Hak Cipta Terpelihara. Sebarang item yang mahu diambil daripada blog ini wajib mendapat keizinan pemilik blog. Budi Bahasa Amalan Kita

Isnin, Mac 30, 2009

Kau Nyanyikan Semula Lagu Yang Kulupa Liriknya


Kau kuak jendela kaca
azan berkumandang di angkasa
segar nafas subuh
iluminasi jiwa ampuh
kau rangkul bahuku
syahdu kaunyanyikan semula
lagu yang aku lupa liriknya.

Kita aminkan bersama seraup doa
berpimpin ke buaian keinsafan
segar angin pagi mengelus pipi
unggas bertasbih riang
kita alunkan diam
mengiringi orkestra alam.


(Mingguan Malaysia, 19 April 2009)

Jumaat, Mac 27, 2009

SHL Ira


Tengahari tadi, saya dan sahabat dengan sejuta ceria menyiapkan menu tomyam makanan laut, kailan ikan masin, selar kuning tumis, telur dadar dan air tebu untuk hidangan tengahari bagi meraikan ulang tahun kelahiran adinda Zafirah. Kami bingkiskan semua menu selera kasih dari Padang Embun di angin lalu agar menggebu rasa kasih sayang dalam jiwanya, di Meru.

Selamat hari lahir, Ira. Moga hidupmu di sini dan di sana diberkati-Nya.



Secangkir Susu Insaf, Sebutir Kurma Maaf


Fajar Jumaat jilah

kita ulangi syahadah

Secangkir susu insaf
sebutir kurma maaf
sirna segala khilaf.

Wahai Pemunya Jiwa
terimalah syukurku pada-Mu
sepertimana kau telah menerima
saumku kerana-Mu untuknya.

Khamis, Mac 26, 2009

Pen Kuppaayam, Ijat Pakai Penuh Gaya

Lantang suara Ijat dan Fidah berebut Pen Kuppaayam putih berles merah mengalih tumpuan.

Ayah pujuk Fidah beralah kerana Ijat lebih muda. Lagipun Fidah dah lama pakai baju sejak Maarkham minggu sudah. Tapi Fidah enggan sebab geramkan Ijat curi bajunya untuk meraikan Aidiladha.

Ketika kedua-dua perempuan baru baligh itu asyik berebut-rebut, atuk senyap-senyap mengeluarkan pisau khas yang disimpan sehabis sahaja kerjanya minggu sudah.

“Siapa tak lepaskan baju tu, atuk potong bulu ketiaknya!”

Petikan cerpen Avule Aidiladha



* Foto sekadar ilustrasi sahaja

Masalah Berubah Faedah

Saya selalu teruja apabila dijengah masalah. Seseorang akan merenung mata saya dalam-dalam dan mengusap-ngusap belakang saya lalu membisikan "ayuh, segera kita ubah masalah menjadi faedah."

Sehari dua ini cuaca sering tak menentu. Jingga matahari pagi belum tentu berseteru dengan awan kelabu pada petang hari. Jiwa saya rencam bak percaturan alam. Saya telusuri pertuturan bahasa alam. Semuanya saya rakam dalam diam. Bagi saya, diam bisa menzahirkan cinta. Hari ini, saya berjaya mengubah sebuah masalah pergolakan jiwa menjadi sebuah karya. Saya harap sangat-sangat usaha saya ini dapat membantu merangsang semangat sahabat yang sedang memeram ilham demi menyahut cabaran seorang teman.

Dan saya sabar menanti saat saya berkongsi kebahagian yang sedang saya rasakan ini dengan seseorang yang sudi menemani saya iftar Maghrib nanti. Harapan saya, beberapa butir tamar syukur dan seteguk susu keinsafan bisa membahagiakan kami ketika berbuka bersama.


Selasa, Mac 24, 2009

Sejuta Ceria

Dek kerana memakan sesikat pisang semalam, pagi ini sejuta ceria menggebu dalam jiwa. Pasti protein trypotophan sudah diubah oleh tubuh saya menjadi serotonin berjaya membuat perasaan saya tenang dan bahagia. Potassiumnya pula membuat denyutan jantung saya lebih stabil sehingga oksigen mengalir ke otak serasa sempurna. Selepas berduet dengan sahabat menyanyikan Lagu Jiwa Lagu Cinta, (hahaha masing-masing berebut mahu pilih bait-bait nyanyian M. Nasir) saya pinjam suara Maya untuk mendendangkan bait-bait ini pula.

Terbitnya sinar mentari
Saban hari
Mengejut mimpi
Dari lena
Riang kenari
Di cemara
Mengusik sukma
Bunga-bunga matahari
Anggun mekar
Di taman sari
Warna jingga
Suntingan hati
Bagai tanda
Kasih bersemi
Hangatnya sinaran
Walau getir kutempuh dugaan
Menyahut wawasan
Ku pohonkan segunung harapan
Bangkitkan citramu insan
Dalam iman menyambut warisan
Seindah sinar mentari
Melewati di senja menanti.

Rastali, Jelai Berangan

Rastali, saya suka sungguh nama pisang ini. Tetapi Jelai Berangan jadi kegemaran. Masa kanak-kanak, saya dan adinda yang membesar di Pelabuhan Kelang memanggilnya pisang oren berdasarkan warnanya. Setelah berpindah ke Kelantan, saya begitu terpesona apabila ayahanda memberitahu nama sebenarnya ialah Jelai Berangan.

Maghrib Isnin tadi, saya iftar dengan tujuh biji pisang Jelai Berangan yang kulitnya bukan kuning bersih. Sahabat memilih kulit pisang yang berkarat (kuning berbintik keperangan) kerana menurut ayahanda pisang yang menadah embun sebegitu manis lagi enak.

Semasa menulis entri ini, tiga biji Jelai Berangan menadah embun saya makan lagi. Sepuluh biji semuanya - kerana itulah saya terpaksa menolak pelawaan seorang teman untuk menemankan saya berbuka puasa. Saya bimbang dia terbeliak mata memandang saya menghabiskan sesikat pisang untuk mendapatkan tenaga segera setelah hilang selera makan rentetan secara mengejut diserang demam.


Ahad, Mac 22, 2009

Setianya Dia

Gemersik suaranya membisik sebelum lena
betapa cintanya bagai ombak nan setia
yang mencumbui bibir pantai di seberang sini
sama seperti dicumbui bibir pantai di seberang sana.

Jaja Cinta

Bersepah di sini sana
Sang penjaja beria-ia
memperdagangkan cinta mereka.
Hari demi hari
cinta dijaja rata riti
mencari pembeli berpotensi.

Sabtu, Mac 21, 2009

Nyanyian Angsa

Seperti merpati, angsa juga sukar didekati. Pernah pada suatu musim Ramadhan lalu saya, rafik dan adinda hampir disondol angsa jiran sewaktu kami mahu ke balaisah menunaikan solat terawih. Apa pun jua, yang nyata kedua-dua haiwan ini dekat dan paling bermakna dalam sukma saya adalah citranya. Jelas pada mata jiwa saya sekawan angsa putih terbang dalam formasi 'v'. Allah Maha Suci!

Jumaat, Mac 20, 2009

Tamu Kalbumu Berwarna Baharu

Teruja aku menunggu
dikau memalitkan warna hitam atau kelabu
pada satu lagi watak baharu
yang bakal bertamu dalam kalbumu.


Hitam Putih Kehidupan - Sheila Majid

Lihatlah sekitar alam
Dunia luas terbentang
Langit tinggi kebiruan
Pohon-pohon kehijauan
Hembusan bayu yang menyegarkan

Dengarkan di sana-sini
Beburung riang menyanyi
Berbunga aneka warna
Sumber kedamaian jiwa
Mensyukuri nikmat Maha Esa

Begitu berharga kehidupan ini
Bagi mereka yang tahu menghargai
Mengapa terdorong oleh perasaan
Kalau turutkan hati diri menjadi korban

Tiada yang dapat lari dari masalah diri
Hadapi lah dengan tenang
Tiap cabaran yang datang
Atasinya dengan keimanan

Sekadar buat renungan
Untukmu teman tersayang
Hitam putih masa depan
Sendirian menentukan
Hidup ini usah persiakan

Segak Tak Sangga, Manis Tak Bergula

Teman maya saya bersenda mengusik saya dengan berkata "Muka hang dalam gambaq, lawa sungguh. Segak tak sangga, kata orang utara." Kata-kata itu juga mengingatkan saya pada gurauan seorang teman jiwa yang berkata "manisnya dia tak bergula, macam beras pulut atau ubi dilumur ragi, bak kata orang Melaka."
Kata saya: Aduhai indahnya bahasa Melayu kita. Seindah jiwa pemuda berbatik ungu mengiringi dua tokoh pejuang bahasa ibunda yang diundang penguasa untuk bersemuka.

Dia Di Mana?

Satu kata tanya paling dia suka
"dia di mana di antara kita?"
lalu dia pun ketawa semahunya.

Satu fragmen lagi siap dirangka
bagi menyudahkan sebuah novel kehidupan
beraneka citra, warna dan rupa.

Lagu Watak Kelabu

Seorang teman pernah suatu ketika dahulu, ke rumah saya dia sering bertamu. Dia fanatik lagu Melayu asli sementara lagu-lagu lain sangat tidak dia gemari. Tetapi, sewaktu saya menyanyikan lagu ini, "inilah satu-satunya lagu Hindi yang kugemari", dia akui.

Sejak akhir-akhir ini, jiwa saya kembali meronta-ronta meminta anggota suara saya mengungkapkan bait-bait lagu ini setelah jiwa sarat menyekam sebak menonton episod-episod kelabu kian berbalam dalam novel kehidupan seseorang.


Seperti kata abang angkat saya, Fazal Bhayya "Tiada siapa boleh kata apa, ini jiwa punya kerja." (Saya sungguh bangga dengan Fazal Bhayya kerana sedaya upaya cuba berbahasa Melayu walaupun berbangsa Pushto).

Kepada teman yang pernah bertamu dan berlalu dengan mencacakkan belati di kalbu, buat teman maya yang sedang rawan pilu dan untuk teman di kota batu yang keliru...

Jaadu sa chhane laga
Paagal banaane laga
kuchh yaad aane laga
Kuchh bhool jaane laga
Kya na kare kya kare
Ye dil kya kare
Kya na kare kya kare
Ye dil kya kare

Deewana paagal sa dil
Aankhon ke kaajal sa dil
Lehraate aanchal sa dil
Zulfon ke baadal sa dil
Tarse na ye barse na ye
Ye dil kya kare
Ye dil kya kare

Jaadu sa chhane laga
Paagal banaane laga
kuchh yaad aane laga
Kuchh bhool jaane laga
Kya na kare kya kare
Ye dil kya kare
Kya na kare kya kare
Ye dil kya kare

Tumse chura lein tumhein
Sabse chhupa lein tumhein
Jaan se laga lein tumhein
Apna bana lein tumhein
Main betaab hoon tu bechein hai
Ye dil kya kare
Ye dil kya kare

Jaadu sa chhane laga
Paagal banaane laga
kuchh yaad aane laga
Kuchh bhool jaane laga
Kya na kare kya kare
Ye dil kya kare
Kya na kare kya kare
Ye dil kya kare.

Khamis, Mac 19, 2009

Tubamu Kubalas Susu

Pernah semasa usrah di sekolah menengah, ustazah berkisah
perilaku Umar Al-Farouk membalas kebaikan
di atas kejahatan yang diberi manusia kepadanya.
Ejek, olok-olokan dibalas dinar, celaan dibalas doa.
Lantaran tidak mahu memaku, mencabut paku
dan meninggalkan kesan lubang
pada dinding kalbu seorang teman
maka aku memilih membersihkan kedainya
selama 1 jam
sesudah dia menipuku dengan janji palsu
dan membuat aku menunggu
selama 45 jam sejak selasa lalu.

Wahai Umar,
pinjamkan daku sabar
kerana semua tuba yang kuterima
mahu kubalas susu.

Ahad, Mac 15, 2009

Drama Ini, Ingat Tak Lagi?

Hujan pagi saya redah untuk ke Jertih memenuhi walimah. Zulkarnain, sepupu rafik bertemu jodoh dengan gadis Kampung Balik Bukit. Sewaktu melihat papan tanda Kampung Bukit Yong, segera saya teringatkan teman sepersekolahan yang rumahnya terletak bersetentang dengan papan tanda itu. Dia sungguh kreatif mengakronimkan namanya dengan kampungnya menjadi RAMONO KABUYO (Raihanah Mohd Nor Kampung Bukit Yong).

Dia senior saya setahun, tapi kami jadi akrab selepas bertemu dalam bilik tv kerana drama bersiri Kantonis
The Turbulent Decade menjadi kegilaan kami.

Selepas "prep" petang, kami antara yang paling awal menunggu bilik tv dibuka. Paling saya tak lupa ialah apabila saya sering diberinya Cornetto (dulu, aiskrim jenama itu hanya mampu dibeli oleh anak golongan elit di Naim Lilbanat) sebagai upah saya mendendangkan lagu tema drama bersiri itu pada prep malam bagi meredakan kerinduannya kepada hero drama itu, Eddie Cheung Siu Fai dan heroinnya Jamie Chic Mei Chun.

Hingga sekarang, setiap kali melalui sempadan Kelantan-Terengganu itu, saya selalu ingat Ramono Kabuyo sebagaimana tak lekang di ingatan saya lagu tema drama bersiri itu nyanyian Alan Tam.

Sabtu, Mac 14, 2009

Fuhh! Mi Rebus

Ah, agak lama juga aktiviti kegemaran saya lupakan. Stamina kurang dan badan berasa sakit-sakit sebab lama tidak bersenam atau berjoget. Ya, sejak adinda saya diwadkan, jiwa saya kalut sedikit. Jumaat kelmarin, dia dibenarkan pulang. Saya bersyukur bukan kepalang. Hari ini, seharian saya memantau kerja-kerja percetakan di kilang. Malam menjelang, berkombinasikan cahaya bulan dan neon jalan, saya dijamu mi rebus oleh seseorang. Fikiran pun melayang pada kenangan menghirup mi rebus Stulang. Alahai, tiba-tiba rindu datang.

Laman Ini, Kita Ziarahi Kembali

Puyan berganti puyan
dari kemarau ke tengkujuh
kegusaran fikiran, kegalauan perasaan
mengalih tumpuan ke laman hadapan
kita pun berenggang dengan laman belakang
hingga meliar rerumput dan mempelas
menutupi kantan, serai wangi, inai, dan lengkuas
pohon halia, kunyit, keledek, serai, tebu dan temu pauh
sukar dipandang dari jauh.

Teja tadi, di laman belakang
buat ke sekian kali kita ulangi hobi yang dikongsi
menghayati keindahan matahari membenam

dengan mata terbuka
setelah sekian pagi, di laman hadapan
kita nikmati kehangatan matahari mengembang
dengan mata terpejam.

Rabu, Mac 11, 2009

Bulan Berlingkung Di Padang Embun

Sekembali dari mengambil anak Cik dan Paknik yang bekerja di sebuah pasaraya di Kota Bharu hampir jam 11.00 semalam, ke langit jauh saya lontarkan pandangan. Secepat kilat saya rangkul bahu sahabat. Ke arah bola bergelang, telunjuk saya tepat dan mata saya cerlang. Bulat mata sahabat menancap lapis berwarna-warni melingkungi bulan 13 hari.

Saya yakin, fikiran kami seiring mengiringi lirikan mata yang saling memicing. Cerpen tahun 90-an itu ada mengungkap pemikiran masyarakat dahulu kala yang percaya akan petanda mala petaka jika ada lingkungan pada bulan.
Pada tafsiran sesetengah warga lama, itu tandanya hujan atau kemarau akan tiba. Cerpen itu turut merakam kisah pertumpahan darah di Pasir Pekan! Pendek kata, segalanya petaka. Alamat musibat bagi yang percaya kepada tahyul dan khurafat.

Suasana pegun agak lama, rumah kami yang berlokasi di tepi jalan utama ke Kota Bharu bagai disambar garuda. Sepi tanpa sebarang kenderaan. Cuma kami dua orang sahaja menguasai jalan. Kami saling tak putus melihat, genggaman tangan kami mengerat. Sejurus bertakbir dan bertahmid, kami tak lupa beristighfar serta membaca doa tolak bala. Tiba-tiba saya rasa ada gema dalam jiwa yang menunda peti suara saya menyebut nama seseorang yang tidak pernah saya bersua muka.

"Dr. Fatimah Busu..." sepenuh sukma saya seru nama itu, "bukan di Pasir Pekan sahaja, bulan berlingkung di Padang Embun pula."

Sungguh pun minda saya disuluhi ilmu tentang atmosfera lembab disurih oleh sinar bulan menerbitkan lapisan warna-warni berlingkung itu, perasaan saya masih pilu.

Saya menapak longlai memasuki kediaman. Satu demi satu urutan kejadian menerkam perasaan. Sudah berbulan-bulan ayahanda dan bonda di Terengganu terlantar keuzuran, sudah seminggu adinda bongsu saya diwadkan, kelmarin teman yang akrab di jiwa saya didiagnosis dan perlu segera merujuk pakar perubatan. Baru sebentar tadi, teman maya pula memberitahu terpaksa bergegas ke klinik kerana kesakitan mata dan dada tidak lagi dapat ditahan.

Aduhai, sudah berkali-kali sebak yang nazak dalam dada saya tunda ledakannya. Sedaya upaya saya berdoa dalam solat dan bersabar dalam saum diiringi gugusan Tafrijiah buat kalian. Ayuh kita saling pesan berpesan, redhalah menerima ujian. Apabila kesihatan dikembalikan bersegeralah membuat berbanyak-banyak kebajikan, singkirkan sifat dan tabiat yang mermbinasakan sebagai bukti kesyukuran kepada Tuhan Sekelian Alam.

* Bulan Berlingkung Di Pasir Pekan, cerpen karya Dr. Fatimah Busu berkelahiran Pasir Pekan kini bermastatutin di Bayan Baru, Pulau Pinang.

* Sekalung perhargaan kepada Dr. Fatimah Busu yang sudi menjawab panggilan telefon saya jam 6.30 tadi. Apresiasi setulus budi untuk segala ilmu yang diberi dan bagi semua kisah yang dikongsi.

Isnin, Mac 09, 2009

Silat Lompat!

Dalam masa-masa senggang dicelah-celah kesibukan kerja, berkarya dan memenuhi tuntutan sosial, saya berkesempatan memenuhi pelawaan rakan dan teman menonton persembahan silat.

Gamaknya, tak rugi saya penuhi undangan mereka yang kelihatan suka sangat-sangat melihat gelagat sang pesilat.

Saya tanya silat apa yang kalian lihat? Mereka ketawa terbahak-bahak. Kau tengok sendiri, kemudian namakan jenis silatnya, kata mereka dalam ketawa yang belum reda.

Silat jenis apa ini? Saya terus berteka-teki. Nak dikatakan Silat Pulut, tak nampak pula sajian pulut kuning atau pengantin bersanding. Silat seni, tak pun silat olahraga? Jauh sekali, sebab tiada temasya sukan dipertandingkan. Sungguh silat yang kami tonton ini sangat aneh bunganya. Belum apa-apa, si pesilat sudah melompat-lompat dan terkinja-kinja.

Seseorang di sisi saya berjenaka, kalau begini rupa dan gayanya, kira-kira jadi kera, hitung-hitung jadi lutung, sindirnya setelah meluat melihat gelagat pesilat yang kalut meraban sini menonyoh sana.

Sedang saya terkulat-kulat mencari nama dan memahami seni bunga silatnya, rakan dan teman yang tak henti ketawa pun berkata, inilah Silat Lompat pendekar terkelendat meraikan hayat mencecah separuh abad.

Kasih Kekasih

Kekasih,
terima kasih
atas segala cintakasih
yang kau beri tanpa pilih kasih

terimalah selawat
ku dan saumku
tanda cintakasihku padamu

dan kepada Kekasihmu.
Selamat Ulangtahun kelahiran buat mu, Kekasih
dan buat bonda yang berkongsi tarikh
kelahiran Isnin, 12 Rabiul Awwal yang sorih.

Ahad, Mac 08, 2009

Bi Ea Di Yu Ti

Hampir 36 tahun meminjam udara-Nya, sudah ramai saya jumpa. Bukan seorang, tidak juga dua malah tiga dan lagi dan lagi gerangan makhluk ini berkeliaran di segenap pelosok dengan hidung merah sengaja dikeruk-keruk atau mata liar yang keterlaluan dikelip-kelip hingga kelihatan amat buruk sambil terkersing kernyih mengharap khalayak tersengih. Harap punya harap, sampai tertiarap.

Setelah diagah-agah atau buat lawak mentah adalah dua tiga orang kanak-kanak yang menggelekek, bakinya ramai yang tarik muka bengang. Ada khalayak dewasa buat-buat paling muka, meluat tak usah cakap. Namun, dek kerana kasihan, orang awam terpaksa melindung reaksi bimbang makhluk itu berkecil hati dan gundah kerana gelagat mereka tidak khalayak endah. Malah nak muntah!

Gumam seseorang, biarkan... biarkan. Mereka cuma cari makan atau sekadar mencari dan memberi hiburan. Kalau setakat memutihkan muka yang hitam atau mencontengnya supaya tidak dikenali orang, masih boleh dimaafkan tapi janganlah bersikap melampaui batasan akhlak dan kesusilaan.

Walaupun kata seseorang, kadang kala mereka berkelakuan agak keterlaluan , ia jauh lebih digalakkan daripada membakar bangunan atau menembak pengawal keselamatan atau membunuh orang awam atau mengurat tunangan orang atau merosakkan anak dara orang. Baiklah mereka cari wang dengan rela memerahbulatkan hidung kembang, berbaju atau berseluar belang-belang sambil mengelip-kelipkan mata buntang dengan punggung digoyang-goyang ketika berjalan terhoyong-hayang atau mengomel yang bukan-bukan.

Tapi kata seseorang lagi, golongan ini bukan sahaja melalut di pasaraya atau pesta ria atau berlawak jenaka di pentas lipur lara bahkan ada di kalangan mereka yang kemaruk memberi nilai tambah populariti mula melalut dalam talian maya juga!

Mereka nama apa?

Hey, bukankah sudah dinyatakan awal-awal tadi, tak mengapalah, saya ulangi sekali lagi, Bi Ea Di Yu Ti.

Sabtu, Mac 07, 2009

Ingat 5 Sebelum 5


Petang Khamis Mac 5, saya berkira-kira mahu mengalihkan pokok- pokok bunga yang subur mekar di laman kasih ke pasu yang lebih besar. Satu persatu kerja rumah saya atur mengikut jadual. Aduh, agak dan congak saya kesasar. Lima sebelum lima membuat saya benar-benar sedar.
Jumaat saat mentari mengkal, saya dan rafik bergegas ke hospital. Adinda saya yang Kelisanya remuk tempohari rupa-rupanya bukan sahaja pecah bibir mulut. Mulai jam 8 malam Khamis itu dia meraung sakit dalam perut. Dari hospital daerah di Lati, dia dihantar kembali ke HBKB sejurus kirmizi pergi. Jumaat tenat mengubat sebak dalam jiwa kami sekeluarga ketika berada di dua hospital yang berbeza buat saya dan sahabat sungguh-sungguh penat.

Pada kesempatan ini, saya mewakili seluruh keluarga Zanzaly merakamkan jutaan terima kasih kepada semua yang sudi menziarahi kami di hospital dan di rumah serta saudara mara dan handai taulan dari jauh yang tak lupa mendoakan kesihatan adinda bongsu saya. Sdr Persis Minda, sungguh kami hargai ziarah anda. Kami juga mendoakan kesihatan adinda sdr segera pulih seperti sedia kala.

Maaf, saya tidak boleh berlama-lama kerana mahu bergegas lagi ke sana.

Rabu, Mac 04, 2009

Watikah Sebuah Anugerah

Kantan, mekarmu di laman
lambang teguh kasih dua rafik
dari tanah Tok Ku Pulau Manis
dan Tanah Serendah Sekebun Bunga

bermuafakat membina rumah sahabat
di desa Padang Embun
meraikan genap dua tahun
kelopakmu mekar tersenyum
merenjispilis rafak syukur kami
yang terhimpun.







Sepanjang diari persahabatan
sering kita rancang sesuatu di luar kelaziman
agar indah mudah dirakam kenangan.
Ulang tahun kedua bermukim di Padang Embun
kantan kasih gebu permai
kita kucup dalam renyai nan damai
seraup doa kudus kita aminkan bersama
kala bulir pertama
embun dinihari serta untaian di pipi
mengguyur dalam pelukan syukur.
Ahad pagi nan syahdu berangkat kita ke desa kelahiranmu
di situ, kata mu, kesinambungan setiakasih berpadu
senyumyakinmu mencumbu sekelip pejamdiamku
kita tahu sama tahu
betapa kita tidak mahu ini dan itu
kecuali satu
sebuah anugerah terindah
diwatikah mawaddah wa rahmah
santun sembah rafak pasrah
telapak tangan kita menadah.

(ilham dalam bas SP Bumi sepanjang perjalanan dari KB-KT, 1 Mac 2009)

Anda Mampu Mengubah!

Kepada semua pengguna jalan raya, saya seru, saya rayu. Tolonglah berhati-hati dan waspada selalu ketika memandu. Adinda saya yang bongsu menemui sesuatu yang kita semua tidak mahu sewaktu memandu dalam hujan lebat menuju ke tempat kerjanya jam 8 pagi kelmarin. Kelisanya remuk merempuh pembahagi jalan di simpang Wakaf Che Yeh, mujurlah dia cuma sakit di perut dan pecah bibir mulut. Semalaman di wad HBKB, alhamdulillah petang ini, dia sudah dibenarkan berehat di rumah. Sehari semalaman debar dada saya berdetak tak keruan. Rawan menemani malam. Teringat gemulah adinda ketiga saya dan dua adinda sahabat yang menemui ajal akibat kemalangan.

Sekali lagi, tolonglah...biarlah kita dikatakan tak macho, tak teror, tak ini tak itu asalkan kita tahu di mana jalan untuk memandu, di mana tempatnya untuk bakat dan kebolehan diadu. Pernah saya disindir teman (yang kononnya ratu pecut di jalanan) kerana memandu mengikut peraturan. Hey, saya bangga bergelar pemandu berhemah. Dan anda juga mampu berubah!