Hak Cipta Terpelihara. Sebarang item yang mahu diambil daripada blog ini wajib mendapat keizinan pemilik blog. Budi Bahasa Amalan Kita

Ahad, Ogos 15, 2010

Ibrah Umrah 2

Menerima undangan Ilahi ke rumah-Nya juga mempertemukan saya dengan aura figura agung sang pencinta. Citra cinta para ibunda tercinta, Saiyidatina Khadijah binti Khuwailid dan Saiyidatina Siti Hajr, juga para pencinta berbeza gender. Rawan luluh jiwa mengenang kecintaan Saiyidina Abu Bakr terpencar dari dalam zulmat gua Thur terhadap Kekasih Dia.

Cinta yang tiada tapal batas. Maujud hanya cinta teratas. Bukan sekadar di atas kertas. Kalis kelas tanpa waktu terbatas mengisi singkat temu berpapas, menanti rindu membias apabila segala redha saling berbalas, seluruh ikhlas menggalas segenap titis cinta yang berbekas. Cinta itu luas langgas justeru anugerah nikmat cinta daripada Segala Maha Pencinta kepada hamba untuk saling menyinta sesama manusia dan segala yang dicipta itulah arca cinta-Nya. Maka wajar sirna jika cinta transit ini tidak sampai ke destinasi hakiki yakni mercu tuju abadi lagi azali.

Wajib fana kala menyintai sesama kita dengan luhur rasa cinta itu lebur umpama cinta Rumi kepada Tabrizi semata-mata tiada lain kecuali kerana Dia, hatta hancur Tursina natijah cinta Musa bertakhta di atas peterana taubatnya.

Isnin, Ogos 09, 2010

Ibrah Umrah 1

Ramai yang bertanya itu ini seputar pengalaman diundang Ilahi menjadi tetamu-Nya di Tanah Suci. Ibrah yang saya temui untuk kesan positif jangka pendek sejurus sekembali ialah pertama kali mencuci kamar mandi tanpa berpunca dari natijah marah jauh sekali akibat sakit hati kerana saya sekarang sangat senang hati melewati malam berbicara dengan kartika yang Allah swt ganti setelah matahari dipadamkan buat saya seketika, untuk saya hargai keindahan kelam malam yang selama ini saya takuti untuk diam bersendiri. Alhamdulillah Ya Rabbi.

Memang hari-hari ia dicuci tapi disertai dengan segala kebencian yang tak terperi. Tapi sejak kembali, saya mula menyedari, seperti lazimnya setiap hari, ia tetap dicuci setiap kali mandi tapi kali ini dengan niat tiada lain selain memang untuk ia kelihatan bersih berseri dan wangi demi menghargai fungsi ia tanpa gagal berkhidmat dengan baik sekali selama teratak kasih ini saya diami.

Konsekuensi aneh telah saya temui, tanpa perlu menyembur pewangi yang paling saya gemari, sebaik sahaja usai dibersihi, ia terus automatis harum mewangi. Walhal saya menggunakan pencuci berjenama sama seperti dahulu lagi. Hairannya aroma yang terbit sejak akhir-akhir ini berlainan sama sekali.

Apresiasi buat kamar mandi yang selama ini tak pernah saya hargai fungsinya yang signifikan sekali dalam menyegar dan mensucikan jasmani.

'Segera kembali wahai hamba Allah yang elok pekerti yang telah menaburbudi menyemaibakti ke arah kepositifan mandiri Zanazanzaly. Kepulanganmu dinanti. Akan kusambut dikau dengan segala rindu yang membungarampai semerbak kasturi.' Begitu kasam hati saya mempateri sebuah janji.

Ahad, Ogos 08, 2010

Mesra Jiwa yang Jeda Seketika

Pada tarikh yang sama, setahun dahulu kami ditakdirkan bersua tanpa bersapa mesra sedangkan suara hati saling berkomunikasi. Sengaja dia sakiti hati ini dengan alasan yang disusunrapi tanpa pasti. Tapi aku sedari setiap kali hatiku dicalari, berkali-kali dia garami lukanya sendiri. Justeru al-fatihah dan al ma'thurat tanpa sangsi setiap hari kucagari demi menuntut kembali apa yang telah dijanji.

Masakan dia berjaya membuka pintu itu sedang kuncinya hanya ada padaku? Khilaf melanda minda dan jiwa remuk dibuatnya. Allah Maha Berkuasa dan Dialah jua sebaik-baik Perencana. Keakraban jiwa yang sengaja ditunda-Nya seketika buat memukat amarahnya yang melikat juga demi menjinaki keterburuanku yang liar berlari.

Duhai Rabbi, eratkan kemesraan antara hati-hati kami seperti Rabithah yang kekasih-Mu ajari justeru bukankah mukminah itu bersaudara? Maka damaikanlah kami sentiasa daripada segala sengketa dan prasangka melalui kalimah toyyibah diiringi selawat tafrijiyyah yang kami baca.


"Selamat kembali sahabat...tgu kau kat luar hampir 2 jam tau tak....dok tengok..sorang keluar mcm engkau...sorang keluar mcm engkau...akhirnya kau keluar...aku tak kenal..sebab kurus kering...hahahhaha [via Celcom SMS]"


Khamis, Julai 22, 2010

Mendamba takdir, Mencinta Az-Zahir

Ya Al-Qadir, Ya Al-Munir, barakah sejadah syaaban yang akhir basah bersama titis ibrah umrah bakal kualir, seluruh jiwa hadir menadah takdir yang tak pernah mungkir, qada' muallaq wal mubram yang Kau ukir, kudamba getir segera minggir, kudoa fikir jangan gelincir, kutolak mazmumah biar kecicir, kusentap lawwamah kian hampir, mengharap mutmainnah segera hadir buat kudakap cinta Az-Zahir.

Jumaat, Julai 16, 2010

Renjis Gerimis


gerimis merenjis narwastu rindu
pada kemboja setia kita
kala langit jiwa menggamit rasa
lemas disepuh neon emas nostalgia
tika bersama.

Sungguh Kuserah Penuh Seluruh


Sabar saya menanti hari ke tujuh, debar di hati melepuh-lepuh mengacah rindu bersimpuh meratib temu dua kekasih tiada bertangguh membukti cinta nan utuh meski setiap hari jadual tugasan hakiki penuh, merpati pula lincah menari jenuh. Ya Allah kupasrah segalanya kepada-Mu sungguh2 penuh seluruh meski segala urat geramat lenguh belikat terasa separuh lumpuh, cekaltabahkan jiwaku menghadapi ujiduga yang sedang dan bakal kutempuh. Rimbun redup kasih-Mu kumohon berteduh.

Aduh, angin tengahari membingkis hawa panas bikin jiwa berpeluh mengingati janji seseorang yang pernah bersepuh untuk susah senang sama dirempuh berkelana meniti liku simpang dan selekoh. Setiap pagi dikau kuhadiahi al-fatihah nan ampuh, berharap qalbun maridmu segera sembuh.

Sabtu, Jun 12, 2010

Mari Mengiringi Merpati Menari

Pakar Penilai memperakui bahawa "Cerpen-cerpen dalam kumpulan ini memperkatakan tentang pelbagai perkara, termasuklah persoalan jihad dalam ‘Ada Cinta di Ulang Tahun Ketiga’, dan ‘Biru, Merah Jambu’; persoalan budaya dalam ‘Avule Aidil Adha’, ‘Setegar Padma Kok Pan-yi’dan ‘Rekayasa’; dan tentang isu semasa seperti ‘Teori 11’ dan ‘t Songsang’. Persoalan sejagat juga menjadi modal bagi penulis, misalnya soal palestin dalam ‘Merpati Menari di Padang Embun’; soal hukum agama dalam ‘Kutta di Sampugita’; soal gender dalam ‘Replika Teja’; dan soal patriotisme dalam ‘Kalam Munsyi”; dan soal dunia niaga dalam Rindu Berladung di Pulau Duyung.


Secara keseluruhannya, kumpulan cerpen ini menjurus kepada kumpulan sasaran khalayak yang berbeza-beza, dari remaja hingga dewasa. Bagaimanapun, hanya persepsi khalayak yang membacanya yang dapat menentukan dari sudut pandangan siapa (sama ada remaja atau dewasa) ketika mereka membaca itu. Ini disebabkan setiap persoalan yang dikupas oleh penulis dalam cerpen-cerpen ini membawa pengertian tersendiri kepada remaja juga orang dewasa."


Nah, tunggu apa lagi? Tempahlah naskhah anda segera dan bersama mengiringi merpati menari. sila dail 017 - 567 - 6679 atau emel zanazanzaly@yahoo.com atau hantar pesanan ke inbox fb.


Jumaat, Jun 11, 2010

Berkat Jumaat Merpati Menari Hebat

Berkat Jumaat
merpati menari ligat
memikat selera, menambat jiwa
manusia hebat agar dekat
dan kian rapat.

Syukur atas anugerah-Mu,
Ya RabbulIzzat.

Khamis, Jun 10, 2010

Besame Mucho


Naluri femina menyukai tarikan yang berlawanan. Seseorang yang periang cenderung memilih yang pendiam sebagai pasangan. Justeru, saya amat menghargai seseorang yang memeram diam sejak malam tadi rupa-rupanya menyimpan suaranya untuk memberi erti kepada pagi nan indah ini.


Selasa, Mei 11, 2010

Ujaan Awalan

Ia sudah menunggu masa sahaja. Keterujaan untuk menatapnya tak terungkap kata. Pakar penilai memberi komentar, "...persembahan berbeza yang ketara iaitu dengan menggunakan monolog diri sebagai teknik penceritaan sudut pandang pertama. Kebanyakan cerpennya juga sarat dialog yang membahaskan isu atau persoalan yang dikemukakan. Ini memberi peluang khalayak terlibat melihat pro dan kontra persoalan tersebut secara adil dalam perbahasan."


Katanya lagi, "... hampir keseluruhan cerpen mempunyai daya visual yang pantas, walaupun dalam bentuk perbahasan. Watak-wataknya agresif sesuai dengan rentak cerita yang pantas – dalam berfikir, juga bahasa badannya – dan ini menjadikan khalayak juga perlu berfikir pantas. Disebabkan setiap cerpen mempunyai persoalannya yang tersendiri, khalayak juga tidak akan merasa bosan dalam menghadam persoalan demi persoalan dalam cerpen yang berbeza."






Sabtu, April 17, 2010

Ingatlah Rakan Ingatlah Sayang

Sabtu menghembus bayu rindu
dengan mata terpejam kupandang mentari garang
aku terbang mendakap bulan kesiangan
kuselimuti purnama dengan selendang cinta
pucat bertukar biru nila.


Isnin, Mac 15, 2010

Soalan Berbalas Nyanyian

Teman di sisi saya sangat pendiam. Jika saya bertanya tiga patah perkataan, jawapan yang saya terima hanya setengah sahaja. Bakinya, saya cukupkan sendiri. Ya, ia sesuatu yang sangat mengujakan kerana adakala cukupan baki itu tepat dan ada ketika baki jawapan itu jauh menyimpang. Ha ha ha!

Pagi tadi, sewaktu kami menghala ke pejabat, saya bertanya sesuatu yang amat ringkas , mengharapkan jawapan pun kontot dan tidak saya duga sama sekali spontan dia menuturkan;

keluar pagi balik petang, adakala sampai malam, cari rezeki bawa pulang buat bekal yang tersayang, oh... bersabarlah.



Inilah jawapan bagi soalan sangat ringkas dan padat telah pun dia berjaya jawab dengan tepat dan saya tidak perlu memikirkan baki jawapan yang seterusnya.

Saya berpaling ke kiri menghadap muka ke cermin kenderaan menyembunyikan genangan yang mulai mengaburkan pandangan.

Dia menguatkan suara, "andai kasturi hilang harum mawar tak berkuntum cinta tak bersambung
biar emas setinggi gunung kan ku peluk rimbun ampun rahmat yang maha agung."

Saya gerekotkan telunjuk, berdehem sekali dan berpaling ke arahnya. Bersulam larikan sebuah senyuman, ulang berulang kami dendangkan...

andai kasturi hilang harum mawar tak berkuntum cinta tak bersambung
biar emas setinggi gunung kan ku peluk rimbun ampun rahmat yang maha agung.

Rabu, Februari 10, 2010

Memakai Rantai Permai Suri

Tarikh kapit hari ini, genapbulat tiga puluh hari saya santun bersimpuh di bawah teduh rimbun kunfayakun. Saya mencagar mahar semilyar sabar melangkah gagah berhijrah ke fasa seterusnya di alam hayat nan fana, tegar mengecap rencah dari belanga manusiawi, merafak seraup syukur sesudah hajat Dia mabrur.

Tarikh kapit hari ni, sepurnama saya memakai rantai permai suri. Saya mendamba mauizah, inayah Rabbul Izzah sebelum mara ke sisi-Nya, menatang setakar syarbat mu'minat. Hendaknya kelak, saya tawadduk redha, meredhai dipimpini ke alam sana nan baka diobor nur syukur.

Selasa, Februari 09, 2010

Jika Saya Boleh, Mengapa Tidak Aizat?

Semalam saya menemani teman di sisi menonton tv. Lama benar saya mempuasakan indera daripada menonton program yang kurang membaja minda. Sambil melipat kain, saya kerling "Terjah" seusai rancangan yang diminati teman di sisi tamat. Aizat dimusykilkan berjaya menurunkan berat badan secara alamiah dalam tempoh empat bulan. Aizat dituduh kononnya menjalani liposuction.

Persoalannya, Aizat didakwa mustahil berjaya mencapai berat badan ideal tanpa sebarang pil atau suntikan dalam jangka masa empat bulan. Heh, hairan apa? Saya pun boleh kurangkan 14kg dalam masa 120 hari. Bukannya payah, istiqamah puasa Isnin dan Khamis serta senaman selama lapan minit secara konsistan. Makan banyak sayur-sayuran dan buah-buahan. Minum banyak air suam.

Itu tidak mustahil
kan, Aizat? Tambah-tambah lagi Aizat digazetkan sebagai penyanyi yang banyak buat khairat. Duit yang dimenangi hasil Juara Lagu turut diinfak agar mendapat berkat.

Sambil men
ekan perut menahan gelak, nak saja saya hentak kepala yang otaknya sudah dikelututkan. Woit, yang haram itu jelas, yang halal itu terang, yang di tengah-tengah atau syubhah, elok cegah. Tok guru malaun mana yang ajar cara bersihkan wang haram dengan bersedekah?

Berbalik kepada kes berjaya mengembalikan berat badan ideal, hey, jika saya boleh dengan saum dan senaman, takkanlah Aizat mustahil sebab Aiman tak kisah!

Modifikasi Seratus Lima Puluh Hari

Seratus lima puluh hari lampau peti memori saya mengimbau peristiwa saya melangkah megahgagah ke masjid bermenara kapit berkubah emas menggalas segenggam amanah.


Pulang dari masjid, pada tarikh kapit sembilan di tengah, kiri dan kanan, ruang tamu rumah kasih Padang Embun berubah wajah dengan hadirin memenuhi ruang meraikan sesuatu yang dirancang. Foto di bawah rakaman kenangan sebahagian tetamu yang datang.

Lagi ilustrasi para dhif al-akrami merai permaisuri sehari dalam permai pagi Ramadhanulkarimi.

Seratus lima puluh hari kemudian, foto ini merakam kenyataan lokasi sama sudah pun berubah wajah menjadi sebuah gelanggang.

Meski dalam tempuh seratus lima puluh hari modifikasi berlaku namun di kalbu saya segalanya segar dan kekal seperti selalu.


Ahad, Februari 07, 2010

Menanti Nafiri


Dinihari tadi tengkujuh raksasa membadai jiwa sewaktu satu persatu indera saya bersebati dengan irama fitrah di atas.

Situasi sebegini seringkali saya alami setiap kali rafik mengalunkan bait-bait nasyid di bawah ini, tanpa dibuat-buat atau dipaksa-paksa pasti berguyuran mutiara merembesi pipi. Apatah lagi saya dikunfayakunkan sepertiga malam tadi, mengalunkannya seorang diri dalam bukat malam sepi.


Tangisan hati kecilku ini
tak dapat dibendung lagi
air mata membasahi pipi
terkenang keagungan-Mu, Ilahi
terpandang kebesaran-Mu, Ilahi


Itu sahaja yang saya ingati, boleh jadi nasyid ini dendangan PMRAM (Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir) atau siapa ya? Jika ada di antara kalian yang mengingati bait-bait indah liriknya sudilah emelkan kepada zanazanzaly@yahoo.com atau jika ada lagu asalnya bolehlah muaturunkan kepada saya.


Mahu saya gagahtabah memberanikan diri mengalunkannya sendiri meski zulmat malam nan sepi rakus, tanpa ehsani mengheret songsang mastuli jiwa bagai menarik kapas basah pada duri kerana saya yakin saya akan kumandangkan nasyid ini sekali lagi bersama rafik pada suatu hari tatkala nafiri disemboyankan petanda mara ke sisi-Nya.

Rabu, Februari 03, 2010

Ba-ha-ru

Sepuluh hari pemula Masihi saya dikunfayakunkan Ilahi menerima kehadiran teman di sisi dengan penambahbaikan jiwa yang saya nafas-baharukannya seperti penampilan saya yang juga berimej baharu kerana bangun tubuh tidak lagi sesuai mengenakan pakaian lama akibat susut berat badan yang ketara.

Ya, saya berjaya mengembalikan berat badan ideal dengan julat penurunan sebanyak 14 kilogram dalam masa tiga bulan. Yakinlah dan beristiqamah dengan saum sunat Isnin dan Khamis serta senaman selama lapan minit sehari secara konsistan, perbanyakkan makan buah-buahan dan sayur-sayuran nescaya kalian tidak perlu pil atau sebarang suntikan untuk slim, cergas lagi berstamina. (Sesiapa yang berminat bermain ping-pong, sila jangan segan silu ke rumah kasih, Padang Embun, segala kelengkapan permainan disediakan).

Sukalah saya berkongsi tips bagi kalian yang percaya kepada perubahan drastik. Musim raya orang kalut mempersiapkan baju baharu. Tapi saya sebaliknya. Slogan yang saya lancarkan ialah Jom beraya dengan tubuh baharu. Nah, sempena Adiladha lalu, bukan sahaja saya dikurniakan dengan rupa fizikal baharu, lebih dari itu saya juga dianugerahi gaya jiwa yang sedikit bernafas baharu dengan kehadiran teman di sisi. Alhamdulillahi Rabbil Alamin.

Kehadiran teman di sisi tidak sendirian. Datangnya bersama pakej istimewa yang menampilkan watak-watak baharu dalam novel kehidupan. Seumpama sebuah lukisan agam, ia mempalit seribu warna-warni baharu pada kanvas hayat yang belum siap.

Kekerapan tetamu hadir menyaksikan Tarian Tinta Sukma dari Sungai Petani, Wollongong, Banglore, Adelaide, Florida (sekadar menyebut beberapa nama) amatlah saya raikan dengan ucapan salam kasih sayang daripada saudara semenda kalian yang jauh ini. Moga kita segera bersua di alam nyata dan bertambahlah kemesraan akrab jiwa.

Buat semua saudara semenda, saya tujukan lagu yang khas didendangkan oleh teman di sisi pada pagi ini selepas kami menandatangani satu lagi projek usahasama.

Semoga jalinan ukhwah kita segar mewangi sentiasa.


Ahad, Januari 31, 2010

Lagu Penawar Sebu

NEIL DIAMOND! Jawabnya penuh makna seraya tepat menancap seluruh wajah saya yang terkesima tidak terkata.
Saya hanya mampu bertanya siapakah penyanyi asalnya tatkala mendengar suara teman di sisi mendendangkan lagu itu ketika saya ralit bercakap dengan diri sendiri setelah tergesa-gesa pulang dari pejabat setelah parah diserang selsema pagi tadi.
Ah lagu itu! Suatu waktu dahulu pernah saya hafal, kini terlupa liriknya.
Bersin yang tak henti-henti akibat terhidu asap rokok pelanggan. Natijahnya, ia memaksa saya bergegas pulang. Bimbang pelanggan beredar dari Noble Art kerana menyangka saya pembawa H1N1 setelah melihat tisu pemekup hidung saya bertompok-tompok saga.
Sampai sahaja di rumah, saya terus menyalami penyaman udara, meluru ke dapur, menuang minyak Cap Kapak ke dalam secawan air panas lalu menyedut wapnya sembari bibir melafaz Doa Syifa'.
Sama sekali tidak saya sedari seseorang asyik memerhatikan gerak geri saya. Tiba-tiba sahaja, terpana saya melihat merah ulas bibirnya indah menuturkan bait-bait puitis lirik...
What a beautiful noise
Comin' up from the street
Got a beautiful sound
It's got a beautiful beat
It's a beautiful noise
Goin' on everywhere
Like the clickety-clack
Of a train on a track
It's got a rhythm to spare
It's a beautiful noise
And it's sound that I love
And it's fit me as well
As a hand in a glove
Yes it does, yes it does
What a beautiful noise
Comin' up from the park
It's the song of the kids
And it plays until dark
It's the song of the cars
On their furious flights
But there's even romance
In the way that they dance
To beat of the lights
It's a beautiful noise
And it's a sound that I love
And it makes me feel good
Like a hand in a glove
Yes it does, yes it does
What a beautiful noise
It's a beautiful noise
Made of joy an of strife
Like a symphony played
By a passing parade
It's the music of life
What a beautiful noise
Comin' up to my room
And it's beggin' for me
Just to give it a tune
Sejam saya terlena di sofa dalam nyaman hawa dingin tiupan Heir setelah menelan clyratine, dan didodoi dengan lagu itu. Sebaik sahaja sedar dari lena, sebu sirna. Usai mengimami Zohor, teman di sisi menawarkan diri membantu saya berpacu ke Kota Bharu untuk menyiapkan kerja pejabat yang tertangguh sejak pagi tadi.

