Hak Cipta Terpelihara. Sebarang item yang mahu diambil daripada blog ini wajib mendapat keizinan pemilik blog. Budi Bahasa Amalan Kita

Rabu, Februari 03, 2010

Ba-ha-ru

Sepuluh hari pemula Masihi saya dikunfayakunkan Ilahi menerima kehadiran teman di sisi dengan penambahbaikan jiwa yang saya nafas-baharukannya seperti penampilan saya yang juga berimej baharu kerana bangun tubuh tidak lagi sesuai mengenakan pakaian lama akibat susut berat badan yang ketara.

Ya, saya berjaya mengembalikan berat badan ideal dengan julat penurunan sebanyak 14 kilogram dalam masa tiga bulan. Yakinlah dan beristiqamah dengan saum sunat Isnin dan Khamis serta senaman selama lapan minit sehari secara konsistan, perbanyakkan makan buah-buahan dan sayur-sayuran nescaya kalian tidak perlu pil atau sebarang suntikan untuk slim, cergas lagi berstamina. (Sesiapa yang berminat bermain ping-pong, sila jangan segan silu ke rumah kasih, Padang Embun, segala kelengkapan permainan disediakan).

Sukalah saya berkongsi tips bagi kalian yang percaya kepada perubahan drastik. Musim raya orang kalut mempersiapkan baju baharu. Tapi saya sebaliknya. Slogan yang saya lancarkan ialah Jom beraya dengan tubuh baharu. Nah, sempena Adiladha lalu, bukan sahaja saya dikurniakan dengan rupa fizikal baharu, lebih dari itu saya juga dianugerahi gaya jiwa yang sedikit bernafas baharu dengan kehadiran teman di sisi. Alhamdulillahi Rabbil Alamin.

Kehadiran teman di sisi tidak sendirian. Datangnya bersama pakej istimewa yang menampilkan watak-watak baharu dalam novel kehidupan. Seumpama sebuah lukisan agam, ia mempalit seribu warna-warni baharu pada kanvas hayat yang belum siap.

Kekerapan tetamu hadir menyaksikan Tarian Tinta Sukma dari Sungai Petani, Wollongong, Banglore, Adelaide, Florida (sekadar menyebut beberapa nama) amatlah saya raikan dengan ucapan salam kasih sayang daripada saudara semenda kalian yang jauh ini. Moga kita segera bersua di alam nyata dan bertambahlah kemesraan akrab jiwa.

Buat semua saudara semenda, saya tujukan lagu yang khas didendangkan oleh teman di sisi pada pagi ini selepas kami menandatangani satu lagi projek usahasama.

Semoga jalinan ukhwah kita segar mewangi sentiasa.


Tiada ulasan: