Hak Cipta Terpelihara. Sebarang item yang mahu diambil daripada blog ini wajib mendapat keizinan pemilik blog. Budi Bahasa Amalan Kita

Ahad, Oktober 31, 2010

Rindu Oktober Merah Jambu

Ini cerpen bikinan paling santai. Tiada di hadapan saya paling kurang lima buah buku, seperti selalu saya rujuk dan intai. Tukangan karya ini adalah apa yang saya pendam selama setahun dalam jiwa yang berhadapan ujian. Berat rasa sarat makna pada sebuah jiwa yang rengsa natijah terlalu percaya akan wujudnya makhluk bernama setia pada diri manusia lain selain diri sendiri. Benar kata rafik dalam cerpennya Neurosis. Manusia yang paling boleh dipercayai ialah Diri Sendiri.

Puas rasanya apabila dapat bercerita perihal aura merah jambu yang sungguh indah itu dan fakta Oktober istimewa tahun ini berkembar lima bagi Jumaat, Ahad dan Sabtu. Bicara seputar asa, prakarsa dan daya hamba mendamba cinta Pemilik Mutlak Cinta.

Kesuntukan waktu untuk duduk menyiapkan karya ini seperti yang sering saya lazimi sebelum berubah status dahulu, saya atasi dengan mencatat kata kunci tertentu pada status Mukabuku. Komen daripada rakan-rakan saya jadikan pedoman dan sempadan bahkan lebih dari itu ia adalah pembakar semnagat saya untuk menyiapkan pertukangan cerpen pertama saya untuk tahun ini. Inilah hadiah hari keputerian mengikut tarikh masihi paling istimewa yang pernah saya beri kepada diri sendiri. Segala puji saya rafakkan ke hadrat Allahurabbi atas kurniaan ilham ini.

Rabu, Oktober 27, 2010

Juadah Pengindah Kalam

Bukan tumpat sebarang tumpat,
emas tumpat ditatah manikam;
bukan lompat sebarang lompat,
lepas melompat kita menikam.


Hemm chaaaaaaa!

Sabtu, Oktober 09, 2010

Bicara Tunas Cipta September 2010



MENYEDARI hakikat saya tidak ditakdirkan lahir sebagai puteri raja, bukan juga cahaya mata pembesar negara, tidak pula zuriat ulama’ muktabar, semakin bertekad saya untuk menjadi penulis. ‘Penulis apa, yang bagaimana?’ Soalan sebegitu pula menunjal minda dan jiwa saya setelah saya membaca banyak karya-karya yang rencam genrenya. Sedaya upaya menaakul mutiara kata Al-Ghazali yang saya temui dalam talian maya hampir seabad lalu, kerana sebelum itu saya hanya tahu menulis puisi bermula di alam persekolahan setelah merangkul gelaran pemantun terbaik Kelantan tahun 1990.


Pernah di zaman persekolahan,saya gulati buku cerita cinta muda-mudi tebal seinci yang sarat emosi, fakulti intelektual saya penat meminta ia disuapi santa
pan bergizi. Natijah daripada emosi padat sogokkan penulis itu, saya segera khatamkan bacaan sebelum cukup suku inci buku yang bumbu konflik perebutan cinta tiga penjuru.Protagonisnya gigih berjuang dengan banyak membuang air mata dan masa sehingga hampir terbengkalai kuliahnya semata-mata untuk menakluki hati pemuda impiannya. Hukum hakam agama sedikit pun tiada sebagai andalan walhal watak digambarkan sebagai gadis dan jejaka Melayu-Islam. Dek kerana bersimpati dengan protagonis cerita tragis cinta sejati yang menidakhakkan nasihat ayah bonda justeru menyalahtafsirkan pantun “nasi lemak, buah bidara”, akhirnya saya abadikan buku itu sebagai penyendal pintu.

Memasuki alam kuliah, saya dapati puisi amat terhad untuk meluahkan rasa dan menyalur idea kerana ukurannya yang agak minima. Sementelahan saya ingin mencabar bakat dan keupayaan diri sendiri dalam bidang yang amat saya minati ini kerana sejak kecil saya suka mendengar cerita. Bari nenda saban malam sebelum tidur mengenai kisah-kisah nabi, cerita binatang cerdik dan perjuangan gigih datuk yang berdagang di bumi orang sangat melekat dalam minda dan jiwa saya memujuk saya untuk meladeni novel-novel pengembaraan atau penyiasatan seperti Nancy Drew, Hardy Boys, Umar Umaiyah dan kisah pengembaraan Maharaja Sri Rama dan adiknya Raja Laksamana dalam cerita wayang kulit seperti yang ayahanda barikan apabila saya dengan adik berbalah berebut alat permainan.

Pada penghabisan alam kuliah saya ditakdirkan bertemu rafik seperjuangan, Rozais al-Anamy. Episod pengkaryaan saya mengalami perubahan mendadak dengan kehadiran beliau. Sebuah karya terjemahan yang sangat signifikan dalam ruh pengkaryaan genre naratif saya dipengaruhi oleh Revolusi Sang Matahari: Kelana Cinta Jalaludin Rumi karya Nigel Watts. Novel ini tidak mengisahkan mengenai perjalanan Rumi sepanjang hidupnya, sebaliknya lebih membidik kepada keromantisan persahabatan Rumi dengan Syams dari Tabriz, seorang pengembara dan penyair sufi yang menavigasikan kompas pengkaryaan Rumi menghala ke kutub cinta agung secara vertikal. Muatan bahan bacaan sebeginilah yang menepati selera sebagaimana minda dan jiwa saya selesa menghadam buah fikir Pujangga Melayu karya Afandi Hassan, novel pengarang Melayu pertama yang saya habis baca.

Sejak itu, tanpa mengenepikan genre puisi, saya mencipta frasa demi frasa dengan segala ketidaksempurnaan. Allah swt memplot laluan ke medan sastera lebih luas dengan mempertemukan saya dengan sasterawan Zaharah Nawawi. Hasil didikan beliau, cerpen pertama saya Kutta di Sampugita terhasil dan disiarkan di Berita Harian.


Dua tahun kemudian, Segugus Markisah dari Brastagi dinobatkan memenangi Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU) 2003, berikutnya pada tahun yang sama, Matinya Seorang Penyair menerima hadiah cerpen eceran Hadiah Sastera Kelantan. Rezeki menyebelahi saya apabila selang setahun, Teori 11 pula menggondol Hadiah Tunas Cipta 2004. Alhamdulillah HSKU 2008 mengiktiraf Avule Aidil Adha dan sebuah lagi cerpen berjudul Rindu Berladung di Pulau Duyung, di peringkat nasional.
Saya berasa bagai meriba purnama apabila Institut Terjemahan Negara 2009) memuatkan Death of Poet sebagai terjemahan kepada Matinya Seorang Penyair.

