Hak Cipta Terpelihara. Sebarang item yang mahu diambil daripada blog ini wajib mendapat keizinan pemilik blog. Budi Bahasa Amalan Kita

Jumaat, Julai 31, 2009

Serlah Hikmah

Saya menyetujui fikrah yang menggesa mukmin mengambil semua hikmah daripada segenap punca ia menyerlah. Jom zikir!

O Allah the Almighty
Protect me and guide me
To your love and mercy
Ya Allah don't deprive me
From beholding your beauty
O my Lord accept this plea

CHORUS:
Hasbi rabbi jallallah
Ma fi qalbi ghayrullah

CHORUS
`Ala nabi sallallah
Laa ilahaillallah

Urdu:

Wo tanha kaun hai
Badshah wo kaun hai
Meherba wo kaun hai

Kya unchi shan hai
Uskey sab nishan hai
Sab dilon ki jan hai

CHORUS

Turkish:
Affeder gunahi
Alemin padisahi
Yureklerin penahi

Isit Allah derdimi, bu ahlarimi
Rahmeyle, bagisla gunahlarimi
Hayreyle hem aksam hem sabahlarimi

CHORUS

Arabic:
Ya rabbal 'alamin
Salli 'ala Tahal amin
Fi kulli waqtin wa hin

Imla' qalbi bil yaqin
Thabbitni 'ala hadhad din
Waghfir li wal muslimin

Ahad, Julai 26, 2009

Temu Jiwa Dua Hawa

Sabtu, 18 Julai lalu, saya dibawa seorang kawan baharu ke Taman Rekreasi Tg. Anis, Uda Murni Pengkalan Chepa. Entah, mendengar butir bicaranya yang asyik bercerita soal hati yang dia sendiri sering tidak memahami erti inti dan sari, saya seperti terhipnotis untuk sedia menjadi pendengar setia meskipun kami baru berkenalan belum pun seminggu.

Justeru, saya katakan padanya, kalbumu itu punya penakluk meskipun kau pemiliknya. Maka kenali penakluk itu maka kau akan fahami bahasa dan suara hatimu sendiri. Dakwanya, dia telah lama kehilangan suara jiwa. Kalbunya bisu. Diam bergempita dalam relung hati menempikkan sunyi. Sepi sesepi-sepinya. Meski rakan-rakan dan semua orang di sekelilingnya melihat dia tertawa tapi akuinya itu hanya sandiwara. Berjumpa saya, barulah dia sedar jiwanya masih punya suara. Memang tidak dinafi, firasat wanita kelahiran bulan jengkingkala persis saya, sememangnya suka memeta dan menyelesaikan silang kata apa sebenarnya berselindung di sebalik sirat tawa seorang hamba, dapat juga dikesan olehnya yang juga seorang 'perasa'.

Rafik bersetuju apabila saya adu. Kata rafik, Allah utuskan saya untuk memberikan penawar rengsa jiwa dan waham teman baharu kami itu. Dia tamsilkan dirinya persis sebatang pohon kontang tak berdaun yang aneh tumbuh dilingkungi pohon hijau subur dalam taman itu. Dia yang masih dalam edah untuk perkahwinan yang gagal buat ketiga kalinya itu saya lihat amat memerlukan bahu saya untuk menampu titis airmatanya yang gugur satu per satu mengenangkan nasibnya yang sentiasa ditakdirkan menjadi pengongsi dan 'yang kedua' dalam usia yang relatif muda berbanding saya. Saya suka dia, hartawan pengalaman yang amat memberi pencerahan dalam hidup saya. Naratif alam kanak-kanaknya memplot pola kehidupan remaja dan dewasanya membuatkan saya berkali-kali bertahmid kerana dianugerahkan ibu bapa dan keluarga serta seorang sahabat dunia akhirat dan ramai teman jiwa yang limpah kasih sayang insani tanpa sekelumit kepentingan materi.

Ketika dia bersungguh-sungguh bertanyakan di mana dan bagaimana boleh dia mendapat tenang dan bahagia, matanya yang tidak berapa saya sukai bentuknya, saya pandang dalam-dalam. Saya cari titik suka dari dasarnya dan akhirnya saya jumpai sejalur bening tulus kartika menyuluh. Saya yakinkannya betapa sayap-sayap hidayah Tuhan sentiasa berterbangan. Mohonlah agar ada sepasang sayap suci itu sudi hinggap dan menginap di relung jiwamu paling jauh. Di situ kau bakal beroleh ketenangan paling ampuh. Giatkan munajat di pangkal pagi dan berniat saum sebelum bermula azan subuh.

Bersumber-ilhamkan sinar kartika menyuluh benderang dari lubuk jiwanya yang kehausan kasih sayang Pencinta Agung itulah, saya abadikan sebuah puisi buat teman nurani yang ditakdirkan bersua hanya seketika untuk mencermin hati dan jiwa. 'Kartika Shuhaila, moga kau ketemu sosok tenangbahagia yang selama ini tidak kau ketahui gerangannya.' Begitu luhur jiwa saya membisikkan doa tulus untuknya setiap kali usai mathurat saya khatami.

Selasa, Julai 21, 2009

Burung Setia, Kuda Perkasa

Dalam sebuah taman aku terdengar bicara burung hijau setia dan kuda putih perkasa:

kata kuda,
"aku benci menyanyi
lagu yang begini-begini
sebab ia mendayu-dayu
rawan sukma, luluh kalbu."

kata burung,
"kalau menyanyi lagu
aku suka yang begitu-begitu
kerana ia memuja-muja
memijar nyala rasa."

Khabar yang kudengar, kudengar-dengar khabar... burung dan kuda itu telah datang dari benua jauh. Mereka saling tidak mengenali sesama sendiri sebelum ini tapi berdasarkan peri dan bari seolah-olah tali akrab sudah lama bersimpul mati di hati.

Sebelum sampai ke taman itu, khabarnya burung terbang rendah mengiringi larian manja kuda. Mesra kuda meminta "nyanyilah... suara engkau sedap."
Memahami resah jiwa kuda yang merindui kekasih, burung cuba menghiburkan kuda yang bersedih.



Airmatamu di Bahuku

Selalu, dulu-dulu
waktu riamu
raikan ia, bersama
teman-temanmu.

Kini, seperti selalu
mahunya aku kau tahu
waktu-waktu pilumu
untukkannya kepadaku
justeru kutahu
jarang ada bahu
yang mahu menampu
tetes air mata hiba
pasrah seorang hamba
ke hadrat Tuhannya.

Isnin, Julai 20, 2009

Singa Luka, Kuda Perkasa

Petang tadi,
ketika kau melepaskan singa luka
dari kandang amarahmu
jiwaku bangga membiarkan pergi
seekor kuda berlari
perkasa, merentas hijau taman
melepasi pohon indah
beranting perak.








Larilah semahumu
pasti nanti, kau kembali
semula,
mengambil tali kekang
dan pelana
, dari bahuku yang luka
diterajang prasangkamu.

D'Bayam, KB.

Pecut Masa, Takut Rasa

Ketika kutanya
lama masa bersisa
untuk kita saling
mencermin jiwa.

Katamu,
jangan sesekali takut
pada masa yang memecut
kita selamanya bersama
sedaya tenaga, bernyala rasa.

Sri 7, Tumpat

Ahad, Julai 19, 2009

Nyala Rasa

Pangkal pagi 18 Julai, rafik sentak lena saya lalu sasarkan agenda ke Padang Tembak. Kami menumpang kereta sepasang kawan baharu ke Lapang Sasar Diraja. Sepercik rasa menunjal dada. Tekad saya, hanya satu tembakan bakal saya lepaskan. Saya percaya sepercaya-percayanya bahawa peluru pertama saya bakal memaknakannya.


Terima kasih Farah yang merakam nostalgia dengan lensa SLR Nikonnya.

Saya tala 9mm ke dada angkasa raya. Udara saya hirup hingga penuh rongga jiwa. Mata kiri saya pejamkan ketika mata kanan taat membidik titik putih agar selari dengan dua capah kembar seiras. Tangan kiri menampu kembarnya yang perlahan-lahan memaut picu separuh, tepat saat bayangan dada seseorang melintasi piring sasaran saya tarik picu penuh dan...THAM! Piring jatuh.

Tepukan tangan dan sorakan Cikgu Zarina Zain, Kak Wan, sepasang kawan baharu dan rafik bertebaran ke seluruh padang mengkagumi kehebatan penembak pemula pemecah rekod kerana meski pun pertama kali belajar memetik picu sudah berjaya mengenai sasaran dengan tembakan permulaan.

Segera saya letak 9mm ke atas meja dan angkat kedua-dua belah tangan ke angkasa menadah muka kepada-Nya. Terima kasih Tuhan, yang menzahirkan jawapan kepada sebuah nyala rasa.


Khamis, Julai 09, 2009

Buku dari Kota Batu

Fuh, seharian semalam saya sibuk menyiapkan tugasan pelanggan hingga tak sempat toleh kiri kanan. Dalam perjalanan pulang, rafik maklumkan ada kiriman buku dari teman di kota batu. Wah, apa lagi yang ada dalam hati jika bukan sejuta kembang mewangi. Apresiasi setulus budi buat teman yang amat peduli lagi ehsani.

Kebetulan apakah ini? Buat kesekian kali, iftar 15 Rejab saya diberkati dengan limpahan nikmat mencumbui buku-buku yang saya cintai sangat-sangat!

Siapa sudi beri pendapat, apakah patut
saya membuka Jendela Menghadap Jalan lalu Meniti Jalan Hadapan demi mengecapi Kasih Nan Agung?



Selasa, Julai 07, 2009

Kamu OKU?

Lazimnya begitu, sehari sebelum Rabu selalu menjadi hari rumbu ilmu. Jiwa bumbu ragu atau minda tepu keliru berlalu dibawa beredar dek segar bau ilmu dari buku-buku yang tersusun rapi di perpustakaan mini kami. Pagi tadi sambil mengumpul data untuk memperkemaskan lagi kertas kerja pelanggan, saya berpeluang berkongsi buah fikir dan zikir dengan Rahimin di talian Yahoo serta Nimoiz dan Marjan di Muka Buku.

Banyak ilmu baharu, laju iluminasi meluru. Sungguh, saya rasakan itu adalah sesuatu. Perihal sikap dan sifat manusia memuktamadkan saya menaskhmansukhkan sebuah pepatah.

Saya mula menyedari betapa ramainya manusia kurang upaya di dunia ini. Saya juga tidak terkecuali. Ya, saya tak malu silu mengaku, saya OKU!

Apa itu OKU? Siapa OKU? Tentu ligat otak kalian menterjemah akronim itu secepat bibir menuturkan: Orang Kurang Upaya. Manusia cacat penglihatan, suara tidak kedengaran, kudung kaki tangan dan banyak lagi eceran sifat kekurangan yang berlainan dengan manusia yang sempurna sifat kejadian.

Hey jangan keliru atau buat-buat tak tahu, yang disenaraikan itu memang OKU. Kependekan kepada Orang Kelainan Upaya. Kurang upaya apanya kalau yang tak nampak mata, tak dengar telinga, tak sempurna anggota itu boleh berdikari, pandai menjahit pakaian, membaiki peralatan, gigih berniaga dan mahir melukis hinggakan tak payah terhegeh-hegeh mengemis? Tahu jaga makan pakai serta didik anak isteri pun pandai, itu dah lebih bagus daripada yang kononnya cukup sifat tapi diri dan famili sendiri terbiar melarat. Pokai saku pekerti, sengkek poket rohani.

OKU pertama itu bukanlah tandanya kekurangan apa-apa bahkan wajar digelar insan istimewa. Bukankah Tuhan sudah firmankan bahawa manusia memang diciptakan dengan sebaik-baik kejadian. Maka, tak timbul langsung soal kurang atau lebihnya ukuran upaya atau sukatan kudrat kaki tangan atau bilangan jari-jemari bukan lima tapi enam.

Mari saya cerita, saya OKU yang bagaimana. Saya pernah ke sebuah pasar raya mega dan saya amat tidak tertahan mahu menunaikan panggilan alam yang luar biasa seruannya akibat menelan pil pelawas penghadaman. Saya meluru ke tempat yang berkenaan tapi ruang itu dibarisi oleh ramai orang yang menunggu giliran. Saya lantas terpandang sebuah ruang kosong yang bersimbol kerusi roda. Saya sedar akan keadaan saya yang sangat-sangat kekurangan malah ketiadaan upaya langsung untuk menahan. Sebaik keluar, saya dimarahi pengawal kerana menceroboh ruang yang bukan hak kata pengawal itu. Saya yang masih menekan perut sedaya upaya menahan kerut dengan berjalan terhenjut-henjut,bersuara meyakinkan dia bahawa dia tidak sepatutnya memarahi saya kerana saya bukan hanya kurang upaya bahkan memang tiada upaya langsung. Cuba kalian fikirkan, apakah gelaran yang sepadan buat saya dalam keadaan demikian?

Ya, saya mengaku silap saya satu cuma, saya lupa pengawal itu rupa-rupanya OKU juga. Minda dan jiwanya terencat dalam memahami maslahah umat. Mana tidaknya, jika saya pura-pura tidak menyedari akan keOKUan saya dan dengan pekak badak, buta kelawar sahaja merempuh barisan yang berjujut menunggu giliran, mahunya geger pasaraya mega itu dengan segala keaiban yang serba berkemungkinan.

Cerita kedua, seorang pelajar PMR mengadu kepada rafik dan saya tentang bapanya yang memisahkan dia dari ibunya kerana ibunya bukan pilihan mertua. Belanja sekolah kadang kala ada, banyaknya yang tiada. Sarapan usahkan dihidang, mengidam pun haram. Menurutnya, bapa berpendapatan empat angka, sementelahan berjauhan dengan isteri yang digantung tak bertali, hari-hari misi bapanya ialah mencari pengganti dan mengisi blognya dengan entri-entri politik yang sarat isu kritik mengkritik. Itu satu, satu blog lagi dimuati puisi-puisi menagih simpati dari seorang lelaki yang kepatahan sayap kiri (meminjam judul puisi Rozais al-Anamy).

Setelah pelajar itu merintih sedih hingga mahu bunuh diri, saya katakan padanya, jangan sedih, bapa kamu itu OKU sebab dia kurang upaya mengawal nafsunya sendiri apatah lagi menyara kebajikan kamu dan keluargamu. Otaknya rencat sebab itu dia tidak dapat menunaikan tanggungjawab.

Sedang rancak berborak, kawan kami masuk ke pejabat untuk melepaskan penat sesudah dia habis mengecat. Dia selalu ambil upah mengecat pusat Kebajikan Masyarakat. Kehadiran Rosdi berupaya menyeka airmata pelajar itu hingga ketawa berjaya singgah di mukanya apabila melihat kami bercakap dengan Rosdi menggunakan tangan dan mimik muka sahaja tanpa sebarang suara kedengaran. Setelah Rosdi beredar, dialog ini berlegar:

Pelajar: Orang tu OKU ya, kak?
Rafik: Tidak!
Pelajar: Habis tu kenapa dia bercakap macam tu?
Saya: Dia diuji Allah dengan pekak dan bisu.
Pelajar: OKUlah tu namanya.
Saya: Kan, dah bagitahu siapa OKU tadi.
Pelajar: Mmm, kesian saya.
Saya dan rafik: Kenapa pula?
Pelajar: Sebab pusat pemulihan OKU macam ayah, tak ada kan?
Saya dan rafik: Kah kah kah!

Lagi parah kalau pasangan OKU bernikah. KeOKUan minda dan jiwa mereka membuatkan mereka tidak berdaya langsung memikirkan kesusahan orang lain. Pasangan OKU jenis yang tiada batang hidung lagi dahsyat apabila mereka sewenangnya menswastakan kerumahtanggaan mereka kepada ibu bapa. Dari sarapan santak ke makan malam semua ditaja. Menyewa rumah lain, khuatir wang mereka kering. Mana cukup nak bayar sewa rumah, belanja dapur, tukang masak, tukang cuci, baiklah duduk bersenang-lenang di rumah subsidi. Agh! Pedulikan saja adik lelaki dan perempuan yang sudah baligh itu tidur berkongsi bilik asalkan poket mereka tak sengkek. Pada tahap ini, pasangan OKU tersebut sudah layak miliki kad pengenalan OKU yang tercatat kalimat summum bukmum umyum.

Takut saya fikirkan kalau-kalau nanti ada lagi spesis OKU didiagnosis spesis yang gagal mengenal kekurangan diri sendiri sebaliknya sesuka hati mendabik dada mencanang kehebatan peribadi, menuding jari orang lain kurang itu lemah ini, sebab terkini, sudah terdapat bukti sejenis lagi kategori OKU yang baru dikenalpasti yakni kekurangupayaan individu mengingati berapa kali dan dengan siapa dia pernah nikahi.

Entri ini sudah khatam. Hah, jawablah... kamu OKU atau pun bukan?

Isnin, Julai 06, 2009

Kenal Maka Tak Cinta

Akhirnya pagi tadi, indera saya mendengar, melihat, merasa, menaakul butir peri rafik yang mengakui dan mempersetujui kalimah yang telah sekian lama saya sedaya upaya menyakinkannya itu ditukarganti akan makna dan pemahamannya seperti yang selama ini difahami majoriti. Pengakuan rafik itu membolehkan saya menaikkan satu lagi takah kebenaran betapa pepatah "tak kenal maka tak cinta" yang sekian lama dituturi orang itu harus dimansukhkan.


Kebelakangan ini, ditakdirkan kami mengenal secara dekat ramai oknum-oknum yang dipuji-puja masyarakat, hakikat setelah tabir tersingkap... hish, selisih malaikat empat puluh empat! Rasa hormat ghaib lesap 'patat' (maaf atas penggunaan istilah daerah yang bagi sesetengah orang tidak enak didengar).

Sejak dulu saya berpendapat rasa suka atau cinta akan seseorang atau sesuatu menjelma sewaktu kita masih belum tahu kesemuanya tentang mereka. Saya mahu bersetuju dengan pelakon Siti Shahrizah (Eja) yang mengambil sikap 'cukup khalayak tahu seputar diri dan kerjayanya, tetapi tidak seluruh kehidupannya' kerana memang lumrah manusia sudah tidak teruja lagi dengan apa yang mereka sudah tahu seluruhnya. Jadi, biarkan sesuatu itu menjadi teka-teki barulah muka hari yang belum pasti kita ternanti-nanti dengan penuh debaran di hati.


Analogi mudah, kita diberitakan akan menerima hadiah. Kita teruja. Melihat bungkusan hadiah, gembira tak terkira. Ketika membukanya, terlalu gembira. Tatkala hadiah sudah terbentang di depan mata, cuba rasa debar dalam dada, sudah berkurangan detaknya, bukan?


Bagi saya, istilah tak kenal maka tak cinta hanya relevan dan valid haknya hanya untuk Maha Suci lagi Esa Pencipta sahaja. Tuhan Maha Bijaksana itu merahsia-misterikan banyak perkara perihal dunia fana ini dan alam ghaib milik-Nya agar manusia cerdik lagi terdidik sentiasa teruja berlumba-lumba mendamba cinta-Nya. Semakin hamba itu kenal rapat akan Allah perihal zat dan sifat, aduh nikmat. Kian akrab - jelira lazat.


Tidak sama sekali ia signifikan dalam hubungan sesama manusia atau makhluk. Manusia atau makhluk ada sifat atau tabiat yang boleh dibuat-buat. Terutama waktu berhajat atau berkehendakkan sesuatu. Jika seseorang membuat sesuatu sifat secara buat-buat tentulah ia tidak kekal kerana manusia itu pelupa. Tentu mereka tak ingat apa yang sepatutnya mereka buat-buat pada sekian-sekian waktu atau tempat. Alahai, setakat manalah sangat manusia mampu bermuslihat?


Nah, kalau semasa bercinta, semua kelemahan dan kekurangan pasangan, umpama debu yang menyinggahi mata yang akan digenyih ala kadar dan kelip-kelipkan kelopak untuk biarkan air mata mengusir debu itu. Dan, apabila sudah sah menjadi hak milik, debu sebesar zarah itu bagaikan gajah yang diseranah tak cukup lidah! Ho ho ho Ultraman berubah menjadi raksasa.


Hem, setuju dinasakhkan dengan "kenal maka tak cinta" atau pun kekalkan yang asal?


Ahad, Julai 05, 2009

Sepetang Berpantun

Menari santun di gelanggang seni,
jeda rehat reda sengsara,
mari berpantun di petang hari,
minda sihat jiwa ceria.

Ria angsana berkawan pawana,
segar kemboja berona kesumba,
bersapa mesra di laman maya,
memugar nostalgia ketika bersama.

Bukanlah paku sebarang paku,
jika tajam bukan sifatnya,
bukanlah kamu seorang Melayu
jika berkata tiada indahnya.

Buka sila tidak berperi,
santun tertib menunjal hati,
suka sahaja tidak menjadi,
pantun wajib dijual beli.

Khamis, Julai 02, 2009

Anak Rindu

Sepohon benih Anak Rindu
kau minta kubajai waktu perlu
dan siramkan waktu kemarau lalu
kau rayu, kujaga ia sepenuh jiwa
kini telah pun dewasa
tiba, menuntut haknya.