Hak Cipta Terpelihara. Sebarang item yang mahu diambil daripada blog ini wajib mendapat keizinan pemilik blog. Budi Bahasa Amalan Kita

Ahad, Julai 26, 2009

Temu Jiwa Dua Hawa

Sabtu, 18 Julai lalu, saya dibawa seorang kawan baharu ke Taman Rekreasi Tg. Anis, Uda Murni Pengkalan Chepa. Entah, mendengar butir bicaranya yang asyik bercerita soal hati yang dia sendiri sering tidak memahami erti inti dan sari, saya seperti terhipnotis untuk sedia menjadi pendengar setia meskipun kami baru berkenalan belum pun seminggu.

Justeru, saya katakan padanya, kalbumu itu punya penakluk meskipun kau pemiliknya. Maka kenali penakluk itu maka kau akan fahami bahasa dan suara hatimu sendiri. Dakwanya, dia telah lama kehilangan suara jiwa. Kalbunya bisu. Diam bergempita dalam relung hati menempikkan sunyi. Sepi sesepi-sepinya. Meski rakan-rakan dan semua orang di sekelilingnya melihat dia tertawa tapi akuinya itu hanya sandiwara. Berjumpa saya, barulah dia sedar jiwanya masih punya suara. Memang tidak dinafi, firasat wanita kelahiran bulan jengkingkala persis saya, sememangnya suka memeta dan menyelesaikan silang kata apa sebenarnya berselindung di sebalik sirat tawa seorang hamba, dapat juga dikesan olehnya yang juga seorang 'perasa'.

Rafik bersetuju apabila saya adu. Kata rafik, Allah utuskan saya untuk memberikan penawar rengsa jiwa dan waham teman baharu kami itu. Dia tamsilkan dirinya persis sebatang pohon kontang tak berdaun yang aneh tumbuh dilingkungi pohon hijau subur dalam taman itu. Dia yang masih dalam edah untuk perkahwinan yang gagal buat ketiga kalinya itu saya lihat amat memerlukan bahu saya untuk menampu titis airmatanya yang gugur satu per satu mengenangkan nasibnya yang sentiasa ditakdirkan menjadi pengongsi dan 'yang kedua' dalam usia yang relatif muda berbanding saya. Saya suka dia, hartawan pengalaman yang amat memberi pencerahan dalam hidup saya. Naratif alam kanak-kanaknya memplot pola kehidupan remaja dan dewasanya membuatkan saya berkali-kali bertahmid kerana dianugerahkan ibu bapa dan keluarga serta seorang sahabat dunia akhirat dan ramai teman jiwa yang limpah kasih sayang insani tanpa sekelumit kepentingan materi.

Ketika dia bersungguh-sungguh bertanyakan di mana dan bagaimana boleh dia mendapat tenang dan bahagia, matanya yang tidak berapa saya sukai bentuknya, saya pandang dalam-dalam. Saya cari titik suka dari dasarnya dan akhirnya saya jumpai sejalur bening tulus kartika menyuluh. Saya yakinkannya betapa sayap-sayap hidayah Tuhan sentiasa berterbangan. Mohonlah agar ada sepasang sayap suci itu sudi hinggap dan menginap di relung jiwamu paling jauh. Di situ kau bakal beroleh ketenangan paling ampuh. Giatkan munajat di pangkal pagi dan berniat saum sebelum bermula azan subuh.

Bersumber-ilhamkan sinar kartika menyuluh benderang dari lubuk jiwanya yang kehausan kasih sayang Pencinta Agung itulah, saya abadikan sebuah puisi buat teman nurani yang ditakdirkan bersua hanya seketika untuk mencermin hati dan jiwa. 'Kartika Shuhaila, moga kau ketemu sosok tenangbahagia yang selama ini tidak kau ketahui gerangannya.' Begitu luhur jiwa saya membisikkan doa tulus untuknya setiap kali usai mathurat saya khatami.

Tiada ulasan: