Hak Cipta Terpelihara. Sebarang item yang mahu diambil daripada blog ini wajib mendapat keizinan pemilik blog. Budi Bahasa Amalan Kita

Rabu, Mac 11, 2009

Bulan Berlingkung Di Padang Embun

Sekembali dari mengambil anak Cik dan Paknik yang bekerja di sebuah pasaraya di Kota Bharu hampir jam 11.00 semalam, ke langit jauh saya lontarkan pandangan. Secepat kilat saya rangkul bahu sahabat. Ke arah bola bergelang, telunjuk saya tepat dan mata saya cerlang. Bulat mata sahabat menancap lapis berwarna-warni melingkungi bulan 13 hari.

Saya yakin, fikiran kami seiring mengiringi lirikan mata yang saling memicing. Cerpen tahun 90-an itu ada mengungkap pemikiran masyarakat dahulu kala yang percaya akan petanda mala petaka jika ada lingkungan pada bulan.
Pada tafsiran sesetengah warga lama, itu tandanya hujan atau kemarau akan tiba. Cerpen itu turut merakam kisah pertumpahan darah di Pasir Pekan! Pendek kata, segalanya petaka. Alamat musibat bagi yang percaya kepada tahyul dan khurafat.

Suasana pegun agak lama, rumah kami yang berlokasi di tepi jalan utama ke Kota Bharu bagai disambar garuda. Sepi tanpa sebarang kenderaan. Cuma kami dua orang sahaja menguasai jalan. Kami saling tak putus melihat, genggaman tangan kami mengerat. Sejurus bertakbir dan bertahmid, kami tak lupa beristighfar serta membaca doa tolak bala. Tiba-tiba saya rasa ada gema dalam jiwa yang menunda peti suara saya menyebut nama seseorang yang tidak pernah saya bersua muka.

"Dr. Fatimah Busu..." sepenuh sukma saya seru nama itu, "bukan di Pasir Pekan sahaja, bulan berlingkung di Padang Embun pula."

Sungguh pun minda saya disuluhi ilmu tentang atmosfera lembab disurih oleh sinar bulan menerbitkan lapisan warna-warni berlingkung itu, perasaan saya masih pilu.

Saya menapak longlai memasuki kediaman. Satu demi satu urutan kejadian menerkam perasaan. Sudah berbulan-bulan ayahanda dan bonda di Terengganu terlantar keuzuran, sudah seminggu adinda bongsu saya diwadkan, kelmarin teman yang akrab di jiwa saya didiagnosis dan perlu segera merujuk pakar perubatan. Baru sebentar tadi, teman maya pula memberitahu terpaksa bergegas ke klinik kerana kesakitan mata dan dada tidak lagi dapat ditahan.

Aduhai, sudah berkali-kali sebak yang nazak dalam dada saya tunda ledakannya. Sedaya upaya saya berdoa dalam solat dan bersabar dalam saum diiringi gugusan Tafrijiah buat kalian. Ayuh kita saling pesan berpesan, redhalah menerima ujian. Apabila kesihatan dikembalikan bersegeralah membuat berbanyak-banyak kebajikan, singkirkan sifat dan tabiat yang mermbinasakan sebagai bukti kesyukuran kepada Tuhan Sekelian Alam.

* Bulan Berlingkung Di Pasir Pekan, cerpen karya Dr. Fatimah Busu berkelahiran Pasir Pekan kini bermastatutin di Bayan Baru, Pulau Pinang.

* Sekalung perhargaan kepada Dr. Fatimah Busu yang sudi menjawab panggilan telefon saya jam 6.30 tadi. Apresiasi setulus budi untuk segala ilmu yang diberi dan bagi semua kisah yang dikongsi.

1 ulasan:

nil berkata...
Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.