Hak Cipta Terpelihara. Sebarang item yang mahu diambil daripada blog ini wajib mendapat keizinan pemilik blog. Budi Bahasa Amalan Kita

Jumaat, Januari 30, 2009

Z2R di Sri 7

Cuti petang Jumaat membuat saya dan sahabat memasang hajat untuk berehat. Lalu, kami pun bersiap-siap menunggu seorang rakan untuk sama-sama beriadah dan merawat minda di persisiran Laut China Selatan. Ayuh, sesiapa mahukan Riadah & Rehat bersama Z2R, sila sertai Santai Puisi Jumaat di Sri 7 Tumpat. Jumpa di sana, ya!

Argh! Empat jam mencumbu bayu Sri 7 memang mengasyikkan. Sahabat ghairah mengagah angin manja dengan layang-layang mesra bertemankan kegirangan. Banyak bual bicara tentang jiwa, tentang rasa, tentang hari muka, tentang budaya, tentang idea dan bait-bait puisi melarut dalam pawana segar petang Jumaat di Sri 7, Tumpat.




Pada sasa dada langit biru
dirakam bayang-bayang rindu
dalam desir angin manja
dianjung layang-layang mesra
ombak mengelus bibir pantai
jiwa selesa dibuai damai.





Saya cuba mendakap udara segara China Selatan seeratnya agar komposisi oksigen memenuhi rongga dada dan jantung berupaya mengepam darah untuk mengalirkan oksigen secukupnya ke minda pula. Minda saya lega. Jiwa saya bahagia menikmati keindahan alam Tuhan.


Ketika langit menyarung kerudung jingga, kami pamit pulang dengan sejuta keindahan di jiwa dan memasung jari-jemari berjanji pada desir ombak bersaksikan pasir pantai untuk ke mari lagi dengan tatangan sedulang kasih sayang sesama insan.





8 ulasan:

nil berkata...
Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.
zanazanzaly berkata...

Sdr Zaidi,
Yang indah berikan hadiah
yang jelek jadikan cantik
barulah hidup ini
berseri-seri setiap hari
bagai meniti
jalur-jalur pelangi

nil berkata...
Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.
nil berkata...
Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.
zanazanzaly berkata...

Sdr Zaidi,
Resamnya, jika mahu diri bahagia
wajib dibahagikan bahagia itu berlipat ganda kepada orang lain juga agar pulangan kebahagian boleh dikongsi sama rata.

Lazimnya, bila seseorang sudah mendapat bahagia, dia mudah lupa sifirnya.

Akhirnya, kita juga yang terpaksa pujuk hati agar redhakan saja bahagia miliknya yang enggan dikongsi bersama.

Ha ha ha.
Nah! Sekarang, apa kata sdr?

nil berkata...
Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.
zanazanzaly berkata...

Sdr Zaidi,
Barangkali,
sdr boleh berdoa begini:
"Angin berpuput pagi
mentari merah senja
jika kasih ada lagi
padakulah saja!"

nil berkata...
Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.