Hak Cipta Terpelihara. Sebarang item yang mahu diambil daripada blog ini wajib mendapat keizinan pemilik blog. Budi Bahasa Amalan Kita

Isnin, Disember 07, 2009

Cegah Tahlukah

Sembang petang kelmarin bersama seorang teman merasang minda saya bermenung panjang. Dia bawa cerita perihal kenalan dan kawan-kawan yang ramai berangkat secara mengejut dalam usia relatif singkat.

Dia yang bagaikan abang, sentiasa menziarahi Nobe Art dengan seribu satu nasihat - berbijakcermat berniaga di sini dan di sana serta bertindakhemat berbelanja pahala dan dosa. Begitu saya rangkaikatakan butir mutiaranya.

Zaman mudanya yang diakrabi kemiskinan menghalang dia dari sering pulang ke kampung setiap musim sesi kuliah tamat. Ipoh memperkenalkan dia dengan syurga dunia melalui seorang kenalan berbangsa Tionghua.

Semua sajian, apa sahaja menunya pasti merapati lutut sejurus disebut. Berkat ajaran bondanya selaku guru Al-Quran sejak dia dalam kandungan, dia hanya membenarkan indera pandang dengar sahaja menikmati hidangan tersebut.

Dia bertindak menjadi lelaki bijak lalu mahu belajar dari pengalaman orang lain daripada men'tahlukah'kan diri sendiri.

Kerjayanya selaku kontraktor berjaya sekali lagi menggula-gulakan seleranya dengan menu-menu eksotika.

Tidak dapat tidak, setelah diasak dek penjawat-penjawat berpangkat, dia tak berdaya menolak. Sekali lagi berkat wirid dan ratib bondanya, dia cuma dicas bersubahat tetapi tidak secara langsung membuat maksiat. Taukeh Bintang Palace Karaoke senyum meleret bertabik hormat kepadanya selepas menerima cek RM11,000.00 pada suatu malam sekitar tahun 1994.

Saya tanya dia, "rasanya apa yang selamatkan awak setiap kali diajak meratah lahap?"
"Solat." jawabnya singkat tapi padat.
"Dalam pusat maksiat?" Musykil saya menagih jawapan lebih.
"Hmm. Mujur sangat-sangat, penggera solat dalam dada saya tak pernah mati bateri."

Saya angkat muka tepat ke matanya. Buku telunjuknya
berfungsi cepat tanpa sempat saya menghulurkan kertas pengelap.

Diam pun memberi salam saat jiwa saya geger menghadam protein maknawi hidangan teman muhasabah diri. Serentak, lagu ini pula berkumandang dari premis bersebelahan.

Tiada ulasan: