Hak Cipta Terpelihara. Sebarang item yang mahu diambil daripada blog ini wajib mendapat keizinan pemilik blog. Budi Bahasa Amalan Kita

Khamis, April 30, 2009

Diam Dalam Mihrab

Apa jua kita buat, pangkalnya niat. Sungguh saya ralat sangat-sangat kerana tak sempat ke Pesta Buku semasa berkunjung ke ibu kota minggu lalu. Meskipun begitu, Allah Maha Tahu betapa kempunan saya itu terlalu, maka dicetuskanNya dalam kalbu seseorang untuk mengirimkan sesesuatu yang saya gemarkan.

Semalam saya bersahur dengan sejuta syukur dan bahagia diam Dalam Mihrab Cinta. Dan, moreh selepas berbuka nanti akan saya jamah lagi satu demi satu pemanis selera buah minda El-Shirazi. Jutaan terima kasih buat teman yang akrab di jiwa kerana menyediakan hidangan istimewa sebegini untuk iftar dan sahur saya minggu ini.

Usai membaca novelet pertama, Takbir Cinta Zahrana, ada satu tanya mencendas tempurung kepala, apakah sudah anda khatamkan semua sebelum membingkiskannya?


Ahad, April 26, 2009

Ulek Minta Baik

Sempena menanti hari bahagia seseorang dari keturunan 69, saya diundang mempersembahkan sebuah pementasan menjelang malam 060609 dan sekali lagi pada 090609 dan sekali lagi pada 090909. Nantikan...

Ulek bukan sebarang ulek
ulek mengulek biar lendit
sakit bukan sebarang sakit
penyakit orang baik-baik
kalau sikit payah kelek
minta banyak bawa balik.
Hai ulek!
(suara Kak Habsah Jusoh... fuh!)

Sabtu, April 25, 2009

Berpesan Dengan Kebenaran

Atas nama kemanusiaan dan kecaknaan, kepada seorang teman perlu rasanya diingatkan, kembalilah segera ke pangkal jalan. Sudah saya khatam tiga versi daripada kisahnya. Ternyata dirinya di pihak yang serba tak kena. Dia terfana dek tipu daya dan kini sedang asyik maksyuk melayan nafsu-nafsi di alam fantasi bikinan sendiri. Kasihanilah mereka yang tak berdosa menjadi mangsa keegoanmu yang meraksasa. Atau kau mahu menyesal seumur hidupmu, meratap pilu mengumandangkan lagu ini mendayu-dayu?


Oh Tuhan, minta dijauhkan kejadian sedemikan kerana
sesalannya kelak bukan kepalang. Tak percaya? Tanya ayahanda Nabila Huda.

Jumaat, April 24, 2009

Suri dan Insang Pari

Jumaat, cuti. teratak kasih di Padang Embun segera menukar dua wanita bekerjaya menjadi dua dara si patung cendana. Fungsi mereka 360 darjah berputar daripada mengendalikan sebuah usahaniaga kepada suri rumah sepenuh masa. Kombinasi mereka sangat padu. Jika seorang menggosok baju, yang seorang lagi menyapu. Waktu di dapur juga tertib mereka susunatur - seorang memasak makanan, lagi seorang akan menyiapkan meja, menyusun dan membasuh pinggan mangkuk sebelum dan selepas guna. Jika seorang menyiram bunga di laman hadapan, pasti rafiknya sedang membersihkan atau pun berkebun di laman belakang. Begitulah seperti adanya hingga kini tiada apa yang boleh ditakwil sebagai tidak adil.

Tadi, sewaktu melipat baju dia perasan koyakan di pinggang pada sehelai seluarnya kian panjang. Seluar merah jambu bunga keladi itu punya kembar sehelai lagi berwarna biru lazuardi yang sering dipakai rafiknya. Rafiknya beli semasa di Jakarta, mengikuti MASTERA lalu menghadiahinya. Puas rafiknya cuba menjahit koyak yang sehasta namun tak berjaya mencantumkan dua belahan pada bahagian pinggang seluar dan tetap juga ia terbuka. Dia senyum sahaja melihat rafiknya mencuka selepas beberapa kali mencuba.

"Mana boleh jelujur biasa. Ini mesti dijahit insang pari." Pipi rafiknya dicubit manja.
"Yelah budak Naim kan belajar SRT." Rajuk rafik merendah diri.

Selesai melipat baju, dia pun mula menjahit koyak pada seluar kesayangannya sambil menemani rafiknya menggosok baju seraya melayan lagu.


Oho Tango

Malam semalam saya diajak rafik menemani seorang kenalan untuk makan malam. Aha, siapa sangka kami berjumpa jejaka yang punya selera serupa. Tiada apa yang kedengaran bersuara melainkan gema rasa pabila tiga jiwa melayan lagu-lagu lama. Sepanjang perjalanan pergi (makan mi) dan kembali (makan angin) pedati kami dihiasi lagu-lagu malarsegar 70s Melayu dan Inggeris. Lebih 20 lagu kami layan sambil menghirup angin malam.
Melangkah ke dalam rumah, argh... John Clark dan Paulina ghairah mengacah, "don't say anything and don't think."


Khamis, April 23, 2009

Pawang Terbilang

Sehingga tengahari tadi, emel rasmi kompeni penuh berisi petua. Terima kasih tak terhingga kepada pengirimnya yang peka. Salah satu daripadanya sudah pun rafik paparkan dalam blognya.

Dalam banyak-banyak emel yang kami terima, petua yang satu ini saya fikir sangat berguna kepada ramai teman dan kenalan saya kerana saya ingat sangat-sangat pesanan Pak Nik bahawa jangan sesekali mengahwini lelaki yang sering mengadu sakit pinggang atau pun yang mengaku berpenyakit batu karang. Mengingatkan ramai yang menderita menanggungnya, empati memujuk saya berkongsi petua ini.
Tumbuk jintan hitam hingga lumat kemudian campurkan jintan hitam itu ke dalam madu lebah asli (kalau yang artifisi, pasti tak menjadi) dan gaul sampai sebati.Campurkanlah ramuan ini ke dalam air hangat dan diminum.

Saya tanya rafik, jintan hitam itu macamana? Jawabnya selamba, "entah, tak pasti pula. Lainlah jantan hitam. Merata-rawa, senang jumpa."

Dekah kami pecah. Gelak merangkak menghampiri jenaka beberapa lelaki yang rafik kenali. Di awal perkenalan, mereka sering mengadu sakit pinggang, sakit batu karang. Pendek kata serba mokniko penyakit bersarang. Sesudah lama berkenalan, rafik bangga memberitahu saya, penyakit mereka itu terus pulih setelah ditanya rafik dari masa ke semasa.

"Wah kalau begini, kau dah jadi pawang terbilang. Mati beragan semua pawang handalan." Tak payah susah-renyah nak cari ayam hitam atau solat hajat siang malam untuk sembuhkan penyakit orang. Layaaan saja, penyakit "sia".

Satu lagi jenaka, sorang kenalan mengalami lingkaran gelap bawah mata. Saya syorkan dia guna krim pencerah dari India, dia menolak sebab lebih percayakan sabun papaya. Selalu dia tanya, "dah putih ke?"

Kelakar sangat mendengar seseorang ketawa masa kata "putih, putih, putih."
Kah kah kah!

Rabu, April 22, 2009

Madu Kota Batu

Dalam batasan jangka waktu sebelum terbang di awan biru untuk berangkat pulang ke Kota Bharu, saya dan dara yang lagi dua itu berpapasan dengan dua uda menjual madu. Daripada mereka, seorang satu kami beli madu sebagai ole-ole dari kota batu. Langit gelap yang mencumbu tingkap pesawat pun mampu mengidentifikasi mana satu madu yang asli dan artifisi. Rindu mula membiru pada madu asli di rumah kami yang sememangnya terbukti asli. Titik atas kuku, ia pasti statik di situ. Itu petua menguji madu. (Terima kasih Fiza, kerana gurauan sms yang mengilhamkan.)


Kejora Jatuh Ke Riba

Saya ke kota batu namun sayang seribu kali sayang tak berpeluang ke Pesta Buku. Nisah ucap tahniah setelah membeli Sea of Rainbows (terima kasih FT muatnaikkan ilustrasi antologi ini) kerana Matinya Seorang Penyair juga turut diterjemah. Syukur alhamdulillah, antologi prakarsa ITNM itu terbit sudah.

Riba saya senget sebelah menatang kejora menyerlah. Doa saya Jun nanti ribaan saya seimbang pabila gugusan kejora menimpa bumi berjaya lagi saya tadah.

Semasa berbicara dengan Zakir di talian seputar antologi yang memuatkan karya kami, indera saya dihalwakan dengan lagu ini.

Mengisi Laci Nubari

Semalam, jam tujuh sebelas, sepupu saya, Iwan dan Pija bergegas menghantar saya, rafik dan adinda ke Terminal LCC. Sekilas, saya kerling ke atas. Hening langit tak mampu menipu sukma saya yang berupaya mendengar ritma hiba detak jantung makcik dan saya yang senada ketika dada saya erat berdakapan dengan dadanya. Bening dingin gerimis di tubir mata wanita kesayangan saya ini, saya simpan dalam laci nubari saya bersama hiba sehari sebelumnya yang sudah pun saya himpun ketika menziarahi nenda di Jalan Kem, Pelabuhan Kelang selepas berziarah ke kediaman makcik saya yang bongsu dan sepupu serta anak menantu yang bermastautin di Bandar Sultan Sulaiman.

Usai Isyak ditunai, kami berkonvoi dua buah kereta ke rumah ayah bonda Iwan untuk menikmati laman rumahnya yang indah di Batu Belah. Ramah tawa ayah dan bondanya juga sinar mata adindanya, Nurul Hawa yang berkomunikasi dengan saya tanpa suara menghiasi laci nubari saya dengan labuci warna pelangi meskipun masa terlalu mencemburui kerana destinasi kami seterusnya ialah ke Taman Cempaka Sari.

Intisari dan sari pati yang dikongsi Cik Ana dan Cik Sidek (pemastautin rumah setinggan kini memiliki mahligai tiga tingkat) tentang siku liku kegigihan dan ketabahan mengharungi cabaran kehidupan sungguh menginsafkan saya betapa kita ini mukallaf mempunyai kebertanggungjawaban yang bakal sentiasa diuji. Laci nubari saya berisi lagi.

Juga semalam, sebelum jam sembilan lima belas, sempat saya galas kenangan halwa dalam senggang masa setengah jam bersama dua teman yang satu jam tiba lebih awal tiba secara berasingan demi menunggu kelibat tiga dara untuk bersua muka. Gurauan Azmi, "KL dengan jam samalah seperti Zais dengan Zana" benar-benar menggeletek hati. Kedatangan teman dari kota batu yang lagi seorang itu sempurna memberi nilai tambah khatimah kembara tijarah dan ziarah usrah kami. Berbanyak terima kasih untuk buah tangan yang diberi. Sanjung puji saya pada kesungguhan kalian (bak kata mereka berdua, pantang nampak kelibat tiga dara, terus sahaja mereka terpa. Ha ha ha) dan dengan setulus apresiasi dalam laci nubari ini, ia abadi.

Ya Rabbi, hanya pada-Mu dipanjatkan kesyukuran ini kerana kembara niaga dan ziarah mesra kami selama tujuh hari (15-21 April) ke Darul Ehsan, Darul Khusus dan Bandaraya Bersejarah beroleh berkat sehinggakan penerbangan warga Noble Art selamat mendarat dalam masa 10 minit lebih singkat, jam 10.00 tepat. Alhamdulillahi Rabbil 'Alamin, segalanya tamat dengan selamat.

Saya pun mengunci laci nubari yang padat berisi dengan entri ini.

Isnin, April 20, 2009

Tegar Setia

Fajar Setiawangsa
jingga purnama Meru
tegar cinta
setia bicara rindu

Sabtu, April 18, 2009

Nasi Lemak Buah Bidara

Nasi lemak buah bidara,
sayang selasih hamba lurutkan,
hendak menghilir Sungai Melaka,
bayang kekasih menunggu di pengkalan.

Nasi lemak buah bidara,
sayang selasih hamba lurutkan,
hati memuncak diolah rasa,
Sekajang kasih jadi taruhan.

Jumaat, April 17, 2009

Dari Serambi Ke Tanah

Menyusun tari di serambi Cik Siti,
berdondang sayang di tanah Hang Tuah,
rimbun berbunga si pohon hati,
merai kasih ranum berbuah.

Hari ketiga kembara niaga
alternatif agenda sastera yang tertunda
Setiawangsa-Rembau-Batu Berendam
Esok bertolak ke Darul Ehsan.

Khamis, April 16, 2009

Menanam Serai Menghilir Sungai


Pagi Khamis menanam serai
malam Jumaat menghilir sungai
di padang embun rindu berderai
di bandar hilir kasih disemai

Rabu, April 15, 2009

Bulan Madu di Awan Biru

Renyai pagi Rabu
tulip putih salju
sang kunang-kunang
bawa terbang
berbulan madu
di awan biru

Selasa, April 14, 2009

Kupetik Puisi Buat Menari

(foto sekadar ilustrasi dipinjam daripada www.warisantarianmelayu.blogspot.com)

Sekilas meladeni, terus saya jatuh hati pada puisi ini. Sungguh saya sukai ia akan judul dan isi. Memandangkan pemuisinya bukan calang orang dan cukup sempurna tomakninahnya tentang hak milik dan kepunyaan, maka melalui seseorang yang akrab di jiwanya, secara tertib ternin mewakili pihak saya, memohon keizinan empunya untuk memetiknya. Gubahan kuntum puisi ini dengan bangga saya rangkaikan pada sanggul sendeng kiri. Kini, saya pun bersedia untuk menari Asyik di laman tarian tinta sukma ini.

Bulan Berwarna Biru

Tadi malam tatkala kutanya
seorang yang kutemui di pintu masjid
bulan berwarna apa, katanya lancar
biru warnanya.

Aku terus percaya, tanpa bicara
kerana dia di pintu masjid
pasti tidak mempermain kata.

Siangnya tatkala kutanya lagi
mentari hari ini berwarna apa
jawabnya tulus dan lancar
berwarna hitam, benar warnanya hitam.

Kerana dia di pintu masjid, aku percaya
hingga terlupa Tuhan bekalkan kepadaku
kewarasan dan upaya fikir sendiri
tentang warna bulan, warna mentari.
(www.gurindamjiwa08.blogspot.com)

Tasbih Gunung dan Burung


Zaburmu melunaki
qasidah, sajak dan tasbih memuji Rabbi
tunduk para gunung
angguk sekelian burung
saban pagi dan senja
kudoa, nanti di suatu masa pabila di sana
ia bisa menjamah inderaku jua
kerana mizmarmu nan merdu
buluh perindu di daerahku
kelu, tersipu malu.

Korpus Sysipus

Sempatkah seseorang yang melontar batu dari puncak gunung, turun untuk menyambut kembali batu yang dilontarkannya itu? Atau Sysipus mewariskan kalian pekerjaannya sebagai pemanggul batu ke puncak Olympus, kemudian menggelindingkannya kemudian memikulnya ke puncak semula? Apa kalian memang senang terus-terusan berkelakuan sedemikian persis insan tanpa masa depan, tanpa iman?

Ahad, April 05, 2009

Isyraqiyyah

Pernah saya menelaah Hikmah Isyraqiyyah
karangan teman muzakarah Sdr Zaidi Hj. Abdullah,
penadah ilmu Pondok Rahmaniah
Tuan Guru Haji Abdullah, Lubuk Tapah.


Manis saripati kitab ini
saya kongsi mel
alui Iluminasi.


Jumaat, April 03, 2009

Dunia Hingar, Suara Himar

Entri sebelum ini membuatkan teman, rakan dan taulan bertanya "mengapa, apa yang tak kena?"

Jawab saya mudah sahaja. Sabda Nabi saw, daripada berkata perkara sia-sia, afdalnya diam. Justeru manusia dibekalkan satu mulut agar senang dijaga. Tanpa banyak berbicara, kita mampu menghindari dosa. Sementara kita punya dua telinga, ikhtiarkan sedaya upaya mendengar perkara yang baik-baik belaka.

Ketika diam, banyak bunyi dapat saya dengari. Hatta degup jantung sendiri! Aktiviti ini sangat saya gemari. Rasa dekat sangat-sangat dengan diri sendiri. Acapkali detak jantung ini saya dengari seraya ibu jari merasai denyut nadi. Allah Maha Suci, indah sekali kreasi-Mu ini.

Zohor tadi, diam mengaktifkan jiwa saya menerima vibrasi telepati hantaran seorang isteri. Saya hanya mampu bersimpati kerana suara dari dalam peti jiwa sudah saya hilangkan kuncinya. Melalui jawapan sahabat kepadanya, saya sisipkan doa agar rusuh dalam hati si isteri yang dikhianati suami (suaminya pula beralasan sedang menggelupur kerana dipaksa bernafas dalam lumpur. Lalu, dia giat menggetis pucuk baru sebagai penawar bagi memulihkan kembali sengsara jiwa yang kononnya telah diracunbiru) itu segera sirna kerana saya yakin, sinar pasti muncul di hujung zulmat lorong. Janji Allah tiada sekali-kali bohong! Kepada-Nya sahaja kita bermohon kerana hanya Dia sebaik-baik Penolong.

Diam yang saya lontar ke gaung jiwa melantunkan gegar: Dunia ini sudah terlalu hingar, jika masih ada di antara kita yang enggan memilih diam seperti saya, sebaliknya kekal mahu bersuara juga, pastikan kalian tidak bersuara himar.

Rabu, April 01, 2009

Kupilih Diam


Oh... ada saatnya ku bicara

bila hatiku telah bulat
Sepanjang ku bisa atasi semua
aku tetap diam

Dian dan Coklat

Dalam hidup saya, dian dan coklat sering hadir memaknakan suasana. Ada-ada sahaja komunikasi di antara dua item ini dengan soal hati dalam apa juga situasi. Jika tidak dihadiahi, saya akan menghadiahi. Kebelakangan ini, banyak sekali saya menerima dan memberi salah satu atau kedua-dua barangan yang disinonimkan dengan 'kehangatan' ini.

Buat adinda saya dan sahabat, Ili Hana yang amat kami kasihi, sekotak coklat dan sebuah dian wangi bukanlah ukuran nilai bakti yang adinda beri kepada kami. Ia arca apresiasi kami yang berhutang budi kepadamu yang sudi menghulurkan tangan pada saat yang amat kami perlukan. Bertuah sungguh adinda mewarisi luhur pekerti ayahandamu, Profesor Dr. Hashim dan manis sari wajah bondamu, Profesor Dr. Sri Nurestri.

Mentari naik sebelah anjung,
Budi baik rasa nak junjung.

Ketika menulis entri ini, saya juga sedang merasai kehangatan rasa nikmat coklat kacang hazel kiriman seorang teman dari kota batu yang padanya ingatan saya sering bertamu. Jutaan terima kasih buat teman saya itu atas kiriman sekotak coklat susu dan seberkas buku.