Hak Cipta Terpelihara. Sebarang item yang mahu diambil daripada blog ini wajib mendapat keizinan pemilik blog. Budi Bahasa Amalan Kita

Rabu, November 18, 2009

Hujan Malam Semalam dan Petang Ini

Suatu waktu dahulu, hujan malam sentiasa saya tunggu untuk melepaskan rindu. Berlama-lamaan di sisi jendela berjeriji, memandang butir hujan menempiasi kaca jendela bersama sejuta bahagia.

Secangkir minuman coklat panas atau secawan kopi pahit sering diteguk bersama kala hujan. Diam pun melatari orkestra alam.

Kolam berair hijau beriak-riak manja dicumbui rintik langit. Hujung tirus dedaun buluh Chiangmai bergayutan bulir jernih.

Kini tidak lagi, kerana azab rindu yang tak tertanggung ini tanpa belas meratah darah nyawa saya yang hanya tinggal separuh cuma setelah separuh lagi sudah jauh dibawa pergi.

Semalam hujan. Saya sengaja tidak menjawab pertanyaan seseorang melalui sistem pesanan ringkas bertanyakan apa yang sedang saya lakukan dan bagaimana keadaan cuaca sekitar jam 1.18.18 petang. Entah kenapa firasat saya kuat meneka kiriman smsnya berpunca dari rasa agak terkilan kerana bertindak menganjak jarak agar lebih berjarak tanpa memaklumkan.

Mulanya saya menaip bait-bait di bawah,

Hujan asid menyimbah
petang dan malam, menambah
parah luka jiwa bernanah
sebuku kalbu pasrah
mempersembah jujuhan air mata hiba
dalam khusyuk tahajud dan sunat taubah
atas sejadah abdiah.

Kemudian, saya padam dan terus membengkam perasaan dengan harapan semoga Ar-Rahim juga mengisyraqinya dengan sebuah kefahamanperasaan dan keinsafan.

Petang ini, hujan lagi. Allah Maha Mengasihani telah memberi belas ehsani buat saya yang merindui separuh nyawa yang telah dibawa tanpa simpati. Dan tadi, saya dikunjungi oleh jasad dengan sebuah wajah yang sudah lama saya tidak saya tatapi.

Kebetulan apakah ini, pagi tadi ayah bonda serta dinda saya tiba-tiba menyebut-nyebut perihal kebagusan bondanya mengajar, ayahandanya yang dahulu teruk dijerut rantai keegoan intelektual kini telah insaf dan sedang keuzuran, adik beradiknya yang bijak-bijak belaka manakala fikiran saya jauh menerawang teringatkan dia yang memiliki ciri-ciri yang menepati naluri.

Dan, tadi dia tiba di depan pintu pejabat saya setelah lama mengembara menambah ilmu di dada. Sekilas sempat saya kerling tiketnya ke Birmigham berjadual 8 Disember.

Semoga dia bahagia dan segera menemui apa yang dicarinya sebagaimana doa saya kepada seseorang yang sengaja menyirnakan cinta sekian lama bertakhta di kalbu setelah asyik mereguk kasih baharu.

Hey, bukankah jiwa sarat cinta itu anti sengketa?

5 ulasan:

isyraq berkata...

..seorang murid yg kusut jiwanya, celaru aqalnya, berkerut wajahnya dek ujian/ musibah yang melanda. Datang dia menemui sang mursyid. Kata si mursyid..anakku pergilah kamu ke dapur, ambilkan dua genggam garam bawakan padaku. Bersama dua genggam garam dia mengadap si mursyid. Masukkan segenggam garam itu ke dalam segelas air ini dan minumlah..pinta si mursyid. aaaarghh..ptuuih.. bila sedikit air itu mencecah ke lidahnya lantaran masin kepahitan air itu. Sekarang ikutku ke perigi..ajak si mursyid.
Di tepi perigi, si mursyid minta muridnya campakkan segenggam garam lagi ke dalam perigi kemudian ceduk airnya untuk diminum. Aaah..sedap rasanya air ini, melegakan jawab si murid. Memang sudah sifat garam itu masin..usah difikir untuk tukarkan sifatnya tapi usahakan untuk membesarkan kolam hatimu nescaya kamu tidak akan merasai kepahitan itu.

zanazanzaly berkata...

isyraq,
subhanallah! saya benar-benar terislah daripada kisah ini. Jika tak keberatan, saya mahu tahu sumber dari mana sdr/i dapat kisah ini, boleh?

isyraq berkata...

zana,
..kupetik kisah ini bukan dicuping telinga, tidak juga dengan tatapan kornea mata tapi sebuah analogi rakaman kesimpulan dari pengalaman hidup bertahun di bawah bimbingan mursyidku.

zanazanzaly berkata...

isyraq,
moga sdr/i & murshidmu dikasihi allah swt. doakan saya juga segera dan selalu mendapat irshad sebagaiman tazkirah bersama rafik saya hari ini. Syukur saya dikelililingi para penjual minyak wangi. Tentukan sahaj aroma yang saya suka, nescaya mereka akan memercikkannya. Alhamdulillah 'ala kullihal.

zanazanzaly berkata...

isyraq,
moga sdr/i & murshidmu dikasihi allah swt. doakan saya juga segera dan selalu mendapat irshad.