Hak Cipta Terpelihara. Sebarang item yang mahu diambil daripada blog ini wajib mendapat keizinan pemilik blog. Budi Bahasa Amalan Kita

Selasa, Februari 03, 2009

Sajna dan Cinta


Ah, inikah musimnya?
Aura cinta bertebaran di mana-mana. Pasangan berduyun-duyun mengunjungi galeri kad undangan bervariasi - NOBLE ART: Makin dilihat, kian terpikat - demi membuktikan kesungguhan cinta mereka.

Saya turut teruja melihat gelagat pasangan menempah kad. Ada yang bergelak ketawa sesama mereka, ada yang sendu-sendu manja, ada juga yang berbicara tanpa suara sehinggakan masa yang diambil untuk membuat pilihan dari tengahari, jam 12 santak ke petang, jam 2.

Tak kurang juga ada pasangan yang mencuka. Sampaikan saya dan rakan sekerja terpaksa menjadi orang tengah untuk mendamaikan mereka. Itu belum termasuk lagi yang datang bersama ibu-bapa kedua-dua pengantin yang saling bersaing mahu menempah kad paling mahal dan tercantik di antara mereka.

Aduh! Pening kepala dibuatnya.

Lazimnya, kami di Noble Art akan membahagikan kumpulan itu kepada tiga: Pasangan pengantin, Nany pujuk sebab dia selesa berbahasa dengan orang muda. Ibu bapa sebelah lelaki, saya 'gaya' agar berjimat cermat sebab banyak lagi 'belanja' perlu difikirkan bukan kad sahaja wajib dibuat. Pitis kenduri kendara bagaimana? Dan, Rozais akan berdiplomasi dengan ibu bapa di pihak perempuan agar berbelanja ala kadar ikut kemampuan. Buat apa membayar untuk benda yang tidak diperlukan. Bukankah itu pembaziran?

Alhamdulillah, selama 12 tahun berniaga, masalah-masalah lazim sebegini, sesaksamanya dapat kami atasi. Semua pihak berpuas hati dan kami pun tak rugi.

Ya, sememangnya jika berniaga mahukan laba. Biarkan mereka berbalah mahu menempah kad yang mahal-mahal. Tapi jika pelanggan keluar dari kedai kami dengan muka saling mencuka, buat apa? Itukan, menempah bala namanya.

Walaupun kami peniaga, kami pun pengguna! Paling penting, kami ini usahawan Muslim yang tahu adab dan etika. Jadi keuntungan bukan matlamat utama kerana kami lebih berpuas hati dan bangga sebangganya jika pelanggan yang sama datang berulang kali ke kedai kami untuk tempahan seterusnya dan seterusnya bermula dengan mereka kemudian diperpanjangkan khidmat prestasi kerja-kerja seni kami kepada kaum kerabat dan sanak saudara mereka pula.

Dapat laba, pahala pun berlipat ganda hendaknya!

Pasangan bercinta yang selalu bersengketa hinggakan ketika menempah kad undangan perkahwinan pun masih tidak seia sekata, pada hemat saya, mereka bukanlah pasangan sehati sejiwa kerana mereka bukan sekadar gaduh-bergaduh burung wak-wak. Itu dah bergurau biawak! Bukan lagi merajuk manja, itu dah kira, awal-awal menempah bencana.

Bayangkan, andai badai acap melanda di awal bahagia, bagaimana mahu melayari bahtera cinta sehingga ke destinasinya?
Jika hal sekecil memilih kad perkahwinan pun payah mendapat persetujuan bersama, itu petanda ada sesuatu yang tak kena pada raksa cinta mereka berdua.


Argh! Masakan sewenangnya mereka alpa saat taufan asmara bergetar melanda dada, disapa debar cinta pertama?
Ayuh, bisikkan ayat ini kala pejam mata "Kya yeh mere pehla, pehla pyar hai?"
Dan dengarkan gema jauh dari dalam atma anda, 'S A J N A...'


2 ulasan:

- dieyana - berkata...

ehhehe..teringat masa diana dan tunang(ketika itu, sekarang sdh menjadi suamiku..ehehe)- menempah kad kawin di noble art! Entah bgmana gaya kami menempah kad masa tu, rasanya, biasa2 aje...hahahah...

zanazanzaly berkata...

dieyana si ayu menawan,

Kalianlah pasangan yang warga NOBLE ART nobatkan sepadan bagaikan cincin berlian disarung ke jari manis kanan dan suami pula mengenakan cicin belah rotan lambang kesetiaan.

Eh, destinasi bulan madu kalian di Pulau Sipadan, kan?