Hak Cipta Terpelihara. Sebarang item yang mahu diambil daripada blog ini wajib mendapat keizinan pemilik blog. Budi Bahasa Amalan Kita

Khamis, November 19, 2009

Sintesis Eksperimen 5S

Judul entri kali ini mungkin agak mengelirukan apabila saya kelihatan seperti kontang ilham hingga mencuplik perkataan "Eksperimen 5S" yang sinonim dengan judul sebuah cerpen karya rakan seperjuangan Ghafirah Idris. Kebetulan pula, kami sama-sama naik pentas HSKU 2003 setelah karya masing-masing direzekikan Tuhan menerima watikah pengiktirafan peringkat kebangsaaan.

Sejujurnya, saya mahu entri ini menjadi sintesis kepada tesis yang dijana yahudi dengan antitesis yang dicipta Ghafirah menerusi karyanya kerana saya pernah membaca bahawa setiap tesis akan merangsang kemunculan antitesis, dan interaksi antara tesis dan antitesis progresif mewujudkan sintesis dengan kualiti lebih tinggi.

Saya bermaksud menampilkan sintesis versi minda dan jiwa saya, maka saya memizankan tesis yahudi dan antitesis Ghafirah adalah sekufu -sama padan- boleh lawan, jika ikut hukum "sparing" dalam seni mempertahankan diri.

Sintesis tidak sah malah disangkal akurasinya sama sekali apabila ada yang mendominasi seperti teori Ali Syariati (filsuf Iran, menjelang Revolusi Islam 1979) di mana beliau menyatakan Tuhan adalah tesis, iblis adalah antitesis, dan manusia adalah sintesis.

Hey, lupakah dia yang Tuhan, Rabbul 'Alamin itu Dzat yang tiada bandingan, masakan layak diukur kualiti dengan iblis jahanam? Mustahil sama sekali melahirkan sintesis (manusia). Sudah sah terang tak payah suluh bahawa Tuhan mendominasi iblis. Itu pun boleh tergelincir fikir?

Saya tidak boleh kata apa, itu fikrah eksperimental dia yang tetap saya hormati tapi enggan saya ikuti sebagaimana saya menolak pemikiran manusia yang berkata "sabar saya ada hadnya" atau "saya sudah cukup bersabar" atau "lama sudah saya bersabar" sekadar beberapa contoh kalimat yang lazim diucap.

Bagi saya sabar yang disebut Allah lebih 90 kali dalam al-Kalam itu infiniti. Sabar bukan semata-mata redha menerima qada' qadar Allah swt tanpa usaha. Sabar juga tiada tempoh tertentu dan sabar itu tak punya tarikh luput. Sabar itu datang berpakej dengan solat, selawat, saum, sadaqah dan senyum. Barulah signifikan ia dinobatkan sebahagian daripada iman.

Nah, kepada rakan saya yang baru mengadu sedang menerima tuba daripada seseorang yang melafazkan cinta seusai mereka berjemaah, balaslah susu kepada pelafaz cinta itu dengan saum. Jika Tuhan sudi ganjari pahala buatmu, segera kreditkan pahala saummu kepada pelafaz cinta itu agar dia sentiasa bahagia. Maafi segala makar khianatnya. Nescaya kamu juga bahagia apabila cintakasihmu diterima Allah swt.

Maka, sintesis 5S versi fikrah saya, sabar = solat, selawat, saum, sadaqah dan senyum. Ada sesiapa yang mahu kemukakan refutasi bagi sintesis ini? Ya, silakan. Bukankah percanggahan pendapat umat Muhammad saw itu merupakan satu rahmat?


4 ulasan:

isyraq berkata...

Zana..
Pada fikrah saya..tesis, antitesis & sintesis ini wajar berkisar kepada ruang lingkup yang mampu di capai dek aqal yang terbatas. Aqal boleh memperihalkan tentang gula tapi terbatas upayanya untuk memperihalkan manis. Molek sangat kiranya tesis/antitesis/sintesis dipandu oleh wahyu. Keagungan Tamadun Rom dan Parsi terpaksa berlutut kepada Baginda Rasullullah SAW yang "ummiyy" kan..kan.
Sabar?? teringat sindiran dari Sayyid Al Jurjani r.a (dlm kitabnya Taarifat) " apabila kamu mengadu kpd anak Adam..sesungguhnya kamu telah mengadu tentang Tuhan yang merahmatimu kepada makhluk yang tidak merahmatimu".
Sabar- bagi yang belum asyik dalam bercinta. Bagi yang asyik bercinta-tiada lagi dirasakan keperitan / kepayahan, semuanya yang dari Maha Pengasih akan di"syukur"i....

zanazanzaly berkata...

isyraq,
tib'an, komen sdr/i ini tambah meyakinkan saya yang saya sedang mengecapi manis yang tidak bergula sehingga saya berdaya berkata Alhamdulillah 'ala kullihal dengan sejuta bahagia di jiwa. Moga sdr/i juga mendapat rahmat-Nya.

Bintang D'hati berkata...

Salam ziarah, saye bintang :)

zanazanzaly berkata...

bintang d'hati,
ziarah sdr/i mempalitkan indah merah ukhwah dan jingga mahabbah. silalah selalu singgah.