Hak Cipta Terpelihara. Sebarang item yang mahu diambil daripada blog ini wajib mendapat keizinan pemilik blog. Budi Bahasa Amalan Kita

Selasa, April 14, 2009

Kupetik Puisi Buat Menari

(foto sekadar ilustrasi dipinjam daripada www.warisantarianmelayu.blogspot.com)

Sekilas meladeni, terus saya jatuh hati pada puisi ini. Sungguh saya sukai ia akan judul dan isi. Memandangkan pemuisinya bukan calang orang dan cukup sempurna tomakninahnya tentang hak milik dan kepunyaan, maka melalui seseorang yang akrab di jiwanya, secara tertib ternin mewakili pihak saya, memohon keizinan empunya untuk memetiknya. Gubahan kuntum puisi ini dengan bangga saya rangkaikan pada sanggul sendeng kiri. Kini, saya pun bersedia untuk menari Asyik di laman tarian tinta sukma ini.

Bulan Berwarna Biru

Tadi malam tatkala kutanya
seorang yang kutemui di pintu masjid
bulan berwarna apa, katanya lancar
biru warnanya.

Aku terus percaya, tanpa bicara
kerana dia di pintu masjid
pasti tidak mempermain kata.

Siangnya tatkala kutanya lagi
mentari hari ini berwarna apa
jawabnya tulus dan lancar
berwarna hitam, benar warnanya hitam.

Kerana dia di pintu masjid, aku percaya
hingga terlupa Tuhan bekalkan kepadaku
kewarasan dan upaya fikir sendiri
tentang warna bulan, warna mentari.
(www.gurindamjiwa08.blogspot.com)

3 ulasan:

administrator abdullah care berkata...

Saudari,
Sajak itu sungguh menawan, tetapi ayat-ayat ulasan mu penuh dengan wangian hipokrit. Tahniah.

zanazanzaly berkata...

Cahaya,
Terima kasih atas kunjungan dan ulasan. Terima kasih juga kerana menyejutui 'rasa' saya tentang sajak ciptaan teman yang akrab di jiwa saya. Semestinya sajak itu menawan, jika tidak masakan kuntumannya saya sengaja pilih menghiasi sanggul sendeng kiri pelengkap tari. Usah gusar tentang wangian yang sdr silap hidu itu, teman baik saya seorang pakar ORL. NCP yang sdr deritai, insyaallah masih boleh diubati.

Terimalah serangkap pantun sebagai tanda meraikan kedatangan sdr yang ramah mesra lagi berbudi bahasa ke laman tarian tinta sukma,

Banyak bahaya segala bahaya,
getir melanda petaka lalu,
banyak cahaya segala cahaya,
petir pelaka orang tak mahu.

administrator abdullah care berkata...

Saudari,
Terima kasih pada pantun. Pantun menyambut kujungan saya amat saya hargai. Sememangnya saya peramah dan saya juga tidak hipokrit. Terima kasih sekali lagi kerna respond pada comment saya. Itu sebenar yang saya harapkan.