Khamis, Januari 28, 2010

Silang Anutan 1 Malaysia

Menonton filem memang kegemaran saya. Tapi saya sangat selektif. Tidak semua filem Melayu atau Inggeris atau Arab atau Iran atau Tamil atau Kantonis atau Mandarin atau Hindi saya tontoni. Saya tentukan dahulu samada ia filem dari adaptasi karya sastera atau pun bukan, siapa penulis skrip, pengarah dan jalan ceritanya kemudian saya pilih aktor serta aktresnya.

Saya tentukan khas semua di atas kerana setiap adegan akan saya ingat dialognya, babaknya, bahasa kameranya dan segala yang indah akan segera saya muatmasuk ke minda dan jiwa saya.

Apa kena mengena isi dengan judul entri ini?


Aha, pagi ini sewaktu dalam perjalanan ke Pengkalan Chepa, indera saya berselayang pandang lirik nyanyian Nandini (Ashwaria Rai) Chand Chupa Badal Mein menerusi filem adaptasi novel Benggali Na Hanyate karya Maitreyi Devi, berjudul Hum Dil De Chuke Sanam. (Hish, orang Kelantan suka sangat layan Hindustan! Pagi petang malam).

Suara Alka Yagnik bagaikan sakti menghipnotis rasa saya sekaligus saya kira telah menyempurnakan amalan Karva Chauth Nandini.

Saya membalas senyum Nandini dengan berbisik, hey, kita sedang berbuat perkara yang hampir serupa tapi dengan maksud berbeza! Kamu menunggu bulan penuh untuk memakan sergi manakala saya menanti matahari jatuh untuk beriftar dengan tamar.

Jangan cepat latah dan bangat lempar fitnah. Saya menafikan sekeras-kerasnya kesamaan darjat dalam ibadat tersebut kerana kami berbeza agama secara total. Apa yang mahu saya garisbawahkan adalah perkara yang sama dilakukan oleh para pecinta demi menambahdarjah takah kecintaan dalam jiwa.

Bezanya Nandini berpuasa untuk suaminya manakala saya berpuasa kerana Allah Azza wal Jalla dan jika Allah swt sudi mengganjari ibadat ini dengan pahala saya mohon ia dikreditkan kepada seseorang yang sentiasa di jiwa. Apa yang saya damba, hanya kesihatan fizikal, mental dan spritual selama hayat dikandung jasad. Begitulah yang saya niat dan berhasrat untuk dapat setiap kali menjalani ibadat sunat.

Terdetik di hati, apakah nikmat berpuasa yang saya rasa ini sama dengan Nandini? Tib'an jawapan mutlak di tangan Ar-Rahman tapi tidak salah bukan jika kalian juga memberi andaian?

Rabu, Januari 27, 2010

Jom Dhuha

Entri ini inspirasi rakan penulis Amiza Khusyri menerusi FB. Saya kagumi gagahtabahnya mengajak warga FB ke arah Rabbul Izzati. Tulisnya begini, ingin membuka pintu-pintu rezeki dengan mengajak semua - jom Solat Sunat Dhuha!

Saya petik hadis yang Khusyri kutip dari riwayat Abu Dzar, sabda nabi SAW, "Setiap orang menjelang pagi, berdasarkan tulang temulang sendi memerlukan sedekah. Tiap-tiap tasbih itu sedekah, tiap-tiap tahmid sedekah, tiap-tiap tahlil adalah sedekah dan tiap-tiap takbir adalah sedekah. Menyeru makruf adalah sedekah, mencegah mungkar adalah sedekah. Semuanya itu sama nilainya dengan dua rakaat solat Dhuha."

Suka saya menambah, alang-alang berdhuha aksesorikan ia dengan Ma'thurat Kubra. Sughra pun tak apa, asal buat saja!

Ah apa tunggu lagi? Jom dhuha.

Tak sempat hari ini, mulakan esok ya. Tambah berseri busana taqwa jika berlabuci puasa sunat Khamis esok hari.