Hangat petang Jumaat menuntun saya berlama-lama di laman maya. Dari sebuah taman ke taman lain, saya bagaikan rama-rama berterbangan. Rata-rata, saya dapati "berlana kona" kelopak rindu dalam jiwa pemiliknya yang mekar berkembangan pada serata bucu taman itu. Mahu saya katakan sesuatu, pabila kalbu diserang rindu, kumandangkanlah ia melalui lagu.
Jumaat, Februari 27, 2009
Pabila Rindu Melanda Kalbu
Hangat petang Jumaat menuntun saya berlama-lama di laman maya. Dari sebuah taman ke taman lain, saya bagaikan rama-rama berterbangan. Rata-rata, saya dapati "berlana kona" kelopak rindu dalam jiwa pemiliknya yang mekar berkembangan pada serata bucu taman itu. Mahu saya katakan sesuatu, pabila kalbu diserang rindu, kumandangkanlah ia melalui lagu.
Natijah Marah
"Untuk apakah paku-paku ini sahabatku?" Tanya gadis itu kehairanan.
"Setiap kali kau marah, pakulah tembok batu di hadapan rumah, lepaskanlah segala marah." Jawab sahabatnya penuh hemah.
Pada hari pertama sahaja, gadis itu telah memaku sebanyak 37 batang paku pada tembok batu tersebut. Selepas beberapa minggu, setelah dia dapat mengurangkan kemarahannya, jumlah paku yang digunakan juga turut berkurangan. Lama kelamaan, dia mulai menyedari betapa lebih mudah mengawal kemarahan sendiri dari memukul paku menembusi tembok batu.
Akhirnya tibalah suatu hari di mana gadis itu tidak marah-marah lagi. Dia berjaya mengawal diri hinggakan sekelumit marah pun tiada di hati.
Dia pun memberitahu sahabatnya mengenai kepulihannya itu lalu dengan rasa terharu sahabatnya mensyabaskannya dan menyuruh dia mencabut kembali paku itu satu persatu pada setiap hari yang ia lalui tanpa kemarahan.
Hari berganti hari, dan akhirnya gadis itu berjaya mencabut kesemua paku-paku tersebut lantas memberitahu sahabatnya dengan sejuta bangga.
Sahabatnya lantas merangkul bahu menuju ke tembok batu lalu tepat merenung ke dalam mata gadis itu "Kau telah melakukannya dengan baik, sahabatku, tetapi lihatlah kesan lubang-lubang pada dinding tembok itu walaupun tembok batu tetap kelihatan sama seperti sebelumnya.
Apabila kau menyatakan sesuatu atau melakukan sesuatu ketika marah, ia akan meninggalkan kesan parut dan luka, sama seperti ini. Kau boleh menikam seseorang dengan pisau dan membunuhnya. Tetapi ingatlah, tak kisahlah berapa kali kau memohon maaf dan menyesal atas perbuatanmu, namun lukanya masih tetap ada. Luka di jiwa lebih parah dari luka yang nampak di mata.
Khatimah sebuah kisah saya sudahi dengan titis-titis suam yang mengalir di pipi dan di kesempatan ini saya mohon setulus hati sesuci fitrah insani "Maafi daku sekiranya tanpa disedari pernah daku meninggalkan kesan berlubang di dinding jiwamu."
Kutemui Setangkai Puisi
Citra Mawar Di Malam Yang Sepi Buat Zanazanzaly
1
membaca bicara hati dari bait-bait puisi bisa
disalahtafsirkan dan kekadang
apa yang tersirat 180 darjah berbeda dari realitas
dan itulah yang akan membingungkan.
2
membaca luahan penyair yang bersembunyi di sebalik
tabir sufi
menambahkan tanda tanya.
3
apakah duri mawar akan menikam teman
sifir alam kadang-kadang bisa mengejutkan.
4
Ini citra mawar yang sepi buat Zanazanzaly
tika embun dinihari mula merembesi kolong langit
ia melihat alam yang cukup indah
semuanya terletak pada tempat yang cocok
sayang
sekali
ia tidak melihat semuanya itu
ada pada
dirinya.
5
mawar jadi sumber inspirasi
puisi
buat sekian kalinya
sekadar meredakan iklim mandala.
6
mawar ini tidak akan dibawa mimpi
durinya bisa mencuit
hati.
RAMLI ABDUL RAHIM
Malaysia
6 Mei 2001
12.50 pagi waktu Malaysia
11.50 malam waktu Indonesia
Khamis, Februari 26, 2009
Argh! Tetap Terbang Jua
Sekitar jam 6, saya nekad mahu pulang segera dari pejabat kerana tidak sabar menunggu malam jam sembilan. Malam semalam, sewaktu menonton tv, saya kepanasan dalam kegelapgelitaan. Kepala pun berdenyut-denyut tak mahu henti. Mujurlah bekalan elektrik yang terganggu cepat diperbaiki. Terima kasih TNB kerana cepat bertindak membantu melegakan sengsara seorang penghuni desa Padang Embun yang kegelisahan minda, fizikal dan jiwa dalam mencari makna kemanusiaan walaupun saya tahu elektrik dicatu kerana bekalan tenaga itu semaksimanya mahu disalurkan ke pusat bandar Kota Bharu untuk mencubauji lampu-lampu hiasan dalam bandaraya Islam untuk meraikan sambutan puja umur al-sultan.
Sedang menulis entri ini, sahabat memberitahu ada seorang teman yang merayu agar menemaninya makan setelah beberapa hari hilang selera akibat sakit kepala dan selsema. Atas nama simpati dan kemanusiaan, saya pun bersetuju dengan segera memujuk gejolak hati yang ingin pulang merapi diri untuk menghadapi satu sesi rehat yang sudah dirancang selepas NobleArt diguguri runtuhan durian. Mana tidaknya, sejak awal-awal lagi, saya sudah pun jalani terapi jiwa sebaik sahaja fajar sidik menyapa, diikuti rawatan minda sesudah dhuha, dan beberapa sesi latih tubi fizikal, dan malamnya pula seluruh tubuh saya akan diurut dan dibelai manja. Renda-renda damai melambai-lambai, serasa diri ringan bak roma sehelai.
Terapi simpati yang efektif membuatkan teman itu berselera dan kami beredar sebelum sayap teja melebar. Sepanjang perjalanan ke rumah, kami bersembang santai seputar teman dan kenalan yang kami temui selama 30-an tahun menjadi hamba Allah.
Isu waras dan bebas bualan sahabat dan teman itu merumuskan insan siuman jika dilihat dengan mata kasar namun hakikat yang terselindung di sebalik topeng mereka adalah kewahaman yang kental. Saya cuma menambah, lebih malang apabila ada sesetengahnya yang tidak faham pun yang mereka itu sedang waham walaupun sudah berkali-kali cuba difahamkan dalam bahasa yang mereka sendiri fahami. Mohon diselisihkan diri dari demikian jadi. Nauzubillahi min zalik! Jangan nanti kita tergolong dalam kelompok manusia bebal dan dangkal seperti kata teman saya yang lain dalam blognya: Yang saya tekankan ialah keupayaan yang tinggi orang Melayu memahami bahasa Melayu. Kalau mereka faham bahasa Melayu, mereka akan menjadi seperti watak-watak Gurindam Jiwa. Kalau tak reti bahasa Melayu mereka tidak akan faham Gurindam Jiwa. Fuh penatlah nak memahamkan orang Melayu terhadap bahasa Melayu
Malam datang lagi. Sekitar jam 9 Kak Fatihah tukang urut memberi salam ketika saya terlentang dalam kegelapan. Elektrik putus lagi!
Argh... tak kiralah waraskah, bebaskah, isimkah, kelamkah, zulmatkah, berbekalkan keyakinan dan kepercayaan serta doa saya tetap jua terbang ke angkasa untuk mengubah sorotan sinar kejora ke perdesaan Padang Embun yang hitam buram agar jiwa bahagia seperti di awal pangkal hari tadi yang seharian suntuk menyajikan nyanyian Andy Williams melalui telefon genggam.
Sekembali saya ke bumi esok pagi, harapnya lelah tiada lagi di sisi dan saya mahu sepuas-puasnya menari.
Isnin, Februari 23, 2009
Cinta Kereta
17 tahun lalu dengan sekali ujian bertulis dan amali, alhamdulillah saya terus lulus dan mendapat lesen memandu yang sah. Saya bersyukur sangat-sangat kerana ada teman-teman yang hingga sekarang masih tidak dapat merasai keghairahan menekan pedal minyak sambil menggenggam stereng kereta walaupun sudah bertahun-tahun tanpa cuai menunaikan bayaran sebagai pemegang lesen sama. Seribu satu alasan mereka cipta untuk satu hal yang kelihatan tidaklah merumitkan. Biarkan lah mereka dengan alasan mereka asalkan bahagia.
Menyentuh seputar lesen dan kereta, saya berura-ura mahu menukar kereta manual kepada yang bergear otomatik. Kesesakan jalan raya dan faktor usia mendesak saya membuat keputusan drastik.
Ketika mengunjungi bilik pameran kereta, ada dua lelaki leka bersembang mengenai sebab musabab mereka berada di sana. Antara faktor-faktor mereka mahu memiliki kereta baru disebabkan harga minyak pun sudah turun tambahan pula, kadar faedah pinjaman bank pun semakin rendah. Bagi saya, tak salah mereka mahu menukar atau menambah kereta baru asalkan mereka mampu. Jangan susahkan orang lain sudah!
Seorang yang berkulit cerah, saya agak awal 40-an usianya manakala seorang lagi berkulit hitam manis, raut wajahnya refleksi lelaki menjangkau 50-an. Kata yang 50-an, dia idamkan kereta baru yang berjenama sebab pernah ada satu dahulu sebelum ditakdirkan berlaku tragedi. Insiden itu membuatkannya berasa patah kaki. Dia yang tak betah hidup tanpa kereta sebegitu, mahu tak mahu terpaksa akur dengan faktor kewangan yang tidak mengizinkan, lalu dia membeli kereta terpakai. Aduh! second hand Tiaranya cuma bertahan tiga tahun sahaja. Jiwanya tak tenang selagi tidak memiliki jenama idaman.
Lelaki 40-an berhadapannya mendengar sambil lewa sambil berkelip-kelip lama. Kemudian, lirih bersuara, tak sangka ya, selera kita serupa. Sama-sama sukakan kereta baru dan berjenama pula.
Lelaki 50-an itu terasa egonya dicabar lalu dengan bangga berkata, kalau saya beli kereta baru pun plat sedia ada akan saya guna pada kereta baru itu sebab saya beli mahal dahulu.
"Eh, eh macam sehati sejiwa pula." Senyum lelaki 40-an itu bersulam sinis yang menikam sambil melirik kepada kami dan jurujual wanita yang menghulurkan katalog new brand City kepada mereka berdua.
Jurujual: Plat tuan yang mana satu, ya?
Lelaki 50-an: DAT
Jurujual: DAB siapa punya?
Lelaki 40-an: Shyyyy!
Tiba-tiba ada tangan merangkul bahu, "Jom, aku tetap sukakan CRV auto model dulu." Sahabat dan saya pun berlalu meninggalkan kedua-dua lelaki itu tersipu-sipu.
Sabtu, Februari 21, 2009
Demi Cinta!
“Dan, kolerasi yang aku rancangkan ini sebenarnya memetamorfosiskan kau menjadi phoenix. Bukan seluang, seperti yang kau sangkakan.”
“Burung lagenda yang indah menawan berbulu merah dan keemasan?” Munir sengaja mengenakan umpan dengan harapan kailnya mengena.
Dalam berjenaka, pantas keintelektualan Munir mengimbas fakta sebuah mitos kuno, burung phoenix hidup di
Seolah-olah dapat membaca fikiran Munir, Murni lirih bersuara, “bukan itu yang utama. Keperibadiannya yang wajar kau garisbawahkan. Rengkuhi kehancuranmu sebagai acuan besar untuk membentuk peribadi baru yang jauh lebih baik dan lebih segar."
“Jadi, kau yang sengaja memusnahkan segala-galanya semata-mata mahu melihat sebuah inkarnasi phoenix bangkit dari abu?”
Curiga yang menyelinapi hati Munir sudah dapat diintai Murni. Kerlingan Murni bersatu dengan tunakan mata Mulia seketika. Dan, dengan senyum selamba Murni beralih pandangan menyorot tepat ke wajah abang Mulia yang terhenyak pada kerusi di hadapan mereka berdua.
Similir Laut China Selatan sopan meliuk-lintukkan hijab Murni dan Mulia memesrai suasana rendezvous menghadap laut. Juntaian rambut di dahi Munir turut dicuit nakal untuk menari bersama.
“Sudah kukatakan, ia simbol keabadian. Lambang dari kitaran kehidupan setelah musnah. Kebangkitan selepas rebah.”
(petikan cerpen: Rindu Berladung di Pulau Duyung)
Jumaat, Februari 20, 2009
Ngilu Rindu
Ingin kuwarakan padamu
hikayat pungguk merindu
sungguh sayu ceritera itu
yang mendengar, pasti pilu
yang melihat, pasti gugur untaian satu persatu.
Tersayat kalbuku
tatkala sedar dari lena
sayup terdengar lagu syahdu
dendangan pungguk berhiba lara
untuk kupetakan pungguk ke
itu mustahil
untuk kubawa purnama ke riba...
itu jua mustahil
sebagaimana pungguk, aku jua kerdil
yang termampu
hanyalah menemani pungguk merindu.
Pun begitu...
pungguk bertuah kerana masih ada aku
setia meniup seruling bambu
mengiringi pungguk bersenandung sayu
sedangkan aku, pungguk tak tahu
bergelut hebat, berkeluh dahsyat
menanggung azab, mengendung sebak
menahan isak, menunda sedu
pilu, pilu teramat pilu
pilu melihat pungguk merindu
ngilu terjerat di kemelut rindu!
Khamis, Februari 19, 2009
NobleArt dalam SINAR
nobleart disiarkan dalam akhbar lagi!
terima kasih Wani
setulus budi, kami hargai.
Rabu, Februari 18, 2009
Secara Tiba-Tiba
Selasa, Februari 17, 2009
Cinta Bawang
Ketika makan tengahari bersama, adinda saya berkisah tentang sebuah falsafah yang jarang disebut orang, tentang cinta si bawang.
Katanya, sifat bawang itu ada dua: pertama untuk masakan, kedua untuk hiasan. Yang pertama tak nampak dipandang, hancur lumat tetapi ketara nikmat hingga boleh dirasa dan boleh pula dihidu aromanya.
Yang kedua jelas kelihatan menghiasi hidangan namun cantiknya hanya dipandang tanpa rasa, tanpa aroma.
Sejurus mendengar penerangan adinda, jiwa saya terbang jauh mencari-cari dasar sukma seseorang untuk berkongsi erti cinta bawang masakan.
Isnin, Februari 16, 2009
Saya, Kolot dan Wayang
Kalimat inilah yang dirantaikan ke leher saya sejak saya menolak pelawaan teman-teman sekuliah untuk menonton. Mereka ketawakan saya sampai berair-air mata dan terbatuk-batuk apabila saya mengaku tak pernah sekali pun ke panggung wayang dan tak tahu apa ada di dalamnya dan bagaimana rupa panggung wayang gambar yang mereka sohorkan benar.
Apa yang aneh sangat? Saya dibesarkan di kampung yang dhaif amat. Ketika remaja, dan saya sudah dibenarkan ke bandar Pasir Mas sendirian, panggung wayang di bandar itu pula sudah tinggal nama dan bekas alamat.
Sewaktu di Naim Lilbanat, kawan-kawan yang tidak tinggal di asrama bercerita tentang keseronokan menonton wayang dengan kaum kerabat. Saya tanya ustaz, bolehkah saya dan seorang kawan mohon keluar ke bandar Kota Bharu pada hari Sabtu (hari pelajar yang tinggal di asrama dibenarkan keluar) untuk ke Bazar Buluh Kubu kerana kawan-kawan saya yang lain akan tunggu di situ, di pintu masuk panggung wayang seperti yang kawan-kawan itu beritahu. Terbeliak mata ustaz, lama dia tenung saya kemudian geleng-geleng lalu beristighfar dan berkata, "dekat sungguh dah nak kiamat."
Saya jenuh memikirkan betulkah saya ini kolot kerana tidak pernah tengok wayang, saya bertanyakan hal ini kepada seorang kawan lelaki selepas kelas Modern Muslim Thinkers tamat.
Sekali lagi, kolot dicop ke dahi saya pula apabila menolak sekeras-kerasnya pelawaan kawan lelaki saya itu untuk keluar berdua-duaan pergi menonton filem yang sangat dia minat.
Rantai dan cop KOLOT yang dipakaikan kepada saya oleh teman-teman sekuliah dan kawan lelaki saya itu sangat merimaskan, sehinggalah saya ditakdirkan berjumpa dengan seorang rakan seapartment yang juga tidak malu mengaku selama hidupnya belum pernah ke panggung wayang dan belum sekalipun pernah dia keluar berdua-duaan dengan mana-mana lelaki bukan mahram.
Terdetik di hati, ada juga manusia kolot seperti saya dalam dunia moden ini. Hah, apa lagi, kalau dua gadis kolot ralit berkongsi peri dan asyik berbari?
Setelah usia menjangkau 36 tahun, saya sekali lagi menerima pelawaan seperti yang pernah dua kali saya terima semasa di alam kampus dahulu. Bezanya, undangan kali ini datangnya secara rasmi daripada sebuah institusi yang menjaga hal ehwal kebahasaan dan kesusasteraan negara.
Menerima pelawaan ini, hairannya, dada saya tidak lagi berdebar ketakutan seperti sewaktu saya mendengar dua pelawaan ketika di alam kampus dahulu. Barangkali, disebabkan tayangan filem itu diadakan dalam Dewan Utama, USM kampus Kubang Kerian bukan di panggung wayang seperti yang saya geruni untuk melangkah ke sana.
Apa tidaknya, dulu masa kecil-kecil, saya selalu lihat makcik atau pakcik saya dimarahi nenda apabila nenda tahu mereka pergi ke panggung wayang bersama kawan-kawan. Nenda bagi mereka amaran agar jangan ulangi perangai tak senonoh. Saya kira, nenda benar, sebab kalau makcik dan pakcik saya itu betul-betul buat kerja baik, mengapa mereka curi-curi pergi ke panggung wayang?
Ah, itu kisah silam. Sabtu, 8.00 malam, saya teruja menunggu Sdr Persis Minda datang menjemput saya dan rafik (yang sama-sama kolot ha ha ha) untuk tengok wayang sambil menderma kepada tabung Hospital USM. Dan wayang yang kami tonton itu sebuah karya seorang profesor, berjudul WAYANG.
Jumaat, Februari 13, 2009
Ada Apa Dengan Usia?
Jangan sampai kalian teruja membina mahligai, air mata insan yang pernah anda sayangi dan masih menyayangi anda berderai-derai.
Saya yang menjalankan khidmat membuat kad perkahwinan sangat mengalu-alukan pasangan bercinta; biarpun siapa mereka, tak kiralah samada pasangan yang sekufu usia, wanita yang mahu bersuami muda mahu pun remaja lelaki yang mencintai wanita berusia, atau lelaki tua yang mahu sentiasa rasa muda lalu memilih untuk memadu asmara dengan perempuan sebaya anaknya, ayuh dipersilakan semuanya segera ke Noble Art untuk menempah kad. Kami sedang menawarkan diskaun hebat sempena NOBLE ART MELANGKAU SATU DEKAD!
Buat apa tunggu lama-lama kalau sudah seia sekata tegar berkongsi hidup bersama. Moleklah bersegera ke arah kebaikan demi keredhaan Tuhan.
Kepada semua pasangan bercinta, terimalah lagu ini istimewa daripada saya. Tak lupa kepada seseorang yang jauh di mata tapi di jiwa akrab sentiasa, buat rafik yang sedang bersiap untuk ke kota batu bagi menyelesaikan masalah ummah serta untuk semua pencinta setia, jom sama-sama berjoget sambil menemani saya mengisi pakaian dalam beg bagi mengiringi rafik berjihad mempertegakkan maruah seorang muslimah.
Bak Tan Sri SM Salim bersenda, "ha... dengar lagu ni tau, ini nasihat bukan mengata."
Rabu, Februari 11, 2009
Pantun Berbalas Madah
Pantun Serangkap, Kasih Tersingkap
Biduk berlalu kiambang bertaut
mekar seroja di pinggir kali
dingin bayu berpuput lembut
mengapa gersang di pinggir hati?
Kebelakangan ini, saya teruja mahu menjualkan pantun ini apabila ada suatu rasa yang sangat seni mengelus-ngelus sanubari.
Cerita hamster yang menyelinap dari langsir memori ke tirai realiti menonton teater di Istana Budaya, melompat pula ke bingkai nostalgia berperahu melihat kelip-kelip berselang-seli dengan kisah memilih durian, bersulam senda mengacahnya agar jangan mengajar anak kucing memakan daging - saling dahulu-mendahului, berlumba-lumba mencuit sukma. Nun sayup di dasar jiwa bergema:
Lahir dari jiwa
Menikam sanubari
Hati dalam lara
Cinta mistik abadi
Kekal selamanya
Musim berganti tapi
Wajah tak kan lupa
Mimpi berlari
Kemuncak destinasi murni
Asmaradana, Asmaradana
Kemuncak cinta
Asmaradana, Asmaradana
Cinta suci tak kenal
Harta atau rupa
Dari darjat puteri
Raja hingga hamba
Biar api membara
Jadi penghalangnya
Ia tetap kagumi
Keagungan cinta
Bersama berdua
Kemuncak syurga di dunia
A S M A R A D A N A ...
Isnin, Februari 09, 2009
Gurindam Sukma 14 Safar
narwastu syukur tercalit pada hidung Maghrib
rendezvous menjelma taman kayangan
nadim dan teman ralit
menari-nari tarian retorika mengikut rentak intelektual
dalam emosi terkawal
sukma saya bergurindam saat terpana memandang
sebuah payung emas gergasi menaungi
ah, semoga berjumpa lagi
purnama empat belas Safar, 1430 Hijri.
Ahad, Februari 08, 2009
Z2R Mencerna Idea
dekat kepala jambatan Salor menghala Kota Bharu
sepinggan siakap masam manis,
dua pinggan lala masak merah,
semangkuk sayur lemak petola berudang
setalam ulam-ulaman
dan sepiring sambal durian
serta empat gelas air suam
harmoni menambat selera kami - Z2R dan Nany
selepas puas mencerna idea
penambahbaikkan imej sekali gus memantapkan perkhidmatan
terima kasih tak terhingga buat Z yang datang dengan kertas cadangan
pelan pengubahsuaian Noble Art Creation selepas Satu Dekad
"Kami hargai budi baikmu, teman."
Jumaat, Februari 06, 2009
Air Tebu buat Teman di Kota Batu
Titis-titis jernih yang merenik dari pangkal rambut mulai nakal menuruni dahi kemudian terburu-buru meluru ke bibir dan dagu sewaktu batang-batang tebu telur dan tebu hitam saya takik satu per satu.
Memikirkan rafik dan saya amat gemarkan air tebu, saya teruskan juga mericih buku-buku tebu tanpa menghiraukan calar balar di lengan dan siku yang mulai pedih dicumbu peluh. Saya tahu, inilah bahana bersenda-gurau dengan daun tebu.
Tak sangka ya, pucuk-pucuk muda yang lemah gemalai meliuk lintuk disapa angin tengahari itu mampu meninggalkan bilur-bilur merah yang pedihnya bak dihiris sembilu! Saya yang manja? Tak tahan sakit? Hah, cubalah tebang tebu, kalau mahu tahu!
Tebu di halaman belakang itu saya tanam bersama ayahanda rafik ketika beliau memenuhi undangan kami ke majlis 'naik rumah baru' dua tahun lalu. Benihnya berasal dari Kuala Terengganu.
Desah dan helaan nafas saya yang kepenatan disambut senyum manis ayahanda seraya berkata "tak apa, masa tanam saja lelah, nanti minum tak ingat dah".
Saya yang tak mahu beralah terus memangkah, "tak ingat, kalau orang lain yang tebang dan pergi perah (mesinlah), kalau kita juga yang kena buat, lelah!
Ketawa kami dua tahun lalu masih berdekah dalam kalbu. Saat saya mencucur air buat membersihkan lumpur di kakinya, sempat mata kami bersatu. Melepas puas.
Rumpun tebu subur bersebelahan kantan. Daun-daun mereka saling payung memayungi menerbitkan teduhan kepada jendela kaca menghadap petak-petak bendang yang sekarang sedang gembira menyambut kedatangan anak-anak padi.
Saya menulis entri ini selepas pulang dari mesin air tebu di rumah ayahanda dan bonda angkat saya iaitu Cik dan Pak Nik.
Mendengar "aaahhh' rafik yang kenikmatan meneguk air tebu , saya tiba-tiba teringat kepada seorang teman di kota batu yang juga sukakan air tebu. Pernah dulu saya hulurkan segelas air tebu kepadanya melalui laman maya.
Entah, saya tak pasti, apakah dia masih ingat lagi?
Khamis, Februari 05, 2009
Pencaran Keembung 2I+S
Nah! Itulah bukti betapa minda, fizikal, jiwa dan ruh kental bersebati ketika melahirkan sebuah puisi. Dalil rakan saya mengakhiri dan menurutnya lagi, terus kenalan mayanya mohon permisi. Akur akan keabsahan dalilnya yang bernas, ada jentikan halus mencendas fakulti fikir dan debar rasa saya yang cerdas mengarah jari-jemari saya menaip pantas:
fizikal, minda, jiwa dan ruh bergetar,
dipencar keembung IKHLAS, IHSAN dan SABAR.
Jom Menari!
Sebab itulah sekuat mana ajakan mereka untuk saya ke meja, saya tolak dengan mesra walaupun saya sudah bersedia secukupnya selepas melakukan sesi pemanasan badan dan baju kurung kain kapas di badan saya, lenjun kebasahan!
Inang, zapin asli atau apa pun rentaknya semua saya suka. Nah, apa lagi? Meski secara ilusi atau dalam mimpi mahu pun realiti, apa tunggu lagi? Jom menari!
Hah, video klip ini khas buat mereka yang mahukan lebih aksi. Saya dah cuba pagi tadi. Fuhh!
Selasa, Februari 03, 2009
Bicara Debar Cinta Pertama
Tanpa disangka-sangka, klip video yang saya sisipkan dalam entri di bawah dapat memikat ramai peminat. Anehnya, emel yang saya dapat seperti sengaja dibuat. Meski apa pun niat dalam hasrat anda tersirat, yang saya boleh buat, saya buat. Semoga tertunai segala hajat.
--Male--
Suraj hua maddham, chaand jalne laga
The sun has dimmed, the moon has begun to burn
Aasmaan yeh haai kyoon pighalne laga) –
Oh, why has the sky begun to melt?
Main thehra raha, zameen chalne lagi
I am standing still, the earth has begun to move
Dhadka yeh dil, saans thamne lagi
My heart has beat, my breath has begun to stop
Oh, kya yeh mera pehla pehla pyaar hai
Oh, is this my first love?
Sajna, kya yeh mera pehla pehla pyaar hai
Darling, is this my first love?
--FEMALE--
Ho oh oh, oh oh oh oh oh, aa aa aa aa aa aa
Suraj hua maddham, chaand jalne laga
The sun has dimmed, the moon has begun to burn
Aasmaan yeh haai kyoon pighalne laga
Oh, why has the sky begun to melt?
Main thehri rahi, zameen chalne lagi
I am standing still, the earth has begun to move
Dhadka yeh dil, saans thamne lagi
My heart has beat, my breath has begun to stop
Haan, kya yeh mera pehla pehla pyaar hai
Yes, is this my first love?
Sajna, kya yeh mera pehla pehla pyaar hai
Darling, is this my first love?
--MALE--
Hai khoobsurat yeh pal, sab kuch raha hai badal
This moment is beautiful, everything is changing
Sapne haqeeqat mein jo dhal rahe hai
Dreams are falling into real life
Kya sadiyon se puraana hai rishtaa yeh hamaara
Is this bond of ours centuries old?
Ke jis tarha tumse hum mil rahe hai
For in such a way I am meeting you
--FEMALE--
Yunhi rahe har dam pyaar ka mausam
Love's season will remain like this always
Yunhi milo humse tum janam janam
Meet me like this, birth after birth
--MALE--
Main thehra raha, zameen chalne lagi
I am standing still, the earth has begun to move
--FEMALE--
(La la la, la la la, la la la)
--MALE--
Dhadka yeh dil, saans thamne lagi
My heart has beat, my breath has begun to stop
--FEMALE--
Haan, kya yeh mera pehla pehla pyaar hai
Yes, is this my first love?
Sajna, kya yeh mera pehla pehla pyaar hai
Darling, is this my first love?
Tere hi rang se yun main to rangeen hoon sanam
Only with your color am I this colorful, lover
Paake tujhe khud se hi kho rahi hoon sanam
Having gained you, I am losing myself, lover
O maahiya, ve tere ishq mein haan doobke
Oh darling, having drowned in your love
Paar main ho rahi hoon sanam
I am becoming the shore, lover
--MALE--
Saagar hua pyaasa, raat jagne lagi
The ocean has become thirsty, night has begun to awaken
Sholo ke dil mein bhi aag jalne lagi
Even in the heart of a flame, fire erupted
--FEMALE--
Main thehri lagi, zameen chalne lagi
I am standing still, the earth has begun to move
Dhadka yeh dil, saans thamne lagi
My heart has beat, my breath has begun to stop
--MALE--
Kya yeh mera pehla pehla pyaar hai
Is this my first love?
--FEMALE--
Sajna
Darling
--BOTH--
Kya yeh mera pehla pehla pyaar hai
Is this my first love?
--MALE--
Suraj hua maddham
The sun has dimmed
--BOTH--
Chaand jalne laga
The moon has begun to burn
--MALE--
Aasmaan yeh haai
The sky
--BOTH--
Kyoon pighalne laga
Why has it begun to melt?
--MALE--
Sajna, kya yeh mera pehla pehla pyaar hai
Darling, is this my first love?
Sajna dan Cinta
Aura cinta bertebaran di mana-mana. Pasangan berduyun-duyun mengunjungi galeri kad undangan bervariasi - NOBLE ART: Makin dilihat, kian terpikat - demi membuktikan kesungguhan cinta mereka.
Saya turut teruja melihat gelagat pasangan menempah kad. Ada yang bergelak ketawa sesama mereka, ada yang sendu-sendu manja, ada juga yang berbicara tanpa suara sehinggakan masa yang diambil untuk membuat pilihan dari tengahari, jam 12 santak ke petang, jam 2.
Tak kurang juga ada pasangan yang mencuka. Sampaikan saya dan rakan sekerja terpaksa menjadi orang tengah untuk mendamaikan mereka. Itu belum termasuk lagi yang datang bersama ibu-bapa kedua-dua pengantin yang saling bersaing mahu menempah kad paling mahal dan tercantik di antara mereka.
Aduh! Pening kepala dibuatnya.
Lazimnya, kami di Noble Art akan membahagikan kumpulan itu kepada tiga: Pasangan pengantin, Nany pujuk sebab dia selesa berbahasa dengan orang muda. Ibu bapa sebelah lelaki, saya 'gaya' agar berjimat cermat sebab banyak lagi 'belanja' perlu difikirkan bukan kad sahaja wajib dibuat. Pitis kenduri kendara bagaimana? Dan, Rozais akan berdiplomasi dengan ibu bapa di pihak perempuan agar berbelanja ala kadar ikut kemampuan. Buat apa membayar untuk benda yang tidak diperlukan. Bukankah itu pembaziran?
Alhamdulillah, selama 12 tahun berniaga, masalah-masalah lazim sebegini, sesaksamanya dapat kami atasi. Semua pihak berpuas hati dan kami pun tak rugi.
Ya, sememangnya jika berniaga mahukan laba. Biarkan mereka berbalah mahu menempah kad yang mahal-mahal. Tapi jika pelanggan keluar dari kedai kami dengan muka saling mencuka, buat apa? Itukan, menempah bala namanya.
Walaupun kami peniaga, kami pun pengguna! Paling penting, kami ini usahawan Muslim yang tahu adab dan etika. Jadi keuntungan bukan matlamat utama kerana kami lebih berpuas hati dan bangga sebangganya jika pelanggan yang sama datang berulang kali ke kedai kami untuk tempahan seterusnya dan seterusnya bermula dengan mereka kemudian diperpanjangkan khidmat prestasi kerja-kerja seni kami kepada kaum kerabat dan sanak saudara mereka pula.
Dapat laba, pahala pun berlipat ganda hendaknya!
Pasangan bercinta yang selalu bersengketa hinggakan ketika menempah kad undangan perkahwinan pun masih tidak seia sekata, pada hemat saya, mereka bukanlah pasangan sehati sejiwa kerana mereka bukan sekadar gaduh-bergaduh burung wak-wak. Itu dah bergurau biawak! Bukan lagi merajuk manja, itu dah kira, awal-awal menempah bencana.
Bayangkan, andai badai acap melanda di awal bahagia, bagaimana mahu melayari bahtera cinta sehingga ke destinasinya?
Jika hal sekecil memilih kad perkahwinan pun payah mendapat persetujuan bersama, itu petanda ada sesuatu yang tak kena pada raksa cinta mereka berdua.
Argh! Masakan sewenangnya mereka alpa saat taufan asmara bergetar melanda dada, disapa debar cinta pertama?
Ayuh, bisikkan ayat ini kala pejam mata "Kya yeh mere pehla, pehla pyar hai?"
Dan dengarkan gema jauh dari dalam atma anda, 'S A J N A...'