail baharu. Pemenang tidak awal-awal diberitahu. Tahu-tahu apabila keputusan diwartakan. Tentu, ia adalah pengalaman baharu bagi pemenang berganda @ bergaya HSKU (ayat sms Nisah) seperti aku! Hu hu hu'.

Segala puji dan puja bagi-Mu jua wahai Pemunya Jiwa. Syukurku tiada tara atas kurniaan rezeki-Mu dari jalan yang tidak disangka-sangka. Terima kasih setulus budi kepada pengasuh laman sastera MM kerana kesudian menyiarkan karya-karya saya dan setinggi-tinggi penghargaan kepada panel juri HSKU 2008 kerana memperakui Avule Aidiladha dan Rindu Berladung di Pulau Duyung.
Terima kasih juga buat rakan-rakan penulis, teman-teman perniagaan dan saudara mara serta handai taulan yang memberi ucapan tahniah melalui telefon dan sms. Murni ingatan kalian, selamanya saya kenang.
Kemenangan berganda seperti ini membuatkan tubir mata saya bergenangan mengenang kembali jasa Sasterawan Zaharah Nawawi yang mengajar saya menulis cerpen
buat pertama kali dan bakti Hajjah Mahani Che Ibrahim yang mengambil inisiatif melalui DBPWT, mendanai saya ke bengkel KEPEZI.

Selasa, Jun 02, 2009

Sukma Direnjispilis

Buat kesekian kali saya menziarahi laman maya penyair Wikunila NS. Bagai direnjispilis sukma saya dengan rampai kasturi dan narwastu syurgawi tatkala menghayati klip video ini.