Tahun 2010, lahirlah kumpulan cerpen “Merpati Menari di Padang Embun” yang memuatkan 21 buah cerpen saya bermula tahun 2001 hingga 2008. Ia menghimpunkan sejumlah pengalaman, kritikan, pandangan, ulasan dan pemikiran yang diadun dengan bahasa dan langgam penulisan yang saya senangi setelah melalui pemerhatian dan penaakulan mendalam tentang apa yang berlaku di sekitar kehidupan dan dunia saya.Sebagai contoh,
melalui cerpen “T-Songsang” yang mengisahkan tentang kejelekan anutan hedonisme oleh remaja tanah air yang terpengaruh dengan hidup sesat barat.

Saya berhasrat agar yang hak sentiasa diambil berat meski pertembungan antara dua kutub berbeza prinsip amat hebat berdebat. Justeru itu, saya tidak sekadar mengisahkan, bahkan berinisiatif melontar pandangan tentang bentuk kebenaran yang syumul dan menunjukkan kebaikan yang seharusnya diikuti. Dalam kata lain, saya kurang gemar memaparkan sisi hitam masyarakat, sebaliknya menyarankan penyembuhan kepada penyakit sosial itu. Hal ini ketara memperjelaskan visi dan misi pengkaryaan saya. Mengeksploitasi maklumat dan menggunakan kembali maklumat tersebut sebagai bahan penulisan merupakan bonus bagi graduan jurusan Sains Politik di mana saya diajar agar cekap mencerakin isu dan punca serta penyelesaian permasalahan. Oleh itu, saya kira isu yang biasa-biasa sahaja jika dibawa ke dalam karya tetapi diolah dengan bahasa yang baik boleh menjadikan sesuatu isu kecil menjadi bermakna.

Mengapa tidak kita menghantar harapan apatah lagi menjentik kritikan kepada khalayak yang cerdik dalam sulaman bahasa yang indah? Bukankah Melayu itu sopan pekerti dan tinggi budi bahasanya?
Kekuatan bahasa inilah kunci kekayaan nilai estetika. Contohnya, “Segugus Markisah Dari Brastagi” membicarakan isu filem tanah air. Saya menyelitkan kritikan terhadap kemasukan dan lambakan filem luar yang banyak menggugat industri perfileman negara dalam bentuk sindiran halus, namun saya kawal emosi yang melahar dengan keindahan bahasa supaya seimbang bauran luahan rasa dengan gagasan idea.

Namun, melalui keasyikan menyusun bahasa dan kata lewat karya, saya tidak pernah leka menyelit cadangan dan saranan kerana antara matlamat saya berkarya adalah untuk mendidik diri sendiri dan masyarakat, bukan hanya menyampaikan berita atau mengangkat cerita secara mentah kepada pembaca. Setiap teguran dan protes haruslah disertai dengan alternatif atau usul untuk memperbaiki sesuatu keadaan itu, kerana tanpa saranan ke arah kebaikan, sesebuah karya hanyalah umpama burung kakak tua yang menuturkan kepincangan yang dilihat dalam diri dan masyarakat.
Cerpen “Matinya Seorang Penyair” adalah satu bukti tentang ciri keperibadian yang perlu ada pada setiap penulis.

Ketelitian, kritis dan pemerhatian mendalam terhadap persekitaran yang melingkungi dunia penulis memagnetkan kutub fikir saya tertarik ke arah dunia sastera yang saya diami dalam usia tiga tahun pembabitan. Ia yang merupakan kritikan terhadap khalayak sastera yang melingkungi awal perjalanan seni saya yang dijadikan bahan penulisan. Cerpen ini berkisar seputar kebobrokan sikap dan dunia penulis itu sendiri, dan pada akhirnya menitipkan saranan dan menjuruskan pembaca untuk menilai sikap sebenar yang harus ada pada seseorang penulis. Inilah jawapan kepada pertanyaan saya kepada diri sendiri - ‘Penulis apa, yang bagaimana?’

Dalam kata lain, saya mahu menjadi penulis yang menggalas taklif mendidik masyarakat perlulah terlebih dahulu mengkoreksi diri sebelum menyebarkan fikrah melalui karya yang bakal mencorak masyarakat kerana bagi saya untuk melaksanakan dakwah bil kalam, kita perlu amat teliti kerana jangan sampai terlalu leka berjumpa punca ilmu iaitu Al-Quran sehingga hujungnya tenggelam akibat sombong dengan tuan empunya ilmu yang kita pinjam ini kerana kita lupa meminta hikmah daripada-Nya untuk diri sendiri dan pembaca karya kita kerana itulah tarbiyah sebenar yang perlu dijadikan matlamat dalam setiap karya, justeru tugas penulis adalah mendidik masyarakat dengan ketajaman minda dan keperkasaan jiwa melalui kekreatifan berbahasa.


Ahad, Ogos 15, 2010

Ibrah Umrah 2

Menerima undangan Ilahi ke rumah-Nya juga mempertemukan saya dengan aura figura agung sang pencinta. Citra cinta para ibunda tercinta, Saiyidatina Khadijah binti Khuwailid dan Saiyidatina Siti Hajr, juga para pencinta berbeza gender. Rawan luluh jiwa mengenang kecintaan Saiyidina Abu Bakr terpencar dari dalam zulmat gua Thur terhadap Kekasih Dia.

Cinta yang tiada tapal batas. Maujud hanya cinta teratas. Bukan sekadar di atas kertas. Kalis kelas tanpa waktu terbatas mengisi singkat temu berpapas, menanti rindu membias apabila segala redha saling berbalas, seluruh ikhlas menggalas segenap titis cinta yang berbekas. Cinta itu luas langgas justeru anugerah nikmat cinta daripada Segala Maha Pencinta kepada hamba untuk saling menyinta sesama manusia dan segala yang dicipta itulah arca cinta-Nya. Maka wajar sirna jika cinta transit ini tidak sampai ke destinasi hakiki yakni mercu tuju abadi lagi azali.

