Hak Cipta Terpelihara. Sebarang item yang mahu diambil daripada blog ini wajib mendapat keizinan pemilik blog. Budi Bahasa Amalan Kita

Isnin, Oktober 26, 2009

Cinta Musa, Thur Hancur

Saat kau takluki
segunung bahagia nan tawar
aku redha ditelangkupi
sebusut derita yang manis
dalam mamai waktu bulan pucat manai
sayu zikir anai-anai
"Ya Sabbur
Ya Ghaffur

Thur hancur
cinta Musa bertakhta

di peterana taubatnya."



Ahad, Oktober 04, 2009

3L


(AWAS! Jangan sesekali meniru aksi pemakaian rantai emas oleh penyanyi lelaki ini. Ia haram di sisi Islam)

"Layan Lagu Lama!"

Begitu 3L bermula. H, kawan sekolah rendah memaklumkan kepada saya melalui sms sewaktu saya bertanya khabar keadaan emosinya yang sedang dalam perjalanan pulang dari kota batu. Dia pulang untuk berperang. Dia pulang dengan seribu walang. Haknya bakal dirampas orang setelah dia sehabis daya mempertahankan keteguhan kasih sayang.

Pemuda kelahiran Capricon itu ternyata tabah mengharung gelombang. Itu jelas kelihatan sewaktu saya sekilas mengerling padanya yang nyalang mencerlung ombak ganas membadai beting batu di Pantai Cahaya Bulan petang semalam selepas dia puas berehat setelah penat memandu dari barat daya diiringi teja menuju timur laut bersambut dini jam tiga.

Petang matang sekitar jam 5, saya mencadangkan agar dia menyertai warga Noble Art yang berhajat melepaskan angin tersangkak dalam jiwa dengan beramah mesra bersama angin PCB yang kelmarin itu ditakdirkan juga sangat galak perilakunya.

Pelawaan saya bagaikan mengantuk disorongkan bantal kepadanya kerana dia mahu merasai dingin angin, meskipun angkuh dan keras langkisau petang Sabtu itu, sebelum dia benar-benar dicabar angin pijar sebuah 'pertarungan' merebut hak penjagaan tiga zuriatnya pada 5 Oktober.

Saya memberanikan diri untuk melihat tempat kesan Cinta Yang Terhumban. Busung dukanya pecah berhamburan tertusuk Duri Hampa.

Ku susun melodi lagu sepi
Mengisi memori dalam duka
Terbayang wajahmu
Bersama semalam
Menangis hatiku luka lagi

Tersimpan duru-duri hampa
Di sudut hatiku yang luka
Ingin ku cari kasih suci
Tetapi ku hampa kecewa

Biar ku sendiri dalam sepi
Tiada sesalan 'kan berlaku
Ku rela kau pergi
Jika kau bahagia
Menentukan jalanmu sendiri

Saya pandang laut lepas puas-puas. Tempias ombak ganas menampar muka. Pipi saya panas. Seluruh wajah saya hadap ke atas bersyukur penuh ikhlas atas belas Tuhan menghantar utusan yang berjaya menyembunyikan titis di pipi yang merembeskan vaksin imunisasi diri buat penawar kanser rindu yang nazak meracunbiru sebuku kalbu.