Sewaktu mengucapkan "Selamat Hari Lahir" kepada teman jiwa, saya terharu mendengar suaranya yang cemas mahu segera menamatkan perbualan kerana perlu menunaikan fardhu Jumaat. Seperti lazimnya, jika kami bersua pasti dia akan minta diri dengan penuh sopan untuk berjeda 10 minit dan saya tahu dia mahu melunaskan hutang kehambaan. Usikan rafik- "hey, penghuni kota batu kan mempersilakan Tuhan dan agama hadir pada tiga perkara sahaja; doa pembuka acara, pernikahan dan kematian -sering disambutnya dengan senyum sambil menjeling.
Saya tamatkan perbualan di talian dan terus sambung bermain congkak dengan rafik di tikungan budaya, teratak kasih di Padang Embun, beralaskan tikar mengkuang kemasan bucu kepala belangkas. Saya mengerling saji buluh di dinding. Tikar dan saji itu tidak berjaya menutup rengsa pada jiwa. Buah-buah congkak itu juga tidak berfungsi sebagai guli-guli ceria yang mengisi lubang-lubang bahagia dalam sukma. Dari dalam rongga dada, hiba menunda-nunda mahu berbicara tanpa suara mengingatkan seorang teman yang bukan sekadar lambat solat malah liat ibadat. Kalau ikutkan hati hangat, mahu saja saya minta anak Pendekar Mustar bersilat!
Kartika mata
tatacara beragama
teman sebangsa
caca merba,
sambil lewa
dia persenda
"tak mengapa
tidak solat segera
tak sempat, apakan daya
bila-bila, asal buat saja."
Muka cuka saya
nampak ungka
di depan mata.
Dalam bulan Rejab, saya bermunajat agar teman saya yang sihat walafiat itu jaga solat dan berpuasa sunat. Ini tidak, asyik leka "menjual minyak urat". Sana sebat, sini rembat. Keluarga di rumah terkulat-kulat. Teman, bawa-bawalah mengucap. Jom pakat-pakat mempergiat ibadat. Ah, tidak perlulah canang kuat-kuat agar ada yang terpikat atau banyak laris minyak urat. Cukuplah sekadar ingat, tak selamanya kita dikandung hayat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan