Hak Cipta Terpelihara. Sebarang item yang mahu diambil daripada blog ini wajib mendapat keizinan pemilik blog. Budi Bahasa Amalan Kita

Jumaat, Februari 27, 2009

Natijah Marah

Petang Jumaat penghulu hari menginsafkan saya tentang sebuah kisah. Izinkan saya berkongsi erti maaf dan marah. Natijah menjadi hamba nafsu amarah, seorang gadis pongah tidak dapat mengawal diri walaupun hanya satu masalah kecil sahaja terjadi, marahnya berapi-api. Pada suatu hari, sahabatnya telah menghadiahkannya seguni paku.

"Untuk apakah paku-paku ini sahabatku?" Tanya gadis itu kehairanan.


"Setiap kali kau marah, pakulah tembok batu di hadapan rumah, lepaskanlah segala marah." Jawab sahabatnya penuh hemah.

Pada hari pertama
sahaja, gadis itu telah memaku sebanyak 37 batang paku pada tembok batu tersebut. Selepas beberapa minggu, setelah dia dapat mengurangkan kemarahannya, jumlah paku yang digunakan juga turut berkurangan. Lama kelamaan, dia mulai menyedari betapa lebih mudah mengawal kemarahan sendiri dari memukul paku menembusi tembok batu.

Akhirnya tibalah suatu hari di mana
gadis itu tidak marah-marah lagi. Dia berjaya mengawal diri hinggakan sekelumit marah pun tiada di hati.

Dia pun memberitahu sahabatnya mengenai kepulihannya itu lalu dengan rasa terharu sahabatnya mensyabaskannya dan menyuruh dia mencabut kembali paku itu satu persatu pada setiap hari yang ia lalui tanpa kemarahan.

Hari berganti hari, dan akhirnya gadis itu berjaya mencabut kesemua paku-paku tersebut lantas memberitahu sahabatnya dengan sejuta bangga.

Sahabatnya lantas merangkul bahu menuju ke tembok batu lalu tepat merenung ke dalam mata gadis itu "Kau telah melakukannya dengan baik, sahabatku, tetapi lihatlah kesan lubang-lubang pada dinding tembok itu walaupun tembok batu tetap kelihatan sama seperti sebelumnya.

Apabila kau menyatakan sesuatu atau melakukan sesuatu ketika marah, ia akan meninggalkan kesan parut dan luka, sama seperti ini. Kau boleh menikam seseorang dengan pisau dan membunuhnya. Tetapi ingatlah, tak kisahlah berapa kali kau mem
ohon maaf dan menyesal atas perbuatanmu, namun lukanya masih tetap ada. Luka di jiwa lebih parah dari luka yang nampak di mata.

Khatimah sebuah kisah saya sudahi dengan titis-titis suam yang mengalir di pipi dan di kesempatan ini saya mohon setulus hati sesuci fitrah insani "Maafi daku sekiranya tanpa disedari pernah daku meninggalkan kesan berlubang di dinding jiwamu."

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Slm pagi Jumaat,

Sy amat terkesan dengan kisah ini.
Terima kasih.

zanazanzaly berkata...

SF,
Salam kembali. Terima kasih sudi berkunjung buat julung kali. Akrabkan segera ke hati segala yang murni, jarakkan segera daripada diri semua yang keji.