Hak Cipta Terpelihara. Sebarang item yang mahu diambil daripada blog ini wajib mendapat keizinan pemilik blog. Budi Bahasa Amalan Kita

Isnin, Ogos 17, 2009

Malam Larut Begini...

Malam larut begini,
menerawangkan bicara seorang abang
"suci sekeping hati
jika kau beri kepada manusia
lumat binasa mereka kerjakannya
sebaliknya,
hatimu yang telah musnah jika kau serah
kepada Penakluk Cinta, bakal kau terima
sekeping hati yang telah sempurna diperbaiki."

Bicara itu
menenggelamkan seluruh aku
ke dasar cinta-Nya.


Malai rinduku merintih kecintaan
Duduk termenung hanya bingung kerinduan
Walaupun jauh dari nyata
Kasih dan sayang telah lama kusatukan
Semua kasihku dalam gemala
Ke laut jawi 'kan kukirimkan sana

Duhai kasih hijabmu di sini
Masyhur rupamu di mata kalbi ini
Berbaringan diusik rindu azali
Di manakah kekasih yang jauh dariku
Memakan debu... rindumu
Segenap nafasku melihat renunganmu
Wangi dan harum kau kekasih
Antara lamunan segala kalimahku ini
Siapa yang mengerti

Menghilang tahun kutahan dahaga
Setelah habis madah untuk sang puteri
Pautan kasih kukenal sendiri
Teringin ku melihat sebalik hijabmu
Wajah yang kupuja

Kekasih... lama sudah aku merindu
Larut nan denai larat nan damai
Haram kelamin untuk kita bercerai
Rasa kasih dan sayang dalam keredaanmu

(M.Nasir/Seth)

Rabu, Ogos 12, 2009

Pelangi Petang

Ribut gasang semalam
rakus memperkosa mentari muda
rawan hari meruntun hati
sepasang tangan gagah merentang Tafrijiyyah

langit girang berdakapan pelangi petang.

(30 hari mengimbau kenangan sebuah pertemuan di Kemaman Kopitiam)


Selasa, Ogos 11, 2009

Kucupi Keringat Duka

Menghadap cermin diri
pandang megah wajah yang luka parah
keringat duka di dahi,
kucupi dengan hangat cinta Rabbani.

Isnin, Ogos 10, 2009

Rumi, Puisimu Mengungu Rindu

Dar jam-i may awikhitam/andisya ra khun rikhtam/
ba yar ikhud amikhtam/zira darun-i parda'am
Aku bergelayut di cawan anggur dan dukaku dalam darahnya karam. Aku berpadu dengan kekasih di balik tirai.

dawran kunun dawiran-iman/gardun kunun hayran-iman/
dar la-makan sayran-i man/farman zi qan awurda'am
Kitaran tubuh kini kitaranku; langit berkilau menembusku. Perjalananku kini sampai Negeri Antah Berantah; sebuah perintah Tuhan kubawa sudah.

petikan dari sumber ini.

Tukaran Seni, Cerminan Hati

Puisi ini saya petik dari laman jiwa akrab saya; Kata Dari Jiwa dengan tukaran nilai seni foto rakaman saya yang mengabadikan saat hangat mesra kaki telanjang penyairnya mencumbui mulus buih ombak Pantai Cahaya Bulan. Foto itu terbukti serasi, tambah mengindahkan lagi bait-bait puisi nan indah ini.


Namamu Di Buku Takdirku

Dalam kelam, kuberdoa engkau datang
andai kau tahu bagaimana rasa kesepian, resah menyerang
atau ketika malam tak berbintang, bulan buram
aku bernafas dalam air, selautan kenangan
jiwa bersenandung irama diam.

Ingin rasanya kugulung seluruh bumi
atau kusedut air, keringkan segara
hingga dunia semuanya sahara
belum cukup lagi, pedihnya terluka
cinta menjadi prahara.

Patutkah aku berulang kali mendongak
langit yang terlakar wajahmu
berdoa Tuhan tak memadam paras itu
terlalu tebal dakwat penaku menulis namamu
dalam buku takdirku.

Kamar Pilu
05.08.09

Ahad, Ogos 09, 2009

Nyah Resah

Argh!
Payah
mengenyah
renyah resah
yang tidak sudah-sudah
menjarah!
-Auditorium MARA, Kota Bharu.
08.08.09


Isnin, Ogos 03, 2009

Menyurih Algoritma Kasih

Geometri hubbullah suci bersih
menyurih algoritma cintakasih
putih jernih hatibudi kekasih.

Sabtu, Ogos 01, 2009

Bertaut Erat Akrab Sahabat

Setiap Ahad pertama Ogos mengisytihar dan menebar Salam Persahabatan Sedunia. Namun saya suka meraikannya sehari lebih awal kerana keterujaan yang memuncak teristimewa buat semua penjulang teguh tonggak setiasahabat, yang bertemu dan berpisah demi Rabbul Izzat. Berkasih sayang sesama insani, moga kita adalah di antara tujuh golongan yang dinaungi Tuhan, pada hari perhitungan.

Rafikku, terima kasih atas segala manis hempedu dan pahit madu yang kau berikan 'rasa' yang tersendiri selama tiga belas tahun kita teguk bersama susu ikhlas seusai menyuap nasi manusiawi dari talam tulus kasih Tuhan. Ayuh, kita raupi doa tonggak persahabatan kita kian utuh untuk tiga belas tahun mendatang, berkekalan zaman berzaman sehingga kita dipanggil pulang.

Diriwiayatkan oleh Muslim di dalam hadis Qudsi yang bermaksud:

"Di manakah orang-orang yang berkasih sayang kerana kemuliaanku pada hari ini, Aku perlindungi mereka di bawah naungan-Ku pada hari yang tiada lagi naungan kecuali naungan-Ku"

Alangkah tingginya kemuliaan mereka. Alangkah sempurnanya ganjaran yang akan mereka perolehi kerana mereka berkasih sayang kerana Allah. Sesungguhnya cinta kerana Allah bukan kerana sesuatu yang lain sahaja yang ada dalam hidup ini. Hidup ini adalah hidup yang penuh dengan pelbagai kepentingan diri dan pelbagai perkara yang disukai hawa nafsu. Jadi, cinta kerana Allah dalam suasana yang demikian sangat payah untuk dicapai dan dicari. Tiada siapa yang mampu mencapainya kecuali orang yang telah bersih jiwanya, tinggi semangatnya dan mereka mampu melihat betapa hinanya dunia ini berbanding keredhaan Allah. Tidak hairanlah kalau Allah telah menyediakan bagi mereka darjat yang tinggi sesuai dengan ketinggian mereka di dunia dalam mengatasi segala kesibukan dunia yang serba mewah dan penuh dengan perhiasan ini.

Kita dapati keterangan demikian dalam hadis yang diriwayatkan oleh Muaz dari Rasulullah S.A.W baginda bersabda:

"Allah Azzawajalla berfirman: orang-orang yang berkasih sayang kerana kemuliaan-Ku, mereka mempunyai beberapa-beberapa mimbar daripada cahaya, para nabi dan syuhada yang menyukai mereka " (riwayat Attarmizi).

Renungkan seketika hadis diriwayatkan Abu Hurairah (R.A), maksudnya:

"Bahawasanya ada seorang lelaki yang pergi menziarahi sahabat di sebuah kampung yang lain, lalu Allah menyuruh malaikat memerhatikannya di atas jalannya. Tatkala sampai, malaikat itu pun berkata: Engkau hendak ke mana? Lelaki tersebut menjawab: Aku hendak menemui seorang sahabatku di kampung itu. Malaikat bertanya lagi "Adakah engkau telah berbudi kepadanya dan engkau mengharapkan balasannya?" Beliau menjawab " tidak, aku mencintainya kerana Allah" Maka malaikat itu berkata kepadanya "Bahawa sesungguhnya aku ini adalah utusan Allah kepada engkau, sesungguhnya Allah telah mencintaimu sebagaimana engkau mencintai dia kerana Allah.

Alangkah besarnya cinta sedemikian yang mengangkat manusia sampai ke darjat di mana Allah mencintai dan meredhainya.


Rafik, ajakanmu untuk ke Konya semalam adalah hadiah paling indah, meraksa rindu kita pada Rumi dan Tabrizi yang berladung tak terbendung.