Isnin, Julai 20, 2009
Pecut Masa, Takut Rasa
lama masa bersisa
untuk kita saling
mencermin jiwa.
Katamu,
jangan sesekali takut
pada masa yang memecut
kita selamanya bersama
sedaya tenaga, bernyala rasa.
Sri 7, Tumpat
Ahad, Julai 19, 2009
Nyala Rasa
Terima kasih Farah yang merakam nostalgia dengan lensa SLR Nikonnya.
Saya tala 9mm ke dada angkasa raya. Udara saya hirup hingga penuh rongga jiwa. Mata kiri saya pejamkan ketika mata kanan taat membidik titik putih agar selari dengan dua capah kembar seiras. Tangan kiri menampu kembarnya yang perlahan-lahan memaut picu separuh, tepat saat bayangan dada seseorang me
lintasi piring sasaran saya tarik picu penuh dan...THAM! Piring jatuh.Tepukan tangan dan sorakan Cikgu Zarina Zain, Kak Wan, sepasang kawan baharu dan rafik bertebaran ke seluruh padang mengkagumi kehebatan penembak pemula pemecah rekod kerana meski pun pertama kali belajar memetik picu sudah berjaya mengenai sasaran dengan tembakan permulaan.
Segera saya letak 9mm ke atas meja dan angkat kedua-dua belah tangan ke angkasa menadah muka kepada-Nya. Terima kasih Tuhan, yang menzahirkan jawapan kepada sebuah nyala rasa.
Khamis, Julai 09, 2009
Buku dari Kota Batu
Kebetulan apakah ini? Buat kesekian kali, iftar 15 Rejab saya diberkati dengan limpahan nikmat mencumbui buku-buku yang saya cintai sangat-sangat!
Siapa sudi beri pendapat, apakah patut saya membuka Jendela Menghadap Jalan lalu Meniti Jalan Hadapan demi mengecapi Kasih Nan Agung?
Selasa, Julai 07, 2009
Kamu OKU?
Banyak ilmu baharu, laju iluminasi meluru. Sungguh, saya rasakan itu adalah sesuatu. Perihal sikap dan sifat manusia memuktamadkan saya menaskhmansukhkan sebuah pepatah.
Saya mula menyedari betapa ramainya manusia kurang upaya di dunia ini. Saya juga tidak terkecuali. Ya, saya tak malu silu mengaku, saya OKU!
Apa itu OKU? Siapa OKU? Tentu ligat otak kalian menterjemah akronim itu secepat bibir menuturkan: Orang Kurang Upaya. Manusia cacat penglihatan, suara tidak kedengaran, kudung kaki tangan dan banyak lagi eceran sifat kekurangan yang berlainan dengan manusia yang sempurna sifat kejadian.
Hey jangan keliru atau buat-buat tak tahu, yang disenaraikan itu memang OKU. Kependekan kepada Orang Kelainan Upaya. Kurang upaya apanya kalau yang tak nampak mata, tak dengar telinga, tak sempurna anggota itu boleh berdikari, pandai menjahit pakaian, membaiki peralatan, gigih berniaga dan mahir melukis hinggakan tak payah terhegeh-hegeh mengemis? Tahu jaga makan pakai serta didik anak isteri pun pandai, itu dah lebih bagus daripada yang kononnya cukup sifat tapi diri dan famili sendiri terbiar melarat. Pokai saku pekerti, sengkek poket rohani.
OKU pertama itu bukanlah tandanya kekurangan apa-apa bahkan wajar digelar insan istimewa. Bukankah Tuhan sudah firmankan bahawa manusia memang diciptakan dengan sebaik-baik kejadian. Maka, tak timbul langsung soal kurang atau lebihnya ukuran upaya atau sukatan kudrat kaki tangan atau bilangan jari-jemari bukan lima tapi enam.
Mari saya cerita, saya OKU yang bagaimana. Saya pernah ke sebuah pasar raya mega dan saya amat tidak tertahan mahu menunaikan panggilan alam yang luar biasa seruannya akibat menelan pil pelawas penghadaman. Saya meluru ke tempat yang berkenaan tapi ruang itu dibarisi oleh ramai orang yang menunggu giliran. Saya lantas terpandang sebuah ruang kosong yang bersimbol kerusi roda. Saya sedar akan keadaan saya yang sangat-sangat kekurangan malah ketiadaan upaya langsung untuk menahan. Sebaik keluar, saya dimarahi pengawal kerana menceroboh ruang yang bukan hak kata pengawal itu. Saya yang masih menekan perut sedaya upaya menahan kerut dengan berjalan terhenjut-henjut,bersuara meyakinkan dia bahawa dia tidak sepatutnya memarahi saya kerana saya bukan hanya kurang upaya bahkan memang tiada upaya langsung. Cuba kalian fikirkan, apakah gelaran yang sepadan buat saya dalam keadaan demikian?
Ya, saya mengaku silap saya satu cuma, saya lupa pengawal itu rupa-rupanya OKU juga. Minda dan jiwanya terencat dalam memahami maslahah umat. Mana tidaknya, jika saya pura-pura tidak menyedari akan keOKUan saya dan dengan pekak badak, buta kelawar sahaja merempuh barisan yang berjujut menunggu giliran, mahunya geger pasaraya mega itu dengan segala keaiban yang serba berkemungkinan.
Cerita kedua, seorang pelajar PMR mengadu kepada rafik dan saya tentang bapanya yang memisahkan dia dari ibunya kerana ibunya bukan pilihan mertua. Belanja sekolah kadang kala ada, banyaknya yang tiada. Sarapan usahkan dihidang, mengidam pun haram. Menurutnya, bapa berpendapatan empat angka, sementelahan berjauhan dengan isteri yang digantung tak bertali, hari-hari misi bapanya ialah mencari pengganti dan mengisi blognya dengan entri-entri politik yang sarat isu kritik mengkritik. Itu satu, satu blog lagi dimuati puisi-puisi menagih simpati dari seorang lelaki yang kepatahan sayap kiri (meminjam judul puisi Rozais al-Anamy).
Setelah pelajar itu merintih sedih hingga mahu bunuh diri, saya katakan padanya, jangan sedih, bapa kamu itu OKU sebab dia kurang upaya mengawal nafsunya sendiri apatah lagi menyara kebajikan kamu dan keluargamu. Otaknya rencat sebab itu dia tidak dapat menunaikan tanggungjawab.
Sedang rancak berborak, kawan kami masuk ke pejabat untuk melepaskan penat sesudah dia habis mengecat. Dia selalu ambil upah mengecat pusat Kebajikan Masyarakat. Kehadiran Rosdi berupaya menyeka airmata pelajar itu hingga ketawa berjaya singgah di mukanya apabila melihat kami bercakap dengan Rosdi menggunakan tangan dan mimik muka sahaja tanpa sebarang suara kedengaran. Setelah Rosdi beredar, dialog ini berlegar:

Pelajar: Orang tu OKU ya, kak?
Rafik: Tidak!
Pelajar: Habis tu kenapa dia bercakap macam tu?
Saya: Dia diuji Allah dengan pekak dan bisu.
Pelajar: OKUlah tu namanya.
Saya: Kan, dah bagitahu siapa OKU tadi.
Pelajar: Mmm, kesian saya.
Saya dan rafik: Kenapa pula?
Pelajar: Sebab pusat pemulihan OKU macam ayah, tak ada kan?
Saya dan rafik: Kah kah kah!
Lagi parah kalau pasangan OKU bernikah. KeOKUan minda dan jiwa mereka membuatkan mereka tidak berdaya langsung memikirkan kesusahan orang lain. Pasangan OKU jenis yang tiada batang hidung lagi dahsyat apabila mereka sewenangnya menswastakan kerumahtanggaan mereka kepada ibu bapa. Dari sarapan santak ke makan malam semua ditaja. Menyewa rumah lain, khuatir wang mereka kering. Mana cukup nak bayar sewa rumah, belanja dapur, tukang masak, tukang cuci, baiklah duduk bersenang-lenang di rumah subsidi. Agh! Pedulikan saja adik lelaki dan perempuan yang sudah baligh itu tidur berkongsi bilik asalkan poket mereka tak sengkek. Pada tahap ini, pasangan OKU tersebut sudah layak miliki kad pengenalan OKU yang tercatat kalimat summum bukmum umyum.
Takut saya fikirkan kalau-kalau nanti ada lagi spesis OKU didiagnosis spesis yang gagal mengenal kekurangan diri sendiri sebaliknya sesuka hati mendabik dada mencanang kehebatan peribadi, menuding jari orang lain kurang itu lemah ini, sebab terkini, sudah terdapat bukti sejenis lagi kategori OKU yang baru dikenalpasti yakni kekurangupayaan individu mengingati berapa kali dan dengan siapa dia pernah nikahi.
Entri ini sudah khatam. Hah, jawablah... kamu OKU atau pun bukan?
Isnin, Julai 06, 2009
Kenal Maka Tak Cinta
Kebelakangan ini, ditakdirkan kami mengenal secara dekat ramai oknum-oknum yang dipuji-puja masyarakat, hakikat setelah tabir tersingkap... hish, selisih malaikat empat puluh empat! Rasa hormat ghaib lesap 'patat' (maaf atas penggunaan istilah daerah yang bagi sesetengah orang tidak enak didengar).
Sejak dulu saya berpendapat rasa suka atau cinta akan seseorang atau sesuatu menjelma sewaktu kita masih belum tahu kesemuanya tentang mereka. Saya mahu bersetuju dengan pelakon Siti Shahrizah (Eja) yang mengambil sikap 'cukup khalayak tahu seputar diri dan kerjayanya, tetapi tidak seluruh kehidupannya' kerana memang lumrah manusia sudah tidak teruja lagi dengan apa yang mereka sudah tahu seluruhnya. Jadi, biarkan sesuatu itu menjadi teka-teki barulah muka hari yang belum pasti kita ternanti-nanti dengan penuh debaran di hati.
Analogi mudah, kita diberitakan akan menerima hadiah. Kita teruja. Melihat bungkusan hadiah, gembira tak terkira. Ketika membukanya, terlalu gembira. Tatkala hadiah sudah terbentang di depan mata,
Bagi saya, istilah tak kenal maka tak cinta hanya relevan dan valid haknya hanya untuk Maha Suci lagi Esa Pencipta sahaja. Tuhan Maha Bijaksana itu merahsia-misterikan banyak perkara perihal dunia fana ini dan alam ghaib milik-Nya agar manusia cerdik lagi terdidik sentiasa teruja berlumba-lumba mendamba cinta-Nya. Semakin hamba itu kenal rapat akan Allah perihal zat dan sifat, aduh nikmat. Kian akrab - jelira lazat.
Tidak sama sekali ia signifikan dalam hubungan sesama manusia atau makhluk. Manusia atau makhluk ada sifat atau tabiat yang boleh dibuat-buat. Terutama waktu berhajat atau berkehendakkan sesuatu. Jika seseorang membuat sesuatu sifat secara buat-buat tentulah ia tidak kekal kerana manusia itu pelupa. Tentu mereka tak ingat apa yang sepatutnya mereka buat-buat pada sekian-sekian waktu atau tempat. Alahai, setakat manalah sangat manusia mampu bermuslihat?
Nah, kalau semasa bercinta, semua kelemahan dan kekurangan pasangan, umpama debu yang menyinggahi mata yang akan digenyih ala kadar dan kelip-kelipkan kelopak untuk biarkan air mata mengusir debu itu. Dan, apabila sudah sah menjadi hak milik, debu sebesar zarah itu bagaikan gajah yang diseranah tak cukup lidah! Ho ho ho Ultraman berubah menjadi raksasa.
Ahad, Julai 05, 2009
Sepetang Berpantun
jeda rehat reda sengsara,
mari berpantun di petang hari,
minda sihat jiwa ceria.
Ria angsana berkawan pawana,
segar kemboja berona kesumba,
bersapa mesra di laman maya,
memugar nostalgia ketika bersama.
Bukanlah paku sebarang paku,
jika tajam bukan sifatnya,
bukanlah kamu seorang Melayu
jika berkata tiada indahnya.
Buka sila tidak berperi,
santun tertib menunjal hati,
suka sahaja tidak menjadi,
pantun wajib dijual beli.
Khamis, Julai 02, 2009
Anak Rindu
kau minta kubajai waktu perlu
dan siramkan waktu kemarau lalu
kau rayu, kujaga ia sepenuh jiwa
kini telah pun dewasa
tiba, menuntut haknya.
Isnin, Jun 29, 2009
Lagu Warisan
Anak kecil main api
Terbakar hatinya sendiri
Air mata darah bercampur keringat
Bumi dipijak milik orang
Nenek moyang kaya raya
Tergadai seluruh harta benda
Akibat sengketa sesamalah kita
Cinta lenyap di arus zaman
Indahnya bumi kita ini
Warisan berkurun lamanya
Hasil mengalir ke tangan yang lain
Pribumi merintih sendiri
Masa depan sungguh kelam
Kan lenyap peristiwa semalam
Tertutuplah hati terkunci mati
Maruah peribadi dah hilang
Kini kita cuma tinggal kuasa
Yang akan menentukan bangsa
Bersatulah hati bersama berbakti
Pulih kembali harga diri
Kita sudah tiada masa
Majulah dengan Maha Perkasa
Janganlah terlalai teruskan usaha
Melayu Gagah Di Nusantara
Setelah MARA kembali kepada Kementerian Luar Bandar semula, tegakan bulu roma saya menghantar petanda betapa kita sudah pun tiba di paras bahaya.
Hey Melayu, sudah-sudahlah bertelagah! Perbalahan kian menjanjikan >>1 untuk kita, Malaysia untuk mereka.
Jumaat, Jun 26, 2009
Sifar Sinar
Sewaktu mengucapkan "Selamat Hari Lahir" kepada teman jiwa, saya terharu mendengar suaranya yang cemas mahu segera menamatkan perbualan kerana perlu menunaikan fardhu Jumaat. Seperti lazimnya, jika kami bersua pasti dia akan minta diri dengan penuh sopan untuk berjeda 10 minit dan saya tahu dia mahu melunaskan hutang kehambaan. Usikan rafik- "hey, penghuni kota batu kan mempersilakan Tuhan dan agama hadir pada tiga perkara sahaja; doa pembuka acara, pernikahan dan kematian -sering disambutnya dengan senyum sambil menjeling.Saya tamatkan perbualan di talian dan terus sambung bermain congkak dengan rafik di tikungan budaya, teratak kasih di Padang Embun, beralaskan tikar mengkuang kemasan bucu kepala belangkas. Saya mengerling saji buluh di dinding. Tikar dan saji itu tidak berjaya menutup rengsa pada jiwa. Buah-buah congkak itu juga tidak
berfungsi sebagai guli-guli ceria yang mengisi lubang-lubang bahagia dalam sukma. Dari dalam rongga dada, hiba menunda-nunda mahu berbicara tanpa suara mengingatkan seorang teman yang bukan sekadar lambat solat malah liat ibadat. Kalau ikutkan hati hangat, mahu saja saya minta anak Pendekar Mustar bersilat!Kartika mata
tatacara beragama
teman sebangsa
caca merba,
sambil lewa
dia persenda
"tak mengapa
tidak solat segera
tak sempat, apakan daya
bila-bila, asal buat saja."
Muka cuka saya
nampak ungka
di depan mata.
Ahad, Jun 21, 2009
Terbang Pulang

Tiga empat puluh petang
serindit dua sekawan
terbang pulang ke sarang
mengilik sejuta kenangan.
Kondo Seri Maya, Setiawangsa.
Mawar Merah, Ros Ungu
Malam Sabtu lalupentas HSKU
mengalu-alu
menghidu-hidu
aroma narwastu
Mawar merah, Ros ungu.
Gemalai tiupan
Serunai Fakir
bayang belulang
bertirai di belakang kelir.
Jumaat, Jun 19, 2009
Menapak Menuju Puncak

18 Jun, ke pangkalan udara di pangkal senja
dihantar Cik dan Pak Nik dengan Wiranya
nyaman didakap Udara Asia
sejam berSkybus ke KL Sentral
dipacu kereta lipan ke Setiawangsa
25 minit tiba di stesennya
menapak suku kilometer
menuju ke Kondo Seri Maya.

Kirmizi 19 Jun senyum mengajak
menaiki teksi di pangkal Isyak
10 minit dari sini ke Jalan Tun Razak
di Istana Budaya syukur bersajak
HSKU2008 acara kemuncak
kemenangan berganda jadi penggalak.
Wahai Ar-Razzak,
rezeki-Mu nan jamak takzim kurafak
di hadapan kelak
moga ia berganda banyak
meski ranjau dan onak
mengagah galak
sekali menapak terus kujejak
nekadku padu berganjak tidak
dari lecak menuju puncak.
Khamis, Jun 18, 2009
Kota Batu, Sekali Lagi Kita Bertemu
tepat jam lapan empat puluh malam
Udara Asia mendepang
nyaman terbang menggapai bintang
satu jam kemudian
selamat mendarat di pangkalan.
Kota batu,
sekali lagi kita bertemu.
Selasa, Jun 16, 2009
Tamu Bertamu
Langsuyar, keladi dwi warna dan orkid air serasi bersama di sudut kanan laman. Terapi nan menggamamkan setiap kali pergi dan pulang kerja. Sapaan salam bersulam kuntum senyum mereka mesranya menyelinap terus ke jiwa. Saya sangat percaya, interaksi jiwa bersama flora dan fauna berupaya mengakrabkan manusia dengan kemahaan Pencipta.Beberapa hari lalu, ada tetamu baru muncul menemani flora-flora itu.

"Dia datang nak jengok anak daralah tu." Selorohnya tanpa silu.
Saya rasa pelik, segera heret rafik menemui Cik. Cik dan Pak Nik ketawa terkukik-kukik.
Usik Pak Nik, "moleklah didatangi raja rama-rama, bolehlah Pak Nik tumpang masuk istana."
Kata Cik, "doakan sahaja yang baik-baik. Insyaallah tiada yang jelek."
Serta-merta saya teringatkan sebuah puisi, saya karang sewaktu pertama kali dilamar teruna ketika masih dalam alam kampus pada tahun kedua. Eh, hampir genap sedekad usia siarannya, kebetulan pula!
TAMU YANG BERTAMU
Pertama kali
tamu mengetuk pintu
kamar hati,
waspada segera
menemani.
Dari jendela kamar,
bayangan tamu berbalam pudar
ketentuan menggapai sukar
pasrah di pangkuan Al-Qahhar
istiqarah melandas ikhtiar.
Di luar pintu kamar
keras tamu mengetuk
lembut kupersilakan masuk
sopan kujemput duduk.
Kamar hati merai penghuni
berperi ia tulus sekali.
"Duhai tamu agung,
katakan tanpa bohong
biar tiada yang terselindung
kunjunganmu ini berpenghujung
atau sekadar embun di hujung daun?"
Sama sekali tidak suri impi
tetamu yang mengharapkan secangkir kopi
atau sehidangan sarapan pagi.
Suri dambakan tetamu hati
demi menghiasi kamar nurani
dengan wangian jambangan iman
di taman naungan Allahurrahman.
Zanazanzaly, UIAM PJ.
URTV, 15 Julai 1999.
Ahad, Jun 14, 2009
Muka Pada Minggu Ke 5
sms dia: Woi kau sedar tak, dah minggu ke 5 muka kau masuk paper.
sms saya: Ya ke? Maka, masalahnya apa?
sms dia: Sejak 10 Mei lalu, setiap minggu hingga hari ni. Asyik muka sama. Nak jeluak.
sms saya: Oklah aku minta mereka tukar muka lain. Tapi versi online.
Dalam paparan versi maya juga terdapat ralat. "Mengasah" bakat bagi saya tidak tepat sebab kerja asah mengasah ialah untuk menajamkan sesuatu yang tumpul. Saya kira, amatlah tidak layak apatah lagi wajar bagi media segah Mingguan Mlaaysia menjadi medan pengasah bakat yang belum tajam dalam bidang penulisan. Ketika diwawancara melalui telefon, saya mengakui betapa akhbar berprestij itu memang ampuh untuk dijadikan medan "mempertajamkan" nilai kreativiti pengarang. Perkataan "mempertajamkan" membawa makna menambahkan lagi ketajaman kepada sesuatu yang sedia ada sifat tajamnya.
Tidak logik sama sekali, halaman sastera Mingguan Malaysia yang ditamsilkan sebagai tembok tebal/benteng kebal bagi semua penulis baharu itu disifatkan sebagai batu pengasah sahaja yang mana kerja asah-mengasah itu boleh sahaja dilakukan secara manual seperti mengilir pisau kiri kanan yang boleh dilakukan sambil pejam. Hey, MM itu adalah mata pencanai logam yang super tajam atau pun intan yang diletakkan pada muncung jangkaut yang digunakan untuk membelah tar jalan.
Barangkali gelombang talian telefon genggam di lebuh raya Salor-Pasir Mas sedikit tergugat dek Pilihanraya Kecil DUN Manek Urai maka kalimat yang saya ucap kedengaran berlainan di pendengaran penulis rencana tersebut.
Apapun, jom rakan-rakan dan handai taulan kita jumpa nanti di pentas gemilang HSKU2008.
Jumaat, Jun 12, 2009
Kembara Merentasi Titiwangwa
Kembara bersama Datuk Segedung llmu, jiwa gersang bertukar lenjun umpama basah bumi merekah setelah tidak disirami hujan berminggu-minggu. Memugar kesegaran minda dengan kerlipan firus air Tasik Banding. Mengubat penat indera dengan alunan riak tenang Tasik Raban. Banjaran Titiwangsa kami lewati dengan sejuta kasih pada tanah air sendiri. Sebelum bertolak dari kediaman Dato' Prof. Kapt. Dr. Hashim Yaacob di desa Batu Hitam, Tanah Merah, saya dismskan oleh Ustazah Ruziah, senior di SMKA Naim Lilbanat agar membeli akhbar yang suatu ketika dahulu saya pernah menjadi sub-editornya. Halaman Sinar Harian menjadi peneman kami sepanjang perjalanan menuju ke kota batu melalui Jeli.
Malar segar banjaran Titiwangsa kami rentasi, nyaman udara Tasik Banding persada Darul Ridzuan, mengapa jiwa saya tak keruan tatkala melewati negeri ini?
Biduk berlalu telepok bertaut,
mekar seroja minggir ke tepi,
dingin bayu berpuput lembut,
mengapa gersang di pinggir hati?
Malam yang dinanti pun tiba, rombongan kami bertiga mengiringi Bentara Guru Datuk Segedung Ilmu disambut mesra oleh urusetia Malam Puisi Utusan 09 lalu dibawa menuju ke meja kedua paling hadapan. Sudah menanti di sana, Pujangga Negara SN Dato' Dr. A. Samad Said dan isteri tercinta.
Ada tiga perkara yang sangat-sangat mengujakan jiwa saya. Pertama, wow nasi lemak daun pisang! Mmm, aromanya sama seperti yang pernah saya hidu di SK Pelabuhan Kelang dekat tiga dekad lalu. Terima kasih banyak-banyak kepada Nik, pengacara Nasi Lemak Kopi `O' yang mengesyorkan menu ini kepada pihak pengajur. Kedua, puisi rafik saya yang berjudul Lelaki Yang Patah Sayap Kirinya dideklamasikan oleh adik ipar rakan lama yang pernah berkongsi pentas Pesta Pantun 1990 dengan saya semasa Selangor menjadi tuan rumah. Nama rakan sepestapantun saya itu Rozi, tapi saya selesa-mesra panggil dia Tuty. Ketiga, yang ini punca utama pemergian saya ke MPU09. Yahoo... buat kesekian kali, dapat saya saksikan Bentara Guru Datuk Segedung Ilmu beraksi dengan segak tak bersangga, penuh gaya wira Melayu menghunus Sepukal Malela melontarkan bait kata meny
eru kita bersatu menjaga tanah air nan tercinta!
"Jika ada penderha
ka di luar kubu negara/jangan sekali-kali ada Sang Rajuna Tapa membuka pintu kota/Ini tanah air kita/kita kepung, kita jaga, kita pelihara."
(Puisi di atas diadaptasi daripada puisi asal karya Dato' Prof. Dr. Hashim Yaacob yang dideklamasikan pada MPU09.)
Rabu, Jun 10, 2009
Isnin, Jun 08, 2009
Warkah Utusan
tengahari tadi
saya terima pada 8 haribulan.
Terima kasih kerana mengutusi
sekarang, saya boleh beri jawapan
kepada seseorang
yang meminta saya datang.
Mana mungkin saya hadiri
tanpa undangan rasmi
selaku insan seni,
penulis mini seperti saya ini
dibumbui segan dan memiliki hati.
>>fikirlah sendiri!
Ahad, Jun 07, 2009
Minhaithulayahtasib
Jam 7.11 pagi saya menerima sms daripada Salman Sulaiman yang mengucapkan tahniah kepada saya yang katanya memenangi HSKU 2008 dengan kemenangan berganda. 35 minit kemudian Nisah Haron pula melayangkan sms yang serupa. Saya masih belum dapat menatap akhbar jadi saya tidak tahu apa yang disiar. Sebelum itu, saya tidak dapat sebarang panggilan telefon, surat atau pun faksimili yang memberitahu saya memenangi HSKU seperti pengalaman pada HSKU 2003 lalu.Terdetik di kalbu, 'wah! Ini stail baharu. Pemenang tidak awal-awal diberitahu. Tahu-tahu apabila keputusan diwartakan. Tentu, ia adalah pengalaman baharu bagi pemenang berganda @ bergaya HSKU (ayat sms Nisah) seperti aku! Hu hu hu'.
Segala puji dan puja bagi-Mu jua wahai Pemunya Jiwa. Syukurku tiada tara atas kurniaan rezeki-Mu dari jalan yang tidak disangka-sangka. Terima kasih setulus budi kepada pengasuh laman sastera MM kerana kesudian menyiarkan karya-karya saya dan setinggi-tinggi penghargaan kepada panel juri HSKU 2008 kerana memperakui Avule Aidiladha dan Rindu Berladung di Pulau Duyung.Terima kasih juga buat rakan-rakan penulis, teman-teman perniagaan dan saudara mara serta handai taulan yang memberi ucapan tahniah melalui telefon dan sms. Murni ingatan kalian, selamanya saya kenang.
Kemenangan berganda seperti ini membuatkan tubir mata saya bergenangan mengenang kembali jasa Sasterawan Zaharah Nawawi yang mengajar saya menulis cerpen buat pertama kali dan bakti Hajjah Mahani Che Ibrahim yang mengambil inisiatif melalui DBPWT, mendanai saya ke bengkel KEPEZI.



