Hak Cipta Terpelihara. Sebarang item yang mahu diambil daripada blog ini wajib mendapat keizinan pemilik blog. Budi Bahasa Amalan Kita

Jumaat, Januari 30, 2009

Z2R di Sri 7

Cuti petang Jumaat membuat saya dan sahabat memasang hajat untuk berehat. Lalu, kami pun bersiap-siap menunggu seorang rakan untuk sama-sama beriadah dan merawat minda di persisiran Laut China Selatan. Ayuh, sesiapa mahukan Riadah & Rehat bersama Z2R, sila sertai Santai Puisi Jumaat di Sri 7 Tumpat. Jumpa di sana, ya!

Argh! Empat jam mencumbu bayu Sri 7 memang mengasyikkan. Sahabat ghairah mengagah angin manja dengan layang-layang mesra bertemankan kegirangan. Banyak bual bicara tentang jiwa, tentang rasa, tentang hari muka, tentang budaya, tentang idea dan bait-bait puisi melarut dalam pawana segar petang Jumaat di Sri 7, Tumpat.




Pada sasa dada langit biru
dirakam bayang-bayang rindu
dalam desir angin manja
dianjung layang-layang mesra
ombak mengelus bibir pantai
jiwa selesa dibuai damai.





Saya cuba mendakap udara segara China Selatan seeratnya agar komposisi oksigen memenuhi rongga dada dan jantung berupaya mengepam darah untuk mengalirkan oksigen secukupnya ke minda pula. Minda saya lega. Jiwa saya bahagia menikmati keindahan alam Tuhan.


Ketika langit menyarung kerudung jingga, kami pamit pulang dengan sejuta keindahan di jiwa dan memasung jari-jemari berjanji pada desir ombak bersaksikan pasir pantai untuk ke mari lagi dengan tatangan sedulang kasih sayang sesama insan.





Khamis, Januari 29, 2009

Gong Xi Fa Chai dan Makan Gulai

Rabu berlalu bersama hilal Safar mempersilakan Muharram beradu. Saya meladeni rutin pejabat seperti selalu berselang-seli bari sahabat perihal watak-watak kelabu dalam fragmen novel kehidupannya satu per satu. Kami ketawa dalam istighfar setiap kali lucu menjentik kalbu.

Meneliti 'setting' kad undangan yang menimbun di atas meja, ada rasa yang mengusik minda. Segera saya ajak rakan sekerja bersiap cepat untuk memenuhi undangan walimah pelanggan. Itu juga rutin yang tidak boleh ditidakkan sebagai timbal balas penghargaan pelanggan yang menyokong dan menghargai kerja-kerja seni kami di noble art.

Beberapa tahun kebelakangan, Safar adalah bulan paling ditakuti orang untuk dibuat sebarang majlis keraian terutama ke jinjang pelamin. Bimbang sial dan celaka mendatang. Tapi sekarang semua itu sudah tidak menjadi halangan. Pasangan bercinta pun berlumba-lumba menempah kad undangan perkahwinan. Sebagai usahawan, saya sangat gembira kerana minda masyarakat sudah terbuka. Bukan hanya kerana mendapat laba, tapi yang utama, khurafat sudah dapat dihapuskan daripada pemikiran umat. Aneh bukan, mengapa mesti dikaitkan bulan dengan aral yang melintang? Bukankah qada' qadar itu urusan Tuhan?

Nah, bukankan senang apabila semua orang sudah celik minda? Sebagai usahawan yang menyediakan perkhidmatan mencetak dan merekabentuk kad undangan tentunya saya gembira kerana beroleh pendapatan berlipat ganda. Dan kepada pasangan bercinta pula, mereka melompat ria kerana dapat berkahwin tanpa ada halangan bulan berapa patut dilangsungkan. Ya lah, siapa yang tidak mahu kahwin cepat oii. Pernah ada pasangan yang tarik muka apabila terpaksa menunda atau mengubah tarikh majlis setelah ditegah ibu bapa mereka agar jangan mengikat pertunangan atau mendirikan masjid pada bukan sekian-sekian, takut jodoh tak panjang.

Cuma kepada yang lambat jodoh, usah gundah, kerja Tuhan maha seni dan rinci. Justeru, pasti akan kalian temui cinta sejati. Nantikan ia dengan sabar dan doa setulus hati.


Tanpa sengaja, saya tiba-tiba sahaja mencatatkan entri sebegini. Barangkali cuti Tahun Baharu Cina sinonim dengan acara kenduri. Apakah ini satu ketentuan atau kebetulan?

Selasa, Januari 27, 2009

Fragmen Novel Kehidupan

Usai bercakap di talian, terpacul sebuah ujaran.
"Yang itu begini, yang ini begitu.
Semuanya hanyalah watak-watak kelabu
dalam fragmen
sebuah novel kehidupanku."
Dan saya di sebelahnya, terkesip-kesip diam
menahan kesakitan tusukan satu soalan
yang menyekam fikiran,
"Itukah tujuan manusia diciptakan?"


Nuansa Cinta

Laman maya
merakam perbualan dua rakan lama

yang lebih sedekad dijarakkan alamat dan pendapat.
.
Katanya:
Tulisanmu kini bernuansa nostalgia dan cinta,

ada apa-apa yang kau mahu aku tahu?
.
Jawab saya:
Dari dulu dan seperti selalu, aku benci perang

justeru aku memilih untuk sentiasa berkasih sayang.
.
Balasnya semula:
Hey, kau fikir aku sudah lupakan, ya?
biarkan bunga berkembang
di atas tangkainya
janganlah dipetik sayang
nantikan merana
...

Lalu dia menamatkan bicara
dengan sesuatu yang sangat mempesona.



Isnin, Januari 26, 2009

Tari Ilusi

Larut malam semalam
mimpi lancang bertandang
seluruh indera memaksa jiwa menari
mempersembahkan sebuah tarian ilusi
pagi menyentap mimpi pergi
meninggalkan aku yang berkeringat di hati.

Ahad, Januari 25, 2009

Sukma Anginnya Pun Berlalu...

Semasa menulis entri Semilir Pagi Serangkap Puisi,

satu pesanan ringkas masuk ke telefon genggam saya.

"Sukma Angin"nya, sudah pun berlalu

meninggalkan dermaga kehidupan fana

dalam atma saya sayup-sayup bergema,


selamat berlabuh di pelabuhan abadi

wahai Sasterawan Negara, ARENAWATI

Pantai Harapan yang kautinggalkan

kuziarahi buat kesekian kali

semoga pusaka tintamu

dihisab sebagai amal mulia oleh-Nya.


Semilir Pagi Serangkap Puisi


Dingin malam tadi, santun melentur tegur semilir pagi ini. Kuntum senyum megah ceria menyapa mesra warna-warni ranggi puspa di laman jiwa.

Usai sesi memanaskan badan, saya bersenam dengan lompatan bertali. Sebagai pelengkap hari, dua keping roti, hirisan epal dan segelas susu segar sempurna sebagai sarapan pagi.


Langsir putih berikat riben merah di ruang tamu menari-nari gemalai dihembus silir pagi membingkis memori pada seseorang yang pernah menitipkan puisi ini:


Angin berpuput pagi

mentari merah senja
kasihku segar mewangi
hanya padamu saja.



Jumaat, Januari 23, 2009

Sebuah Gitar Menggamit Nostalgia


DAVID KUAN, insan pertama berjaya menambah gula pada wajah cuka saya. Kerinduan yang mendalam pada keriangan rakan-rakan, pada keramahan guru-guru, pada aroma dan kelazatan nasi lemak daun pisang* makcik kantin di SK Pelabuhan Kelang, beransur-ansur menerima penawarnya.

.

Bukan sahaja kerinduan yang menyekam menjadikan saya murid pendiam, ketidakmahiran dan ketidakfahaman saya berdialek Kelantan juga menjejaskan perbualan saya dengan rakan dan guru-guru di sekolah baru.

.

Renungan matanya yang dalam, saya balas dengan curi-curi pandang. Bicara dalam diam kami, menerbitkan satu bentuk komunikasi paling sunyi. Tetapi, paling seni.

