Hak Cipta Terpelihara. Sebarang item yang mahu diambil daripada blog ini wajib mendapat keizinan pemilik blog. Budi Bahasa Amalan Kita

Jumaat, Januari 23, 2009

Sebuah Gitar Menggamit Nostalgia


DAVID KUAN, insan pertama berjaya menambah gula pada wajah cuka saya. Kerinduan yang mendalam pada keriangan rakan-rakan, pada keramahan guru-guru, pada aroma dan kelazatan nasi lemak daun pisang* makcik kantin di SK Pelabuhan Kelang, beransur-ansur menerima penawarnya.

.

Bukan sahaja kerinduan yang menyekam menjadikan saya murid pendiam, ketidakmahiran dan ketidakfahaman saya berdialek Kelantan juga menjejaskan perbualan saya dengan rakan dan guru-guru di sekolah baru.

.

Renungan matanya yang dalam, saya balas dengan curi-curi pandang. Bicara dalam diam kami, menerbitkan satu bentuk komunikasi paling sunyi. Tetapi, paling seni.

.

Selaku murid baru di sekolah itu, saya terpaksa bersaing dengan murid lama untuk mengetuai orkestra mini sekolah yang sering mendapat perhatian setiap kali Majlis Hari Penyampaian Hadiah.

.

Guru Tionghua itu, entah mengapa selalu menyisipkan notasi-notasi baru pada papan lagu milik saya. Dan, saya pula entah mengapa tanpa sepatah kata akan segera mengemam bibir rekorder rona putih anggerik, jari jemari pantas lincah menari, memetiknya penuh asyik dalam helaan dan hembusan nafas sepenuh jiwa. Dan dia pula serta-merta mengiringi saya dengan petikan gitar akustiknya.

.

500 Miles, Senja di Kuala Lumpur dan Istana Ratu, antara lagu-lagu wajib yang menjadi kesukaan saya. Dan, sebagaimana entri Senandung Cinta Di Relung Jiwa saya juga tidak tahu siapa pemilik dan penulis lirik lagu “Istana Ratu”. Yang saya tahu, suara cikgu itu sering memalu tabuh rindu di kalbu:


Sungguh amat indah Istana Ratu

Menarik pandangan hati dan kalbu

Ingin pula daku menari-nari

Terbit pula rindu untuk menyanyi

.

Ratu… yang mulia mesra

Sungguh… membanggakan jiwa

Menawan hati sanubari

Membangkitlah kini rasa penuh kasih

.

Sambut pujaanku yang mulia ratu

Sambut nyanyianku di hati rindu

Indah bagai mimpi di senja suci

Ingin menari, kuingin menyanyi.




Setelah mahir menguasai rekorder, saya diberikan peluang meniup dan memetik pianika. Ia mendekatkan saya kepada keyboard dan organ pula. Kini, saya akrab dengan sebuah gitar akustik pemberian seorang teman yang dekat di jiwa muzik saya.

.

* Namun aroma nasi lemak daun pisang itu, hingga kini masih saya rindui. Setiap kali menziarahi nenda di Klang, saya pasti mencari-cari aroma dan rasa yang serupa dengan nasi lemak daun pisang buatan makcik di kantin SKPK pada tahun 1980-81 dulu, seperti inginnya saya bertemu dengan guru muzik lulusan MPIK itu. Bila dan di manakah akan saya temui kedua-duanya lagi?







7 ulasan:

zaidi berkata...
Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.
zanazanzaly berkata...

sdr zaidi,
kelam waham perlahan-lahan
berlalu malu
lantaran kegigihanmu mengejar ilmu.

Terima kasih, cantik rima sdr titipkan.
saya suka, terlalu!

zaidi berkata...
Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.
zaidi berkata...
Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.
zanazanzaly berkata...

sdr Zaidi,
berenanglah sdr semahunya di tepian pantai. namun awas sdr, jika kailmu sejengkal cuma, jangan Atlantik mahu kauduga!
Atau sdr wajar bertanyakan Dato' Prof. Dr. Hashim Yaacob tentang petua mahu pun persiapan
bagaimana jika "Aku Hanya Mahu Ke Seberang"

Nisah Haji Haron berkata...

Baru sempat ziarah entri ini. Ah, kenangan lalu... Ini juga lagu koir sewaktu di sekolah rendah. Iramanya masih terpahat di fikiran walaupun lirik lagu ini sesekali terlepas dari ingatan.

Thanks for the memory!

zanazanzaly berkata...

Nis, bonda Mustaqim,
"Ah," mu mengingatkan daku pada permulaan "Sway" versi Pussy Cat Dolls. Fuhh!