Hak Cipta Terpelihara. Sebarang item yang mahu diambil daripada blog ini wajib mendapat keizinan pemilik blog. Budi Bahasa Amalan Kita

Ahad, Ogos 15, 2010

Ibrah Umrah 2

Menerima undangan Ilahi ke rumah-Nya juga mempertemukan saya dengan aura figura agung sang pencinta. Citra cinta para ibunda tercinta, Saiyidatina Khadijah binti Khuwailid dan Saiyidatina Siti Hajr, juga para pencinta berbeza gender. Rawan luluh jiwa mengenang kecintaan Saiyidina Abu Bakr terpencar dari dalam zulmat gua Thur terhadap Kekasih Dia.

Cinta yang tiada tapal batas. Maujud hanya cinta teratas. Bukan sekadar di atas kertas. Kalis kelas tanpa waktu terbatas mengisi singkat temu berpapas, menanti rindu membias apabila segala redha saling berbalas, seluruh ikhlas menggalas segenap titis cinta yang berbekas. Cinta itu luas langgas justeru anugerah nikmat cinta daripada Segala Maha Pencinta kepada hamba untuk saling menyinta sesama manusia dan segala yang dicipta itulah arca cinta-Nya. Maka wajar sirna jika cinta transit ini tidak sampai ke destinasi hakiki yakni mercu tuju abadi lagi azali.

Wajib fana kala menyintai sesama kita dengan luhur rasa cinta itu lebur umpama cinta Rumi kepada Tabrizi semata-mata tiada lain kecuali kerana Dia, hatta hancur Tursina natijah cinta Musa bertakhta di atas peterana taubatnya.

Isnin, Ogos 09, 2010

Ibrah Umrah 1

Ramai yang bertanya itu ini seputar pengalaman diundang Ilahi menjadi tetamu-Nya di Tanah Suci. Ibrah yang saya temui untuk kesan positif jangka pendek sejurus sekembali ialah pertama kali mencuci kamar mandi tanpa berpunca dari natijah marah jauh sekali akibat sakit hati kerana saya sekarang sangat senang hati melewati malam berbicara dengan kartika yang Allah swt ganti setelah matahari dipadamkan buat saya seketika, untuk saya hargai keindahan kelam malam yang selama ini saya takuti untuk diam bersendiri. Alhamdulillah Ya Rabbi.

Memang hari-hari ia dicuci tapi disertai dengan segala kebencian yang tak terperi. Tapi sejak kembali, saya mula menyedari, seperti lazimnya setiap hari, ia tetap dicuci setiap kali mandi tapi kali ini dengan niat tiada lain selain memang untuk ia kelihatan bersih berseri dan wangi demi menghargai fungsi ia tanpa gagal berkhidmat dengan baik sekali selama teratak kasih ini saya diami.

Konsekuensi aneh telah saya temui, tanpa perlu menyembur pewangi yang paling saya gemari, sebaik sahaja usai dibersihi, ia terus automatis harum mewangi. Walhal saya menggunakan pencuci berjenama sama seperti dahulu lagi. Hairannya aroma yang terbit sejak akhir-akhir ini berlainan sama sekali.

Apresiasi buat kamar mandi yang selama ini tak pernah saya hargai fungsinya yang signifikan sekali dalam menyegar dan mensucikan jasmani.

'Segera kembali wahai hamba Allah yang elok pekerti yang telah menaburbudi menyemaibakti ke arah kepositifan mandiri Zanazanzaly. Kepulanganmu dinanti. Akan kusambut dikau dengan segala rindu yang membungarampai semerbak kasturi.' Begitu kasam hati saya mempateri sebuah janji.

Ahad, Ogos 08, 2010

Mesra Jiwa yang Jeda Seketika

Pada tarikh yang sama, setahun dahulu kami ditakdirkan bersua tanpa bersapa mesra sedangkan suara hati saling berkomunikasi. Sengaja dia sakiti hati ini dengan alasan yang disusunrapi tanpa pasti. Tapi aku sedari setiap kali hatiku dicalari, berkali-kali dia garami lukanya sendiri. Justeru al-fatihah dan al ma'thurat tanpa sangsi setiap hari kucagari demi menuntut kembali apa yang telah dijanji.

Masakan dia berjaya membuka pintu itu sedang kuncinya hanya ada padaku? Khilaf melanda minda dan jiwa remuk dibuatnya. Allah Maha Berkuasa dan Dialah jua sebaik-baik Perencana. Keakraban jiwa yang sengaja ditunda-Nya seketika buat memukat amarahnya yang melikat juga demi menjinaki keterburuanku yang liar berlari.

Duhai Rabbi, eratkan kemesraan antara hati-hati kami seperti Rabithah yang kekasih-Mu ajari justeru bukankah mukminah itu bersaudara? Maka damaikanlah kami sentiasa daripada segala sengketa dan prasangka melalui kalimah toyyibah diiringi selawat tafrijiyyah yang kami baca.


"Selamat kembali sahabat...tgu kau kat luar hampir 2 jam tau tak....dok tengok..sorang keluar mcm engkau...sorang keluar mcm engkau...akhirnya kau keluar...aku tak kenal..sebab kurus kering...hahahhaha [via Celcom SMS]"