Wajib fana kala menyintai sesama kita dengan luhur rasa cinta itu lebur umpama cinta Rumi kepada Tabrizi semata-mata tiada lain kecuali kerana Dia, hatta hancur Tursina natijah cinta Musa bertakhta di atas peterana taubatnya.

Isnin, Ogos 09, 2010

Ibrah Umrah 1

Ramai yang bertanya itu ini seputar pengalaman diundang Ilahi menjadi tetamu-Nya di Tanah Suci. Ibrah yang saya temui untuk kesan positif jangka pendek sejurus sekembali ialah pertama kali mencuci kamar mandi tanpa berpunca dari natijah marah jauh sekali akibat sakit hati kerana saya sekarang sangat senang hati melewati malam berbicara dengan kartika yang Allah swt ganti setelah matahari dipadamkan buat saya seketika, untuk saya hargai keindahan kelam malam yang selama ini saya takuti untuk diam bersendiri. Alhamdulillah Ya Rabbi.

Memang hari-hari ia dicuci tapi disertai dengan segala kebencian yang tak terperi. Tapi sejak kembali, saya mula menyedari, seperti lazimnya setiap hari, ia tetap dicuci setiap kali mandi tapi kali ini dengan niat tiada lain selain memang untuk ia kelihatan bersih berseri dan wangi demi menghargai fungsi ia tanpa gagal berkhidmat dengan baik sekali selama teratak kasih ini saya diami.

Konsekuensi aneh telah saya temui, tanpa perlu menyembur pewangi yang paling saya gemari, sebaik sahaja usai dibersihi, ia terus automatis harum mewangi. Walhal saya menggunakan pencuci berjenama sama seperti dahulu lagi. Hairannya aroma yang terbit sejak akhir-akhir ini berlainan sama sekali.

Apresiasi buat kamar mandi yang selama ini tak pernah saya hargai fungsinya yang signifikan sekali dalam menyegar dan mensucikan jasmani.

'Segera kembali wahai hamba Allah yang elok pekerti yang telah menaburbudi menyemaibakti ke arah kepositifan mandiri Zanazanzaly. Kepulanganmu dinanti. Akan kusambut dikau dengan segala rindu yang membungarampai semerbak kasturi.' Begitu kasam hati saya mempateri sebuah janji.

Ahad, Ogos 08, 2010

Mesra Jiwa yang Jeda Seketika

Pada tarikh yang sama, setahun dahulu kami ditakdirkan bersua tanpa bersapa mesra sedangkan suara hati saling berkomunikasi. Sengaja dia sakiti hati ini dengan alasan yang disusunrapi tanpa pasti. Tapi aku sedari setiap kali hatiku dicalari, berkali-kali dia garami lukanya sendiri. Justeru al-fatihah dan al ma'thurat tanpa sangsi setiap hari kucagari demi menuntut kembali apa yang telah dijanji.

Masakan dia berjaya membuka pintu itu sedang kuncinya hanya ada padaku? Khilaf melanda minda dan jiwa remuk dibuatnya. Allah Maha Berkuasa dan Dialah jua sebaik-baik Perencana. Keakraban jiwa yang sengaja ditunda-Nya seketika buat memukat amarahnya yang melikat juga demi menjinaki keterburuanku yang liar berlari.

Duhai Rabbi, eratkan kemesraan antara hati-hati kami seperti Rabithah yang kekasih-Mu ajari justeru bukankah mukminah itu bersaudara? Maka damaikanlah kami sentiasa daripada segala sengketa dan prasangka melalui kalimah toyyibah diiringi selawat tafrijiyyah yang kami baca.


"Selamat kembali sahabat...tgu kau kat luar hampir 2 jam tau tak....dok tengok..sorang keluar mcm engkau...sorang keluar mcm engkau...akhirnya kau keluar...aku tak kenal..sebab kurus kering...hahahhaha [via Celcom SMS]"


Khamis, Julai 22, 2010

Mendamba takdir, Mencinta Az-Zahir

Ya Al-Qadir, Ya Al-Munir, barakah sejadah syaaban yang akhir basah bersama titis ibrah umrah bakal kualir, seluruh jiwa hadir menadah takdir yang tak pernah mungkir, qada' muallaq wal mubram yang Kau ukir, kudamba getir segera minggir, kudoa fikir jangan gelincir, kutolak mazmumah biar kecicir, kusentap lawwamah kian hampir, mengharap mutmainnah segera hadir buat kudakap cinta Az-Zahir.

Jumaat, Julai 16, 2010

Renjis Gerimis


gerimis merenjis narwastu rindu
pada kemboja setia kita
kala langit jiwa menggamit rasa
lemas disepuh neon emas nostalgia
tika bersama.

Sungguh Kuserah Penuh Seluruh


Sabar saya menanti hari ke tujuh, debar di hati melepuh-lepuh mengacah rindu bersimpuh meratib temu dua kekasih tiada bertangguh membukti cinta nan utuh meski setiap hari jadual tugasan hakiki penuh, merpati pula lincah menari jenuh. Ya Allah kupasrah segalanya kepada-Mu sungguh2 penuh seluruh meski segala urat geramat lenguh belikat terasa separuh lumpuh, cekaltabahkan jiwaku menghadapi ujiduga yang sedang dan bakal kutempuh. Rimbun redup kasih-Mu kumohon berteduh.

Aduh, angin tengahari membingkis hawa panas bikin jiwa berpeluh mengingati janji seseorang yang pernah bersepuh untuk susah senang sama dirempuh berkelana meniti liku simpang dan selekoh. Setiap pagi dikau kuhadiahi al-fatihah nan ampuh, berharap qalbun maridmu segera sembuh.

Sabtu, Jun 12, 2010

Mari Mengiringi Merpati Menari

Pakar Penilai memperakui bahawa "Cerpen-cerpen dalam kumpulan ini memperkatakan tentang pelbagai perkara, termasuklah persoalan jihad dalam ‘Ada Cinta di Ulang Tahun Ketiga’, dan ‘Biru, Merah Jambu’; persoalan budaya dalam ‘Avule Aidil Adha’, ‘Setegar Padma Kok Pan-yi’dan ‘Rekayasa’; dan tentang isu semasa seperti ‘Teori 11’ dan ‘t Songsang’. Persoalan sejagat juga menjadi modal bagi penulis, misalnya soal palestin dalam ‘Merpati Menari di Padang Embun’; soal hukum agama dalam ‘Kutta di Sampugita’; soal gender dalam ‘Replika Teja’; dan soal patriotisme dalam ‘Kalam Munsyi”; dan soal dunia niaga dalam Rindu Berladung di Pulau Duyung.


Secara keseluruhannya, kumpulan cerpen ini menjurus kepada kumpulan sasaran khalayak yang berbeza-beza, dari remaja hingga dewasa. Bagaimanapun, hanya persepsi khalayak yang membacanya yang dapat menentukan dari sudut pandangan siapa (sama ada remaja atau dewasa) ketika mereka membaca itu. Ini disebabkan setiap persoalan yang dikupas oleh penulis dalam cerpen-cerpen ini membawa pengertian tersendiri kepada remaja juga orang dewasa."


Nah, tunggu apa lagi? Tempahlah naskhah anda segera dan bersama mengiringi merpati menari. sila dail 017 - 567 - 6679 atau emel zanazanzaly@yahoo.com atau hantar pesanan ke inbox fb.


Jumaat, Jun 11, 2010

Berkat Jumaat Merpati Menari Hebat

Berkat Jumaat
merpati menari ligat
memikat selera, menambat jiwa
manusia hebat agar dekat
dan kian rapat.

Syukur atas anugerah-Mu,
Ya RabbulIzzat.

Khamis, Jun 10, 2010

Besame Mucho


Naluri femina menyukai tarikan yang berlawanan. Seseorang yang periang cenderung memilih yang pendiam sebagai pasangan. Justeru, saya amat menghargai seseorang yang memeram diam sejak malam tadi rupa-rupanya menyimpan suaranya untuk memberi erti kepada pagi nan indah ini.


Selasa, Mei 11, 2010

Ujaan Awalan

Ia sudah menunggu masa sahaja. Keterujaan untuk menatapnya tak terungkap kata. Pakar penilai memberi komentar, "...persembahan berbeza yang ketara iaitu dengan menggunakan monolog diri sebagai teknik penceritaan sudut pandang pertama. Kebanyakan cerpennya juga sarat dialog yang membahaskan isu atau persoalan yang dikemukakan. Ini memberi peluang khalayak terlibat melihat pro dan kontra persoalan tersebut secara adil dalam perbahasan."


Katanya lagi, "... hampir keseluruhan cerpen mempunyai daya visual yang pantas, walaupun dalam bentuk perbahasan. Watak-wataknya agresif sesuai dengan rentak cerita yang pantas – dalam berfikir, juga bahasa badannya – dan ini menjadikan khalayak juga perlu berfikir pantas. Disebabkan setiap cerpen mempunyai persoalannya yang tersendiri, khalayak juga tidak akan merasa bosan dalam menghadam persoalan demi persoalan dalam cerpen yang berbeza."






Sabtu, April 17, 2010

Ingatlah Rakan Ingatlah Sayang

Sabtu menghembus bayu rindu
dengan mata terpejam kupandang mentari garang
aku terbang mendakap bulan kesiangan
kuselimuti purnama dengan selendang cinta
pucat bertukar biru nila.


Isnin, Mac 15, 2010

Soalan Berbalas Nyanyian

Teman di sisi saya sangat pendiam. Jika saya bertanya tiga patah perkataan, jawapan yang saya terima hanya setengah sahaja. Bakinya, saya cukupkan sendiri. Ya, ia sesuatu yang sangat mengujakan kerana adakala cukupan baki itu tepat dan ada ketika baki jawapan itu jauh menyimpang. Ha ha ha!

Pagi tadi, sewaktu kami menghala ke pejabat, saya bertanya sesuatu yang amat ringkas , mengharapkan jawapan pun kontot dan tidak saya duga sama sekali spontan dia menuturkan;

keluar pagi balik petang, adakala sampai malam, cari rezeki bawa pulang buat bekal yang tersayang, oh... bersabarlah.



Inilah jawapan bagi soalan sangat ringkas dan padat telah pun dia berjaya jawab dengan tepat dan saya tidak perlu memikirkan baki jawapan yang seterusnya.

Saya berpaling ke kiri menghadap muka ke cermin kenderaan menyembunyikan genangan yang mulai mengaburkan pandangan.

Dia menguatkan suara, "andai kasturi hilang harum mawar tak berkuntum cinta tak bersambung
biar emas setinggi gunung kan ku peluk rimbun ampun rahmat yang maha agung."

Saya gerekotkan telunjuk, berdehem sekali dan berpaling ke arahnya. Bersulam larikan sebuah senyuman, ulang berulang kami dendangkan...

andai kasturi hilang harum mawar tak berkuntum cinta tak bersambung
biar emas setinggi gunung kan ku peluk rimbun ampun rahmat yang maha agung.

Rabu, Februari 10, 2010

Memakai Rantai Permai Suri

Tarikh kapit hari ini, genapbulat tiga puluh hari saya santun bersimpuh di bawah teduh rimbun kunfayakun. Saya mencagar mahar semilyar sabar melangkah gagah berhijrah ke fasa seterusnya di alam hayat nan fana, tegar mengecap rencah dari belanga manusiawi, merafak seraup syukur sesudah hajat Dia mabrur.

Tarikh kapit hari ni, sepurnama saya memakai rantai permai suri. Saya mendamba mauizah, inayah Rabbul Izzah sebelum mara ke sisi-Nya, menatang setakar syarbat mu'minat. Hendaknya kelak, saya tawadduk redha, meredhai dipimpini ke alam sana nan baka diobor nur syukur.

Selasa, Februari 09, 2010

Jika Saya Boleh, Mengapa Tidak Aizat?

Semalam saya menemani teman di sisi menonton tv. Lama benar saya mempuasakan indera daripada menonton program yang kurang membaja minda. Sambil melipat kain, saya kerling "Terjah" seusai rancangan yang diminati teman di sisi tamat. Aizat dimusykilkan berjaya menurunkan berat badan secara alamiah dalam tempoh empat bulan. Aizat dituduh kononnya menjalani liposuction.

Persoalannya, Aizat didakwa mustahil berjaya mencapai berat badan ideal tanpa sebarang pil atau suntikan dalam jangka masa empat bulan. Heh, hairan apa? Saya pun boleh kurangkan 14kg dalam masa 120 hari. Bukannya payah, istiqamah puasa Isnin dan Khamis serta senaman selama lapan minit secara konsistan. Makan banyak sayur-sayuran dan buah-buahan. Minum banyak air suam.

Itu tidak mustahil
kan, Aizat? Tambah-tambah lagi Aizat digazetkan sebagai penyanyi yang banyak buat khairat. Duit yang dimenangi hasil Juara Lagu turut diinfak agar mendapat berkat.

Sambil men
ekan perut menahan gelak, nak saja saya hentak kepala yang otaknya sudah dikelututkan. Woit, yang haram itu jelas, yang halal itu terang, yang di tengah-tengah atau syubhah, elok cegah. Tok guru malaun mana yang ajar cara bersihkan wang haram dengan bersedekah?

Berbalik kepada kes berjaya mengembalikan berat badan ideal, hey, jika saya boleh dengan saum dan senaman, takkanlah Aizat mustahil sebab Aiman tak kisah!

Modifikasi Seratus Lima Puluh Hari

Seratus lima puluh hari lampau peti memori saya mengimbau peristiwa saya melangkah megahgagah ke masjid bermenara kapit berkubah emas menggalas segenggam amanah.


Pulang dari masjid, pada tarikh kapit sembilan di tengah, kiri dan kanan, ruang tamu rumah kasih Padang Embun berubah wajah dengan hadirin memenuhi ruang meraikan sesuatu yang dirancang. Foto di bawah rakaman kenangan sebahagian tetamu yang datang.

Lagi ilustrasi para dhif al-akrami merai permaisuri sehari dalam permai pagi Ramadhanulkarimi.

Seratus lima puluh hari kemudian, foto ini merakam kenyataan lokasi sama sudah pun berubah wajah menjadi sebuah gelanggang.

Meski dalam tempuh seratus lima puluh hari modifikasi berlaku namun di kalbu saya segalanya segar dan kekal seperti selalu.


Ahad, Februari 07, 2010

Menanti Nafiri


Dinihari tadi tengkujuh raksasa membadai jiwa sewaktu satu persatu indera saya bersebati dengan irama fitrah di atas.

Situasi sebegini seringkali saya alami setiap kali rafik mengalunkan bait-bait nasyid di bawah ini, tanpa dibuat-buat atau dipaksa-paksa pasti berguyuran mutiara merembesi pipi. Apatah lagi saya dikunfayakunkan sepertiga malam tadi, mengalunkannya seorang diri dalam bukat malam sepi.


Tangisan hati kecilku ini
tak dapat dibendung lagi
air mata membasahi pipi
terkenang keagungan-Mu, Ilahi
terpandang kebesaran-Mu, Ilahi


Itu sahaja yang saya ingati, boleh jadi nasyid ini dendangan PMRAM (Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir) atau siapa ya? Jika ada di antara kalian yang mengingati bait-bait indah liriknya sudilah emelkan kepada zanazanzaly@yahoo.com atau jika ada lagu asalnya bolehlah muaturunkan kepada saya.


Mahu saya gagahtabah memberanikan diri mengalunkannya sendiri meski zulmat malam nan sepi rakus, tanpa ehsani mengheret songsang mastuli jiwa bagai menarik kapas basah pada duri kerana saya yakin saya akan kumandangkan nasyid ini sekali lagi bersama rafik pada suatu hari tatkala nafiri disemboyankan petanda mara ke sisi-Nya.

Rabu, Februari 03, 2010

Ba-ha-ru

Sepuluh hari pemula Masihi saya dikunfayakunkan Ilahi menerima kehadiran teman di sisi dengan penambahbaikan jiwa yang saya nafas-baharukannya seperti penampilan saya yang juga berimej baharu kerana bangun tubuh tidak lagi sesuai mengenakan pakaian lama akibat susut berat badan yang ketara.

Ya, saya berjaya mengembalikan berat badan ideal dengan julat penurunan sebanyak 14 kilogram dalam masa tiga bulan. Yakinlah dan beristiqamah dengan saum sunat Isnin dan Khamis serta senaman selama lapan minit sehari secara konsistan, perbanyakkan makan buah-buahan dan sayur-sayuran nescaya kalian tidak perlu pil atau sebarang suntikan untuk slim, cergas lagi berstamina. (Sesiapa yang berminat bermain ping-pong, sila jangan segan silu ke rumah kasih, Padang Embun, segala kelengkapan permainan disediakan).

Sukalah saya berkongsi tips bagi kalian yang percaya kepada perubahan drastik. Musim raya orang kalut mempersiapkan baju baharu. Tapi saya sebaliknya. Slogan yang saya lancarkan ialah Jom beraya dengan tubuh baharu. Nah, sempena Adiladha lalu, bukan sahaja saya dikurniakan dengan rupa fizikal baharu, lebih dari itu saya juga dianugerahi gaya jiwa yang sedikit bernafas baharu dengan kehadiran teman di sisi. Alhamdulillahi Rabbil Alamin.

Kehadiran teman di sisi tidak sendirian. Datangnya bersama pakej istimewa yang menampilkan watak-watak baharu dalam novel kehidupan. Seumpama sebuah lukisan agam, ia mempalit seribu warna-warni baharu pada kanvas hayat yang belum siap.

Kekerapan tetamu hadir menyaksikan Tarian Tinta Sukma dari Sungai Petani, Wollongong, Banglore, Adelaide, Florida (sekadar menyebut beberapa nama) amatlah saya raikan dengan ucapan salam kasih sayang daripada saudara semenda kalian yang jauh ini. Moga kita segera bersua di alam nyata dan bertambahlah kemesraan akrab jiwa.

Buat semua saudara semenda, saya tujukan lagu yang khas didendangkan oleh teman di sisi pada pagi ini selepas kami menandatangani satu lagi projek usahasama.

Semoga jalinan ukhwah kita segar mewangi sentiasa.


Ahad, Januari 31, 2010

Lagu Penawar Sebu

NEIL DIAMOND! Jawabnya penuh makna seraya tepat menancap seluruh wajah saya yang terkesima tidak terkata.
Saya hanya mampu bertanya siapakah penyanyi asalnya tatkala mendengar suara teman di sisi mendendangkan lagu itu ketika saya ralit bercakap dengan diri sendiri setelah tergesa-gesa pulang dari pejabat setelah parah diserang selsema pagi tadi.
Ah lagu itu! Suatu waktu dahulu pernah saya hafal, kini terlupa liriknya.
Bersin yang tak henti-henti akibat terhidu asap rokok pelanggan. Natijahnya, ia memaksa saya bergegas pulang. Bimbang pelanggan beredar dari Noble Art kerana menyangka saya pembawa H1N1 setelah melihat tisu pemekup hidung saya bertompok-tompok saga.
Sampai sahaja di rumah, saya terus menyalami penyaman udara, meluru ke dapur, menuang minyak Cap Kapak ke dalam secawan air panas lalu menyedut wapnya sembari bibir melafaz Doa Syifa'.
Sama sekali tidak saya sedari seseorang asyik memerhatikan gerak geri saya. Tiba-tiba sahaja, terpana saya melihat merah ulas bibirnya indah menuturkan bait-bait puitis lirik...
What a beautiful noise
Comin' up from the street
Got a beautiful sound
It's got a beautiful beat
It's a beautiful noise
Goin' on everywhere
Like the clickety-clack
Of a train on a track
It's got a rhythm to spare
It's a beautiful noise
And it's sound that I love
And it's fit me as well
As a hand in a glove
Yes it does, yes it does
What a beautiful noise
Comin' up from the park
It's the song of the kids
And it plays until dark
It's the song of the cars
On their furious flights
But there's even romance
In the way that they dance
To beat of the lights
It's a beautiful noise
And it's a sound that I love
And it makes me feel good
Like a hand in a glove
Yes it does, yes it does
What a beautiful noise
It's a beautiful noise
Made of joy an of strife
Like a symphony played
By a passing parade
It's the music of life
What a beautiful noise
Comin' up to my room
And it's beggin' for me
Just to give it a tune
Sejam saya terlena di sofa dalam nyaman hawa dingin tiupan Heir setelah menelan clyratine, dan didodoi dengan lagu itu. Sebaik sahaja sedar dari lena, sebu sirna. Usai mengimami Zohor, teman di sisi menawarkan diri membantu saya berpacu ke Kota Bharu untuk menyiapkan kerja pejabat yang tertangguh sejak pagi tadi.

Khamis, Januari 28, 2010

Silang Anutan 1 Malaysia

Menonton filem memang kegemaran saya. Tapi saya sangat selektif. Tidak semua filem Melayu atau Inggeris atau Arab atau Iran atau Tamil atau Kantonis atau Mandarin atau Hindi saya tontoni. Saya tentukan dahulu samada ia filem dari adaptasi karya sastera atau pun bukan, siapa penulis skrip, pengarah dan jalan ceritanya kemudian saya pilih aktor serta aktresnya.

Saya tentukan khas semua di atas kerana setiap adegan akan saya ingat dialognya, babaknya, bahasa kameranya dan segala yang indah akan segera saya muatmasuk ke minda dan jiwa saya.

Apa kena mengena isi dengan judul entri ini?


Aha, pagi ini sewaktu dalam perjalanan ke Pengkalan Chepa, indera saya berselayang pandang lirik nyanyian Nandini (Ashwaria Rai) Chand Chupa Badal Mein menerusi filem adaptasi novel Benggali Na Hanyate karya Maitreyi Devi, berjudul Hum Dil De Chuke Sanam. (Hish, orang Kelantan suka sangat layan Hindustan! Pagi petang malam).

Suara Alka Yagnik bagaikan sakti menghipnotis rasa saya sekaligus saya kira telah menyempurnakan amalan Karva Chauth Nandini.

Saya membalas senyum Nandini dengan berbisik, hey, kita sedang berbuat perkara yang hampir serupa tapi dengan maksud berbeza! Kamu menunggu bulan penuh untuk memakan sergi manakala saya menanti matahari jatuh untuk beriftar dengan tamar.

Jangan cepat latah dan bangat lempar fitnah. Saya menafikan sekeras-kerasnya kesamaan darjat dalam ibadat tersebut kerana kami berbeza agama secara total. Apa yang mahu saya garisbawahkan adalah perkara yang sama dilakukan oleh para pecinta demi menambahdarjah takah kecintaan dalam jiwa.

Bezanya Nandini berpuasa untuk suaminya manakala saya berpuasa kerana Allah Azza wal Jalla dan jika Allah swt sudi mengganjari ibadat ini dengan pahala saya mohon ia dikreditkan kepada seseorang yang sentiasa di jiwa. Apa yang saya damba, hanya kesihatan fizikal, mental dan spritual selama hayat dikandung jasad. Begitulah yang saya niat dan berhasrat untuk dapat setiap kali menjalani ibadat sunat.

Terdetik di hati, apakah nikmat berpuasa yang saya rasa ini sama dengan Nandini? Tib'an jawapan mutlak di tangan Ar-Rahman tapi tidak salah bukan jika kalian juga memberi andaian?

Rabu, Januari 27, 2010

Jom Dhuha

Entri ini inspirasi rakan penulis Amiza Khusyri menerusi FB. Saya kagumi gagahtabahnya mengajak warga FB ke arah Rabbul Izzati. Tulisnya begini, ingin membuka pintu-pintu rezeki dengan mengajak semua - jom Solat Sunat Dhuha!

Saya petik hadis yang Khusyri kutip dari riwayat Abu Dzar, sabda nabi SAW, "Setiap orang menjelang pagi, berdasarkan tulang temulang sendi memerlukan sedekah. Tiap-tiap tasbih itu sedekah, tiap-tiap tahmid sedekah, tiap-tiap tahlil adalah sedekah dan tiap-tiap takbir adalah sedekah. Menyeru makruf adalah sedekah, mencegah mungkar adalah sedekah. Semuanya itu sama nilainya dengan dua rakaat solat Dhuha."

Suka saya menambah, alang-alang berdhuha aksesorikan ia dengan Ma'thurat Kubra. Sughra pun tak apa, asal buat saja!

Ah apa tunggu lagi? Jom dhuha.

Tak sempat hari ini, mulakan esok ya. Tambah berseri busana taqwa jika berlabuci puasa sunat Khamis esok hari.

Selasa, Januari 26, 2010

Berdansa Atas Meja

Sudah lama saya tidak berdansa. Rindunya hanya Allah yang Maha Tahu. Bak kata rafik kepada kandanya pada 8 Disember lalu, Allah tidak pernah zalim kepada hamba-Nya. Benar katamu rafikku! Sudah dua malam berturut-turut rafikmu ini diizinkan Allah Rabbul Izzat berdansa semahunya atas meja selama dua jam tanpa henti.

Puas sungguh hati saya dapat beraksi menari atas meja dengan kostum yang selalu saya cemburui apabila dipakai oleh kaum lain selain bangsa saya. Dalam kenyamanan penghawa dingin di ruang tamu rumah kasih Padang Embun yang sudah pun saya tukar menjadi gelanggang sehati berdansa, saya sepuas-puasnya berdansa atas meja!

Jurulatih Ping-Pong yang didatangkan dari Rawang ini ternyata amat mahir melatihtubi saya yang keghairahan teknik potong serong (chop). Saya melonjak ke kemuncak apabila berjaya menewaskannya meski selepas deus 23-22 pada perlawanan pertama, diikuti pusingan kedua sekali lagi saya menggawang angkasa dengan kutipan mata 21-19 sejurus selepas pembalut meja ping-pong dibuka secara rasmi.

Semalam sekitar jam 9.00, selaku juara menanti, saya bersemangat sekali lagi mempertahankan kejuaraan dengan 21-17 dan 21-15.

Pagi tadi, selepas menyediakan sarapan roti sandwich sardin dan telur hancur, jurulatih melatih tubi saya berdansa gaya putaran sisi (side spin). Saya mulai menyukai gaya ini sama seperti saya menggemari hidangan sarapan bikinannya tadi.

Sekitar tahun 2002 lalu, saya dan rafik selalu ditemani Han Shazili, pemain ping-pong kidal, bermain ping-pong di Pusat Sukan Perdana dengan bayaran RM7.00 sejam. Teman jiwa rafik itu selalu bermurah hati menaja kos permainan sekaligus menempatkan kami di Kencana Inn apabila melihat kami keletihan untuk memandu pulang setelah berhempas pulas mempertahankan kejuaraan bermula lepas Isyak santak ke malam larut.

Minggu lalu, saya bersama teman di sisi ke Pusat Bowling bertanyakan Pusat Sukan Perdana yang bersebelahannya, namun kecewa menyapa rasa apabila dimaklumkan tempat nostalgia itu kini hanya tinggal nama. Saya menapak longlai dengan memasak satu tekad dalam kalbu.

Kini, teruja saya menunggu kedatangan Bentara Guru puisi saya, Dato' Prof. Dr. Hashim Yaacob yang juga mahir berdansa atas meja dan tidak terkecuali rafik yang servis pemulanya sangat memancing ghairah rasa untuk tangkas menyerang balas mematikan pukulan dengan mata kedudukan.

Ayuh kalian cepat pulang. Mari bersama kita berdansa atas meja sesuka jiwa.

Isnin, Januari 25, 2010

Meja Ping-Pong vs Basikal Jepun

Berbagai ragam dan rencam bikinan manusia. Ada yang suka memberi coklat, dian atau bunga sebagai hadiah atau buah tangan sebagai tanda kesukaan, berterima kasih, saling bertukar sayang atau kemuncak rasa kepada seseorang.

Jika seseorang menghadiahkan anda sebuah meja ping-pong sebagai hantaran, apakah yang anda rasa amat sesuai sebagai balasan? Anda boleh senaraikan segala pendapat anda di ruangan komen atau dalam kotak sapa mesra. Semestinya, saya amat menghargai segala sumbang saran minda anda.

Dan, saya kira sebuah basikal Jepun bergear amat berpadanan. Kepada teman di sisi, saya ucapkan selamat menunggang ke masjid bermenara kapit berkubah emas dan selamat beriadah, semoga menjadi mukmin berbadan slim.


Sabtu, Januari 23, 2010

Sakti Sebuah Lagu

Siapa kata lirik dan lagu tidak punya kuasa? Hey, maaflah saya sama sekali tidak percaya. Dari zaman kanak-kanak meniti ke alam remaja kini dewasa, lirik dan lagu sentiasa mengakrabi sekaligus memaknai jiwa saya.

Ah, entah mengapa saya tiba-tiba berasa beku sebuku kalbu mulai perlahan-lahan mencair apabila teman di sisi mendendangkan lagu ini. Saya kurang pasti apakah saya di alam realiti ataupun khayali.

Iluminasi, barangkali!

Tapi yang pasti, wajah lelaki di sebelah ini tampil jelas di ruang mata buat memperindahkan lagi 'macho' suara yang menghalwa telinga.
Ada beberapa soalan mencendas tempurung kepala, namun tidak saya hirau kerana saya sengaja tidak mahu mengundang kacau. Maka saya biarkan sahaja cicip galau dan bilau yang curi-curi berkicau.



Saya kehilangan kata-kata. Hijab femina yang litup berselubung malu hanya mampu meminjam suara Sudirman sebagai memperakui sakti sebuah lagu dendangannya telah pun membangkit semangat dan hangat rasa pun bernyala.

Khamis, Januari 21, 2010

Dari Jiwa Ia Bersuara

Dan akhirnya,
rasa berdansa
mengikut irama suara jiwa
diam memujuk kita
untuk tidak bersuara
kecuali membaca bahasa mata.

-Aras Sebelas Menara DBP.

Rawang Ke Klang

Bersama teman di sisi, kembara fasa kedua awal Masihi pun bermula melalui jalan raya. Sudah lama saya tidak memesrai lebuh raya sejak ralit mengakrabi laluan udara. Dari Padang Embun, saya dan teman di sisi dihantar Pak Nik dan Cik menaiki Ekspres Darul Naim di Hentian Tesco. Tiba di Hentian Putra, dijemput Hannan ke Rawang. Bermalam semalaman, teman di sisi memandu menuju Kelana Jaya singgah sebentar di Shah Alam. Mengambil alih tugas pemanduan, saya meluru ke Meru.

Seumpama kembara pertama, berhajat sungguh saya ke Putrajaya meski sekadar di pinggiran sahaja, namun tiada siapa pun mempelawa. Andai ada kesudian di kalangan kalian mengundang saya, oh alangkah bahagia kerana kembara saya pada Masihi kali ini bukan lagi sendirian seperti akhir Masihi pilu yang lalu.

Kembara kali ini saya penuhi dengan tasbih dan tahmid bersama teman di sisi demi mensyukuri penampilan saya beraksi regu semula setelah empat bulan sudah saya muncul secara solo dalam kembara uzlah. Menempuh getir imtihan Allah nan tak terungkap lidah.


Ya Zaljalali wal ikram
hamba-Mu arham
bersimpuh di bawah rimbun Kun Fayakun
menatang hantaran semilyar mahar
al-waqiah, al-kahfi,al-mulk, an-nur,
telah pun Kau-mabrur
kurafak takzim seraup syukur.

-Meru, Klang.




Isnin, Januari 18, 2010

Ke Udara

Saya berpacu ke Kota Bharu bersama teman di sisi mengejar waktu. Jam 10.00 - 11.00 pagi tadi, suara saya ke udara melalui Kelantan FM. Ini kali kedua saya diundang ke konti. DJ Lin (Haslina Hamzah) yang ramah tamah menzahir rasa selesa buat saya untuk diwawancara seputar dunia penulisan bagi mengisi Slot Ikon Remaja yang dikendalikannya sejak bergelar penerbit.


