Hak Cipta Terpelihara. Sebarang item yang mahu diambil daripada blog ini wajib mendapat keizinan pemilik blog. Budi Bahasa Amalan Kita

Khamis, Februari 26, 2009

Argh! Tetap Terbang Jua



Sekitar jam 6, saya nekad mahu pulang segera dari pejabat kerana tidak sabar menunggu malam jam sembilan. Malam semalam, sewaktu menonton tv, saya kepanasan dalam kegelapgelitaan. Kepala pun berdenyut-denyut tak mahu henti. Mujurlah bekalan elektrik yang terganggu cepat diperbaiki. Terima kasih TNB kerana cepat bertindak membantu melegakan sengsara seorang penghuni desa Padang Embun yang kegelisahan minda, fizikal dan jiwa dalam mencari makna kemanusiaan walaupun saya tahu elektrik dicatu kerana bekalan tenaga itu semaksimanya mahu disalurkan ke pusat bandar Kota Bharu untuk mencubauji lampu-lampu hiasan dalam bandaraya Islam untuk meraikan sambutan puja umur al-sultan.

Sedang menulis entri ini, sahabat memberitahu ada seorang teman yang merayu agar menemaninya makan setelah beberapa hari hilang selera akibat sakit kepala dan selsema. Atas nama simpati dan kemanusiaan, saya pun bersetuju dengan segera memujuk gejolak hati yang ingin pulang merapi diri untuk menghadapi satu sesi rehat yang sudah dirancang selepas NobleArt diguguri runtuhan durian. Mana tidaknya,
sejak awal-awal lagi, saya sudah pun jalani terapi jiwa sebaik sahaja fajar sidik menyapa, diikuti rawatan minda sesudah dhuha, dan beberapa sesi latih tubi fizikal, dan malamnya pula seluruh tubuh saya akan diurut dan dibelai manja. Renda-renda damai melambai-lambai, serasa diri ringan bak roma sehelai.

Terapi simpati yang efektif membuatkan teman itu berselera dan kami beredar sebelum sayap teja melebar. Sepanjang perjalanan ke rumah, kami bersembang santai seputar teman dan kenalan yang kami temui selama 30-an tahun menjadi hamba Allah.

Isu waras dan bebas bualan sahabat dan teman itu merumuskan insan siuman jika dilihat dengan mata kasar namun hakikat yang terselindung di sebalik topeng mereka adalah kewahaman yang kental. Saya cuma menambah, lebih malang apabila ada sesetengahnya yang tidak faham pun yang mereka itu sedang waham walaupun sudah berkali-kali cuba difahamkan dalam bahasa yang mereka sendiri fahami. Mohon diselisihkan diri dari demikian jadi. Nauzubillahi min zalik! Jangan nanti kita tergolong dalam kelompok manusia bebal dan dangkal seperti kata teman saya yang lain dalam blognya:
Yang saya tekankan ialah keupayaan yang tinggi orang Melayu memahami bahasa Melayu. Kalau mereka faham bahasa Melayu, mereka akan menjadi seperti watak-watak Gurindam Jiwa. Kalau tak reti bahasa Melayu mereka tidak akan faham Gurindam Jiwa. Fuh penatlah nak memahamkan orang Melayu terhadap bahasa Melayu

Malam datang lagi. Sekitar jam 9 Kak Fatihah tukang urut memberi salam ketika saya terlentang dalam kegelapan. Elektrik putus lagi!

Argh... tak kiralah waraskah, bebaskah, isimkah, kelamkah, zulmatkah, berbekalkan keyakinan dan kepercayaan serta doa saya tetap jua terbang ke angkasa untuk mengubah sorotan sinar kejora ke perdesaan Padang Embun yang hitam buram agar jiwa bahagia seperti di awal pangkal hari tadi yang seharian suntuk menyajikan nyanyian Andy Williams melalui telefon genggam.

Sekembali saya ke bumi esok pagi, harapnya lelah tiada lagi di sisi dan saya mahu sepuas-puasnya menari.

Tiada ulasan: