Hak Cipta Terpelihara. Sebarang item yang mahu diambil daripada blog ini wajib mendapat keizinan pemilik blog. Budi Bahasa Amalan Kita

Rabu, Februari 10, 2010

Memakai Rantai Permai Suri

Tarikh kapit hari ini, genapbulat tiga puluh hari saya santun bersimpuh di bawah teduh rimbun kunfayakun. Saya mencagar mahar semilyar sabar melangkah gagah berhijrah ke fasa seterusnya di alam hayat nan fana, tegar mengecap rencah dari belanga manusiawi, merafak seraup syukur sesudah hajat Dia mabrur.

Tarikh kapit hari ni, sepurnama saya memakai rantai permai suri. Saya mendamba mauizah, inayah Rabbul Izzah sebelum mara ke sisi-Nya, menatang setakar syarbat mu'minat. Hendaknya kelak, saya tawadduk redha, meredhai dipimpini ke alam sana nan baka diobor nur syukur.

Selasa, Februari 09, 2010

Jika Saya Boleh, Mengapa Tidak Aizat?

Semalam saya menemani teman di sisi menonton tv. Lama benar saya mempuasakan indera daripada menonton program yang kurang membaja minda. Sambil melipat kain, saya kerling "Terjah" seusai rancangan yang diminati teman di sisi tamat. Aizat dimusykilkan berjaya menurunkan berat badan secara alamiah dalam tempoh empat bulan. Aizat dituduh kononnya menjalani liposuction.

Persoalannya, Aizat didakwa mustahil berjaya mencapai berat badan ideal tanpa sebarang pil atau suntikan dalam jangka masa empat bulan. Heh, hairan apa? Saya pun boleh kurangkan 14kg dalam masa 120 hari. Bukannya payah, istiqamah puasa Isnin dan Khamis serta senaman selama lapan minit secara konsistan. Makan banyak sayur-sayuran dan buah-buahan. Minum banyak air suam.

Itu tidak mustahil
kan, Aizat? Tambah-tambah lagi Aizat digazetkan sebagai penyanyi yang banyak buat khairat. Duit yang dimenangi hasil Juara Lagu turut diinfak agar mendapat berkat.

Sambil men
ekan perut menahan gelak, nak saja saya hentak kepala yang otaknya sudah dikelututkan. Woit, yang haram itu jelas, yang halal itu terang, yang di tengah-tengah atau syubhah, elok cegah. Tok guru malaun mana yang ajar cara bersihkan wang haram dengan bersedekah?

Berbalik kepada kes berjaya mengembalikan berat badan ideal, hey, jika saya boleh dengan saum dan senaman, takkanlah Aizat mustahil sebab Aiman tak kisah!

Modifikasi Seratus Lima Puluh Hari

Seratus lima puluh hari lampau peti memori saya mengimbau peristiwa saya melangkah megahgagah ke masjid bermenara kapit berkubah emas menggalas segenggam amanah.


Pulang dari masjid, pada tarikh kapit sembilan di tengah, kiri dan kanan, ruang tamu rumah kasih Padang Embun berubah wajah dengan hadirin memenuhi ruang meraikan sesuatu yang dirancang. Foto di bawah rakaman kenangan sebahagian tetamu yang datang.

Lagi ilustrasi para dhif al-akrami merai permaisuri sehari dalam permai pagi Ramadhanulkarimi.

Seratus lima puluh hari kemudian, foto ini merakam kenyataan lokasi sama sudah pun berubah wajah menjadi sebuah gelanggang.

Meski dalam tempuh seratus lima puluh hari modifikasi berlaku namun di kalbu saya segalanya segar dan kekal seperti selalu.


Ahad, Februari 07, 2010

Menanti Nafiri


Dinihari tadi tengkujuh raksasa membadai jiwa sewaktu satu persatu indera saya bersebati dengan irama fitrah di atas.

Situasi sebegini seringkali saya alami setiap kali rafik mengalunkan bait-bait nasyid di bawah ini, tanpa dibuat-buat atau dipaksa-paksa pasti berguyuran mutiara merembesi pipi. Apatah lagi saya dikunfayakunkan sepertiga malam tadi, mengalunkannya seorang diri dalam bukat malam sepi.


Tangisan hati kecilku ini
tak dapat dibendung lagi
air mata membasahi pipi
terkenang keagungan-Mu, Ilahi
terpandang kebesaran-Mu, Ilahi


Itu sahaja yang saya ingati, boleh jadi nasyid ini dendangan PMRAM (Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir) atau siapa ya? Jika ada di antara kalian yang mengingati bait-bait indah liriknya sudilah emelkan kepada zanazanzaly@yahoo.com atau jika ada lagu asalnya bolehlah muaturunkan kepada saya.


Mahu saya gagahtabah memberanikan diri mengalunkannya sendiri meski zulmat malam nan sepi rakus, tanpa ehsani mengheret songsang mastuli jiwa bagai menarik kapas basah pada duri kerana saya yakin saya akan kumandangkan nasyid ini sekali lagi bersama rafik pada suatu hari tatkala nafiri disemboyankan petanda mara ke sisi-Nya.

Rabu, Februari 03, 2010

Ba-ha-ru

Sepuluh hari pemula Masihi saya dikunfayakunkan Ilahi menerima kehadiran teman di sisi dengan penambahbaikan jiwa yang saya nafas-baharukannya seperti penampilan saya yang juga berimej baharu kerana bangun tubuh tidak lagi sesuai mengenakan pakaian lama akibat susut berat badan yang ketara.

Ya, saya berjaya mengembalikan berat badan ideal dengan julat penurunan sebanyak 14 kilogram dalam masa tiga bulan. Yakinlah dan beristiqamah dengan saum sunat Isnin dan Khamis serta senaman selama lapan minit sehari secara konsistan, perbanyakkan makan buah-buahan dan sayur-sayuran nescaya kalian tidak perlu pil atau sebarang suntikan untuk slim, cergas lagi berstamina. (Sesiapa yang berminat bermain ping-pong, sila jangan segan silu ke rumah kasih, Padang Embun, segala kelengkapan permainan disediakan).

Sukalah saya berkongsi tips bagi kalian yang percaya kepada perubahan drastik. Musim raya orang kalut mempersiapkan baju baharu. Tapi saya sebaliknya. Slogan yang saya lancarkan ialah Jom beraya dengan tubuh baharu. Nah, sempena Adiladha lalu, bukan sahaja saya dikurniakan dengan rupa fizikal baharu, lebih dari itu saya juga dianugerahi gaya jiwa yang sedikit bernafas baharu dengan kehadiran teman di sisi. Alhamdulillahi Rabbil Alamin.

Kehadiran teman di sisi tidak sendirian. Datangnya bersama pakej istimewa yang menampilkan watak-watak baharu dalam novel kehidupan. Seumpama sebuah lukisan agam, ia mempalit seribu warna-warni baharu pada kanvas hayat yang belum siap.

Kekerapan tetamu hadir menyaksikan Tarian Tinta Sukma dari Sungai Petani, Wollongong, Banglore, Adelaide, Florida (sekadar menyebut beberapa nama) amatlah saya raikan dengan ucapan salam kasih sayang daripada saudara semenda kalian yang jauh ini. Moga kita segera bersua di alam nyata dan bertambahlah kemesraan akrab jiwa.

Buat semua saudara semenda, saya tujukan lagu yang khas didendangkan oleh teman di sisi pada pagi ini selepas kami menandatangani satu lagi projek usahasama.

Semoga jalinan ukhwah kita segar mewangi sentiasa.