.

Selaku murid baru di sekolah itu, saya terpaksa bersaing dengan murid lama untuk mengetuai orkestra mini sekolah yang sering mendapat perhatian setiap kali Majlis Hari Penyampaian Hadiah.

.

Guru Tionghua itu, entah mengapa selalu menyisipkan notasi-notasi baru pada papan lagu milik saya. Dan, saya pula entah mengapa tanpa sepatah kata akan segera mengemam bibir rekorder rona putih anggerik, jari jemari pantas lincah menari, memetiknya penuh asyik dalam helaan dan hembusan nafas sepenuh jiwa. Dan dia pula serta-merta mengiringi saya dengan petikan gitar akustiknya.

.

500 Miles, Senja di Kuala Lumpur dan Istana Ratu, antara lagu-lagu wajib yang menjadi kesukaan saya. Dan, sebagaimana entri Senandung Cinta Di Relung Jiwa saya juga tidak tahu siapa pemilik dan penulis lirik lagu “Istana Ratu”. Yang saya tahu, suara cikgu itu sering memalu tabuh rindu di kalbu:


Sungguh amat indah Istana Ratu

Menarik pandangan hati dan kalbu

Ingin pula daku menari-nari

Terbit pula rindu untuk menyanyi

.

Ratu… yang mulia mesra

Sungguh… membanggakan jiwa

Menawan hati sanubari

Membangkitlah kini rasa penuh kasih

.

Sambut pujaanku yang mulia ratu

Sambut nyanyianku di hati rindu

Indah bagai mimpi di senja suci

Ingin menari, kuingin menyanyi.




Setelah mahir menguasai rekorder, saya diberikan peluang meniup dan memetik pianika. Ia mendekatkan saya kepada keyboard dan organ pula. Kini, saya akrab dengan sebuah gitar akustik pemberian seorang teman yang dekat di jiwa muzik saya.

.

* Namun aroma nasi lemak daun pisang itu, hingga kini masih saya rindui. Setiap kali menziarahi nenda di Klang, saya pasti mencari-cari aroma dan rasa yang serupa dengan nasi lemak daun pisang buatan makcik di kantin SKPK pada tahun 1980-81 dulu, seperti inginnya saya bertemu dengan guru muzik lulusan MPIK itu. Bila dan di manakah akan saya temui kedua-duanya lagi?







Rabu, Januari 21, 2009

Sejambak Anggerik Dari Langit

Tatkala matahari bergaun jingga
meleretkan senyuman di tubir jendela
sejambak anggerik tercampak dari langit
kita pun serentak mengerling sekilas
pada sejambangan anggerik putih di sisi
bersisipkan bait-bait puisi
"Senyum dan Diam" di atas meja kopi.


.

Selasa, Januari 20, 2009

Senandung Cinta Di Relung Jiwa


Ini adalah rakaman sebahagian daripada bait-bait kata
yang amat saya gemari sejak usia remaja.
Bahkan hingga sekarang saya selalu mendendangkannya
setiap kali bersantai lewat senja
kala teja masih bersisa
atau kirmizi tersenyum manja
menyambut saya pulang dari kerja
atau melatari suasana dan menyapa mesra
sewaktu saya menguak jendela kaca
untuk berjeda seketika setelah penat berkarya
merenung relung-relung sawah
di belakang rumah.

Takul labah-labah, pepatung merah dan sepoi angin
turut menyanyi mengiringi orkestra jiwa
sekawan merpati menari-nari riang
di perdesaan Padang Embun dalam remang petang.

Malang sekali,
sehingga kini saya masih tidak pasti

apakah judulnya?
bagaimanakah permulaan, chorus dan pengakhirannya?

siapakah pencipta dan penulis liriknya?
siapa pula penyanyi asalnya?
Yang saya tahu,
saya sangat gembira mendendangkannya
sepenuh jiwa...
.
Terdengar sayup suaramu memanggilku
di hujung permatang yang menguning senja
lalu berlari aku ke arahmu
sejuta rindu di jiwa.
.
Terpandang sayu di wajahmu

tetapi, sinar matamu meyakinkan aku
lalu kau adalah rinduku
kasihku dan segalanya.
*bait-bait akhir sudah saya ubah mengikut selera sendiri.

Kepada sesiapa yang tahu fasal lagu yang saya gemari,
saya mohon dengan sepenuh hati
tolong maklumkan rinci perihal lirik dan lagu ini
jasa baik kalian amatlah dihargai.
.

Ahad, Januari 18, 2009

Tahniah dan Takziah

Sahabat,
pasti kau tak pernah lupa
perit rasa, bilur warna
segalur luka digarami
ketika kita bergandingan bersama
memulakan langkah pertama
ke gapura sastera
bersambut cerca nista seorang dia.
Tahniah untukmu, sahabat
kerana terus gagah mengepakkan sayap
walau berkali-kali rebah, terlentang dan tertiarap
dan takziah untuk keberangkatannya pagi tadi
ke negeri abadi.

Sabtu, Januari 17, 2009

Sebentuk Kerongsang Purnama

Jumaat kelmarin,
gerimis pagi yang mengiringi
bagaikan renjisan air mawar mewangi
segar lambaian pepohonan
menyerakkan haruman pandan
tompokan awan berkelopak kesidang
sepanjang perjalanan ke tanah Tok Ku Paloh
aroma bunga rampai semerbak menyeluruh
putih langit Darul Iman mulus merentang
hijau bumi Abdul Rahman Limbong
merenjispilis tetamu datang.

Malamnya,
senyum manis tetamu berbalas
sebentuk kerongsang purnama.

Selasa, Januari 13, 2009

Kilauan Emas Purnama Empat Belas

Purnama,
kau kuseru pada malam empat belas
simbahkan cahaya emas
ke langit Al-Quds yang memerah.
Purnama,
kau kuseru pada penghujung malam syahdu
mohon kupinjam cahayamu
buat menyuluh jiwa warga Kuala Terengganu.
Purnama,
kau kuseru pada malam basah
kerana senyumanmu di puncak sana
mendamaikan sukmaku yang diulit resah.

Baqaratun Safra' wal Haprak

Kiramu kau akan berjaya membina Israel Raya
dengan terus-terusan menarah Palestina?

Congakmu kau pasti menakluki Al-Aqsa
demi memiliki Haikal Sulaiman yang kauidami?

Fikirmu gharqad yang kau yakini setia melindungi
bukan ciptaan Allah Rabbul `Alamin?

Janji Allah itu pasti
seperti puisi Rozais Al-Anamy
"gharqad pasti layu di bumi Al-Ayyubi"

Isnin, Januari 12, 2009

Jom Main!

Saya tamsilkan berkebun
sama seninya dengan bermain ping-pong
keras hentakan cangkul membongkah tanah
disusuli lembut jari menggemburkannya
ketika akar pohon sudah dibumikan
ia disirami dingin air mengalir
serta disulami lembut zikir membasahi bibir.
Demikian ketika bermain,
ketika saling berbalas "chop" (potongan)
dengan lawan sepermainan
kalian akan terpandang
dua balerina yang sedang berdansa atas meja gelanggang
detik-detik yang tak tergambarkan oleh perkataan
indera terpana dek tarian nan gemalai
dalam ketangkasan, kesantunan tetap kekal.

Lawan melibas bola dengan pusingan kiri,
saya sambut dengan hantaran pendek ke jaring
beriring senyum tersungging
bola hantaran diputarbawahkan oleh lawan
saya bersedia untuk menamatkan pukulan
dengan "smash" santak ke bucu kanan.

Dalam apa jua perlawanan
pasti ada kalah dan menang
yang menang diucaptahniahkan
yang kalah ditepukperangsangkan
sentiasa berpiagamkan semangat kesukanan.

Tidak seperti perlawanan perang
yang kalah jadi abu, yang menang jadi arang
yang tak berdosa jadi mangsa
yang berkuasa bertambah gila.

Terapi Tekanan

Acapkali saya ditanya rakan dan taulan
tentang panduan mengurangi tekanan perasaan
selain istighfar dan senaman
saya teringatkan terapi getaran
yang menyaran kita memakai pakaian

Isnin - putih
Selasa- pink
Rabu - biru
Khamis - kuning (pagi) dan oren (petang)
Jumaat - hijau
Sabtu - merah
Ahad - hitam

Kepada sesiapa yang sudah mencuba
dan merasai perubahannya
atas usaha dan ikhtiar kita
beserta doa sentiasa
insyaalah ia berkesan
dan, tolonglah hebah-hebahkan
perkara baik jadi panduan
yang buruk buat sempadan

Jumaat, Januari 09, 2009

Sesudah Tiada, Barulah Rasa

Bisik rakanku
saat kami menompang dagu
merenung langit kelabu
musim tengkujuh lalu
"Pernah suatu setika
pada usia remaja
kudengar sebuah bicara
nan menusuk rasa."
"Berterus-terang itu amalan mulia
namun bila menyentuh tentang perasaan
adakalanya,
kebisuan... lebih meninggalkan kesan."
Nah! Kebisuan yang sama
akhirnya membunuh sebuah jiwa
dan sesudah dia tiada di sisi
barulah kau sedari
peritnya sukma meronta
mahu dihargai dan menghargai.
Doaku, semoga kau bahagia
atas segala daya yang kau cuba
memuji yang telah tiada
pada setiap masa
mengingatinya yang setia
dalam apa jua cara!

Seorang Teman Segugus Janji

Pernah beberapa purnama lalu
seorang teman dari kota batu
berjanji memberi sesuatu
yang terlalu aku mahu.

Katanya ketika kami berbual maya
sambil menemaniku
bersarapan roti bakar bermentega gula
"Usah gundah gulana
nanti saya kirimkan ia
lengkap bertandatangan Khabir Bhatia
sikit pun tidak susah bagi saya mendapatkannya
kerana pengarah itu, rakan karib saya."
Bulir-bulir sabar mengungguli waktu
akhirnya takdir menyebelahiku
indera berjaya mencumbu 'idaman' ku itu
sebelum membingkisnya sempena hari lahir sahabatku
namun gulana jiwa masih membara
setiap kali mengingati
seorang teman yang mudah memberi
segugus janji untuk dimungkiri!



Kitmir Malu Mengaku Saudara

Ke mana mahu kau sorokkan wajah
wahai Israel laknatullah?
Gharqad cuma menyembunyikan jasad
tetapi tidak menjamin hayat.
Batu dan pasir bakal bersuara
mendedahkan segala peri rahsia
Anjing mana bakal kau perkuda
hatta Kitmir pun malu mengaku saudara?


Bumi Anbia': Merpati Baqi' Pasti Mengepak

Kerdil tangan menadah inayah
mungil bibir berbasah Tafrijiah
mengharap langit merah bumi anbia'
kembali memutih
berpayungkan redup sayap
merpati Baqi' mengepak

Hijau Memukau

Dalam banyak cahaya
cahaya iman paling berkilau
dalam banyak warna
warna hijau paling memukau.

Khamis, Januari 08, 2009

Terangnya Ganu

17 Januari nanti,
gema P36 Kuala Terengganu bertalu-talu
memukul dinding kalbu
"bulan mengambang sangat dirindu
mizan yang adil diguna selalu
dan ganu yang indah itulah ditunggu."

Hayya Fil Jihad

Bota Israel yang gasang lagi hodoh itu
sengaja mempersenda dan tidak mahu ambil tahu
damai itu ertinya apa?
hak milik itu fungsinya bagaimana?
kerana dalam kumbah mazmumah
suku sakat mereka berhabitat
bergelumang nista sifat
tamak, dengki, khianat
dan dendam kesumat
mafhum kitab mereka menyurat
"sekubang darah seorang Islam mengalir,
empat puluh jasad Yahudi lahir!"

Salam Pengenalan, Setalam Harapan

Kupersembahkan Tarian Tinta Sukma
Santun bersimpuh atas mengkuang syukur
merafakkan seraup doa ke hadrat Rabbul Ghofur

noble art>>makin dilihat kian terpikat
www.nobleart2u.co.cc