
Setelah diagah-agah atau buat lawak mentah adalah dua tiga orang kanak-kanak yang menggelekek, bakinya ramai yang tarik muka bengang. Ada khalayak dewasa buat-buat paling muka, meluat tak usah cakap. Namun, dek kerana kasihan, orang awam terpaksa melindung reaksi bimbang makhluk itu berkecil hati dan gundah kerana gelagat mereka tidak khalayak endah. Malah nak muntah!
Gumam seseorang, biarkan... biarkan. Mereka cuma cari makan atau sekadar mencari dan memberi hiburan. Kalau setakat memutihkan muka yang hitam atau mencontengnya supaya tidak dikenali orang, masih boleh dimaafkan tapi janganlah bersikap melampaui batasan akhlak dan kesusilaan.
Walaupun kata seseorang, kadang kala mereka berkelakuan agak keterlaluan , ia jauh lebih digalakkan daripada membakar bangunan atau menembak pengawal keselamatan atau membunuh orang awam atau mengurat tunangan orang atau merosakkan anak dara orang. Baiklah mereka cari wang dengan rela memerahbulatkan hidung kembang, berbaju atau berseluar belang-belang sambil mengelip-kelipkan mata buntang dengan punggung digoyang-goyang ketika berjalan terhoyong-hayang atau mengomel yang bukan-bukan.

Tapi kata seseorang lagi, golongan ini bukan sahaja melalut di pasaraya atau pesta ria atau berlawak jenaka di pentas lipur lara bahkan ada di kalangan mereka yang kemaruk memberi nilai tambah populariti mula melalut dalam talian maya juga!
Mereka nama apa?
Hey, bukankah sudah dinyatakan awal-awal tadi, tak mengapalah, saya ulangi sekali lagi, Bi Ea Di Yu Ti.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan