Hak Cipta Terpelihara. Sebarang item yang mahu diambil daripada blog ini wajib mendapat keizinan pemilik blog. Budi Bahasa Amalan Kita

Selasa, Januari 26, 2010

Berdansa Atas Meja

Sudah lama saya tidak berdansa. Rindunya hanya Allah yang Maha Tahu. Bak kata rafik kepada kandanya pada 8 Disember lalu, Allah tidak pernah zalim kepada hamba-Nya. Benar katamu rafikku! Sudah dua malam berturut-turut rafikmu ini diizinkan Allah Rabbul Izzat berdansa semahunya atas meja selama dua jam tanpa henti.

Puas sungguh hati saya dapat beraksi menari atas meja dengan kostum yang selalu saya cemburui apabila dipakai oleh kaum lain selain bangsa saya. Dalam kenyamanan penghawa dingin di ruang tamu rumah kasih Padang Embun yang sudah pun saya tukar menjadi gelanggang sehati berdansa, saya sepuas-puasnya berdansa atas meja!

Jurulatih Ping-Pong yang didatangkan dari Rawang ini ternyata amat mahir melatihtubi saya yang keghairahan teknik potong serong (chop). Saya melonjak ke kemuncak apabila berjaya menewaskannya meski selepas deus 23-22 pada perlawanan pertama, diikuti pusingan kedua sekali lagi saya menggawang angkasa dengan kutipan mata 21-19 sejurus selepas pembalut meja ping-pong dibuka secara rasmi.

Semalam sekitar jam 9.00, selaku juara menanti, saya bersemangat sekali lagi mempertahankan kejuaraan dengan 21-17 dan 21-15.

Pagi tadi, selepas menyediakan sarapan roti sandwich sardin dan telur hancur, jurulatih melatih tubi saya berdansa gaya putaran sisi (side spin). Saya mulai menyukai gaya ini sama seperti saya menggemari hidangan sarapan bikinannya tadi.

Sekitar tahun 2002 lalu, saya dan rafik selalu ditemani Han Shazili, pemain ping-pong kidal, bermain ping-pong di Pusat Sukan Perdana dengan bayaran RM7.00 sejam. Teman jiwa rafik itu selalu bermurah hati menaja kos permainan sekaligus menempatkan kami di Kencana Inn apabila melihat kami keletihan untuk memandu pulang setelah berhempas pulas mempertahankan kejuaraan bermula lepas Isyak santak ke malam larut.

Minggu lalu, saya bersama teman di sisi ke Pusat Bowling bertanyakan Pusat Sukan Perdana yang bersebelahannya, namun kecewa menyapa rasa apabila dimaklumkan tempat nostalgia itu kini hanya tinggal nama. Saya menapak longlai dengan memasak satu tekad dalam kalbu.

Kini, teruja saya menunggu kedatangan Bentara Guru puisi saya, Dato' Prof. Dr. Hashim Yaacob yang juga mahir berdansa atas meja dan tidak terkecuali rafik yang servis pemulanya sangat memancing ghairah rasa untuk tangkas menyerang balas mematikan pukulan dengan mata kedudukan.

Ayuh kalian cepat pulang. Mari bersama kita berdansa atas meja sesuka jiwa.

Tiada ulasan: