Hak Cipta Terpelihara. Sebarang item yang mahu diambil daripada blog ini wajib mendapat keizinan pemilik blog. Budi Bahasa Amalan Kita

Khamis, Februari 05, 2009

Pencaran Keembung 2I+S


Sekitar jam tiga petang sambil melayan pelanggan melakar pelan lokasi majlis perkahwinan, saya singgah ke laman maya dan sempat bersembang dengan seorang teman. Perbahasan seputar dunia penulisan mengheret kami ke ruang dialektika yang panjang. Katanya, ada seorang kenalan memberi panduan bagaimana mahu menghasilkan puisi yang indah dan mampu menggugah perasaan. Kenalannya itu menyarankan agar rakan maya saya memusatkan minda sepenuhnya ketika aliran raksa ilham memijar. Namun rakan saya ingkar, baginya dia berkarya dengan minda, fizikal, jiwa dan ruh yang kekar. Justeru, bukan minda sahaja yang wajar diajar belajar bahkan fizikal, jiwa dan ruh juga turut meminta hak bergelar pelajar dan pengajar. Itulah sebabnya, dakwa rakan saya lagi kepada kenalannya, usai dia mengarang puisi, dapat dia rasai betapa sekujur jasadnya tak keruan. Keringat memercik tak daya disekat dan sesekali sejat dalam dingin dan hangat yang menyelubungi jasmani dan rohani , akhirnya demam menzahirkan diri.

Nah! Itulah bukti betapa minda, fizikal, jiwa dan ruh kental bersebati ketika melahirkan sebuah puisi. Dalil rakan saya mengakhiri dan menurutnya lagi, terus kenalan mayanya mohon permisi.
Akur akan keabsahan dalilnya yang bernas, ada jentikan halus mencendas fakulti fikir dan debar rasa saya yang cerdas mengarah jari-jemari saya menaip pantas:
Raksa ilham nan memijar,
fizikal, minda, jiwa dan ruh bergetar,
dipencar keembung IKHLAS, IHSAN dan SABAR.


2 ulasan:

nil berkata...
Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.
zanazanzaly berkata...

Sdr Zaidi yang budiman,
Entri ini ikhlas saya tulis kerana teringatkan kisah Saidina Umar Al-Khattab yang mengambil sikap menghadiahi dengan segala kebaikan kepada orang yang menzaliminya dengan doa semoga orang itu beroleh hidayah Allah dan akhlaq buruknya akan segera bertukar mulia. Semoga kita semua beroleh hidayah & inayah Allah swt senantiasa.