Suasana harmoni dalam konti.


Sesekali saya mengerling teman di sisi demi meraih inspirasi
ketika ke udara. Redup matanya meyakinkan saya bahawa saya sentiasa tidak keseorangan dalam meniti titian kehidupan.

Harapnya, saya diberi kesempatan lagi dan lagi untuk mentransaksi dakwah melalui mata pena bertinta hikmah. Ya, Allah... terimalah.



Selain mewawancara, DJ Lin juga pendengar yang setia



Ahad, Januari 17, 2010

Seminggu Lalu

Seminggu yang lalu saya diundang ke sesi fotografi oleh sebuah butik pengantin. Demi memenuhi impian seorang rakan lama niaga, saya gagal memberi sebarang alasan walaupun permintaannya saya kurang berkenan. Punyalah ramai rakan taulan, saudara mara yang dia ada, saya juga yang dipilihnya. Apa kes, apa cerita, ya?

Melihat saya menggeliat kiri-kanan tidak selesa menghadapi pengalaman pertama dipantis wajah yang pada anggapan saya sedemikian rumit, Aznah tauke butik, rancak mengkritik wajah saya yang baginya senang disolek kerana batang hidung, tulang pipi dan dagu sudah sediada terbentuk memadai dengan
tatarias ringkas yang hanya memakan masa kurang 30 minit.

Ibu berzuriat kembar itu kemudian mengklik DSLR Nikonnya dengan membenarkan saya berinteraksi dengan lensanya secara bebas dan bersahaja.

Dan, inilah hasilnya... ha ha ha gelak sakan saya. Anda bagaimana?










Imejan Cybershot Ira Shamsudin

Isnin, Januari 11, 2010

Semalam Yang Merakam

Lensa kamera minda, indera dan jiwa
semalam, merakam
peristiwa debar sukma
jarum waktu menjahit
100110 benang angka-angka kapit
sepuluh januari dua ribu sepuluh
merentang dewangga redha sekampuh
pemidang kun fayakun
di luh mahfuz.


Isnin, Januari 04, 2010

Terhibur Pabila Ia Gugur

Sewaktu memandu, jarang saya memasang radio kenderaan kerana seringkali lagu yang diputar DJ tidak menepati selera. Demi menghiburkan hati, saya amat bersukacita pabila menyanyi sendiri. Saya layan lagu-lagu Melayu balada 80-an, rock 90-an, lagu Inggeris Oldies, Kantonis dan tak ketinggalan lagu Hindustan.

Jika sudah lenguh, saya minta pula rafik di sebelah menyumbang peluh. Suka sungguh saya minta rafik yang dapat mendendangkan lagu seperti di bawah ini dengan baik seperti sukanya saya kepada watak Anjali, satu-satunya lakonan Shilpa Shetty yang saya gemari.

Setiap kali rafik menyanyi, akan segera bergema dalam jiwa satu ritma yang sukar digambar. Akan segera pula kelipan kelopak mata bercumbuan dua tubirnya dengan cepat skalanya saya sembunyikan. Entah? Saya selalu beranggapan tidak manis orang lain melihat saya menangis.

Semalam, ketika melalui Puncak Alam, diam-diam saya alunkan lagu itu dari ruang kalbu paling dalam dan saya rasa amat terhibur apabila secara jujur, saya membiarkan untaian itu gugur.

dil ne yeh kaha hai dil se
My heart has spoken this to your heart

muhabbat ho gayi hai tum se.
I have fallen in love with you

meri jaan mere dilbar mera etbaar kar lo
My life, my love, have faith in me

jitna beqaraar huun main khud ko beqaraar kar lo
Make yourself as restless with longing as I am

meri dhadkanon ko samjho
Understand my heartbeat

tum bhi mujhse pyaar kar lo
Fall in love with me as well

tum jo kah do to chaand taaron ko tod laayuunga main
If you tell me, I'll break off the moon and stars and bring them to you

in hawaaon ko in ghataayon ko mod laayuunga main
I'll turn the wind and clouds and bring them

kaisa manzar hai meri aankhon mein kaisa ahasaas hai
What is this I see before me; what sort of feeling is this?

paas dariya hai duur sahara hai phir bhi kyon pyaas hai
Near me, the sea; in the distance, the desert; yet why do I thirst?

kadmon mein jahaan yeh rakh duun
I shall place this world at your feet

jitna beqaraar huun main khud ko beqaraar kar lo
Make yourself as restless with longing as I am

meri dhadkanon ko samjho
Understand my heartbeat

tum bhi mujhse pyaar kar lo
Love me as well

dil ne yeh kaha hai dil se
My heart has spoken this to your heart

muhabbat ho gayi hai tum se
I have fallen in love with you

meri yaadon mein mere khwaabon mein roz aate ho tum
Daily you enter my memories, my dreams

is tarah bhala meri jaan mujhe kyon sataate ho tum
Truly, my love, why you do torment me so?

teri baahon se teri raahon se yuun na jaayuunga main
I won't depart from your embrace, your path, like this

yeh iraada hai mera waada hai laut aayuunga main
My intention, my promise is that I shall return

duniya se tujhe chura luun
I shall steal you away from the world

thoda intazaar kar lo
Just wait a little bit

jitna beqaraar huun main khud ko beqaraar kar lo
Make yourself as restless with longing as I am

meri dhadkanon ko samjho
Understand my heartbeat

tum bhi mujhse pyaar kar lo...
Fall in love with me too

kaise aankhein chaar kar luun
How do I meet your eyes?

kaise etbaar kar luun
How do I have faith in you?

apni dhadkanon ko kaise itna beqaraar kar luun
How do I make my heartbeats impatient for you?

kaise tujhko dil main de duun
How shall I give you my heart?

kaise tujhse pyaar kar luun
How do I fall in love with you?

dil ne yeh kaha hai dil se...
My heart has spoken this to your heart

muhabbat ho gayi hai tum se...
I have fallen in love with you

meri jaan mere dilbar mera etbaar kar lo
My life, my love, have faith in me

jitna beqaraar huun main khud ko beqaraar kar lo
Make yourself as restless with longing as I am

meri dhadkanon ko samjho
Understand my heartbeat

tum bhi mujhse pyaar kar lo...
Fall in love with me as well...